Kereta talaan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Nissan Skyline R34 GT-R, salah satu kereta talaan buatan Jepun yang paling popular.
Mitsubishi Lancer Evolution IX

Kereta talaan, selalunya merujuk kepada kereta buatan Jepun, Asia ataupun Eropah, merupakan sejenis kereta yang menggabungkan keselesaan serta penggunaan bahan api yang rendah yang berpotensi menjadi kereta berprestasi tinggi jika diubah suai, terutamanya pada bahagian enjin, memandangkan kereta sebegini menampilkan pengendalian yang cukup baik disebabkan badannya yang ringan serta sistem gantungan yang lebih canggih.

Kereta talaan berlainan dengan kereta supercar dalam banyak aspek; daripada harga sehinggalah kepada sesaran dan kuasa kuda enjin.

Sesetengah pengeluar kereta talaan menawarkan varian berprestasi tinggi bagi kereta keluaran mereka yang sememangnya sudah mempunyai peralatan berprestasi tinggi, seperti Subaru Impreza STi dan Mitsubishi Lancer Evolution. Oleh kerana saiz enjin yang kecil, kereta sebegini selalunya memanfaatkan penggunaan pengecas turbo atau pengecas lampau untuk bersaing dengan kereta sport yang lain.

Budaya[sunting | sunting sumber]

Rali[sunting | sunting sumber]

Chris Atkinson memandu kereta Subaru Impreza WRC di hadapan penonton dalam satu perlumbaan rali.

Perlumbaan rali sering disertai pasukan-pasukan serata dunia yang menggunakan kereta talaan yang diubah suai untuk bertarung antara satu sama lain pada lokasi tertentu.

Kereta talaan vs kereta muscle[sunting | sunting sumber]

Dalam dunia automotif, kereta talaan seringkali dibandingkan dengan kereta muscle oleh para peminat kereta terutamanya dari Amerika Syarikat. Sebab utama perbandingan adalah kerana kedua-dua jenis kereta ini dibina untuk prestasi yang tinggi dengan kos ubah suai yang rendah.

Satu lagi teori mengatakan perbandingan tersebut tercetus akibat persepsi peminat kereta muscle terhadap kereta talaan, terutamanya buatan Jepun, dengan menganggap kereta talaan tidak dibina mengikut piawaian kereta buatan Amerika. Persepsi tersebut timbul daripada kepercayaan nasionalisme ataupun asabiyah terhadap kereta buatan negara sendiri; oleh itu, peminat kereta muscle seringkali menentang budaya kereta talaan.

Penentangan ini dapat dilihat dari aspek teknikal. Kereta muscle dibina dengan ruang dalaman yang luas, tahan lama, tidak canggih dan berkuasa; menyebabkan kereta tersebut menjadi besar dan berat. Akibatnya, kereta muscle, terutamanya kereta-kereta muscle klasik, mempunyai tahap pengendalian yang teruk. Kereta talaan pula dibina dengan teknologi canggih, ringan dan jimat bahan api, serta berpotensi untuk menjadi kereta sport terhebat. Tambahan pula, kereta talaan mempunyai tahap pengendalian yang sangat baik disebabkan penggunaan sistem gantungan yang canggih. Walau bagaimanapun, kereta talaan mempunyai banjaran kilasan yang tajam disebabkan saiz enjin yang kecil; tidak seperti kereta muscle yang mempunyai banjaran kilasan yang lurus dan lebar.

Pengubahsuaian[sunting | sunting sumber]

Intipati utama pengubahsuaian kereta talaan ialah cubaan untuk mendapatkan kuasa setinggi yang mungkin daripada kenderaan asal melalui penambahan, pengubahsuaian ataupun penukaran alat ganti. Walaupun sebahagian besarnya melibatkan pengubahsuaian enjin serta sistem pengurusan kenderaan bagi meningkatkan kuasa kuda, perubahan tambahan juga diperlukan untuk membolehkan kenderaan yang diubah suai menampung tambahan kuasa; antaranya termasuklah penggunaan sistem gantungan yang lebih keras, tayar yang lebih lebar, brek yang lebih berkuasa, stereng yang diperbaharui serta pengubahsuaian sistem penghantaran.

Seperti yang telah dibincangkan tadi, kereta talaan mempunyai lengkuk kilasan yang lebih tajam disebabkan saiz enjin yang kecil, terutamanya apabila menggunakan pengecas turbo, menyebabkan agihan kilasan yang kurang baik pada RPM yang berbeza; lebih buruk lagi, kenderaan yang menggunakan pengecas turbo sering mengalalmi masalah "lengahan turbo" iaitu jarak masa daripada ketika pemandu menekan injak pendikit sehinggalah ketika enjin mula bertindak balas. Sungguhpun demikian, terdapat juga kereta talaan yang tidak bergantung kepada penggunaan pengecas turbo tetapi sekadar menggunakan enjin pernafasan biasa dengan pengurangan berat badan kereta.

Lumba haram[sunting | sunting sumber]

Kereta talaan juga seringkali dikaitkan dengan gejala lumba haram. Di Malaysia misalnya, kereta-kereta biasa seperti Proton Saga, Proton Wira, Proton Satria, Proton Waja, Perodua Kancil serta beberapa model kereta buatan Jepun yang lain seperti Honda Civic dan Toyota Corolla sering digunakan dalam perlumbaan haram. Kereta-kereta sebegini diubah suai secara menyeluruh untuk meningkatkan kuasa kudanya. Pelumba haram dapat dikenal pasti dengan mudah melalui kereta yang diubah suai secara menyeluruh sehingga melanggar peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]