Pergi ke kandungan

Mami Jarum

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Mami Jarum
PengarahAbdul Razak Mohaideen
PenulisAbdul Razak Mohaideen
Lakon layarAbdul Razak Mohaideen
Dihasilkan olehDavid Teo
Dibintangi
SinematografiIndra Che Muda
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehMIG Pictures
Tarikh tayangan
  • 6 Disember 2002 (2002-12-06) (Malaysia)
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
Pecah panggungRM 4 juta

Mami Jarum merupakan filem komedi Malaysia 2002 terbitan Metrowealth Pictures dan arahan Abdul Razak Mohaideen. Filem ini berkisar seorang wanita yang gemar bercerita tentang hal orang lain. Namun begitu, dia seorang yang baik, periang dan peramah. Filem ini ditayangkan pada hari pertama Aidilfitri tahun 2002.

Mami Jarum menjalani penggambaran di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Buat pertama kalinya, ia turut menampilkan bakat lakonan Ezad Lazim yang memegang watak posmen. Selain Ezad, Mami Jarum turut mengetengahkan bakat baru, Azizah Ali.

Mami Jarum menggunakan khidmat Indra Che Muda sebagai Pengarah Sinematografi. Hasil kerjanya yang diperakui sebelum ini membolehkan Pemenang anugerah Pengarah Sinematografi Terbaik FFM 1990 (filem `Syakila') ini terus mendapat kepercayaan MMP untuk mengetuai unit teknikal produksi.

Filem keempat MMP ini diharap bukan sekadar mewarnai industr filem tempatan, tetapi terserlah penyampaian mesej-mesej positif kepada masyarakat.

Tagline:Penyampai cerita cepat dari berita!

Cerita ini mengisahkan watak utamanya, iaitu, Mami Jarum atau nama sebenarnya Fatimah mempunyai sikap angkuh dan menganggap dirinya sahaja yang sempurna. Sikap mementingkan harta, kedudukan serta mencari kesalahan orang lain dan bercakap besar merupakan tabiat yang telah sebati dalam dirinya. Mami Jarum yang telah diceraikan suaminya, kini tinggal bersama dua orang anak gadisnya. Anak sulung, Shiqah, bekerja sebagai setiausaha sulit di sebuah syarikat besar. Manakala anak bongsunya, Syafinaz, merupakan pelajar IPTA. Mami mempunyai seorang adik perempuan, Bee, yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan, Azizah. Bee, seorang surirumah berkahwin dengan buruh kasar, iaitu Piee.

Jiran Mami Jarum, Mamu Rosli ialah bujang terlajak yang tinggal sebatang kara. Dia tidak berkahwin kerana cintanya terhalang dek ibu bapa kekasihnya yang lebih mementingkan darjat serta bersifat `tangkai jering'.

Mamu Rosli berkenan dengan Mami Jarum kerana wajah Mami yang seiras dengan kekasihnya dahulu. Walaupun begitu, dia kurang senang dengan sikap Mami yang suka memburukkan orang lain. Mamu Rosli gemar berjoging dan amat mementingkan penampilannya.

Konflik bermula apabila Mami Jarum bertandang ke rumah Bee dan acapkali menghasut adiknya. Dia memandang rendah terhadap Piee yang bekerja sebagai buruh. Pegangan agama Piee yang kuat turut tidak disenangi oleh Mami Jarum. Oleh yang demikian, Mami mendesak adiknya agar meminta Piee membuat sesuatu untuk mengubah nasib mereka. Mami Jarum sering menjadikan keluarga contoh kerana beranggapan mereka keluarga yang sangat berjaya.

Bee termakan hasutan itu. Namun sebenarnya, Mami tidak menyedari bahawa keluarganya bermasalah. Shiqah terlibat dengan hubungan sulit dengan bosnya yang sudah beristeri. Bee, adik Mami memberitahu suaminya, Piee ternampak Shiqah, anak sulung Mami keluar dating dengan seorang lelaki tua, namun Mami tidak mempercayainya.

Berlainan pula dengan anak perempuan bongsu Mami, Syafinaz, yang lebih bersikap matang serta sering menegur sikap ibunya yang keterlaluan itu. Apabila Mami Jarum mengetahui Syafinaz bercinta dengan Ezad seorang pemuda yang bekerja sebagai posmen, Mami melenting dan amat marah. Mamu kemudiannya datang memberitahu Ezad sebenarnya anak orang kaya dan ayah Ezad berpangkat Datuk. Mami tidak mempercayai kata-kata Mamu dan meminta Ezad membawa ibubapanya untuk meminang Syafinaz. Pada hari peminangan, Ezad dan ibunya Datin Nora bertandang ke rumah Mami untuk meminang. Kemudian barulah Mami percaya Ezad anak orang kaya. Dalam masa yang sama Mami ingin mengahwinkan anak sulungnya Shiqah kerana tidak mahu terlangkah bendul kerana dia sudah bersetuju mengahwinkan anak bongsunya. Tetapi Shiqah menolak pemintaan Mami untuk dikahwinkan dengan anak kawan Mami. Mami meminta Shiqah menjelaskan mengapa Shiqah menolak dan Shiqah memberitahu yang dia sudah berkahwin selama dua bulan. Pada masa itu juga suami Shiqah yang sebenarnya bapa Ezad dan suami Datin Nora datang, dan Shiqah memberitahu kepada Mami itulah suaminya. Datin Nora kecewa dengan apa yang berlaku mahu meminta cerai. Mami sudah malu yang berlaku meminta pertolongan Piee. Akhirnya, dia menyedari bahawa pendidikan agama sangat penting dan perlu ditekankan dalam mendidik anak-anak supaya mereka tahu menilai dan menjaga diri. Sebaliknya, kedudukan dan harta kekayaan semata-mata tidak menjamin kehidupan yang sempurna.

  • Kartina Aziz sebagai Fatimah aka Mami Jarum, ibu kepada Shiqah dan Syafinaz. Seorang wanita pertengahan umur yang gemar menjaja aib anak orang lain sambil menunjukkan barang kemasnya ketika mengunjungi kawan-kawannya.
  • Vanida Imran sebagai Shiqah, anak sulung kepada Mami Jarum. Menjalinkan hubungan sulit dengan bosnya, Dato Meera sehingga membawa kepada perkahwinan mereka secara rahsia.
  • Ezad Lazim sebagai Ezad, anak tunggal kepada Dato Meera dan Datin Nora. Bekerja sebagai seorang posmen. Menjalinkan hubungan cinta dengan Syafinaz tanpa pengetahuan ibu Syafinaz, Mami Jarum.
  • Rita Rudaini sebagai Kak Rita, rakan karib Mami Jarum yang gemar mengikuti Mami Jarum ke mana sahaja dan turut berperangai sama macam Mami Jarum.
  • Ismail Din sebagai Dato Meera, suami kepada Datin Nora dan ayah kepada Ezad. Mempunyai sebuah syarikat swasta. Menjalinkan hubungan sulit dengan setiausahanya, Sheqah sehingga membawa kepada perkahwinan mereka secara rahsia.
  • Norlia Ghani sebagai Datin Nora, isteri kepada Dato Meera dan ibu kepada Ezad
  • Piee sebagai Piee, Suami kepada Bee dan Ayah kepada Azizah. Juga adik ipar kepada Mami Jarum. Bekerja sebagai pemandu kepada Dato Meera.
  • Zahida Rafik sebagai Syafinaz, anak kedua kepada Mami Jarum. Menjalinkan hubungan cinta dengan Ezad tanpa pengetahuan ibu dan kakaknya.
  • Sheila Mambo sebagai Bee, isteri kepada Pie & ibu kepada Azizah. Juga adik kepada Mami Jarum.
  • Rashidi Ishak sebagai Cico, pekerja di Syarikat milik Dato Meera. Mempunyai masalah tidak mampu berfikir secara sempurna setelah kemalangan motosikal. Sering menimbulkan kemarahan orang sekelilingnya.
  • Maidin sebagai Mamu @ Elvis Rosli, bekas pemuzik dan pemilik sebuah kedai runcit. Jiran kepada Mami Jarum. Bekas kekasih kepada Datin Nora ketika muda.
  • Rosnah Mat Aris sebagai Chombee, kawan Mami Jarum yang sering dikunjungi Mami Jarum semata-mata nak lawan barang kemas siapa yang paling cantik.
  • Cico Harahap sebagai Pasangan Kekasih yang ditemui Mami Jarum di feri.
  • Azizah Ali sebagai Azizah, anak kepada Pie dan Bee.

Anugerah dan pencalonan

[sunting | sunting sumber]
  • Festival Filem Malaysia ke-16, 2003
  • Pelakon Komedi Terbaik - Kartina Aziz

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]