Nur Amalina Che Bakri

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Nur Amalina Che Bakri (lahir 7 Disember 1987, Kota Bharu) merupakan anak tunggal kepada pasangan Sabariah Hassan, seorang pengetua sekolah menengah dan bapanya Che Bakri, seorang jurutera, Timbalab Pengarah di DBKL. Beliau mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2004 dengan memperoleh 17A1. Nur Amalina berjaya mendapat A1 dalam 17 subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik Moden, Biologi, Kimia, Fizik, Ekonomi Asas, Perdagangan, Prinsip Akaun, Sains Teras, Pendidikan Seni, Tasawur Islam, Kesusasteraan Melayu, Bahasa Inggeris Teknologi, Pendidikan Islam dan Matematik Tambahan. Beliau bercita-cita untuk menjadi pakar bedah dalam bidang kanser payudara dan onkoplastik.[perlu rujukan]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan pada 7 Disember 1987,[perlu rujukan] anak tunggal kepada pasangan Sabariah Hassan, seorang pengetua sekolah menengah dan bapanya Che Bakri, seorang jurutera, Timbalan Pengarah di DBKL. Beliau dibesarkan di Johor Bahru.[perlu rujukan] Beliau mendapat pendidikan awal di Tadika Farley’s di Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Rendah Kebangsaan Zainab 1, Kota Bharu (darjah 1), Sekolah Kebangsaan Taman Suria, Johor Bahru (darjah 2-4), Sekolah Kebangsaan Taman Daya, Johor Bahru (darjah 5) dan Sekolah Kebangsaan Ulu Tiram (darjah 6).

Beliau juga merupakan Naib Pengerusi Kelab Bimbingan dan Kaunseling, Setiausaha Persatuan St. John Ambulans, Setiausaha Pasukan Rumah Kuning, Naib Bendahari Kelab Pencegah Jenayah dan Ketua Pasukan Badminton sekolah semasa beliau di tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Semangat dan cita-citanya yang tinggi untuk mencapai kejayaan tidak menghalang beliau bergiat aktif dalam bidang kokurikulum.[perlu rujukan]

Beliau pernah menyertai 50[perlu rujukan] pertandingan di sekolahnya. Antaranya ialah: Sayembara puisi, lagu, pidato, syarahan, bercerita, kuiz, melukis, menggubah dan bersajak. Beliau pernah dimahkotakan sebagai Tokoh Nilam Peringkat Kebangsaan 2004 besertakan Johan Pidato Permodalan Nasional Berhad.

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Beliau belajar dan mengulangkaji pelajaran melalui televisyen dan internet. Beliau meminati program-program televisyen yang kelihatan realiti seperti siri Fear Factor, The Apprentice, National Geographic dan Discovery Channel. Ini kerana beliau sukakan sesuatu yang mencabar dan menjadi inspirasi kepada beliau. Beliau sentiasa melayari Internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini dalam pelbagai perkara serta mempunyai kenalan terdiri dari pelajar luar negara untuk bertukar-tukar pandangan dan pendapat mereka.

Kejayaan beliau dalam peperiksaan SPM 2004 juga adalah berasaskan kepada inisiatif beliau yang suka berjumpa guru untuk berbincang mengenai pelajaran serta mempunyai keyakinan yang kuat untuk berjaya.

Beliau melanjutkan pengajian peringkat A-Level di United Kingdom pada September 2005 di Cheltenham Ladies College dan medapat 5A dalam program A-Level. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang ijazah sarjana muda perubatan di University of Edinburgh, Scotland pada September 2007. Semasa di University of Edinburgh, Amalina memperoleh satu lagi ijazah, iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Biomedik dalam Farmakologi pada Julai 2010 semasa dalam pengajian ijazah sarjana muda perubatannya. Beliau akhirnya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan pada Julai 2013.[perlu rujukan]

Pengajian beliau dibiayai sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia di bawah Program Biasiswa Kijang Emas.

Beliau pernah terpilih untuk mengikuti Program Pertukaran Pelajar ke Itali anjuran American Field Service pada 5 Disember 2004 sehingga 5 Februari 2005[perlu rujukan] dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk mempelajari bahasa Itali serta menjadi duta kecil Malaysia di sana. Beliau juga terpilih antara 11 penerima Anugerah Maulidur Rasul 1426 peringkat Kebangsaan dan juga merupakan Duta Akademik Berita Harian.

Kehidupan terkini[sunting | sunting sumber]

Selepas menamatkan pengajian di University of Edinburgh pada Julai 2013, beliau telah melanjutkan pengajian dalam Masters of Philosophy (MPhil) in Translational Medicine and Therapeutics (TMAT) di University of Cambridge dan menjalani latihan sebagai doktor junior di Hospital Universiti Cambridge selama 2 tahun sebelum memulakan latihan sebagai seorang doktor pakar bedah kelak. Beliau juga memaklumkan bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya 6-7 tahun untuk menjadi seorang doktor pakar bedah dalam bidang kanser payudara dan onkoplastik. Nur Amalina telah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Kelas Pertama pada pertengahan 2015.

Seterusnya, beliau telah meneruskan pengajian di Imperial College London pada Ogos 2015 untuk menjadi seorang doktor pakar bedah dan felo akademik klinikal di bawah naungan NHS Healthcare Trust. Beliau terlibat dalam pengkhususan payudara, plastik dan pembedahan awam dan telah berkhidmat di Hospital St Mary, Hospital Chelsea & Westminster dan Hospital Charing Cross.