Pembiakan vegetatif

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian

Pembiakan vegetatif atau pembiakan tampang adalah sejenis pembiakan aseks bagi tumbuhan. Melalui proses ini, tumbuhan dapat berkembang biak tanpa memerlukan biji benih atau spora. Genetik anak adalah sama dengan induk.[1]

Pembiakan anak pokok setawar, Bryophyllum daigremontianum melalui daun.
Pembiakan vegetatif atau pembiakan tampang melalui keratan batang.
Pokok keladi membiak secara vegetatif melalui pembentukan sulur, dan bonggol (corm).

Penerangan[sunting | sunting sumber]

Menurut Prof. Hazrul Anuar Bin Azlan dan Prof. Umar Rafiq Bin Uda:[perlu rujukan]

Pembiakan tampang ialah pembiakan yang menggunakan bahagian-bahagian vegetatif tumbuhan seperti akar, batang, [dan] daun untuk memperbanyakkan tumbuhan yang sama dengan induknya.

Tumbuh-tumbuhan yang dihasilkan secara demikian dipanggil klon. Bahagian-bahagian vegetatif ini adalah istimewa oleh sebab tiap-tiap sel ini mewakili pokok keseluruhannya. Oleh itu, pokok yang dibiakkan lebih 100 tahun dahulu adalah sama dengan yang dibiakkan sekarang. Di Malaysia, industri tanaman buah naga atau pitaya hampir musnah akibat serangan penyakit Erwinia kerana anak benih yang digunakan semuanya dari keratan pokok tunggal yang mudah diserang penyakit.[2]

Kebaikan-kebaikan pembiakan tampang adalah boleh mendapatkan anak pokok yang seragam dan sama dengan pokok asal (true-to-type) atau ciri-ciri anak pokok menyerupai induknya, pokok cepat berbunga atau berbuah, dan kebolehan untuk dibiakkan sepanjang tahun. Selain itu, pembiakan tampang boleh dibuat dengan jumlah yang banyak dalam satu masa. Kaedah ini juga dapat digunakan untuk membiakkan tumbuhan yang tidak mengeluarkan biji benih bernas.

Bagaimana pun, terdapat beberapa kelemahan atau keburukan dalam pembiakan tampang iaitu hanya terhad untuk untuk beberapa jenis tumbuhan dan risiko perpindahan penyakit meningkat terutama penyakit berkaitan virus. Untuk tujuan pertanian pula, kaedah pembiakan tampang ini memerlukan kemahiran teknikal yang khusus dan perkakasan tersendiri.

Jenis dan kaedah[sunting | sunting sumber]

Terdapat dua jenis pembiakan tampang iaitu secara semula jadi dan buatan. Kaedah ini bergantung kepada sifat semula jadi tumbuhan tersebut dan kesesuaiannya.[3]

Kaedah Semula jadi[sunting | sunting sumber]

Rumput Poa bulbosa membiak melalui apomixis.

Geragih (stolon)[sunting | sunting sumber]

Batang rayap atau geragih keluar dari aksil daun dan biasanya tumbuh menjalar secara mendatar di atas permukaan tanah. Contoh: daun baldu (Episcia) dan pokok labah-labah (Chlorophythum).

Bebawang (bulb)[sunting | sunting sumber]

Bebawang akan diambil dan ditanam. Contoh: bawang merah (Allium cepa), bawang putih (Allium sativum), bakuh (Crinum asiaticum) dan pandan suasa (Amaryllis).

Umbi (tuber)[sunting | sunting sumber]

Umbi semula jadi yang membesar di bawah tanah akan bertunas untuk membentuk pokok baru. Contoh: keledek , sengkuang (Pachyrhizus erosus), pisang tali (Musa textilis) dan semacamnya.

Rimpang (Rhizome)[sunting | sunting sumber]

Rimpang atau batang yang menjalar di bawah permukaan tanah tumbuh sebagai pokok baru. Contoh: halia, kunyit (Curcuma longa), bunga Iris dan rumput.

Sulur (Sucker)[sunting | sunting sumber]

Sulur atau anak pokok terbentuk dan terpisah dari pokok induk. Contoh: kebanyakan jenis pisang (Musa sp.) dan keladi.

Bonggol (corm)[sunting | sunting sumber]

Bonggol (atau umbisi) adalah keratan berbuku-buku pada batang bawah tanah yang menyimpan makanan. Contoh: keladi dan bunga Gladiolus.

Anak pokok (Plantlet)[sunting | sunting sumber]

Anak pokok yang muncul dari celah daun mampu membentuk akar dan terpisah dari induk. Contoh: Pokok setawar (Bryophyllum daigremontianum).

Anakan (keiki)[sunting | sunting sumber]

Keiki adalah tunas tambahan yang terbentuk pada tangkai bunga (khusus untuk anggerik). Contoh: anggerik merpati (Dendrobium crumenatum), Phalaenopsis dan Epidendrum.

Benih indukan (apomixis)[sunting | sunting sumber]

Apomixis adalah pembentukan benih tanpa meiosis dan persenyawaan antara gamet. Contoh: dapat ditemui dalam tumbuhan seperti jombang (Taraxacum officinale) dan manggis (garcinia mangostana).

Kaedah buatan[sunting | sunting sumber]

Contoh pembiakan vegetatif secara buatan adalah pada pokok buah-buahan seperti anggur, durian dan rambutan serta tanaman hiasan seperti bunga raya dan mawar. Terdapat tiga atau empat cara paling popular digunakan:

Keratan (cutting)[sunting | sunting sumber]

Keratan tumbuhan seperti batang, dahan dan anak pokok digunakan untuk membiakkan pokok baru.

Cantuman (grafting)[sunting | sunting sumber]

Cantuman adalah kaedah mencantumkan mata tunas (scion) atau keratan pokok pada pokok penanti untuk membiakkan pokok-pokok terpilih. Di Malaysia terdapat tiga jenis cantuman:

  1. Cantuman tunas atau cantuman dekatan – Menyandingkan dua anak benih dan mengikis bahagian kambium dikedua-dua batang.
  2. Cantuman mata tunas – Mencatumkan tunas pokok dengan pokok penanti.
  3. Cantuman belahan – Cantuman belahan atau cleft budding sesuai untuk dahan atau batang muda dimana pokok penanti dibelah dua untuk disisipkan mata tunas.

Perlapisan atau lenturan (Layering)[sunting | sunting sumber]

Lenturan dilakukan pada bahagian pokok yang masih bercantum dengan pokok induk. Terdapat empat jenis lenturan:

  1. Lenturan pucuk (tip layerage)
  2. Lenturan busut
  3. Lenturan peparitan
  4. Lenturan udara atau tut

Kultur tisu[sunting | sunting sumber]

Kultur tisu adalah kaedah memisahkan sekelompok tisu yang kecil (explant) daripada haiwan atau tumbuhan dan kemudian diletakkan di dalam medium nutrien yang sesuai dan steril bagi pertumbuhan di luar organisma hidup.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Vegetative Propagation". Encyclopedia Britannica. Britannica, The Editor of Encyclopedia. 2017.
  2. ^ "PEMBIAKAN TAMPANG TUMBUHAN". Anim Agro Technology. Dato' Mohd Anim Hosnan. 2010.
  3. ^ "Vegetative Propagation". Byju's. Byju's Company. 2011.