Pengguna:Amirrahimi7782

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Haji Lajis bin Latip merupakan satu nama yang menjadi kebanggaan anak, cucu, cicit dan piut serta masyarakat Kampung Tambak Paya dari dahulu hingga sekarang.

Nama asal beliau ketika di Indonesia adalah KAMARI dan mengikut daftar di Tanah Melayu adalah LAJIS BIN LATIP. Nama LAJIS ini diperolehi selepas beliau kembali dari Makkah. Manakala LATIP itu bukanlah bapa kandung kepada Lajis tetapi beliau merupakan bapa saudara kepada Lajis. Nama Latip tercatat dalam pendaftaran kerana Latip lah yang bertanggungjawab membawa Lajis ke Tanah Melayu bersama adik-adiknya dari Indonesia.

Pengkisahan hidup HAJI LAJIS bermula dari saat beliau dilahirkan, Beliau telah dilahirkan di sebuah kampung yang diberi nama KAMPUNG MBORONG di daerah PACHITAN, berhampiran PONOROGO di Jawa Timur, Indonesia.

Ketika usianya di awal remaja, beliau telah dibawa oleh Mbah Latip merantau ke Singapura untuk mencari pekerjaan, tetapi memandangkan usianya ketika itu masih terlalu muda (remaja) maka beliau tidak diterima bekerja/tidak layak bekerja. Lajis hanya tinggal di rumah dan kerjanya hanya masak dan buat air sahaja. Walaubagaimanapun semasa di Singapura beliau pernah bekerja sebagai penjaga lembu.

Setelah tinggal di Singapura untuk beberapa seketika, Lajis telah sekali lagi dibawa merantau ke Tanah Suci Makkah pula. Setelah hampir 7 tahun tinggal di sana, Kerajaan Arab telah mengisytiharkan akan berlaku satu peperangan besar (Perang Jerman). Semua warganegara asing telah diarahkan untuk kembali ke negara asal masing-masing, termasuk Lajis dan Latip telah diarah kembali ke Indonesia dengan dibiayai oleh Kerajaan Arab Saudi.

Setelah kembali ke Indonesia untuk beberapa ketika, Haji Lajis bersama Mbah Latip dan 3 orang adik perempuan Haji Lajis iaitu TUMIRAH, GINEM dan KALSOM sekali lagi merantau ke Tanah Melayu dan menetap di Kampung Batu Puteh, Melaka.

Dalam satu jangkamasa yang tertentu, adik-adiknya telah bertemu jodoh/dinikahkan dengan pemuda tempatan ;

1. Tumirah dijodohkan dengan Abd. Ghani dan tinggal di Solok Tanjung Mak Midah.

2. Ginem dijodohkan dengan Abd. Majid dan tinggal di Solok Bukit Gadong.

3. Kalsom dijodohkan dengan Rakimin dan tinggal di Solok Batu Puteh.

4. Jono (Lelaki-adik yang bongsu) > Bujang, telah pergi menunaikan fardu dan meninggal di Makkah.

5. Haji Tarwi (adik angkat) telah berkahwin dengan Sonah dan tinggal di Solok Tanjong Mak Midah.

Setelah ketiga-tiga adiknya dinikahkan, Lajis merantau pula ke Kampung Parit Samsu, Muar. Di sana beliau telah bertemu jodoh dengan SALAMAH BINTI SAID, hasil dari perkahwinannya mereka telah dikurniakan seorang puteri yang diberi nama AMINAH. Tidak berapa lama selepas itu, tiga beranak ini telah kembali berpindah semula ke Solok Batu Puteh, Melaka.

Ketika usia Aminah 3 tahun dan Mbah Salamah sedang mengandungkan anaknya yang kedua, beliau telah jatuh di atas sebatang tunggul kayu dan telah mengalami pendarahan yang sangat teruk dan akhirnya beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir. Selepas itu Haji Lajis bersama anak perempuannya telah berpindah semula ke Muar, kali ini di ke Kampung Parit Kassim. Tidak lama selepas itu beliau bertemu jodoh dengan MARIATON BINTI SANTO. Mariaton adalah merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Saodah binti Haji Ali. Kedua-dua puterinya (Aminah & Saodah) telah dibesarkan bersama di bawah satu bumbung dengan penuh kasih sayang sehingga mereka berkahwin.

Sepanjang menetap di Muar, Haji Lajis dan Hajjah Mariaton telah dikurniakan 2 orang cahayamata. Mereka ialah SALIAH dan AHMAT. Ketika Ahmat berusia 6 bulan, Haji Lajis sekali lagi berpindah balik ke Melaka dan kali ini mereka menetap di Kampung Tambak Paya.

Di Kampung Tambak Paya, Haji Lajis dan Hajjah Mariaton telah dikurniakan 8 orang cahayamata. Mereka adalah ;

1. HAJI RAMLAN

2. DATUK WIRA HAJI MOKMIN

3. HAJI YAAKUP

4. ABD KADIR (meninggal dunia ketika masih kecil)

5. HAJAH SAIMAH

6. HAJI SAIM

7. SANIAH

8. HAJAH RUKIAH

Semasa hayatnya di Kampung Tambak Paya, Haji Lajis sangat dihormati sebagai seorang pemimpin dan ketua agama yang disegani. Beliau pernah dilantik sebagai Imam/Khatib Kariah/Masjid Kampung Tambak Paya dan telah berkhidmat selama lebih 20 tahun. Haji Lajis telah meninggal dunia pada bulan November tahun 1969 pada usia lebih 80 tahun tanpa menghidap sebarang penyakit. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya selepas selesai mengambil air sembahyang untuk solat asar. Hajjah Mariaton pula telah meninggal dunia pada tahun 1989 ketika berusia 80 tahun lebih. Kedua-duanya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ayer Molek (bersebelahan dengan Masjid Kariah Ayer Molek)