Perpustakaan awam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Perpustakaan Kuala Lumpur, sebuah perpustakaan awam di Malaysia.

Sebuah perpustakaan awam ialah perpustakaan yang diberi dana oleh sumber awam seperti cukai dan boleh dicapai oleh masyarakat awam. Perpustakaan awam diurus oleh pustakawan dan diiktiraf sebagai penjawat awam. Ciri-ciri asas sebuah perpustakaan awam termasuk didanai oleh cukai, diurus oleh sebuah lembaga, terbuka kepada seluruh masyarakat dan setiap orang boleh mendapat perkhidmatan asas secara percuma serta tiada unsur paksaan dalam perkhidmatan perpustakaan awam.[1]

Perpustakaan-perpustakaan awam wujud di kebanyakan negara dunia dan disifatkan sebagai asas kepada pembangunan masyarakat terpelajar dan celik huruf. Di samping itu, perpustakaan awam juga dikatakan sebagai pemangkin perkembangan budaya dan sosial masyarakat serta penghubung antara kerajaan dan rakyat.[2] Perpustakaan awam adalah berbeza dengan perpustakaan-perpustakaan lain seperti perpustakaan sekolah dan perpustakaan kajian kerana jenis perpustakaan ini dibina demi kepentingan masyarakat awam berbanding suatu institut tertentu.

Perkhidmatan[sunting | sunting sumber]

Biblioteca Palafoxiana di Bandar Puebla, Mexico yang diiktiraf sebagai perpustakaan awam pertama di benua Amerika.

Sebuah perpustakaan awam berhak memberikan akses kepada maklumat, iaitu bahan-bahan bacaan dengan sama rata.[3][4] Kebanyakan bahan bacaan dalam perpustaaan awam boleh dipinjam oleh sesiapa yang memiliki keizinan seperti pemilikan kad perpustakaan. Dua per tiga perpustakaan awam di Amerika Syarikat juga menawarkan pinjaman e-buku serta buku konvensional.[5] Para peminjam pula berhak memperoleh akses terhadap buku-buku dengan unsur kontroversi tanpa sebarang kerisauan.[6]

Pengurus perpustakaan awam membantu kajian dan penyelidikan golongan masyarakat dengan membantu pengkaji untuk mendapatkan sumber rujukan yang sesuai. Perpustakaan-perpustakaan yang lebih utama mungkin melantik para pustakawan yang arif dalam bidang-bidang yang khusus untuk membantu dalam hal ini. Pengurus perpustakaan juga bertanggungjawab untuk menjawab soalan-soalan berkenaan bantuan rujukan.[7]

Perpustakaan awam juga menawarkan khidmat-khidmat digital sebagai peranan untuk mengurangkan kesan jurang digital dalam kalangan masyarakat awam. Perpustakaan-perpustakaan awam menggalakkan peningkatan kemahiran digital kepada masyarakat awam seperti pengaturcaraan.[8] Kebiasaannya, perpustakaan-perpustakaan awam memiliki sekurang-kurangnya sebuah makmal komputer serta memiliki akses kepada teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).[9] Penerapan TMK dalam perpustakaan-perpustakaan awam didorong oleh dana awam di samping sumbangan pertubuhan bukan kerajaan serta perniagaan.[10]

Bangunan perpustakaan awam juga memberi ruang kepada perhimpunan awam melalui penubuhan pusat-pusat komuniti. Hal ini memberi ruang kepada penganjuran acara-acara serta penubuhan kelab-kelab kemahiran. Menurut Persatuan Perpustakaan Amerika, penganjuran acara-acara berkaitan kemanusiaan dan kesenian yang menggalakkan pemikiran masyarakat tentang kebudayaan dan etika adalah penting bagi sesebuah perpustakaan awam.[11] Penganjuran acara-acara yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat juga menggalakkan sifat kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Rubin, Richard E. Foundations of Library and Information Science (edisi ketiga). 2010. Neal-Schuman Publishers: New York.
  2. ^ "Perpustakaan umum" (dalam bahasa Indonesia). Pengembangan Perpustakaan Umum Daerah dan Perpustakaan Sekolah Kota Surakarta. Dicapai pada 7 Jun 2014.
  3. ^ "Access to Information" (dalam bahasa Inggeris). American Library Association. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Jun 2009. Dicapai pada 16 Julai 2009.
  4. ^ "Equity of Access" (dalam bahasa Inggeris). American Library Association (ALA). Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Oktober 2009. Dicapai pada 16 Julai 2009.
  5. ^ Hoffman, Judy; Bertot, John Carlo; Davis, Denise (Jun 2012). "Libraries Connect Communities: Public Library Funding & Technology Access Study 2011-2012" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). American Library Association. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 1 November 2013. Dicapai pada 28 Julai 2013.
  6. ^ "Privacy: An Interpretation of the Library Bill of Rights". American Library Association (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 1 April 2015.
  7. ^ Business Wire (9 September 2009). "Boston Public Library Secures E-Rate Funding; Selects One Communications for 31 Location MPLS Network". Reuters (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Februari 2013. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  8. ^ "Coding Clubs in Libraries on the Rise: 330% Increase from March 2016". goscl.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-11-09.
  9. ^ Haavisto, T. (2006). "Libraries and the WSIS action lines: Guideline for international, regional and local advocacy for libraries in relation with implantation of the WSIS by action line 2005-2015. (Update. Mincio, D. (2007)) Electronic Version" (PDF). International Federation of Library Associations and Institutions and World Summit on the Information Society: Geneva 2003 – Tunis 2005 (dalam bahasa Inggeris). m/s. 2. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2 Mac 2012. Dicapai pada 15 Julai 2009.
  10. ^ en (2009). "Global Libraries: Opening a World of Information and Opportunities". Bill & Melinda Gates Foundation. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Mei 2009. Dicapai pada 15 Julai 2009. Missing |author1= (bantuan)
  11. ^ admin (29 March 2007). "The Benefits of Public Programming for Participating Libraries and Audiences". ala.org (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 5 September 2017.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]