Pertempuran Ad Decimum

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pertempuran Ad Decimum
Sebahagian daripada Perang Vandal
Tarikh13 September 533 Masihi
Lokasi
Berhampiran Carthage
Keputusan Kemenangan Byzantine
Pihak yang terlibat
Empayar Byzantine Kerajaan Vandal
Komandan dan pemimpin
Belisarius
John orang Armenia
Gelimer
Ammatas 
Kekuatan
18,000[1] atau 15,000 tentera Lebih banyak daripada Rom[2] atau 10,000-12,000 tentera[3] atau 11,000 tentera
Kerugian dan korban
Tidak diketahui Tidak diketahui

Pertempuran Ad Decimum tercetus pada 13 September 533 antara tentera Kerajaan Vandal yang dipimpin oleh Raja Gelimer dan Empayar Byzantine yang diketuai oleh Belisarius. Kemenangan Byzantine dalam pertempuran ini telah menandakan petunjuk awal kejatuhan Vandal dan permulaan kempen penaklukan semula wilayah barat semasa zaman pemerintahan Maharaja Justinian I.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Kejayaan Rom di Dara merupakan kemenangan pertama Rom ke atas Parsi di medan lapang pada kurun ini. Walaupun Maharaja Justinian tidak dapat memperoleh sebarang wilayah baru, beliau telah memeterai perjanjian damai dengan Parsi pada tahun 532 untuk menjamin keselamatan sempadan kerajaannya di timur. Justinian ingin memulakan kempen penaklukan semula ke atas wilayah-wilayah kerajaannya di barat yang kini berada di bawah kawalan puak Jermanik. Namun, keadaan di Constantinople pula telah meruap. Perlumbaan kuda di kota itu sering kali mencetuskan perbalahan antara penyokong daripada pasukan yang berbeza. Walau bagaimanapun pada tahun 532, dua daripadanya iaitu pasukan biru dan hijau melancarkan pemberontakan dan malahan mereka telah menabalkan maharaja yang baru. Pemberontakan ini berterusan selama lima hari sehinggalah Justinian menggunakan penglibatan tentera di bawah pimpinan jeneral Belisarius dan Mundus untuk memadamkannya. 30,000 orang telah dibunuh dan antara bangunan yang telah dibakar ialah model awal Hagia Sophia. Maharaja Justinian memasang niat untuk membina semula gereja itu dan menjadikan ia sebagai bangunan termegah di dunia. Beliau memerlukan modal untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan dan mencari peluang untuk melonjakkan reputasinya yang telah tercalar gara-gara pemberontakan yang lalu. Kempen penaklukan ke atas wilayah barat merupakan jalan penyelesaian kepada kedua-dua kesulitan yang dihadapi oleh Maharaja Byzantine itu.

Pada abad ke-5, wilayah-wilayah milik Empayar Rom Barat telah dibahagikan antara pelbagai puak Jermanik. Salah satu daripada puak tersebut ialah Vandal yang telah mendirikan kerajaannya di Afrika Rom dan pulau-pulau di barat Mediterranean pada tahun 439. Pada tahun 530, Raja Vandal iaitu Hilderic yang sedang berdamai dengan Justinian telah digulingkan dan dipenjarakan oleh sepupu Justinian, Gelimer. Gelimer kemudian merebut takhta Vandal tetapi beliau telah kekurangan legitimasi. Beliau juga berpegang kepada aliran Arianisme dalam Kristian yang dianggap sesat. Justinian mendesak supaya takhta yang sepatutnya milik Hilderic dikembalikan atau menghantar Hilderic ke Constantinople. Namun, Gelimer menolak sekali gus Justinian menjadikan ia sebagai casus belli.

Sebaik sahaja situasi di Constantinople reda, Maharaja Byzantine memulakan persiapan bagi menjalankan ekspedisi ke atas Vandal. Belisarius telah diamanahkan sebagai komander dan beliau mempunyai tentera sekitar 20,000 orang. Pada Jun 533, Belisarius berlayar menuju ke Afrika. Percubaan sebelum ini untuk mengambil alih Afrika pada tahun 468 telah menemui kegagalan apabila armada Vandal memusnahkan kapal perang Rom dalam Pertempuran Cape Bon. Belisarius bernasib baik kerana kebanyakan kapal Vandal dan sekurang-kurangnya 5,000 tentera pejalan kaki musuh sedang berlayar ke Sardinia untuk mematahkan pemberontakan yang dilakukan terhadap Gelimer.

Tentera Rom telah mendarat di tempat sejauh 150 kilometer dari ibu kota Kerajaan Vandal, Carthage. Mereka kemudian terus mara bersama-sama melalui jalan darat dan jalan air sepanjang laluan pesisiran. Penduduk kota yang menganggap tentera Belisarius sebagai orang tempatan telah membuka pintu gerbang kota untuk membenarkan mereka masuk. Keperluan telah dibekalkan kepada tentera Rom oleh penduduk tempatan dengan tanpa ada sebarang halangan. Tentera Rom tiba di Carthage dan ia amat memeranjatkan Gelimer. Pada masa itu, Gelimer sedang menuju ke arah selatan untuk menentang pemberontak Moor tetapi beliau terpaksa berhenti dan berpatah balik menuju ke ibu kotanya. Beliau kemudian mengarahkan hukuman mati ke atas raja Vandal sebelum ini, Hilderic dan tahanan penjara yang lain.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Tentera Vandal telah dibahagikan dengan 6,000 tentera di bawah pimpinan abang Gelimer, Ammatas di dalam kota Carthage dan 9,000 tentera bersama dengan Gellimer. Gelimer mengarahkan abangnya untuk keluar daripada kota itu dan menyekat tentera Rom di pos kawalan kesepuluh yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin sebagai Ad Decimum. Sementara itu, Gelimer semakin menghampiri kawasan itu. Beliau menugaskan anak saudaranya, Gibamund untuk memimpin 2,000 kavalri untuk menjaga laluan ke arah barat melalui daratan garam sekali gus meninggalkan Gelimer bersama dengan 7,000 tentera. Kelihatan Vandal mempunyai dua pilihan sama ada memberi bantuan ketenteraan kepada tentera yang ada di dalam Carthage atau melakukan serangan daripada sudut yang lain. Malangnya bagi Vandal kerana kawasan berbukit telah membataskan pemandangan mereka dan koordinasi antara pasukan turut terjejas.

Di pihak tentera Rom, ianya tidak jelas bahawa jika Belisarius sedia maklum tentang pergerakan musuh sebelum ini atau beliau hanya mengambil langkah berwaspada seperti biasa. Namun, beliau telah menghantar 600 tentera foederati Hun menuju ke daratan garam dan 300 pengawal bucellarii yang dipimpin oleh John orang Armenia untuk meninjau laluan sempit yang berada di hadapan. Saki baki tenteranya pula yang seramai 5,000 kavalri dan 10,000 infantri hanya mengekalkan posisi di kawasan pesisir pantai. Sementara itu, pemangsa bertukar menjadi mangsa. Tentera Vandal yang berada di situ tidak menjangkakan serangan musuh. Sebaik sahaja tentera Hun ini mengesan kelibat kavalri Gibamund, tentera Vandal telah kehilangan kekuatan mereka dan menjadikan majoriti 2,000 terkorban di tempat kejadian. Hampir-hampir pada masa yang sama, John yang mengetuai bucellarii datang menuju kepada tentera Ammatas yang juga sekali lagi tidak menjangkakan serangan musuh. Laluan yang sempit hakikatnya telah membantu 300 bucellarii. Mereka membawa peralatan berat daripada mana-mana musuh yang pernah mereka bertembung dan merupakan veteran bagi kempen pertempuran yang tidak terhingga di wilayah barat. Jadi, mereka mara ke arah tentera Vandal. Ammatas telah terkorban dalam tempoh masa yang sangat awal dan ia sama sekali mengganggu semangat tentera-tenteranya. Vandal cuba melepaskan diri tetapi mereka dikejar oleh tentera Rom.

Belisarius telah melepaskan sebuah kumpulan tentera kecil berjumlah 800 orang untuk memerhati keadaan yang terjadi kawasan berlaluan sempit tadi. Setelah melihat mayat-mayat tentera Vandal yang bergelimpangan, tentera tersebut menuruni bukit menuju ke arah selatan untuk menentukan laluan mereka yang seterusnya. Gelimer berjaya melakukan gerakan tanpa disedari oleh Belisarius lalu mara untuk menguasai laluan itu. Tenteranya dengan pantas menewaskan tentera Rom yang kecil sebelum mereka beredar ke kem. Pemimpin Vandal itu terkejut melihat abang dan ramai saudaranya telah mati dibunuh. Beliau merumuskan bahawa tentera Rom kini berada di arah utara dari kedudukannya. Gelimer merancang untuk bergerak ke utara bagi memerangkap musuhnya yang disangkakan ada di laluan itu. Tentera Rom yang berundur ke kem dan mereka telah dipersoalkan oleh Belisarius. Sebaik sahaja beliau mendapati tentera Gelimer berada di situ, beliau mengarahkan semua tenteranya melancarkan serangan. Tentera Vandal pula tidak melakukan sebarang persiapan untuk menghadapi apa-apa tentangan dari arah selatan dan seramai 15,000 tentera Rom memberi tekanan ke atas mereka menuju ke arah barat. Gelimer berjaya melepaskan diri untuk melakukan penentangan pada masa akan datang. Akan tetapi, pertempuran ini berakhir dengan kemenangan muktamad Rom.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Vandal menghadapi kerugian nyawa seramai ribuan orang berbanding dengan Rom yang hanya mencatatkan beratus-ratus korban. Tentera Rom memasuki Carthage pada 15 September 533 dan Belisarius berjaya menghalang tentera-tenteranya daripada terus menjarah kota itu. Sementara itu, Gelimer bergabung dengan puak Vandal yang bertaburan sebelum mereka disertai oleh abangnya, Tzazo yang berjaya mengembalikan Sardinia berada di bawah kawalan Kerajaan Vandal. Buat selama beberapa minggu, Belisarius mengarahkan pembaikian benteng-benteng kota dan mengirim utusan kepada orang Moor untuk memperoleh sokongan. Pada masa yang sama, Gelimer cuba menghasut penduduk Carthage dan tentera Rom supaya berpaling tadah. Vandal juga telah memotong bekalan air kepada kota Carthage sekali gus memaksa tentera Rom untuk menyerang mereka dan Pertempuran Tricamarum tercetus.

Hal ini telah membawa kepada kejatuhan Kerajaan Vandal. Penguasaan Rom ke atas Afrika, Sardinia, Corsica dan sebahagian pulau Sicily telah dibentuk semula. Perinciannya tidak diketahui tetapi beberapa sumber telah mendakwa bahawa Maharaja Justinian takut akan kemungkinan Belisarius mendirikan kerajaannya sendiri. Jadi, jeneral itu telah dipanggil pulang ke Constantinople dan disambut sebagai pemenang.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ name=":0"
  2. ^ Anthony Brogna (1995), the Generalship of Belisarius
  3. ^ name=":0"

Bacaan tambahan[sunting | sunting sumber]

Koordinat: 36°45′00″N 10°20′00″E / 36.7500°N 10.3333°E / 36.7500; 10.3333