Pertempuran Cyzicus (73 SM)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pertempuran Cyzicus
Sebahagian daripada Perang Mithridates Ketiga

Peta Pengepungan Cyzicus oleh Pontus
Tarikh73 SM
Lokasi
Keputusan Kemenangan Rom
Pihak yang terlibat
Republik Rom Kerajaan Pontus
Komandan dan pemimpin
Lucius Licinius Lucullus Mithridates VI dari Pontus
Kekuatan

Appian: 30,000 infantri dan 1,600 kavalri[1]


Plutarch: 30,000 infantri dan 2,500 kavalri[2]
300,000[3] kemungkinan termasuk pengikut kem
Kerugian dan korban
sangat sedikit sangat tinggi

Pertempuran Cyzicus tercetus pada tahun 73 Sebelum Masihi (SM) antara tentera Mithridates VI dengan tentera Rom yang bersama dengan penduduk kota Cyzicus di Mysia yang berada di bawah pimpinan Lucius Licinius Lucullus. Pertempuran ini pada hakikatnya merupakan satu pengepungan dan telah berakhir dengan kemenangan muktamad Rom.[4]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Perjanjian damai yang dimeterai di Dardanos pada tahun 85 SM yang goyah tidak bertahan lama. Setelah Lucius Cornelius Sulla mengundur diri, kawasan Phrygia, Galatia dan Cappadocia serta legiun-legiun Rom di kawasan itu diletakkan di bawah pimpinan jeneral kepercayaan Sulla, Lucius Licinius Murena. Sementara itu, apabila kawasan wilayah Mithridates melancarkan pemberontakan, Mithridates mula mendirikan sebuah angkatan tentera dan tentera laut yang baru. Jeneral pilihan Mithridates iaitu Archelaus yang telah kalah dalam beberapa siri pertempuran dengan Sulla sebelum ini berasa takut akan perjalanan kehidupannya lalu beliau berpaling tadah kepada Murena. Archelaus kemudiannya menyemarakkan lagi rasa takut jeneral Rom terhadap Mithridates setelah beliau mendakwa bahawa Mithridates akan merancang untuk mencabuli perjanjian damai. Jadi pada tahun 83 SM, Murena menyerang wilayah Pontus di sempadan Cappadocia dan beliau berjaya menguasai beberapa buah kota. Mithridates telah menghantar utusan untuk memohon rundingan damai tetapi ia telah diabaikan. Perkara ini telah mencetuskan konflik yang dikenali sebagai Perang Mithridates Kedua. Murena menyerang wilayah Pontus sekali lagi pada tahun 82 SM manakala Mithridates telah menghantar jeneralnya, Gordius untuk menyerang dan menjarah wilayah-wilayah di Asia Kecil. Kedua-dua pihak ini kemudiannya bertembung dalam Pertempuran Halys tetapi dimenangi oleh angkatan tentera Mithridates.

Setelah kekalahan itu, Murena menerima pesanan daripada Sulla yang mengarahkannya untuk menamatkan peperangan dan berdamai dengan Pontus. Beliau menturuti arahan tersebut manakala Mithridates pula memulihkan kedudukannya. Beberapa kerajaan kecil mula menyanjung dirinya semula. Raja Pontus itu menggunakan tempoh masa ini untuk menundukkan rusuhan di Colchis sebelum beliau kembali ke ibu kota Sinope. Kemudian, beliau menghantar duta ke Rom untuk menandatangani perjanjian damai secara rasmi. Sementara itu, Raja Cappadocia yang telah dilantik oleh Rom iaitu Ariobarzanes telah merungut kepada Sulla bahawa Mithridates masih lagi menduduki tanah-tanah di Cappadocia. Mithridates berasa berat hati untuk melepaskan wilayah tersebut. Namun apabila Sulla mengarahkan beliau untuk melepaskan wilayah-wilayah itu, Mithridates mematuhi desakan tersebut kerana beliau ingin mengelakkan daripada tercetusnya sebuah konflik baru. Walau bagaimanapun pada tahun 78 SM, Sulla telah meninggal dunia dan ia telah mengubah keseimbangan kuasa di rantau ini sekali lagi. Mithridates juga sekali lagi meminta menantunya yang merupakan Raja Armenia, Tigranes II untuk menceroboh Cappadocia untuk mengelakkan dirinya daripada dilabel sebagai seorang penceroboh.

Di kala peristiwa ini berlaku di Asia, terdapat seorang komander Rom telah mencetuskan pemberontakan di Hispania. Komander itu bernama Sertorius telah berperang menentang Senat menyebabkan sebahagian besar tentera Rom bergegas ke kawasan itu untuk menentangnya. Pengikut-pengikut Sertorius telah datang ke Sinope dan mencadangkan kepada Mithridates supaya bekerjasama. Sertorius kemudian menghantar beberapa orang penasihat untuk membantu Pontus. Namun begitu, alasan utama peperangan ini akan bermula ialah Raja Bithynia, Nicomedes IV yang tidak mempunyai pewaris telah menjadikan Rom sebagai penerus takhtanya. Mithridates pula tidak membenarkan Rom untuk terus menambahkan pengaruhnya di rantau itu. Jadi apabila Nicomedes mangkat pada tahun 74 SM, konflik yang baru tidak dapat dielakkan lagi.

Pada tahun yang sama, Mithridates memulakan kemaraannya dan beliau menceroboh Bithynia sekali lagi. Sementara itu, dua orang bekas konsul iaitu Lucius Licinius Lucullus dan Marcus Aurelius Cotta masing-masing telah dilantik menjadi gabenor Asia Kecil dan Bithynia. Mereka merangka rancangan iaitu Lucullus akan menyerang Pontus dari Asia Kecil melalui jalan darat manakala Cotta memimpin armada kapal di kawasan-kawasan persisiran pantai. Sambil menunggu Lucullus, Cotta telah mengumpulkan armada-armadanya di Chalcedon tetapi ia agak perlahan. Armada Pontus telah menghalang kapal Rom di pelabuhan sebelum mereka terus memusnahkan kapal Rom dan menawan ramai yang lain. Perkara ini telah membolehkan Mithridates tidak tertekan dengan apa-apa ancaman. Beliau telah meninggalkan sedikit tentera dan armadanya berhampiran Tenedos untuk menghalang sebarang usaha bantuan ketenteraan Rom. Beliau kemudian mara dan mengepung kota pesisir, Cyzicus.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 73 SM, Lucullus pergi menuju ke rantau itu. Beliau kini mempunyai tiga pasukan legiun yang berada di bawah pimpinannya dan mempunyai tentera sekutu sekali gus menghasilkan jumlah kekuatan tenteranya seramai 30,000 infantri dan 2,000 kavalri. Lucullus dengan pantasnya menewaskan tentera Mithridates yang telah ditinggalkan di Tenedos sebelum beliau meneruskan kemaraan ke Cyzicus untuk berhadapan dengan tentera Pontus. Walau bagaimanapun, hanya terdapat sebuah kawasan lembah yang sempit dari arah barat dan Mithridates perlu menempatkan sebuah pasukan pengawal yang kuat di sana. Namun setelah Sertorius dibunuh di Hispania, penasihat yang dihantar oleh beliau itu bercita-cita ingin memulihkan kedudukannya semula di Rom dan mereka juga mula berhubung dengan Lucullus secara subversif. Penasihat itu berhasil meyakinkan Mithridates bahawa beliau perlu membenarkan tentera-tentera Rom melewati kawasan lembah dengan alasan dua daripada legiun mereka telah bersiap sedia untuk meloloskan diri. Namun, ia hakikatnya merupakan satu penipuan. Pasukan pengawal Pontus yang telah ditempatkan di situ meninggalkan kawasan lembah sebelum ia diambil alih oleh legiun Rom dan berkubu berhampiran kem Pontus. Oleh itu, Rom berjaya menyekat saluran bantuan kepada Mithridates melalui jalan laut. Malangnya, beliau mempunyai kekuatan tentera sejumlah lebih 50,000 tentera di bawah pimpinannya membuatkan beliau tetap meneruskan pengepungan.

Raja Mithridates pada awalnya ingin menyerahkan 3,000 tahanan Cyzicus yang berada di dalam kapal perang beliau. Jadi, penduduk kota ingin membawa tahanan tersebut masuk ke dalam kota tetapi usaha tersebut gagal. Kemudian, dua menara gergasi telah dibina di atas kapal-kapal perang Pontus sebelum ia menghampiri tembok pertahanan kota dan membuat jambatan penghubung. Tentera Pontus tanpa menghadapi sebarang rintangan dapat memasuki kota Cyzicus. Pasukan pertahanan kota berasa terkejut melihat peranti yang digunakan oleh musuh dan kemasukan tentera Pontus berhasil pada mulanya. Namun, tentera Pontus menerima asakan hebat daripada pasukan pertahanan dalam kota sebelum mereka dipaksa untuk keluar dan beredar. Sementara itu, tentera Pontus yang melancarkan serangan dari darat yang menggunakan menara kepung dan pelantak telah berjaya dihalang oleh pasukan pertahanan sebanyak tiga kali sehari. Akhirnya pada waktu petang, terdapat satu bahagian pada tembok kota telah rosak dan membolehkan tentera penyerang melangkah masuk. Akan tetapi, pasukan pertahanan telah membina sebuah kubu pertahanan yang dibuat secara terancang di belakang tembok kota. Serangan Pontus kali ini telah menemui kegagalan.

Kemudian, alat-alat untuk tujuan pengepungan milik Mithridates telah rosak dan musnah akibat dipukul ribut yang kuat. Pada masa ini, Mithridates memutuskan bahawa pasukan kavalrinya tidak berguna dalam pengepungan ini sebelum mereka diarahkan pergi untuk menyelamatkan bekalan-bekalan. Walau bagaimanapun, tentera Rom yang menunggu dari kawasan bukit bertindak menyerang pasukan kavalri tersebut yang sedang menyeberangi sungai. Tentera Rom dapat membunuh dan menawan ramai tentera musuh. Bekalan tidak dapat sampai kepada tentera Pontus semasa menjelangnya musim sejuk sekali gus ramai tentera telah mati akibat kebuluran dan wabak penyakit.

Dengan melihat kejadian ini, pasukan pertahanan telah melancarkan serangan mengejut terhadap tentera Pontus dengan kerap. Perkara ini telah memaksa Mithridates untuk meninggalkan pengepungan. Pada awal tahun 72 SM, Raja Mithridates telah meninggalkan medan pengepungan dengan menaiki armada lautnya manakala saki baki tenteranya yang lain berundur melalui jalan darat. Ramai tentera Pontus ini telah terkorban semasa menyeberangi sungai. Lucullus juga menyerang tentera Pontus di situ sehingga menyebabkan ramai tentera musuh terkorban.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Lucullus terus mara untuk menentang Mithridates apabila kedua-dua pihak meraih kemenangan dan kekalahan dalam beberapa pertempuran kecil. Mithridates terpaksa mencari perlindungan ke Armenia di timur bersama dengan hanya 2,000 kavalri manakala tentera Rom dapat menawan beberapa kota penting di Kerajaan Pontus sebelum mereka akhirnya menguasai ibu kota Pontus, Sinope beberapa minggu kemudian. Pada tahun 71 SM, sebahagian besar kawasan Anatolia berada di bawah pemerintahan Rom.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Appian, Mithridatica, XI.72.
  2. ^ Plutarch, Life of Lucullus, 8.
  3. ^ Plutarch, Life of Lucullus, 8.
  4. ^ Appian, Mithridatica, 74; Plutarch, Life of Lucullus, 9-12.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Jaques, Tony (2006). Dictionary of Battles and Sieges. Greenwood. m/s. 279. ISBN 978-0-313-33536-5.
  • Rickard, J. Military History Encyclopedia on the Web. "Siege of Cyzicus, 73 B.C." Accessed 3 Sept 2011.
  • Philip Matyszak, Mithridates the Great, Rome's Indomitable Enemy, pp 106-113
  • Lee Fratantuono, Lucullus the Life and Campaigns of a Roman Conqueror, pp 55–62.