Pertempuran Nisibis (217)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pertempuran Nisibis
Sebahagian daripada Peperangan Rom-Parthia
Tarikh217
Lokasi
Keputusan Kemenangan Parthia[1]
Pihak yang terlibat
Empayar Parthia Empayar Rom
Komandan dan pemimpin
Artabanus IV Macrinus
Kekuatan
Tidak diketahui Tidak diketahui
Kerugian dan korban
Ramai Ramai

Pertempuran Nisibis tercetus pada musim panas 217 Masihi antara tentera Empayar Rom yang dipimpin oleh maharaja yang baru ditabalkan, Macrinus dan tentera Parthia yang diketuai oleh Raja Artabanus V. Pertempuran ini berlangsung selama tiga hari dan berkahir dengan kemenangan berdarah Parthia selain kedua-dua pihak menanggung kerugian yang tinggi. Hasilnya, Macrinus dipaksa untuk melakukan rundingan damai dan membayar pampasan yang besar kepada Parthia serta menamatkan pencerobohan ke atas Mesopotamia yang telah dilakukan oleh Caracalla pada satu tahun yang lalu.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Empayar Rom yang telah menempuh zaman kegemilangannya selama dua kurun kini mula mengalami kemerosotan pada tahun 192 Masihi. Pada penghujung tahun itu, Maharaja Commodus yang tidak siuman telah dicekik sehingga mati sekali gus menandakan pengakhiran kemegahan dinasti Nerva-Antonine. Peristiwa ini diikuti oleh Tahun Lima Maharaja. Memasuki tahun 193, praefectus urbi iaitu Pertinax telah diumumkan sebagai maharaja baru. Malangnya, beliau gagal untuk meredakan kemarahan daripada pihak tentera dan pengawal Praetoria sebelum beliau dibunuh tidak lama kemudian. Seterusnya, berlaku satu pelelongan empayar yang terkenal dan memalukan sama sekali apabila Didius Julianus telah membeli jawatan maharaja pada Mac 193. Pemerintahannya tidak bertahan lama setelah tercetusnya perang saudara apabila pejabat empayar telah dituntut oleh tiga orang komander. Clodius Albinus menuntut kemaharajaan di Britain dan Gaul Pescennius Niger di Syria dan Septimius Severus di Illyrium dan Pannonia. Konflik pertama yang menyala ialah antara Niger dan Severus selepas Byzantium telah diduduki oleh Niger. Namun, tentera Severus di bawah arahan Publius Cornelius Anullinus dengan pantasnya mendapatkan kelebihan sebelum mereka meraih kemenangan muktamad dalam pertempuran di Issus pada tahun 194. Kemudian, Niger telah ditawan dan dihukum mati. Setelah meninggalkan Byzantium yang berada dalam pengepungan, Severus sendiri mengalihkan tumpuannya terhadap kerajaan-kerajaan di timur yang menyokong Niger iaitu Osrhoene dan Adiabene. Pada musim bunga tahun 195, Sepimius Severus berarak menuju terus ke Nisibis sebelum beliau meraih kemenangan dan berhasil menjadikan Osrhoene sebagai wilayah Rom. Pada masa yang sama, beliau juga memelihara hubungan baik dengan sebuah kuasa besar yang terletak di sempadan timur Rom, Parthia.

Perang saudara Rom yang bermula selepas kemangkatan Commodus akhirnya tamat apabila Severus menuju ke barat dan memenangi pertempuran penting ke atas Clodius Albinus di Lugdunum yang kini dikenali sebagai Lyon pada Februari 197. Selepas berjaya menyelesaikan kemelut dalaman, Severus kini berwaspada akan peluang di timur yang beliau tidak dapat menolak. Pada tahun 197, keadaan dalaman Empayar Parthia menjadi berpecah-belah berikutan pemberontakan yang melanda sama seperti situasi di Rom. Perkara ini segera dimanfaatkan oleh Rom. Semasa Severus menceroboh Parthia pada tahun 197, kelemahan kerajaan Parthia membuatkan Raja Vologases V berundur sebelum pasukan legiun Rom meneruskan kemaraan. Selepas mereka tiba di Nisibis sekali lagi, tentera Rom yang besar ini berlayar melalui Sungai Euphrates sambil menghadapi sedikit penentangan sebelum mereka berjaya menawan Seleucia, Babylon dan menjarah ibu kota Ctesiphon. Walaupun kempen Severus di timur dilihat mencapai kejayaan yang mengagumkan serta membawa kepada penubuhan wilayah Mesopotamia, Cassius Dio menyatakan kempen tersebut sebagai sesuatu yang 'mahal, memusnahkan dan bahkan berbahaya'.

Selepas kempen itu, pengaturan dinasti diraja yang baru telah dilakukan. Anak sulung Severus iaitu Caracalla merupakan seorang 'calon maharaja' menggunakan gelaran Augustus manakala anak bongsunya pula, Geta diumumkan sebagai Caesar. Memasuki dekad berikutnya, Geta turut memperoleh gelaran Augustus semasa Rom melalui keadaan yang stabil. Pada masa yang sama, Septimius Severus meninggal dunia di York pada Februari 211 semasa beliau sedang menjalankan kempen menentang Pict. Beliau juga berharap agar kedua-dua anaknya akan menggantikannya sebagai maharaja bersama. Kebersamaan ini dengan pantasnya terurai walaupun balu Julia Domna cuba untuk menyatukan keluarganya bersama-sama. Caracalla menjadi hilang sabar dengan larangan yang dikuatkuasakan terhadapnya serta pengaruh penasihat bapanya. Situasi yang tegang ini terus memuncak apabila dua beradik ini iaitu Geta dan Caracalla mempunyai orang istana, penasihat dan bahagian sendiri dalam istana empayar. Sejarawan Herodian mencatatkan bahawa bahkan terdapat rancangan untuk membahagikan empayar kepada timur dan barat tetapi ia telah dihalang oleh Julia. Keadaan ini jelas tidak berpanjangan lagi dan berakhir pada 26 Disember 211 apabila Caracalla bersama ibunya mengadakan pertemuan antara dua beradik ini. Semasa perjumpaan, anak yang sulung iaitu Geta telah dibunuh. Tindakan yang kejam ini diikuti oleh penyingkiran penyokong-penyokong Geta yang telah menggentarkan Senat. Caracalla terpaksa meminta bantuan Praetoria dan pihak tentera untuk menjamin keselamatan kerajaannya. Perkara ini kemudiannya menjadi satu trend dalam pemerintahannya.

Sama seperti "maharaja tentera" yang muncul nanti, Caracalla tidak disukai oleh Senat tetapi beliau berasa selesa dengan tentera-tenteranya. Walaupun menghadapi banyak kegagalan, kempen menentang puak Alemanni telah bermula pada tahun 213. Selepas berjaya mengalahkan puak itu, Caracalla mara menuju ke Sungai Rhine dan bertembung dengan puak Chatti. Beliau kemudiannya diisytiharkan sebagai Imperator yang bermaksud 'jeneral yang berjaya' ekoran kemenangannya dalam kempen ini. Akan tetapi, penyakit yang melandanya memaksa Caracalla perlu berundur ke Rom sebaik sebelum kempennya ditamatkan. Selepas beralih sembuh, Maharaja Rom itu menjelajah ke barisan Sungai Danube pada tahun 214 yang berkemungkinan untuk menyingkirkan puak-puak tempatan di kawasan itu. Perincian tentang peristiwa yang berlaku di sana tidak jelas tetapi tahanan-tahanan perang telah dibawa ke Rom. Pada musim bunga tahun 215, Caracalla menuju ke arah timur dan mendirikan ibu pejabat di kota raya Antokiah untuk memulakan penyelesaikan kepada masalah pentadbiran di timur. Beliau menyelesaikannya seperti kebiasaan tetapi ia berakhir dengan pembunuhan beramai-ramai penduduk Iskandariah semasa lawatannya ke Mesir.

Pertikaian Rom dan Parthia[sunting | sunting sumber]

Syiling Raja Artabanus.

Hubungan yang tegang antara Rom dan Parthia dapat dilihat apabila isu takhta Armenia dibangkitkan. Caracalla meneruskan amalan tradisi Rom dengan menobatkan seorang calon untuk memegang takhta tersebut serta merosakkan rancangan Parthia untuk bercampur tangan. Tepat pada masanya apabila Artabanus IV melancarkan pemberontakan ke atas Maharaja Vologases VI yang memerintah dari Ctesiphon. Artabanus yang juga merupakan adik kepada Vologases berjaya menguasai Media dan Susiana. Kekacauan dalaman Parthia memberikan peluang terbaik kepada Caracalla untuk memanfaatkan sebaiknya. Maharaja Rom itu kemudiannya memihak kepada Artabanus dan bahkan beliau menawarkan anak perempuannya kepada Artabanus untuk dikahwinkan. Apabila tawaran itu ditolak, Rom merangka helah mereka yang bertujuan untuk menakut-nakutkan musuh. Jadi, mereka telah menceroboh Mesopotamia pada tahun 216. Percubaan mereka untuk menundukkan Armenia pula telah menemui kegagalan berikutan tercetusnya pemberontakan anti-Rom.

Hasrat Caracalla untuk keadaan di timur tidak jelas tetapi apapun rancangannya, beliau telah kecewa sebelum dibunuh pada April 217 oleh seorang pegawai Praetoria yang bernama Macrinus. Macrinus seterusnya merampas kuasa untuk kepentingan dirinya oleh kerana keperluan dan desakan mengenai krisis yang akan mendatang. Artabanus sedang menghampiri tentera Rom dengan membawa angkatan tentera yang besar untuk membalas dendam bagi pihak Parthia atas kematian Caracalla yang telah dibunuh di saat tempoh keamanan.

Komposisi tentera[sunting | sunting sumber]

Tentera Artabanus yang berarak untuk berperang dengan Rom lazimnya orang Parthia. Sama seperti Pertempuran Carrhae yang tercetus pada dua kurun yang lalu, tentera Parthia hampir semuanya terdiri daripada pemanah berkuda yang mempunyai pergerakan dan bidikan yang baik. Jumlah unit ini yang tepat tidak diketahui tetapi besar kemungkinan tentera Artabanus kebanyakannya terdiri daripada pemanah berkuda ringan dan kavalri berat kataphract kecil yang digunakan oleh golongan bangsawan. Tambahan lagi, Herodian melaporkan terdapat unit penunggang unta Arab dalam tentera Parthia yang bersenjatakan lembing daripada belakang unta.

Tentera Rom yang sering kali menelah telah bergantung kepada pasukan legiun iaitu infantri berat yang hebat sebagai jantung pasukan mereka di Nisibis. Pasukan ini telah disokong oleh pasukan kavalri dan auxilia Moor dari bahagian sayap. Jurang di antara unit kohort itu telah diletakkan pasukan infantri ringan yang dapat melakukan serangan maju ke hadapan dan berundur ke dalam formasi infantri berat yang selamat jika perlu. Jumlah tentera bagi kedua-dua pihak ini dalam Pertempuran Nisibis tidak diketahui tetapi difahamkan jumlah tentera Parthia sedikit mengatasi jumlah tentera musuh.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Setelah terbitnya matahari pada tarikh yang tidak diketahui pada tahun 217 Masihi, tentera Parthia melakukan upacara penghormatan kepada dewa matahari mereka, Mithra. Dengan sorakan yang kuat hingga memekakkan telinga, Parthia memulakan serangan ke atas barisan tentera Rom. Sambil berada di kedudukan bertahan, barisan hadapan Rom yang terdiri daripada legiun dan auxilia telah menghadapi serangan anak panah daripada pemanah berkuda Parthia. Semasa pemanah berkuda Parthia sedang berlegar-legar menyorongkan serangan itu, kataphract dan penunggang unta menghentam musuh secara langsung. Parthia bertempur dengan lebih baik dalam lingkungan jarak ini dengan berjaya mengorbankan ramai tentera musuh melalui serangan bertubi-tubi mereka. Namun, apabila kedua-dua pihak ini semakin menghampiri antara satu sama lain, infantri berat Rom menyingkirkan tentera ringan musuh dengan mudah. Setelah menyedari bahawa pertempuran tangan tidak akan mendatangkan kelebihan kepada mereka dalam titik pertempuran ini, Parthia mula berundur menuju ke satu jarak yang membolehkan senjata misil dan taktik kavalri mereka dapat digunakan semula.

Apabila tentera pemanah berkuda melepaskan serangan anak panah dan penunggang unta melontarkan lembing masing-masing, tentera Rom kini menggunakan taktik pintar mereka. Setelah mereka mula menghadapi kehilangan angka korban yang mendadak, tentera Rom telah berpura-pura berundur menuju ke arah belakang sambil infantri Rom melontarkan duri besi dan pasak untuk membunuh pemanah berkuda musuh. Dalam bentuk muka bumi yang berpadang pasir, halangan ini dengan pantasnya menjadi kabur disebabkan oleh pasir menyebabkan tentera Parthia tidak dapat melihatnya sewaktu sedang mara. Semasa mereka sedang melepasi kancah halangan ini, kuda dan unta Parthia melemparkan penunggang-penunggangnya lalu mengakibatkan mereka kecederaan. Kemudian, legiun Rom segera beralih dan mara menyerang tentera Parthia yang telah terjatuh dan tidak tersusun organisasinya. Herodian menyatakan bahawa peristiwa ini merupakan siri pertempuran yang berlaku pada hari pertama dan hari kedua selain kedua-dua pihak kembali ke kem masing-masing pada waktu petang untuk menyambut dakwaan kemenangan mereka. Pertempuran itu juga menyaksikan Parthia mengenakan angka korban yang tinggi terhadap Rom manakala tentera Rom pula telah menyingkirkan habis-habisan tentera Parthia dalam pertempuran dekat.

Pada hari ketiga pertempuran, tentera Artabanus yang jauh lebih ramai cuba menggunakan tentera pemanah berkuda yang pantas untuk mengepung kohort Rom yang padat dan dibentuk secara berpanjang dan bukannya melebar. Namun, Macrinus sempat bertindak balas dengan segera dan membentuk formasi 'triplex acies' yang panjang. Sebaliknya, beliau melebarkan barisan tenteranya untuk bertembung dengan Parthia. Dengan barisan yang lebar di samping infantri ringan dan kavalri yang berkhidmat sebagai pasukan sayap, semua percubaan untuk memintas tentera Rom dapat dihalang selain ia menghasilkan angka korban yang besar pada kedua-dua pihak. Pertempuran ini berlarutan menjadi medan tentera-tentera yang terkorban dalam keadaan yang dahsyat. Pada titik itu, seluruh dataran pertempuran ini menjadi timbunan bangkai binatang dan mayat manusia. Marcinus menyedari bahawa Artabanus telah bertahan dengan kukuh dan berjuang dengan sedaya upaya. Hal ini demikian kerana Artabanus percaya yang beliau kini sedang berperang dengan Caracalla yang mengkhianatinya.

Mencari jalan untuk menamatkan pertempuran, Rom telah menghantar utusan kepada pemimpin Parthia yang memaklumkan bahawa Maharaja Rom yang menganiayanya telah meninggal dan telah dikenakan hukuman atas kesalahannya. Persahabatan telah dihulurkan kepada pemimpin Parthia dan kedua-dua pihak ini mengadakan perjanjian damai. Tahanan perang Parthia telah dibawa pulang semula dan sebanyak 200 juta sesterce telah diberikan kepada Artabanus sebagai pampasan kerugiannya yang lalu.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Macrinus tidak bertahan lama menjadi Maharaja Rom. Ibu Caracalla, Julia Domna telah meninggal dunia setelah Macrinus ditabalkan menjadi maharaja. Namun kakak kepada Julia Domna, Julia Maesa kini berkomplot untuk memulihkan kedudukan Severan bagi mendapatkan semula takhta Rom. Seorang cucu yang dikenali sebagai Elagabalus diisytiharkan sebagai maharaja oleh Legio III Gallica manakala Macrinus telah dihukum mati pada tahun 218.

Walaupun Parthia berjaya memperoleh perjanjian damai yang menguntungkan daripada Rom, pemerintahannya juga hampir berakhir ke penghujung dengan cara kekerasan. Pergolakan dalaman yang berterusan, pertikaian takhta kerajaan dan peperangan yang membinasakan dengan Rom telah melemahkan Empayar Parthia. Pada tahun 224 Masihi, Artabanus telah ditewaskan dan terbunuh dalam Pertempuran Hormozdgan. Pemenang pertempuran itu ialah Sasan yang merupakan dinasti Parsi asli didirikan oleh Ardashir I. Dalam Krisis Abad Ketiga yang akan menyusul, ancaman daripada empayar Parsi baru ini lebih hebat daripada ancaman Parthia pada sebelum ini.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ The Oxford Handbook of Iranian History, ed.Touraj Daryaee, (Oxford University Press, 2012), 178;"A Parthian counteroffensive defeated them in the battle of Nisibis"

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Koordinat: 37°04′00″N 41°13′00″E / 37.0667°N 41.2167°E / 37.0667; 41.2167