Pertempuran Panipat Pertama

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Pertempuran Panipat Pertama
Sebahagian daripada kempen penaklukan Mughal
The battle of Panipat and the death of Sultan Ibrāhīm, the last of the Lōdī Sultans of Delhi.jpg
Gambaran Pertempuran Panipat Pertama pada lewat abad ke-16.
Tarikh 20 April 1526
Lokasi Panipat
(kini di Haryana, India)

29°23′N 76°58′E / 29.39°N 76.97°E / 29.39; 76.97
Hasil Kemenangan muktamad Mughal

Penjarahan Delhi
Kejatuhan dinasti Lodi
Keruntuhan Kesultanan Delhi
Penubuhan Empayar Mughal

Perubahan
wilayah
Kesultanan Delhi ditakluk oleh Mughal
Pihak yang terlibat
Fictional flag of the Mughal Empire.svg Empayar Mughal Delhi Sultanate Flag.svg Dinasti Lodi
Komander
Fictional flag of the Mughal Empire.svg Babur Delhi Sultanate Flag.svg Ibrahim Lodi
Kekuatan
12,000[1]-25,000 tentera [2]
15-20 senapang[1]
50,000 tentera[2]
1000 gajah[3]
Korban
20,000[4]

Pertempuran Panipat Pertama berlaku pada 20 April 1526 antara tentera penceroboh pimpinan Babur dan dinasti Lodi. Pertempuran ini tercetus di utara India dan menandakan sebagai permulaan Empayar Mughal dan kejatuhan Kesultanan Delhi. Pertempuran ini juga merupakan salah satu pertempuran terawal yang menggunakan serbuk letupan dan artileri di India seperti yang diperkenalkan oleh Mughal dalam pertempuran ini.[5]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Dasar perluasan kuasa kerajaan Islam telah mengubah keseimbangan kuasa di Asia. Salah satu daripada kesannya ialah pengislaman puak-puak Turk di Asia Tengah. Kerajaan Islam sedikit sebanyak telah merosot dan puak Turk yang hidup secara nomad mula bermigrasi menuju ke semua arah. Pada pertengahan abad ke-10, kawasan utara India sentiasa diceroboh dan diserang oleh puak Turk. Pada tahun 1206, pencerobohan yang beransur-ansur ini telah membawa kepada penubuhan sebuah kerajaan yang dikenali sebagai Kesultanan Delhi di bahagian utara India. Kerajaan baru ini berjaya menangkis pencerobohan Mongol pada abad ke-12 dan awal abad ke-13. Pada tahun 1320, Kesultanan Delhi mencapai kemuncaknya apabila ia menguasai sebahagian besar India berada di bawah kekuasaannya. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh pemimpin yang tidak cekap, pemberontakan dalaman dan pencerobohan Tamerlane telah melemahkan kerajaan ini. Pada penghujung kurun ke-14, hanya bahagian utara India berada di bawah kekuasaannya. Sebuah dinasti baru yang berketurunan Afghan iaitu Lodi telah berkuasa dan memantapkan semula Kesultanan Delhi pada kurun ke-15. Namun, kerajaan itu masih berada dalam tempoh kemerosotan.

Asia Tengah berada dalam kekacauan apabila ramai pengganti kepada Tamerlane bersaing sesama mereka untuk merebut empayarnya. Salah seorang daripadanya ialah Zahīr ud-Dīn Muhammad yang hanya baru berusia sebelas tahun apabila beliau mewarisi kedudukan pemerintah kota Ferghana daripada bapanya pada tahun 1494. Penakluk ini kemudiannya dikenali sebagai Babur yang membawa maksud harimau dalam bahasa Parsi. Beliau seterusnya berjaya mengambil alih pusat kota tumpuan di kawasannya, Samarkand semasa berusia 16 tahun. Musuh-musuh Babur kemudian membalas serangan menyebabkan beliau hilang kawalan ke atas kawasan tersebut. Beliau terpaksa untuk mencari tempat perlindungan di mana-mana. Setelah menempuh pelbagai kesukaran, Babur akhirnya berjaya membentuk sebuah tentera kecil dan menguasai Kabul pada tahun 1504.

Kempen-kempen Kesultanan Delhi dan Babur.

Babur sangat bercita-cita untuk meluaskan kekuasaannya dan beliau menumpukan perhatiannya terhadap India. Pada tahun 1519, beliau telah sampai ke Sungai Chenab yang terletak di Pakistan moden. Dinasti Lodi pula sedang bergelut dengan perselisihan dalaman apabila beberapa orang perwakilannya telah memberontak ke atas Sultan Ibrahim Lodi. Mereka yang memulakan pemberontakan ini telah meminta bantuan daripada Babur yang akan nanti memulakan pencerobohannya. Kawasan Punjab bertukar tangan bergalak kali sehingga peperangan menguasai kawasan ini pada tahun 1525. Ibrahim Lodi meninggalkan Delhi pada awal tahun berikutnya dan beliau mula bergerak ke arah utara. Babur pula mara menuju ke Panipat pada 12 April. Kedua-dua belah pihak ini saling bertentang antara satu sama lain selama lapan hari dan pertempuran yang akan menentukan nasib kawasan ini berlaku pada 20 April 1526.

Komposisi tentera[sunting | sunting sumber]

Tentera Babur terdiri daripada suku Turk, Mongol, Parsi dan Afghan. Pasukan tentera ini terdiri daripada tentera yang berpengalaman yang telah dibentuk semenjak kempen awal Babur menjadikan semua tentera merasa yakin dan saling memahami antara satu sama lain sepanjang dekad. Tentera pemanah berkuda serta pasukan pemanah Turk-Mongol yang menggunakan busur campuran membentuk pasukan utama manakala infantrinya pula terdiri daripada pemanah pejalan kaki yang juga menggunakan busur campuran dan senapang. Babur juga memiliki 20 buah meriam. Beliau memperoleh senjata serbuk letupan sama ada daripada Uthmaniyah atau Safawiyah menurut sumber-sumber berbeza. Namun, taktik dan tentera Babur merupakan campuran dua gaya ketenteraan luar iaitu Uthmaniyah dan Timuriyah.

Sementara itu, tentera Kesultanan Delhi terdiri daripada tentera bergajah dan kavalri. Tentera ini bercorakkan feudal dan tidak mempunyai unit yang menggunakan serbuk letupan. Tentera Ibrahim Lodi di Panipat dianggarkan seramai 50,000 tentera dan 400 ekor gajah. Kemungkinan 25,000 daripadanya merupakan kalavri berketurunan Afghan manakala baki tentera yang lain merupakan tentera kerahan dan tentera upahan yang membentuk pasukan infantri.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Babur meletakkan pasukan kavalri di barisan kedua dan ia telah dibahagikan kepada tiga kumpulan. Pasukan sayap kanannya ditempatkan mengadap ke kota Panipat dan pasukan sayap kirinya pula dilindungi oleh parit dan pasak. Beliau bersama pengawalnya berada di pasukan tengah kavalri. Barisan pertama tentera Babur terdiri daripada infantri dan terdapat wagon disusun di hadapan mereka. Wagon tersebut berperanan sebagai kubu bagi pasukan pemanah dan tentera bersenapang memerlukan sudut dongakan. Terdapat jurang antara setiap wagon bagi membolehkan meriam melepaskan tembakan.

Tentera Ibrahim Lodi meletakkan tentera bergajah di pasukan hadapan manakala kavalri pula di barisan kedua serta infantri mengisi barisan yang ketiga. Sultan bersama 5,000 orang pengawal berada di pasukan belakang. Beliau pasti jumlah tenteranya akan menentukan hari pertempuran ini. Jadi, beliau mengarahkan semua tenteranya melancarkan serangan secara langsung. Gajah-gajah yang berada di hadapan menghadapi ketakutan apabila mendengarkan bunyi yang asing daripada meriam Mughal. Gajah tersebut terus berhenti sekali gus merencatkan serangan ini. Pasukan sayap kiri Ibrahim cuba untuk menyerang pasukan sayap kanan musuh tetapi pasukan tengah musuh kemudian datang memberikan bantuan lalu menjadikan serangan ini dapat dihalang.

Oleh kerana gajah-gajah dari pasukan Lodi sama ada terbunuh ataupun lari bertempiaran, ia telah memperlihatkan perintah sultan telah hilang dan Babur meghantar pasukan sayap kiri dan sayap kanannya untuk cuba menyepit masuk ke dalam tentera musuh. Perkara ini memaksa pasukan sayap kiri dan sayap kanan musuh juga beralih terhadap pasukan kavalri Babur. Secara tidak langsung, pasukan tengah musuh terdedah kepada serangan daripada pasukan penembak dan artileri Babur yang ditempatkan di belakang wagon. Kemudian, Babur sendiri turun ke medan pertempuran bersama pengawalnya. Tentera Lodi kini berada dalam kepungan yang sukar. Sultan Ibrahim Lodi mara ke hadapan untuk menaikkan semangat juang tenteranya tetapi ia terlalu lewat untuk mengubah skrip pertempuran ini apabila sultan tersebut akhirnya terkorban. Pertempuran berakhir ke penghujungnya.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Tentera Kesultanan Delhi telah kehilangan nyawa seramai lebih 20,000 orang dan menandakan pengakhiran kerajaan itu. Manakala Babur yang menubuhkan Empayar Mughal bagi menggantikan kerajaan itu hanya menghadapi sedikit kerugian nyawa. Delhi kini berada di bawah kawalan Babur. Pada tahun 1527, beliau meraih kemenangan penting menentang puak Rajput setempat di Khanwa. Kejayaan ini sekali lagi membuktikan keunggulan senjata dan taktik peperangan Mughal. Kebanyakan kawasan utara India berada di bawah pengaruh Mughal juga.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Watts 2011, m/s. 707.
  2. ^ a b Chandra 2009, m/s. 30.
  3. ^ Haryana Government.
  4. ^ Davis 1999, m/s. 181, 183-184.
  5. ^ Butalia 1998, m/s. 16.

Sumber[sunting | sunting sumber]

  • Butalia, Romesh C. (1998). The Evolution of the Artillery in India: From the Battle of Plassey to the Revolt of 1857. Allied Publishing Limited.
  • Chandra, Satish (2009). Medieval India: From Sultanat to the Mughals, Part II. Har-Anand Publications. ISBN 9788124110669.
  • Chaurasia, Radhey Shyam (2002). History of medieval India : from 1000 A.D. to 1707 A.D. Atlantic Publisher.
  • Davis, Paul K. (1999). 100 Decisive Battles: From Ancient Times to the Present. Oxford University Press. ISBN 1-57607-075-1.
  • Mahajan, V.D. (1980). History of medieval India (ed. 10th). S. Chand.
  • Watts, Tim J. (2011). Mikaberidze, Alexander (penyunting). Battles of Panipat. Conflict and Conquest in the Islamic World: A Historical Encyclopedia. ABC-CLIO.
  • Government of Haryana (11 June 2010). "First Battle of Panipat (1526) | Panipat, Haryana". Government of Haryana. Dicapai pada 28 November 2018.