Semah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Upacara semah merujuk kepada perbuatan menyediakan persembahan acak dengan matlamat mengelakkan berlakunya gangguan yang melibatkan jin-jin yang menghuni tempat berkenaan, ataupun dari luar, atau daripada gangguan angkara manusia dengan bantuan jin-jin yang diistilahkan sebagai sihir.

Selain itu, upacara semah turut dilaksanakan apabila pesakit yang berubat melalui kaedah tradisional sembuh. Ini dianggap sebagai memenuhi perjanjian yang telah dipersetujui oleh orang yang melakukan rawatan dan jin-jin yang dikatakan membantu manusia yang dilakukan dalam keadaan menurun, ataupun melalui persembahan teater tradisional, yang juga melibatkan menurun.

Jin yang merasuk pesakit dipujuk dan dijanjikan imbuhan makan (acak) kalau ia sudi keluar dan tidak mengganggu pesakit. Tujuan lain ialah sebagai tanda berterima kasih kepada makhluk ini, yang sudi datang membantu manusia melakukan rawatan, membolehkan pesakit sembuh.

Upacara menyemah berbeza, bergantung kepada kelaziman yang dilakukan orang yang mengetuai sesuatu upacara, ataupun kehendak orang yang berkenaan atas permintaan jin-jin, yang diberitahu melalui mimpi ataupun lain-lain medium. Kerana itu maka bahan-bahan yang disediakan berbeza, selain daripada bergantung kepada bahan makanan yang boleh didapati dan digunakan oleh penduduk tempatan.

Upacara menyemah adakalanya melibatkan darah binatang yang disembelih, ditadah dalam satu bekas, organ dalaman binatang yang disembelih, seperti kambing, kerbau atau lembu.[1] Bahan-bahan tadi diletakkan di satu tempat, sama ada di hujung kampung, di pinggir hutan, dihanyutkan di sungai ataupun di laut. Amalan ini dikenali sebagai menyemah kampung, menyemah pantai, bela kampung, buang ancak dan sebagainya.[2]

Bagi mereka yang melakukan persembahan teater tradisional, bahan-bahan makanan, terutamanya ayam panggang diletakkan, adakalanya sebagai sajian di sepanjang persembahan, bagi memastikan persembahan mereka berjalan dengan lancarnya tanpa ada apa-apa gangguan oleh makhluk halus.[3]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  • ^ Keturunan Pemburu Pemungut Lanoh Terakhir di Malaysia (Penerbit USM)
    By Hamid Mohd Isa
  • ^ Suku Akit di Pulau Rupat
    By Julianus Limbeng, Muchtadin
  • ^ Kearifan Tempatan: Pengalaman Nusantara: Jilid 2 - Meneliti Kosmologi dan ...
    edited by Mohd Kipli Abdul Rahman, Nazarudin Zainun, Rahimah A. Hamid