Ahmad bin Abdul Rahman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Paksu Haji Ahmad J.P. oleh penduduk daerah Baling dilahirkan pada tahun 1909 M bersamaan 1329H. Bapa beliau Haji Abdul Rahman bin Haji Abdullah bin Haji Abdul Latif al-Patani ialah keturunan ulama Patani berasal dari Kota Baharu Reman. Keluarga ayah beliau berpindah dari Patani ke Kota Kuala Muda di Kedah dan seterusnya berpindah ke Kupang, Kedah untuk menyertai kaum kerabat beliau yang tinggal di pesisir Sungai Kupang seperti Kampong Sadik, Kampong Tanjong , Kampong Pisang dan Kampong Jerai.

Beliau mendapat pendidikan tidak formal sewaktu kecil, manakala pendidikan formal diperolehi daripada Pondok Kemelong, Sik, Kedah sama seperti sepupu beliau Tuan Guru Haji Yahya Toha . Pondok Kemelong, Sik pada waktu itu berada di bawah pentadbiran Tuan Guru Haji Yaakub iaitu sebuah pusat pengajian yang terkenal di Kedah selepas Perang Dunia Pertama (1916) kerana terdapat pelajar yang datang dari daerah lain di Asia Tenggara seperti Indonesia, Patani, Legor, Bangkok dan Kampuchea. Banyak lepasan pondok ini merupakan ulama terkenal seperti Syekh Abdul Kadir al-Mandili dari Indonesia yang meningal dunia di Mekah, Tuan Guru Haji Yasin bin Sibar dari Negeri Sembilan yang juga meninggal dunia di Mekah dan Tuan Guru Haji Yahya Toha sendiri.

Pada tahun 1930an, Haji Ahmad berangkat ke Mekah dan kembali pada tahun 1940 iaitu sebelum Jepun menduduki Tanah Melayu. Kepulangan beliau membawa kekuatan kepada Madrasah Khairiah kerana peranan beliau sebagai penolong dan penasihat Tuan Guru Haji Yahya. Beliau memegang jawatan pengerusi madrasah tersebut daripada tahun 1935 hingga 1969. Meninggal dunia pada malam Jumaat tahun 1971 dalam usia 63 tahun. Antara sumbangan beliau yang penting selain dalam bidang pendidikan agama ialah menghapuskan keganasan komunis di Daerah Baling dengan melancarkan perang sabil (jihad) bersama sepupunya Tuan Guru Haji Yahya Toha. Beliau juga berusaha membawa Dato Onn ke Madrasah Khairiah untuk menyemarakkan semangat anti British melalui penentangan terhadap Malayan Union. Perhimpunan yang melibatkan lebih 15,000 orang itu turut dihadiri Sultan Kedah. Madrasah Khairiah di bawah kepimpinan Haji Ahmad JP dan Hj Yahya Toha boleh dikatakan tempat di mana kesedaran politik disemai dalam kalangan penduduk di Daerah Baling,Perak Utara dan Kedah. Kerana jasanya menghadapi komunis beliau dianugerahkan pingat M.B.E (Member of British Empire) oleh Kerajaan British dan pernah dilantik menjadi exco kerajaan negeri Kedah daripada tahun 1947 hingga 1957.