Alexander Russell Webb

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Mohammed Alexander Russell Webb (dilahirkan pada 9 November 1846 di Hudson, New York - meninggal dunia pada 1 Oktober 1916 di Rutherford, New Jersey) ialah seorang penulis dan penerbit kelahiran Amerika Syarikat.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Bapanya, Alexander Nelson Webb ialah seorang wartawan terkemuka pada zaman itu dan mungkin telah mempengaruhi perbuatan handal kewartawanan anaknya kemudian.

Webb menerima pendidikan awal di Home School di Glendale, Massachusetts dan kemudian memasuki Claverack College, sekolah tinggi yang maju berdekatan Hudson, New York. Dia menjadi penyunting kepada Unionville Republican, Unionville, Missouri. Kehandalannya sebagai seorang wartawan mula menonjol, dan dia ditawarkan keeditoran bandar dalam Daily Gazette St. Joseph, Missouri. Seterusnya dia menjadi penyunting bersekutu kepada Missouri Morning Journal. Kemudian dia menjadi Penolong Penyunting Bandar kepada Missouri Republican di St. Louis. Akhbar ini adalah akhbar harian kedua tertua dan terbesar pada ketika itu.

Ketika masih bekerja dengan Missouri Republican, dia dilantik sebagai Wakil Konsul ke Filipina oleh Presiden Cleveland di pejabat Amerika di Manila. Menurut penyunting bukunya yang berjudul The Three Lectures, dia sudah pun melepaskan diri daripada sebarang konsep agama sekurang-kurangnya 15 tahun sebelum saat itu.

Hidupnya bermula sebagai seorang pengikut Gereja Presbyterian namun mendapati ia penuh dengan kelemahan dan kekangan. Seawal 1881, dia mula mencari keimanan yang sebenar melalui pembacaan buku-buku di sebuah perpustakaan yang menyimpan lebih daripada 13,000 jilid yang dapat diperolehinya. Dia mula mengkaji agama Buddha dan mendapati ia mempunyai kekurangan lalu dia mula mengkaji Islam. Pada tahun 1888, dia mengisytiharkan dirinya sebagai seorang Muslim secara formal.

Pada ketika itu dia masih belum bertemu dengan seorang Muslim pun tetapi diperhubungkan dengan beberapa orang Islam di India oleh seorang ahli perniagaan Parsi tempatan. Seorang penerbit akhbar, Badruddin Abdullah Kur dari Bombay telah menerbitkan beberapa pucuk surat Webb dalam akhbarnya. Seorang ahli perniagaan tempatan, Haji Abdullah Arab telah melihat surat-surat ini dan pergi ke Manila untuk berjumpa dengan Webb.

Selepas pertemuan tersebut, Webb mula merancang untuk melawat India dan kemudian kembali ke Amerika untuk menyebarkan dakwah Islam. Isteri Webb, Ella G. Webb dan tiga orang anak mereka juga menerima Islam. Haji Abdullah pulang ke India dan mengumpul dana untuk jelajah Webb. Webb melawat Poona, Bombay, Calcutta, Hyderabad, dan Madras. Dia memberi ucapan di setiap bandar itu.

Semua ucapan itu telah diterbitkan sekurang-kurangnya sekali secara berasingan dan sesetengahnya diterbitkan secara himpunan. Bukunya yang berjudul Islam in America dan semua karya-karya terkemudian secara asasnya berasal daripada penulisan semula ucapan-ucapan ini.

Dia meletak jawatan pada tahun 1892 dan melawat India dan kemudian pulang ke Amerika. Keluarganya menetap di San Francisco sehinggalah dia menghantar mereka.

Ketika menetap di New York, dia telah menubuhkan Syarikat Oriental Publishing di 1122 Upper Broadway. Syarikat ini menerbitkan tulisan-tulisannya (termasuklah magnum opusnya- Islam in America), seperti:

  • Islam in America - mengandungi 70 mukasurat yang dibahagikan kepada lapan bab:
I) Why I Became a Muslim
II) An Outline of Islamic Faith
III) The Five Pillars of Practice
IV) Islam in Its Philosophic Aspect
V) Polygamy and the Purdah
VI) Popular Errors Refuted
VII) The Muslim Defensive Wars
VIII) The American Islamic Propaganda

Beserta dengan usaha ini, dia memulakan alat sebaran American Muslim Propagation Movement yang dipanggil Moslem World. Keluaran pertama terbit pada 12 Mei 1893, dan didedikasikan kepada The Interests of the American Islamic Propaganda dan "untuk menyebarkan cahaya Islam di Amerika". Ia bertahan selama tujuh keluaran bulanan (Mei hingga November 1893).

Webb adalah wakil utama bagi Islam pada Parlimen Dunia Agama-agama 1893 di Chicago. Pada 20 dan 21 September 1893, dia memberi dua ucapan. Ucapannya bertajuk: Pengaruh Islam Terhadap Keadaan Sosial dan Semangat Islam dan telah diterbitkan dalam rekod Parlimen sebanyak dua jilid besar yang dipanggil The First World's Parliament of Religions (1894).

Selanjutnya dia menjadi jurucakap bagi Islam di Amerika. Ramai pemikir-pemikir terkemuka Amerika yang telah mendengar ucapannya mengenai keyakinan Islam termasuklah Mark Twain.

Di Broadway, Manhattan, dia mengasaskan sebuah masjid yang berhayat pendek. Sebab-sebab penamatan masjid ini tidaklah diketahui, namun ia mungkin disebabkan oleh kekurangan sokongan kewangan daripada India. Dia memulakan lingkungan-lingkungan pengajian di serata Amerika seperti di Chicago, Washington, D.C., Newark, Manhattan, Kansas, Philadelphia, Pittsburgh, dan Cleveland. Semua lingkungan pengajian ini dinamakan Mecca Study Circle No. I (NYC), Koran Study Circle, Capital Study Circle No. 4, dsb. Setiap satu menggunakan bandar atau rujukan Islam sebagai tajuknya. Kelihatan mereka mengkaji karya-karya Webb dan apa yang dicadangkannya. Pertemuan terakhir dilakukan pada 1943 di Manhattan dan telah dihadiri oleh anak gadisnya Aliyyah.