Anime larut malam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Anime larut malam (深夜アニメ shin'ya anime?) istilah yang mentakrifkan siri televisyen anime yang disiarkan pada lewat malam atau awal subuh di Jepun, iaitu lebih kurang dari jam 11 malam hingga 4 pagi. Adakalanya waktu siarannya ditulis mengikut format waktu yang menjangkau 24, seperti 25:30 dan 26:00, iaitu bersamaan dengan 1:30 dan 2 pagi hari seterusnya.

Am[sunting | sunting sumber]

Anime larut malam ditujukan kepada peminat anime berusia remaja atau dewasa muda. Salah satu tujuan wujudnya anime sedemikian adalah mempromosikan DVD atau cenderamata berkenaan yang dikeluarkan pada masa akan datang. Selain cerita-cerita asli, kebanyakan anime diadaptasikan dari manga, novel ringan, atau permainan video. Genre-genre pilihan peminat termasuk komedi cinta, cebisan hidup, aksi dan cereka sains. Kebanyakan siri anime sebegini disiarkan selaam 3 atau 6 bulan, iaitu 12 hingga 13 episod untuk setiap tiga bulan.

Biasanya, sebuah jawatankuasa penerbitan (sekumpulan syarikat bersekutu) membeli slot waktu dari stesen TV dalam proses yang dipanggil perancangan berbroker atau "pembelian masa", sama seperti infomercial. Oleh yang demikian, berbeza dari rancangan-rancangan lain, syarikat penerbitan turut memainkan peranan sebagai syarikat penaja. Dengan cara ini, stesen TV boleh mengisi slot waktu yang kurang penonton, sementara syarikat penerbitan boleh mengiklankan keluarannya iaitu DVD anime pada harga yang lebih rendah. Memandangkan tujuan penerbitannya adalah melariskan judulnya kepada peminat, maka ratings rendah atau ketiadaan penaja tidak sesekali menimbulkan kebimbangan. Justeru, bertambahnya bilangan anime larut malam. Pergantungan pada jualan DVD menjadikan judul-judul anime sedemikian sama seperti OVA, cuma berpeluang untuk dipromosikan melalui TV. Sebab itulah OVA "sejati" pula makin berkurangan.

Perbezaan antara versi TV dan DVD[sunting | sunting sumber]

Apabila dikeluarkan dalam format video atau DVD, anime larut malam sudah mengalami perubahan atau penokoktambahan seperti berikut:

  • Peningkatan mutu animasi
  • Babak-babak tak tertapis
  • Penambahan video baru seperti cerita sampingan atau epilog, dan juga komentar dari pelakon suara dan kakitangan penerbitan

Mana-mana siri televisyen hampir pasti mengalami perubahan sedemikian, apatah lagi anime larut malam yang menunjukkan perubahan lebih ketara, kerana:

  • Syarikat penerbitan tidak cukup masa, atau kekurangan peruntukan wang untuk menghasilkan rancangan lebih bermutu agar sempat ditayangkan di televisyen
  • Selalunya mereka mahu memasukkan kandungan seks atau ganas yang tidak boleh disiarkan di televisyen
  • Mereka ingin menambah nilai keluaran DVD kerana amat bergantung pada jualan DVD.

Penapisan[sunting | sunting sumber]

Stesen TV Jepun tiada sistem klasifikasi kandungan yang terperinci. Satu-satunya peraturan jelas adalah melarang penayangan alat kelamin. Seungguhpun begitu, banyak juga kefahaman tersirat mengenai cara memantau kandungan ini. Contohnya, buah dada terdedah tidak dibenarkan pada waktu perdana.

TV Tokyo pernah sesekali menyiarkan program mengghairahkan seperti Evangelion pada waktu petang. Pada tahun 1997 pula, mereka terjebak dalam insiden "Pokémon-shock" yang mengakibatkan ramai kanak-kanak terlantar di hospital kerana menonton sebuah episod Pokémon yang banyak kilauan cahaya yang memedih mata. Semenjak itu, semakin ketatlah peraturan kandungan TV Tokyo.

Kini, TV Tokyo dan Fuji TV bersikap tegas terhadap adegan berunsur seks. Semua badan telanjang ditapis, begitu juga seluar dalam perempuan. Sekalipun seseorang watak perempuan yang memakai miniskirt melompat, skirtnya tidak mengipas sehingga menerima kecaman peminat. Penapisan terhadap saluran VHF tersebut menjadi salah satu punca utama bangkitnya "anime UHF."

Di luar Jepun[sunting | sunting sumber]

Anime larut malam juga diedarkan ke seluruh dunia, tetapi tidak selalu dapat disiarkan di televisyen; ada yang hanya diedarkan dalam bentuk DVD, Blu-Ray ataupun khidmat video Internet. Anime yang disiarkan pada larut malam di negara asalnya boleh disiarkan pada waktu siang atau awal malam, baik dalam saluran percuma mahupun saluran berbayar yang khusus untuk anime seperti Animax Asia.

Ada sesetengah anime arus perdana yang disiarkan di waktu siang atau waktu perdana di Jepun, tetapi disiarkan pada larut malam di negara luar atas sebab-sebab seperti mematuhi peraturan televisyen setempat. Misalnya, siri anime yang penuh keganasan seperti Bleach dan Fullmetal Alchemist yang disiarkan pada waktu petang di Jepun disiarkan pada slot tengah malam di Amerika Syarikat. Di Hong Kong, Dragon Ball Z pernah disiarkan pada 12 tengah malam hujung minggu juga kerana dianggap terlalu ganas untuk ditonton golongan bawah umur,[1] walaupun anime ini disasarkan kepada kanak-kanak di hampir semua negara lain.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 龍珠, The Encyclopedia of Virtual Communities of Hong Kong (bahasa Cina). Dicapai pada 8 Ogos 2011.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]