Bleach

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Bleach
Bleach cover 01.jpg
Kulit hadapan manga Bleach keluaran versi Jepun, jilid pertama.
ブリーチ
(Burīchi)
Genre Shōnen, Misteri
Manga
Pengarang Tite Kubo
Penerbit Jepun Shueisha
Anime
Pengarah Noriyuki Abe
Studio Studio Pierrot
Penyiaran Asal Jepun TV Tokyo
Malaysia TV3, Animax
Dikeluarkan pada 5 Oktober 2004(masih ditayangkan)
Episod 366
Karya berkaitan

Bleach ( ブリーチ Burīchi?, dieja dan ditulis sebagai BLEACH di Jepun) merupakan sebuah siri manga Jepun, ditulis dan dilukis oleh Tite Kubo, yang telah muncul dalam majalah Weekly Shonen Jump sejak bulan Ogos 2001.

Bleach menceritakan pengalaman yang dilalui oleh Kurosaki Ichigo, seorang pelajar sekolah menengah yang berkebolehan melihat hantu, dan Kuchiki Rukia, seorang shinigami (boleh diterjemah secara literal sebagai "dewa maut"). Bahagian awal kisah Bleach bertumpu khas buat watak-wataknya. Apabila kejadian demi kejadian berlalu, dunia disebalik alam dewa-dewa maut ini dibuka dan dijelaskan dengan lebih mendalam.

Siri manga Bleach telah diadaptasikan menjadi sebuah siri animasi TV, dua buah OVA, empat buah filem, sebuah muzik "rock", beberapa judul permainan video dan sebuah permainan koleksi kad. Jualan jilid-jilid kompilasi manga Bleach telah mencecah lebih 40 juta unit di Jepun, dan telah mencapai jualan tertinggi di carta jualan manga di Amerika Syarikat. Siri manga ini telah memenangi Shogakukan Manga Award untuk genre shōnen pada tahun 2005,[1] dan siri animasinya telah dicalonkan untuk beberapa anugerah American Anime Awards.

Pengenalan[sunting | sunting sumber]

Kurosaki Ichigo

Kurosaki Ichigo ialah remaja yang lasak dan mempunyai keupayaan luar biasa; dia boleh melihat roh. Kisah ini bermula dengan kemunculan seseorang yang tidak dikenali di bilik Ichigo. Orang ini ialah shinigami (dewa maut) Kuchiki Rukia yang terkejut dengan hakikat bahawa Ichigo boleh melihatnya. Perbualan mereka diganggu oleh kemunculan satu hollow (roh jahat). Selepas Rukia cedera parah semasa melindungi Ichigo, dia ingin memindahkan separuh daripada kuasanya kepada Ichigo supaya dia dapat berhadapan dengan hollow tersebut. Tetapi, Ichigo menyerap kesemua kuasa Rukia dan berupaya mengalahkan Hollow itu dengan mudah.

Keesokan harinya, Rukia muncul semula sebagai rakan sekelas Ichigo. Hairannya, Rukia kelihatan seperti manusia biasa. Dia membuat andaian bahawa kekuatan semangat Ichigo yang luar biasa menyebabkannya menyerap kesemua kuasa shinigami Rukia lalu mengakibatkan Rukia terdampar di dunia manusia. Rukia kini menggunakan gigai - badan manusia tiruan - sementara menunggu kuasanya pulih. Ichigo pula terpaksa mengambil alih tugasnya sebagai shinigami (menentang hollow dan memimpin roh sesat ke Soul Society).

Watak utama[sunting | sunting sumber]

Watak-watak utama dalam siri Bleach seperti yang dilihat dalam lakaran manganya oleh mangaka Tite Kubo.

Artikel utama: Watak-watak dalam Bleach

Jenis watak[sunting | sunting sumber]

Semua watak dalam Bleach ialah roh. Manusia hidup mengandungi roh dalam tubuh sebenar. Roh dan semangat bebas pula mengambil bentuk ektoplasma (霊子, reishi), sejenis tenaga semangat. Tenaga ini merangkumi semua makhluk halus; tiada garis untuk membezakan minda daripada badan. Jenis organisma atau jadian adalah seperti di bawah.

  • Manusia: Manusia dalam Bleach dipaparkan seperti rakyat Jepun moden. Kebanyakan manusia tidak boleh melihat dan mengesan roh dalam mana-mana cara. Tetapi, roh boleh mendiami badan tiruan dan dengan ini, boleh dilihat oleh manusia. Seorang dalam 50 000 manusia boleh bertindak sebagai medium komunikasi dengan hantu, tetapi hanya satu pertiga sahaja yang boleh melihat hantu dengan jelas. Sesetengah manusia pula mempunyai kuasa untuk mengesan roh dan kekuatan untuk melawan mereka. Manusia biasa lain boleh memperoleh keupayaan ini; mereka hanya perlu selalu berada berhampiran dengan sumber kuasa semangat yang besar.
  • Plus: Merupakan hantu jinak dan tidak berbahaya dalam Bleach. Plus ialah roh bagi seseorang yang baru meninggal. Seutas rantai yang dikenali sebagai '因果の鎖, inga no kusari' (Rantai Nasib) akan tersembul dari dada plus dan menghubungkannya kepada sesuatu objek, orang atau lokasi yang dirasakan paling dekat kepada mereka semasa hidup. Roh tersebut boleh bergerak bebas selepas rantai tersebut putus tetapi hal ini juga akan mengakibatkan rantai itu terkakis. Biasanya, plus akan dihantar ke Soul Society oleh shinigami melalui satu upacara yang dikenali sebagai '魂葬, konsō' (pengebumian roh) sebelum kakisan Rantai Nasib menjadi lebih nyata. Apabila rantai tersebut habis terkakis sebelum menjalani 'pengebumian roh', satu lubang akan wujud di dada roh (di tempat asal Rantai Nasib tersembul). Roh sedemikian akan hilang kewarasan dan menjadi roh jahat - hollow. Jika Rantai Nasib sengaja ditarik keluar, kadar roh tersebut menjadi hollow akan meningkat.
  • Shinigami: Shinigami (Dewa Maut) ialah roh yang mempunyai kuasa semangat dalaman dan dilantik daripada kalangan warga biasa dan kaum bangsawan di Soul Society. Seperti roh lain, mereka tidak boleh dikesan oleh manusia biasa. Shinigami menggunakan pedang roh (zanpakutō) untuk menjalankan upacara "pengebumian roh" terhadap plus. Shinigami juga menggunakan zanpakutō dan kidō untuk menentang musuh utama mereka, hollow. Sesetengah shinigami berjaya memperoleh kuasa hollow secara haram dan dikenali sebagai vizard.
Ichigo berhadapan dengan hollow
  • Hollow: Mereka merupakan antagonis utama dalam Bleach. Mereka ialah hantu jahat yang tinggal di Hueco Mundo tetapi merantau ke dunia manusia untuk makan roh manusia yang masih hidup dan yang telah mati. Seperti shinigami, mereka terdiri daripada zarah-zarah semangat dan menggunakan kuasa semangat dalaman untuk bertarung. Kebanyakan hollow dapat ditewaskan oleh shinigami biasa tetapi ada juga yang keupayaannya melampaui kekuatan shinigami peringkat kaptan. Semua hollow memakai topeng putih kecuali sebilangan kecil sahaja yang dikenali sebagai arrancar; mereka mampu menanggalkan topeng sendiri dan menggunakan kuasa shinigami. Walaupun mereka mempunyai zanpakutō, pedang tersebut digunakan untuk mengubah rupa fizikal arrancar terbabit.
  • Roh tiruan: Merupakan produk yang dihasilkan secara besar-besaran oleh shinigami. Roh tiruan dikeluarkan dalam bentuk pil dan digunakan untuk memaksa shinigami keluar daripada gigai semasa berada di dunia manusia serta mempunyai personaliti yang telah diprogramkan (mereka akan menganimasikan tubuh shinigami tersebut sementara menunggu kepulangannya). Selain itu, terdapat satu versi roh tiruan yang berbeza dan dikenali sebagai "roh modifikasi". Roh modifikasi berfungsi untuk memburu hollow dengan merasuk tubuh manusia yang kosong (tidak mengandungi roh) dan mempunyai kekuatan luar biasa seperti kekuatan atau kelajuan yang dipertingkat. Shinigami berkeputusan untuk menamatkan kajian berkenaan roh modifikasi kerana tindakan memaksa mayat untuk berlawan adalah tidak bermoral. Maka, semua roh modifikasi terpaksa dimusnahkan. Hanya satu sahaja yang terselamat tetapi dalam anime, sekurang-kurangnya tiga lagi telah dihasilkan.
Quincy dengan busur sebagai senjata utama
  • Quincy: Mereka ialah sebuah keluarga yang terdiri daripada manusia yang mempunyai kuasa semangat dalaman dan pernah menentang hollow dengan menggunakan senjata yang terdiri daripada tenaga semangat. Bertentangan dengan shinigami, Quincy menyerap dan mendapat tenaga daripada sekeliling. Apabila seorang shinigami membunuh hollow, jiwa hollow tersebut akan dibersihkan dan segala dosanya akan dihapuskan lalu membolehkannya memasuki Soul Society. Tetapi, teknik Quincy membunuh hollow akan terus memusnahkan hollow tersebut. Tindakan ini akan menjejaskan keseimbangan alam. Apabila roh dimusnahkan, bilangan roh yang memasuki dan meninggalkan Soul Society tidak lagi seimbang. Isu ini mendesak shinigami untuk menghapuskan Quincy 200 tahun sebelum jalan cerita utama bermula. Tetapi, sekurang-kurangnya dua Quincy masih hidup.
  • Bount: Mereka hanya diperkenalkan dalam siri anime. Bount, seperti Quincy, merupakan sebuah keluarga yang mempunyai kuasa semangat dalaman dan kebolehan luar biasa. Mereka dihasilkan secara tidak sengaja oleh saintis shinigami yang sedang menjalankan kajian untuk mencipta kehidupan abadi. Bount mencernakan roh manusia untuk terus hidup; secara teori, mereka dapat hidup selama-lamanya jika berbuat demikian. Walaupun Bount mempunyai peraturan khas yang melarang mereka memakan roh hidup, kumpulan terakhir Bount telah melanggar prinsip tersebut untuk menjadi lebih berkuasa agar mampu memusnahkan dunia shinigami. Setiap Bount menggunakan "doll" (patung) dalam kombat. Setiap doll adalah unik dan merupakan manifestasi kuasa tuannya. Seandainya doll dimusnahkan, tuannya juga akan turut mati.

Latar tempat[sunting | sunting sumber]

Hampir kesemua lokasi yang dipaparkan dalam Bleach menggambarkan dunia nyata, alam barzakh dan kepercayaan manusia. Manusia hidup menetap di dunia seperti sedia ada; roh yang telah dikebumikan tinggal di Soul Society yang seakan-akan syurga; roh yang terdampar pula tinggal di Hueco Mundo; roh jahat akan dihantar ke neraka. Apabila tiba di Soul Society, roh dapat hidup dengan lebih lama dan banyak juga yang berusia lebih daripada seribu tahun. Apabila satu roh mati di Soul Society, dia akan dihantar semula ke dunia nyata dan dilahirkan semula sebagai manusia baharu. Keadaan ini menjamin keseimbangan alam.

  • Dunia manusia: Dunia manusia dalam Bleach ialah Jepun moden. Lebih spesifik lagi, kawasan tersebut ialah Bandar Karakura di Tokyo Barat. Di dunia ini, Ichigo menghadiri sekolah menengah dan menentang hollow. Tempat-tempat utama di sini ialah sekolah menengah, Kedai Urahara, sungai tempat ibu Ichigo dibunuh, kubur serta rumah Orihime dan Ichigo.
Soul Society
  • Soul Society: Terdiri daripada tembok besar yang mengelilingi sebuah bandar di tengah-tengah yang dikenali sebagai Seireitei (Perkarangan Roh Suci) dan empat bahagian (utara, selatan, barat, timur), masing-masing mengandungi 80 daerah di luar. Daerah-daerah di luar Seireitei dikenali sebagai Rukongai (Pekan Roh Merempat) dan merupakan tempat tinggal roh yang bukan shinigami dan bukan bangsawan. Nombor daerah Rukongai dari 1 hingga 80 juga menggambarkan keadaan kehidupannya. Daerah 1 aman dan bertertib manakala Daerah 80 dipenuhi oleh penyangak dan mempunyai suasana kehidupan yang teruk. Seorang raja menetap di alam yang lain dalam Soul Society tetapi tidak banyak yang diketahui tentangnya.
  • Hueco Mundo: Merupakan tempat di antara dunia manusia dengan Soul Society. Tempat ini ialah kawasan kediaman hollow semasa mereka tidak memburu roh manusia di dunia nyata atau Soul Society. Jalan masuk ke Hueco Mundo ialah retakan dimensi di dunia manusia atau Soul Society.
  • Neraka: Roh yang telah melakukan jenayah berat semasa hidup akan dihantar ke sini. Apabila topeng kepada sesuatu hollow yang terlalu kejam dan zalim dibelah oleh zanpakutō, pintu neraka (pintu gergasi yang disokong oleh rangka manusia) muncul dan terbuka. Satu makhluk besar yang memegang sebilah tombak akan menikam roh jahat tersebut dan menariknya ke neraka.

Watak-watak Bleach bergerak dari satu dunia ke dunia yang lain melalui beberapa kaedah. Roh manusia biasanya boleh melintas ke atau dari Soul Society masing-masing melalui upacara pengebumian roh atau kelahiran semula. Tetapi, manusia hidup boleh menggunakan portal khas untuk bergerak ke dunia lain. Shinigami boleh membuka jalan di antara dunia tertentu dengan menggunakan zanpakutō. Kupu-kupu yang dihasilkan semasa pengebumian roh yang dinamakan rama-rama neraka menjamin keselamatan perjalanan. Hollow boleh terus mengoyak dimensi untuk ke dunia sebenar atau Soul Society tetapi jarang berbuat demikian kerana takut dikesan oleh shinigami. Jadi, mereka biasanya akan tinggal di Hueco Mundo.

Anime[sunting | sunting sumber]

Lagu pembukaan[sunting | sunting sumber]

  • *~Asterisk~ - Orange Range (1-25)
  • D-tecnoLife - UVERworld (26-51)
  • Ichirin no Hana - High and Mighty Color (52-74)
  • Tonight, Tonight, Tonight - Beat Crusaders (75-97)
  • Rolling Star - YUI (98-120)
  • Alones - Aqua Timez (121-143)
  • After Dark - Asian Kung-Fu Generation (144-167)
  • Chu-Bura - Kelun (168-189)
  • Velonica - Aqua Timez - (190-214)
  • Shōjo S - SCANDAL (215-242)
  • Anima Rossa - Porno Graffitti 243-265)
  • chAngE - Miwa (266-291)
  • Ranbu no Melody - SID (292-316)
  • BLUE - ViViD (317-342)
  • Harukaze - SCANDAL (343-366)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Tapak-tapak rasmi