Batalion

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Simbol standard NATO bagi sebuah batalion infantri.

Batalion (serapan Perancis: bataillon pinjaman Itali: battaglione terbitan battaglia "pertempuran"[1]) adalah satu pasukan tentera yang mempunyai dua hingga enam kompeni. Biasanya batalion diperintah oleh seorang Leftenan Kolonel. Batalion mempunyai kekuatan anggota lebih kurang 720 anggota, meskipun begitu bilangan anggota boleh berubah mengikut peranan dan kelengkapan unit tersebut.

Batalion-batalion awal tentera Eropah dihimpunkan sebanyak 8,000 orang askar yang lengkap satu jenis senjata sahaja untuk melaksanakan suatu misi khusus.[2]

Kegunaan Di Dalam Tentera Darat Malaysia[sunting | sunting sumber]

Di dalam Tentera Darat Malaysia, batalion hanya digunakan untuk panggilan unit-unit di dalam pasukan-pasukan infantri seperti Rejimen Askar Melayu Diraja dan Rejimen Renjer Diraja. Pasukan di dalam Kor Kesihatan Diraja juga dipanggil batalion. Pasukan Kor Risik Diraja juga dipecahkan kepada batalion.

Pasukan bersaiz batalion seperti Rejimen Semboyan Diraja, Rejimen Artileri Diraja, Kor Armor Diraja, Kor Polis Tentera Diraja, Rejimen Askar Jurutera Diraja, dan Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja dipanggil sebagai Rejimen dan bukannya batalion.

Dalam kegunaan di Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dikumpulkan di dalam batalion.

Nombor Turutan Batalion[sunting | sunting sumber]

Batalion diberikan nombor turutan di dalam rejimennya, umpamanya Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu DiRaja dan Batalion Pertama Rejimen Renjer DiRaja. Biasanya panggilan diringkaskan dengan menggugurkan perkataan "Rejimen" dan "DiRaja" dan ringkasan menjadi "1 Melayu", "2 Renjer", "8 Renjer", "17 Melayu" ataupun "3 Bn PGA".

Organisasi[sunting | sunting sumber]

Batalion boleh beroperasi secara bebas, tetapi biasanya bertempur sebagai sebuah unit di dalam unit tempur yang lebih besar seperti briged. Satu batalion infantri mempunyai 3 kompeni askar infantri dan 1 Kompeni Bantuan serta 1 Kompeni Markas. Kompeni dipanggil mengikut abjad fonetik seperti “Alpha”, “Bravo”, “Charlie”, “Delta” dan “HQ Kompeni”. Kompeni Bantuan mempunyai kelengkapan mesingan berat, penangkis armor, pasukan tinjau, penembak tepat,platun mortar dan skuadron UAV pesawat tanpa pemandu

Setiap satu Rejimen Armor pula mempunyai kekuatan 3 skuadron armor, 1 skuadron markas dan 1 skuadron bantuan. Rejimen Artileri mempunyai 3 bateri dengan 1 skuadron markas.

Di dalam batalion ataupun rejimen, struktur pemerintahan adalah seperti berikut :

Pegawai Memerintah (CO) - :Leftenan Kolonel
Penolong Pegawai Memerintah (2 I/C) - Mejar
Adjutan - Kapten
Kuartermaster - Kapten
Ketua Kompeni - Mejar ataupun Kapten
Ketua Platun - Leftenan ataupun Leftenan Muda
Pegawai Risik Rejimen atau Batalion - Leftenan atau Kapten
Pegawai Semboyan Rejimen atau Batalion - Leftenan atau Kapten
Sarjan Mejar Rejimen (RSM)- Pegawai Waran I
Kuartermaster Sarjan - Pegawai Waran II

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Etymologie de bataillon". Centre Nationale de Ressources de Textuelles et Lexicalles. 2012. Dicapai pada 19 Apr 2024.
  2. ^ Busetto, Riccardo (2004). Dizionario Militare (dalam bahasa Itali). Zanichelli. m/s. 119. ISBN 88-08-08937-1.