Beliung

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Beliung moden
Penggunaan beliung untuk membentuk kayu

Beliung adalah sejenis alat pertukangan kayu yang digunakan untuk membentuk, menarah dan melicinkan kayu potong kasar dalam pertukangan kayu menggunakan tangan.

Kebiasaannya, pengguna akan berdiri mengangkang kayu ataupun papan yang hendak ditarah ataupun dilicinkan dan mengayun beliung ke bawah ke arah kaki mereka dan menyerpih sedikit demi sedikit sambil bergerak ke belakang sedikit demi sedikit sambil mereka menggunakan beliung untuk menarah kayu menghasilkan kayu yang agak licin dan rata. Walau bagaimanapun, beliung boleh digunakan untuk lain-lain kerja memotong kayu.

Hujung ataupun kepala beliung diorientasikan seperti kepala cangkul dan bukan seperti sebilah kapak.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Di Eropah Tengah, beliung dibuat dengan cara menyerpihkan batu sedikit demi sedikit dan digunakan sejak zaman Mesolitik lagi. Beliung berasah dibuat menggunakan batu seperti amphibolite, basalt ataupun Jadeite.

Beliung di zaman Mesir Purba diperlihatkan dalam lukisan Kerajaan Tua (kira-kira 3000 S.M.) dan digunakan sebagai hiroglif, alat menulis untuk tulisan mereka.

Kaum prasejarah Maori di New Zealand menggunakan beliung yang dibuat daripada nephrite (ataupun jed) dan digunakan untuk pengukiran kayu. Di Kepulauan Henderson di mana tiada kedapatan batu batan yang sesuai, beliung diperbuat menggunakan kulit kerang besar.

Beliung moden dibuat daripada besi waja dengan pemegang diperbuat daripada kayu. Ia masih digunakan di kalangan mereka yang hendak mengembalikan ataupun mengekalkan kemahiran-kemahiran tradisional dan mereka yang hendak menjadi penyambung kemahiran-kemahiran tradisional ataupun mereka di dalam kawasan-kawasan yang kurang maju. Di Amerika Syarikat, beliung masih digunakan sebagai alat pertukangan di Pusat Budaya Colonial Williamsburg di Virginia. Ia masih digunakan dalam sesetengah industri seperti pembinaan tong daripada kayu.

Kebiasaannya, beliung kini digantikan dalam masyarakat moden dengan penggunaan gergaji dan ketam berkuasa (power-planer). Beliung juga digunakan oleh kaum pribumi Amerika dan Kanada untuk membuat ukiran di tiang totem mereka.

Jenis-jenis beliung[sunting | sunting sumber]

  • Beliung Tukang Kayu
    Beliung jenis berat dengan lengkungan tajam dan kepala yang berat. Beliung ini berat dan tidak sesuai digunakan untuk memahat kayu tinggi di atas paras kepala.
  • Beliung kereta api
    Beliung Tukang Kayu dengan matanya dipanjangkan untuk mengurangkan kejadian pemegang patah dan digunakan untuk membuat kayu alas rel kereta api.
  • Beliung serimala kapal
    Beliung yang lebih kecil dan ringan daripada beliung tukang kayu. Boleh digunakan dalam pelbagai kedudukan termasuk di atas aras kepala.

Peribahasa[sunting | sunting sumber]

Beliung juga digunakan untuk perumpamaan dan peribahasa Melayu. Antaranya adalah :

Peribahasa Makna
Bagai beliung dengan asahan. Tidak pernah berpisah. Tidak pernah berpisah
beliung yang besar hayun, kecil makannya. Besar cakap tetapi hasilnya sedikit.
Bersua beliung dengan sangkal. Sangat sesuai (kerana sefaham atau setujuan). sangkal = tangkai beliung
Bertemu beliung dengan ruyung. Bertemu dengan lawan yang sepadan.
Bertemu teras dengan beliung. Bertemu dengan lawan yang sepadan.
Habis kapak berganti beliung. Sangat rajin bekerja.
Hilang jasa beliung, timbul jasa rimbas. Orang lain yang berbuat kebaikan (berlelah payah), orang lain pula yang mendapat pujian.
Jangan menyuruh kapak menyelam beliung. Jangan memberi kepercayaan kepada orang yang tidak setia.
Kapak menelan beliung. Yang baik ditukar dengan yang buruk.
Kecil-kecil beliung, tumbang juga kempas yang besar. Walaupun orang itu kecil tetapi dapat juga ia mengalahkan orang besar.
Kilat beliung sudah di kaki, kilat pisau sudah ke tangan, kilat cermin sudah ke muka. Orang yang bijaksana dengan mudah menangkap hujung kata atau kias seseorang.
Seperti beliung besar ayun, kecil makannya. Besar cerita daripada perbuatan.
Seperti kapak menyelam beliung. Orang malas disuruh mengajak orang yang malas pula bekerja.
Tak gerun beliung memandang kampas besar tersergam tinggi. Orang yang kecil tetapi pintar tidak takut akan lawan yang besar. kampas = sejenis pohon kayu yang besar dan keras.