Bundesversammlung (Jerman)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Jerman

Rencana ini sebahagian daripada siri:
Politik dan kerajaan
Jerman



Negara-negara lain · Atlas
 Portal Politik

Bundesversammlung atau Majlis Perhimpunan Persekutuan ialah satu institusi perlembagaan khas di Jerman yang bersidang setiap lima tahun dengan satu tujuan, iaitu melantik Presiden Persekutuan Jerman yang baru.

Bangunan Reichstag, di Berlin, tempat Bundesversammlung bersidang

Majlis ini dianggotai oleh semua ahli-ahli Bundestag (Parlimen Jerman) dan juga perwakilan daripada setiap 16 negeri Jerman dengan jumlah yang sama. Pemilihan perwakilan negeri dilakukan oleh Landtag, parlimen setiap negeri berdasarkan jumlah penduduk yang dimiliki pada waktu itu. Perwakilan yang dipilih tidak hanya mengandungi ahli-ahli politik malah sesetengah negeri turut pernah mencalonkan orang-orang ternama dari pelbagai bidang untuk tujuan ini. Bermula dengan pencalonan mereka untuk menyertai majlis ini sehinggalah kepada pembubarannya setelah pemilihan presiden dibuat, ahli-ahli majlis ini memiliki kekebalan politik sama seperti yang dinikmati oleh ahli-ahli Bundestag.

Sejak tahun 1979, institusi ini selalunya bersidang pada 23 Mei, hari ulangtahun penubuhan Republik Persekutuan Jerman dan juga hari berkuatkuasanya Grundgesetz (perlembagaan Jerman), pada tahun 1949. Majlis ini dipengerusikan oleh Presiden Bundestag dan dibubarkan selepas pemilihan Presiden Persekutuan selesai.

Proses pemilihan[sunting | sunting sumber]

Mengikut perlembagaan, setiap ahli majlis ini boleh mencadangkan seorang calon untuk menjawat jawatan Presiden Persekutuan. Namun, mengikut amalan kebiasaannya, hanya calon yang dicadangkan oleh Fraktion atau Gruppe (kumpulan besar atau kecil) di parlimen yang dipertimbangkan.

Kaedah pemilihan Presiden Persekutuan mengandungi, pada kebanyakan masa, tiga undian rahsia, yang ditulis di atas kertas undi. Sekiranya seorang calon memperoleh majoriti mutlak dalam satu daripada dua undian pertama, beliau akan dipilih serta-merta. Sekiranya selepas dua undian tiada majoriti mutlak diperoleh mana-mana calon, calon yang memperoleh undi terbanyak di dalam undian ketiga akan diisytihar pemenang. Mengikut perlembagaan, Presiden Persekutuan dipilih tanpa sebarang perbahasan di dalam Majlis Perhimpunan Persekutuan. Calon-calon selalunya dicadangkan oleh parti-parti politik, namun, mereka pada kebiasaannya tidaklah berkempen untuk memenangi jawatan ini. Dan mengikut amalan sebelumnya, calon daripada parti yang memiliki majoriti di parlimen adalah calon yang sering dipilih.

Majlis ini bersidang buat kali terakhir pada 23 Mei 2004 apabila Horst Koehler, bekas Presiden IMF dipilih dengan majoriti mudah 604 undi daripada 1205 keseluruhannya. Persidangan seterusnya akan dilakukan pada tahun 2009.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Persidangan Bundesversammlung yang pertama dilakukan pada 12 September 1949 di Bonn. Dalam tahun 1945 - 1969, persidangan dilakukan di Ostpreußenhalle (Dewan Prussia Timur) dan sering dibantah oleh Republik Demokratik Jerman. Dari tahun 1974 sehingga 1989 majlis ini bersidang pula di Dewan Beethoven, Bonn. Sejak tahun 1994 tempat mesyuarat ialah di bangunan Reichstag di Berlin.