Burung Tiong Batu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Burung Tiong Batu
frames
Pengelasan saintifik
Alam: Haiwan
Filum: Kordata
Subfilum: Vertebrat
Kelas: Burung
Genus: Eurystomus
Spesies: E orientalis
Binomial: Eurystomus orientalis (Linnaeus) 1766, Java.

Burung Tiong Batu adalah salah satu daripada haiwan yang boleh didapati di Malaysia. Nama sainsnya ialah Eurystomus orientalis.[1] Ia merupakan salah satu daripada spesies yang digambarkan oleh William Farquhar yang terdapat di Tanah Melayu. [2]

Spesies kecil E. o. solomonensis (hadapan), gambaran oleh John Gerrard Keulemans, 1892
Dua ekor burung Tiong Batu, Rush Creek, SE Queensland, Australia

Ciri-ciri[sunting | sunting sumber]

Burung Tiong Batu ialah haiwan yang tergolong dalam golongan benda hidup, alam : haiwan, filum : kordata, sub-filum : bertulang belakang (vertebrata), kelas : burung. Burung Tiong Batu adalah haiwan berdarah panas, mempunyai sayap dan tubuh yang diselubungi bulu pelepah. Paruh Burung Tiong Batu tidak bergigi.

Burung Tiong Batu termasuk dalam keluarga "roller", dan memiliki tompok biru bulat pada sayapnya. Ia sepanjang sehingga 30 cm, dan terdapat di timur Asia dari utara Australia sehingga kepulauan Jepun. Di Malaysia dan Singapura, terdapat dua kategori burung Tiong Batu, iaitu tempatan dan burung berhijrah dari utara semasa musim sejuk. Semasa musim sejuk, ia boleh dijumpai bersama burung Tiong Batu berhijrah yang banyak (Wang & Hails 2007).

Burung Tiong Batu lebih biasa dilihat pada bulan November hingga Januari, kemungkinannya tambahan burung berhijrah musim sejuk, kebanyakannya merupakan burung muda.

Ia merupakan salah satu daripada spesies yang digambarkan oleh William Farquhar dalam koleksi gambar haiwan di Tanah Melayu. [3]

Makanan[sunting | sunting sumber]

Burung ini merupakan pemakan serangga dan gemar kumbang dan sering menangkap mangsanya semasa terbang. Burung muda memiliki paruh lebih gelap yang bertukar merah-bata ketika matang.

Ia sering dilihat sebagai burung tunggal dengan bayangan tersendiri pada cabang pokok tinggi di mana ia memburu serangga, dan kembali bertenggek ketempat yang sama selepas beberapa saat.

Ia makan serangga besar seperti belalang, belalang juta, mentadak, rama-rama, riang-riang, mengkarung, anai-anai, dan sejumlah besar kumbang, termasuk kumbang busuk ("pentatomid stinkbugs").

Pembiakan[sunting | sunting sumber]

Burung Tiong Batu membiak dengan bertelur. Telur Burung Tiong Batu bercengkerang keras. Burung Tiong Batu bersarang dalam lubang semulajadi antara 10 hingga 15 meter tinggi dari aras tanah, sering kali menggunakan lubang sarang belatuk lama. Ia turut bersarang dalam lopong di puncak pokok palma/kelapa yang mati (Cheah 2006). Burung Tiong Batu mengamalkan teknik menarik dan terbang bergaya, terbang menegak keudara sebelum menjunam tajam ke bawah, berteriak dengan kuat dan berayun ke kiri dan kanan ketika ia terbang berkeliling dan menjunam selama beberapa minit setiap kali (Ali & Ripley 1970).

Pasangan Tiong Batu cenderung amat agresif semasa musim membiak dan sedia bertempur dengan spesies lain bagi mendapatkan penguasaan lubang sarang berpotensi (Amar-Singh 2009). Kedua jantina giat mempertahankan jajahan mereka, terbang berkeliling jauh dari tapak sarang, sedia untuk menghalau spesies lain (Chan 2006), termasuk burung lebih besar yang menghampiri tapak sarang mereka.

Sarang Tiong Batu biasanya tidak berlapik, di mana ia bertelur dua hingga tiga telor berkilat dan agak bulat, bersaiz 34 x 29 mm (Smythies 1968). Kedua keluarga membantu mengeramkan telor, selama antara 18 hingga 23 hari, dan berkongsi tugas keluarga bagi menjaga anak-anaknya, memberi makan serangga, yang termasuk kumbang perisai ("Cantau ocellatus") (Wong 2008). Anak burung Tiong Batu kekal dalam sarang selama tiga hingga empat minggu tetapi bergantung pada ibi bapanya selama beberapa minggu selepas belajar terbang.

Musim mengawan di Singapura direkodkan antara bulan April dan awal bulan Mei. Di negeri Perak, satu sarang dijumpai pada bulan February, dalam lubang tiga puluh kaki pada lubang di puncak pokok Nibong yang mati, dan pada 1 April terdapat dua anak burung dalam lubang pada pokok Perepat ("Sonneratia alba") (Robinson & Chasen 1939).

Habitat[sunting | sunting sumber]

Burung Tiong Batu pada asasnya merupakan burung pinggir hutan, kawasan hutan terbuka, atau kawasan terbuka, di mana ia dapat mencapai tempat tinggi untuk memburu serangga. Ia tersebar luas di kawasan tanah rendah, terdapat kebanyakannya di kawasan hutan terbuka, hutan paya, ladang dan kebun, sehingga 1,200 m pada sebahagian julat jajahannya. Ia sering dapat dilihat dengan jelas bertenggek jauh tinggi terdedah pada dahan botak pokok tinggi atau tunggul kayu mati, dari mana ia akan melayang dan menjunam mengejar serangga, biasanya kembali ke dahan yang sama selepas memburu. Sungguhpun ia kadang-kala mendarat ke tanah bagi menangkap cicak atau serangga besar, burung Tiong Batu menghabiskan kebanyak masa mereka di udara, menangkap kebanyakan mangsa mereka sambil terbang. Ia terbang dengan mudah dan gemalai, dengan beberapa kibaran sayap dan meluncur jauh, berpaling dan berpusing sambil memburu mangsanya.

Sungguhpun jarang terdapat di kawasan bandar, ia biasanya bertenggek pada tiang telefon atau tiang eletrik sepanjang jalan terbuka, biasanya bersendirian, sering kali dengan individu yang lain berselang sepanjang jalan pada jarak agak sekata. Ia tidak cuba mencari tempat berteduh semasa tengahari, kekal lembab sambil bertenggek, sekali-sekala terbang memburu mangsa yang dilihatnya. Ia lebih aktif pada awal pagi, dan lebih aktif pada lewat petang, di mana ia boleh dilihat terbang melampaui pucuk pokok atau kawasan hutan terbuka, memburu serangga, dan aktiviti ini berterusan sehingga mahgrib, malah kadang-kala turut terbang bersama pungguk "nightjars". Sebanyak tiga puluh sehingga empat puluh burung Tiong Batu pernah dilihat berkelompok sekeliling kawanan anai-anai dan, di Sarawak, bagi memburu serangga yang lari dari amalan pertanian tebas dan bakar. Ia sering dijauhi oleh burung lebih kecil, kemungkinannya kerana gaya terbangnya yang pantas dan sayapnya yang lebih panjang menyerupai burung pemangsa.

Pelbagai gambar dan pelepah[sunting | sunting sumber]


Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Senarai burung Burung merpati
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z