Ibrahim Pendek

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Ibrahim Pendek
Ibrahim Pendek.jpg
Ibrahim Pendek
Kelahiran Ibrahim bin Hassan
1932
Bandar Taiping, Malaysia
Meninggal dunia November 2003 (berumur 70–71)
Selangor
Pasangan Che Hasnah Mohd Amin (cerai)
Asiah Osman (cerai)
Anak 7 orang

Ibrahim Pendek atau nama sebenarnya Ibrahim bin Hassan dilahirkan di bandar Taiping, negeri Perak pada tahun 1932 adalah seniman filem Melayu terkenal bukan sahaja terhadap lakonan tetapi juga istimewa kerana beliau dikurniakan dengan tubuh badan yang kerdil iaitu berketinggian 130cm. Antara filem-filem terkenal lakonan beliau ialah Ali Baba Bujang Lapok, Nasib Si Labu Labi dan Keluarga Si Comat.

Penglibatan dan Kerjaya Seni[sunting | sunting sumber]

Ibrahim telah memulakan kerjaya seninya sejak tahun 1950-an lagi. Beliau telah meninggalkan kampung halamannya pada tahun 1953 untuk ke Singapura merantau mencari rezeki. Pada masa itu, beliau tidak terlintas difikirannya untuk menjadi pelakon. Rezeki untuk menapak dalam bidang perfileman datang kepadanya apabila diterima bekerja sebagai operator projektor di Studio Jalan Ampas. Semasa berkelah, beliau bertemu dengan Run Run Shaw, pemilik syarikat tempat beliau bekerja dan menawarkannya bekerja sebagai budak pejabat. Sewaktu bekerja di situ, beliau tinggal serumah dengan seniman S. Sudarmaji dan bermula ketika itulah beliau telah mendapat peluang berlakon dalam beberapa buah filem sebagai pelakon tambahan. Ini berterusan sehinggalah beliau mendapat peluang lebih besar dalam filem Panggilan Pulau dengan memegang watak sebagai Ramli bersama P.Ramlee, S. Kadarisman dan Normadiah pada tahun 1954. Selepas itu, kerjaya lakonan beliau terus berkembang dan, sesuai dengan karektor beliau yang kelakar, beliau diberi peluang berlakon di dalam beberapa buah filem lain, antaranya seperti Anakku Sazali, Kipas Hikmat, Pusaka Pontianak, Siti Muslihat dan dibawah arahan P.Ramlee seperti Ali Baba Bujang Lapok dan Nasib Labu-Labi.

Cipta Sejarah[sunting | sunting sumber]

Ibrahim Pendek bersama Burl Ives dalam filem Spiral Road

Sewaktu berlakon dalam filem Ali baba Bujang Lapok, pihak Universal International, Hollywood yang mengadakan lawatan ke Studio Jalan Ampas telah tertarik dengan lakonan beliau dalam filem tersebut. Dari saat itulah pihak Universal International telah menghantar surat tawaran kepadanya untuk berlakon sebagai pembantu seorang doktor dalam filem keluaran Hollywood itu. Bermula detik indah itulah beliau telah mencatat sejarah agung perfileman Melayu kerana beliau adalah pelakon Melayu pertama berlakon dalam filem keluaran Hollywood bersama Rock Hudson dan Gene Rowlands dalam filem The Spiral Road pada tahun 1962. Selepas mencatat sejarah berlakon dalam filem tersebut, beliau telah ditawarkan sekali lagi oleh pihak Hollywood untuk terus berlakon dalam filem-filem keluarannya tetapi hajat beliau tidak kesampaian untuk meneruskan kerjaya beliau disana kerana pihak pemerintah pada ketika itu tidak meluluskan Visa beliau.


Setelah tertutupnya Studio Jalan Ampas di Singapura, beliau meneruskan kerjaya beliau di Kuala Lumpur dan berlakon didalam beberapa buah filem lagi antaranya Keluarga Si Comat, Penyamun Tarbus, Setinggan dan Serampang Tiga. Filem terakhir beliau ialah XX Ray arahan Aziz M.Osman pada tahun 1992.

Selepas lama menyepi dari dunia lakonan, beliau banyak menghabiskan masa dengan perniagaan menjual makanan disekitar tempat tinggalnya di Cheras, Kuala Lumpur. Walaupun banyak menerima tawaran berlakon, beliau terpaksa menolak tawaran tersebut kerana kesihatan beliau yang tidak mengizinkan dan beliau bimbang tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya. Walaubagaimanapun, beliau sempat menghabiskan sebuah "telemovie" (VCD) dan ia juga merupakan lakonan terakhir beliau bertajuk Selamat Hari Jadi Abah.

Perkahwinan[sunting | sunting sumber]

Sepanjang kehidupan beliau, beliau pernah berkahwin sebanyak dua kali dengan Che Hasnah Mohd Amin dan Asiah Osman. Kedua-dua perkahwinan tersebut tidak berkekalan. Dalam tempoh perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan dengan tujuh orang cahaya mata.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Beliau menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 71 tahun pada 25 November, 2003 pada pukul 9:00 pagi ketika umat Islam sedang menyambut Aidilfitri, selepas menjalani pembedahan di bahagian perut di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Sebelum itu, beliau telah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua minggu akibat penyakit buah pinggang, paru-paru berair dan sesak nafas. Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Midah, Cheras, Kuala Lumpur.

Antara Filem Beliau[sunting | sunting sumber]

  1. Panggilan Pulau - (1954) - (pelakon pembantu) - watak sebagai (ramli)
  2. Kipas Hikmat - (1955) - (pelakon pembantu)
  3. Filem Menyerah - (1955) - (pelakon tambahan)
  4. Anakku Sazali - (1956) - (pelakon pembantu)
  5. Filem Taufan - (1958) - (pelakon pembantu)
  6. Pendekar Bujang Lapok - (1959) - (pelakon tambahan)
  7. Filem Lela Manja - (1960) - (artis jemputan)
  8. Ali Baba Bujang Lapok - (1961) - (pelakon pembantu) - watak sebagai (sarjan)
  9. Indera Bangsawan - (1961) - (pelakon pembantu)
  10. Siti Muslihat - (1962) - (pelakon pembantu)
  11. Batu Durhaka - (1962) - (pelakon pembantu)
  12. Nasib Si Labu Labi - (1963) - (pelakon pembantu) - watak sebagai (haji ibrahim)
  13. The Spiral Road - (1962) - (pelakon pembantu)
  14. Sayang Si Buta - (1965) - (pelakon pembantu)
  15. Keluarga Si Comat - (1975) - (pelakon utama)
  16. Tuan Badul - (1979) - (pelakon pembantu)
  17. Serampang Tiga - (1981) - (pelakon pembantu) - watak sebagai (jalur)
  18. Penyamun Tarbus - (1981) - (pelakon utama)
  19. Da Di Du - (1981) - (pelakon utama)
  20. Setinggan - (1981) - (pelakon utama)
  21. Sikit Punya Gila - (1982) - (pelakon pembantu) - watak sebagai (pak brahim)
  22. Filem Hero - (1989) - (pelakon pembantu)
  23. XX-Ray - (1992) - (pelakon pembantu) - watak sebagai (beragas)

Telemovie dan Drama[sunting | sunting sumber]

  1. Broker Angin
  2. Selamat Hari Jadi Abah

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  1. Ibrahim Pendek (Telah Meninggal Dunia 25-11-2003)
  2. ARKIB : 05/08/2012 Keluarga Ibrahim Pendek mohon sumbangan © Utusan Melayu (M) Bhd
  3. Derita keluarga Ibrahim Pendek dapat perhatian, 2012/08/10 - 06:03:04 AM
  4. Updated: Isnin Ogos 6, 2012 MYT 1:49:27 PM, Keluarga Ibrahim Pendek Dapat Tanah, Rumah Baru. Oleh ALLISON LAI