P. Ramlee

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Tan Sri Datuk Amar Dr.
P. Ramlee
P. Ramlee-Madu Tiga.jpg
P. Ramlee dalam filem Madu Tiga (1964)
Kelahiran Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh
22 Mac 1929(1929-03-22)
40A, Counter Hall Road, Pulau Pinang, Malaysia
Meninggal dunia 29 Mei 1973 (umur 44)
Sebab kematian Serangan jantung
Tempat mayat dijumpai No. 22, Jalan Dedap, Taman P. Ramlee, Setapak, Kuala Lumpur
Perkuburan Pusara Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur
Tugu peringatan Pustaka Peringatan P. Ramlee
Tempat tinggal No. 22, Jalan Dedap, Taman P. Ramlee, Setapak, Kuala Lumpur
Warganegara Malaysia
Nama lain Ramli Puteh
Etnik Melayu Aceh
Pendidikan
Pekerjaan Penyanyi, pelakon, pengarah filem, pemuzik, penulis lagu
Tahun aktif 1945[nota 1] - 1973
Organisasi
Agama Islam
Pasangan
  • Junaidah Daeng Harris (1950-1954)
  • Noorizan Mohd Noor (1955-1961)
  • Saloma (1961-1973)
Anak
  • Mohamad Nasir (1953)
  • Arfan (1954)
Ibu bapa
  • Teuku Nyak Puteh bin Teuku Karim
  • Che Mah Hussein
Saudara Syeikh Ali (abang seibu)
Panggilan Remy

Tan Sri Datuk Amar Dr. P. Ramlee (dilahirkan sebagai Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh; 22 Mac 1929 - 29 Mei 1973) merupakan seorang penyanyi, pelakon, pengarah, pemuzik dan penulis lagu yang berasal dari Pulau Pinang, Malaysia. Beliau juga digelar sebagai "Seniman Agung Negara" kerana jasanya yang amat besar dalam industri hiburan terutamanya di rantau Asia Tenggara. Beliau pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti Best Male Lead Role (Festival Filem Asia Ke-4, Tokyo) dan Most Versatile Talent (Festival Filem Asia Ke-10, Tokyo). Beliau berjaya menghasilkan sebanyak 401 buah lagu dan 66 buah filem sepanjang hayatnya.[1]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Beliau telah dilahirkan pada 22 Mac 1929, iaitu selepas khutbah selesai pada pagi Hari Raya Aidilfitri di Pulau Pinang.[2] Beliau adalah anak kepada pasangan Teuku Nyak Puteh bin Teuku Karim (1902 - 1955) dan Che Mah Hussein (1904 - 1967).[1] Sebelum Che Mah melahirkannya, Che Mah telah mengadu sakit perut pada sebelah paginya. Tetapi, bapanya harus menunaikan sembahyang raya. Mujurlah ibu Che Mah tinggal bersama-sama dengannya. Ibu Che Mah telah memanggil bidan dan orang ramai mula berkumpul di rumah mereka. Selepas pulang daripada menunaikan solat, Teuku Nyak Puteh mendapati anaknya telah selamat dilahirkan. Ibu Che Mah telah memanggil cucunya dengan panggilan "Ramlee" kerana kesukaran memanggil nama "Teuku Zakaria".[2]

Teuku Nyak Puteh merupakan anak tunggal yang berasal dari Lhokseumawe, Acheh. Bapanya mengembara untuk menjadi pelayar kerana merajuk kepada salah seorang ahli keluarganya. Akhirnya, beliau berkenalan dengan seorang janda bernama Che Mah Hussein. Perkenalan ini telah menyebabkannya berkahwin dengan Che Mah pada tahun 1925 di Kampung Kubang Buaya, Butterworth. P. Ramlee mempunyai seorang adik-beradik tiri melalui perkahwinan pertama ibunya, iaitu Syeikh Ali. Ibunya meninggal akibat penyakit barah gusi, ketika P. Ramlee dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang.[2]

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan Francis Light English School. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua.[1] Ketika beliau masih bersekolah di Penang Free School, beliau dikenali sebagai pelajar yang kemas dari segi tulisan dan mempunyai bahasa yang menarik. Pada waktu tengah hari, beliau mempelajari pendidikan Islam dan pada sebelam malamnya, beliau aktif bersukan. Guru beliau, Encik Hashim adalah bapa kepada Ahmad Daud. Setiap hari, beliau akan disuruh oleh Encik Hashim untuk menghantar buku-buku pelajar ke rumahnya. Sebelum pulang ke rumah, beliau seringkali dipelawa untuk makan di rumah Encik Hashim.[2] Ketika zaman pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, beliau belajar di Japanese Navy School (Kaigun Gakko) sebelum kembali ke Penang Free School apabila perang tamat.[1]

Permulaan kerjaya seni[sunting | sunting sumber]

Beliau mula meminati bidang muzik apabila melihat rakan-rakannya bermain muzik di kampungnya. Beliau mula mengumpul duit hasil upahan orang dalam usaha untuk membeli sebuah biola. Ketika beliau bersekolah di Japanese Navy School, beliau pernah menjadi ketua dalam satu batalion seramai 150 orang. Apabila pertunjukan pentas diadakan pada setiap malam minggu, beliau seringkali diundang untuk menyanyi beberapa buah lagu. Sistem pendidikan Jepun telah menyebabkan beliau menguasai bahasa Jepun dalam masa yang singkat. Pihak Jepun telah menghantarnya ke merata-rata tempat untuk mengasah kemahirannya.[2]

Selepas selesai menunaikan solat pada waktu malam, beliau berlatih bermain muzik bersama pancaragam Sinaran Bintang Sore. Seterusnya, beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung sebagai pemain biola, penyanyi, dan pencipta lagu. Encik Kamaruddin telah menyedari bakatnya dan menawarkan kelas bermain piano di rumahnya. Oleh kerana beliau tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya ketika sesi pengajaran, Normah iaitu anak Encik Kamaruddin telah membawa secawan kopi sebagai galakan.[2]

Beliau mula mencuba nasib dengan menyertai sebuah pertandingan nyanyian anjuran Radio Malaya bahagian utara. Pada tahun 1945, beliau memperoleh tempat ketiga manakala tahun seterusnya, beliau disenaraikan dalam tempat ketiga. Pada tahun 1947, beliau berjaya mendapat tempat pertama sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Sejak dari itu, namanya dan Orkes Teruna Sekampung dikenali ramai di kawasan utara. Kumpulan Rayuan Asmara yang terdiri daripada pelakon-pelakon pentas bangsawan telah mengadakan pertunjukan di Pulau Pinang. Pada ketika itu, beliau berhasrat untuk melihat persembahan tersebut walaupun tidak mempunyai wang. Hasil pendapatan beliau yang diperoleh daripada majlis keramaian dan pertunjukan pentas telah dibelanjakan untuk membeli pakaian. Pernah suatu ketika, beliau terpaksa memakai baju koyak dan menutupnya dengan sehelai kot di sebelah luarnya.[2]

Akhirnya, beliau memberanikan diri dengan memanjat pagar untuk melihat persembahan oleh kumpulan Rayuan Asmara. Kasma Booty menjadi penyanyi dalam kumpulan tersebut dan belum dikenali sebagai pelakon filem. Ahmad C.B. telah berjumpa dengan ketua Orkes Teruna Sekampung dan mencadangkan mereka bergabung dengan kumpulan Rayuan Asmara. Pada suatu pertunjukan hasil gabungan kedua-dua kumpulan, P. Ramlee telah berjumpa dengan Kasma Booty buat kali pertama. P. Ramlee juga mula berkenalan dengan pemain saksofon, Jaafar yang merupakan bapa tiri Kasma Booty. Untuk suatu ketika, beliau tidak lagi berjumpa dengan Kasmy Booty kerana kumpulan Rayuan Asmara sentiasa berpindah dalam mengadakan pertunjukan.[2]

Kejayaan dalam bidang lakonan[sunting | sunting sumber]

Filem pertama lakonan P. Ramlee ialah Chinta, sebuah filem yang dikeluarkan pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan nyanyian latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakon di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955. Salah seorang pendorong dan guru beliau dalam dunia perfileman Melayu ialah Tan Sri L. Krishnan yang merupakan pengarah bagi filem Melayu sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an. Gaya lakonan beliau yang amat berjaya itu adalah hasil inspirasi daripada dua pelakon yang terkenal dari India Selatan iaitu MGR dan Sivaji Ganesan. Filem terakhir lakonan beliau ialah Laxmana Do Re Mi pada tahun 1972 manakala lagu dan lirik terakhirnya ialah Air Mata di Kuala Lumpur pada tahun 1973 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Perkahwinan[sunting | sunting sumber]

P. Ramlee & Saloma

P. Ramlee pernah berkahwin tiga kali. Kali pertama beliau berkahwin dengan Junaidah Daeng Harris pada 1950 tetapi perkahwinan mereka menemui kegagalan pada tahun 1954. Perkahwinan kedua beliau adalah dengan Noorizan Mohd. Noor pada 6 Februari 1955 yang merupakan seorang kerabat diraja bagi negeri Perak yang sanggup meninggalkan kehidupan di istana demi cintanya itu. Walaubagaimanapun, Norizan mengharapkan sesuatu yang lebih dari perkahwinan mereka tetapi beliau lebih menumpukan hidupnya kepada kerjaya seni yang menyebabkan perkahwinan mereka berakhir pada tahun 1961. Kali terakhir adalah dengan Saloma pada 21 November 1961 dalam satu majlis yang sangat sederhana bersama rakan-rakan terdekatnya.

Wanita yang mencintai beliau mempunyai sebab-sebab yang berbeza. Isteri pertama beliau, Junaidah, menyintainya ketika masih belum terkenal. Seterusnya, Norizan pula mencintainya sebagai seorang seniman dan pembikin filem yang terkenal. Walaubagaimanapun, Saloma mencintainya dengan seadanya iaitu sebagai seorang seniman dan sebagai seorang yang biasa. Perkara ini yang menyebabkan Saloma menjadi teman hidup sehati sejiwa beliau sehingga ke akhir hayat.

Anak-anak[sunting | sunting sumber]

P. Ramlee mempunyai ramai anak yang dijaga beliau dan tetapi hanya dua orang sahaja yang merupakan anak kandungnya hasil perkahwinan beliau dengan Junaidah. Anak-anak beliau banyak membantu beliau dalam kerja seperti menjadi penyanyi latar kanak-kanak (contohnya lagu Tolong Kami Bantu Kami daripada filem Tiga Abdul) dan pelakon kanak-kanak tambahan (contohnya Sazali yang berlakon sebagai anak pekerja ladang dalam Anak Bapak). Berikut merupakan anak-anak yang pernah dijaga beliau:

  1. Mohd Nasir : Anak kandung bersama Junaidah (1953-2008)
  2. Arfan : Anak kandung bersama Junaidah (1954-1998)
  3. Sazali : Anak angkat (lahir 1958)
  4. Abdul Rahman : Anak tiri (anak Junaidah)
  5. Norma : Anak tiri (anak Noorizan)
  6. Armali : Anak tiri (anak Saloma dan A.R.Tompel)
  7. Betty : Anak angkat
  8. Zakiah @ Zazaloma : Anak angkat (lahir 1963)
  9. Sabaruddin @ Badin : Anak angkat (1966-2007)
  10. Salfarina @ Dian : Anak angkat (keturunan Cina)

Penghargaan selepas pemergian dan kematian[sunting | sunting sumber]

P. Ramlee menerima Pingat Kebesaran Ahli Mangku Negara(A.M.N.) daripada Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (Yang di-Pertuan Agong Ke-3)

P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa yang bertarikh 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun akibat sakit jantung semasa mahu tiba di Hospital Kuala Lumpur dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, beliau telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. Selain itu rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak telah diubahsuai dan dijadikan sebagai Pustaka Peringatan P Ramlee pada tahun 1986. Manakala di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur namanya turut diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan P. Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982. Di Kuching juga ada sebatang jalan yg dinamakan Jalan P. Ramlee. Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran "doktor". Beliau juga diberi penghormatan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak atau Datuk Amar Bintang Kenyalang (Posthumous) (DA (P)) pada 2009. Anugerah tersebut telah disampaikan kepada anak angkat beliau iaitu Dian P. Ramlee.

Kemudian, sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia iaitu pada tahun 2007, beliau telah terpilih sebagai 10 calon terakhir bagi program Anak Gemilang Malaysia yang mengiktiraf rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan kepada negara dan kejayaan dalam menaikkan nama negara di mata dunia.

Pada tahun yang sama, kisah hidup beliau juga telah dipentaskan dalam satu pementasan teater muzikal dengan tajuk P. Ramlee the Musical... Hidup, Cinta dan Inspirasi.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Berikut merupakan senarai anugerah yang terlibat dengan beliau dan karya beliau sepanjang hidup beliau.

1945

  • Pertandingan Nyanyian Radio Pulau Pinang Malaya
"Tempat ke-3" - P. Ramlee

1946

  • Pertandingan Nyanyian Keroncong Pulau Pinang
"Tempat Pertama" - P.Ramlee dan Pancaragam Keroncong Pemuda Indonesia
  • Pertandingan Nyanyian Radio Pulau Pinang Malaya
"Tempat ke-2" - P.Ramlee

1947

  • Pertandingan Nyanyian Radio Pulau Pinang Malaya
"Tempat pertama" - P.Ramlee

1951

  • Majalah Filem Raya Malaya
"Bintang Pujaan Malaya and Indonesia" - P.Ramlee

1952

  • Majalah Filem Raya Malaya
"Pelakon Terbaik" - P.Ramlee
"Filem Terbaik" - Antara Senyum Dan Tangis
"Filem Kegemaran" - Juwita

1953

  • Majalah Filem Raya Malaya
"Filem Terbaik" - Hujan Panas
"Pelakon Terbaik" - P.Ramlee
"Filem Kegemaran Malaya" - Antara Senyum Dan Tangis
"Filem Kegemaran Malaya dan Indonesia" - Antara Senyum Dan Tangis
"Pelakon Kegemaran Malaya dan Indonesia" - P.Ramlee
  • Majalah Filem dan Sukan Utusan Malaya
"Artis Tahunan 1953" - P.Ramlee
"Filem Terbaik" - Hujan Panas
  • Radio Malaya
"Penyanyi Lelaki Terbaik" - P.Ramlee

1956

  • Festival Filem Asia ke-3 Hong Kong
"Skor Muzik Terbaik" - P.Ramlee
"Pelakon Pembantu Wanita Terbaik" - Zaiton bagi Hang Tuah
  • Majalah Bintang Singapura
"Seniman Terbaik" - P.Ramlee
"Pengarah Terbaik" - P.Ramlee
"Penggubah Terbaik" - P.Ramlee
"Penyanyi Terbaik" - P.Ramlee
"Filem Terbaik" - Semerah Padi
"Filem Kedua Terbaik" - Anakku Sazali
"Pengarah Kedua Terbaik" - Phani Majumdar bagi Anakku Sazali
"Pelakon Wanita Terbaik" - Saadiah Baharom bagi Semerah Padi
  • Majalah Filem dan Sukan Utusan Malaya
"Filem Melayu Terbaik" - Penarik Beca
"Pengarah Terbaik" - P.Ramlee
"Seniman Terbaik" - P.Ramlee
"Lagu Terbaik" - Inang Baru dari Penarik Beca

1957

  • Festival Filem Antarabangsa Berlin
Terpilih untuk Tayangan - Hang Tuah
  • Festival Filem Asia ke-4 Tokyo
"Pelakon Lelaki Terbaik" - P.Ramlee
"Pelakon Kanak-kanak Terbaik" - Tony Castillo bagi Anakku Sazali

1958

  • Festival Filem Asia ke-5 Manila
"Fotografi Hitam Putih Terbaik" - Abu Bakar Ali bagi Sumpah Orang Minyak
  • Majalah Kisah Bintang Dan Filem Malaya
"Seniman Terbaik" - P.Ramlee
"Filem Terbaik" - Sumpah Orang Minyak
"Lagu Kedua Terbaik" - Tudung Periuk dari Sumpah Orang Minyak

1959

  • Festival Filem Asia ke-6 Kuala Lumpur
"Filem Komedi Terbaik" - Pendekar Bujang Lapok

1960

  • Majalah Gelanggang Singapura
"Filem Paling Popular" - Pendekar Bujang Lapok
"Fotografi Hitam dan Putih Terbaik" - Nujum Pak Belalang
  • Majalah Bintang Singapura
"Filem Kegemaran" - Pendekar Bujang Lapok
"Pengarah Kegemaran" - P.Ramlee
"Fotografi Hitam dan Putih Terbaik" - Abu Bakar Ali bagi Nujum Pak Belalang
"Seniman Teratas" - P.Ramlee
"Lagu Kegemaran" - Jangan Adik Angan-Angan dari Musang Berjanggut
  • Festival Filem Asia ke-7 Tokyo
"Filem Komedi Terbaik" - Nujum Pak Belalang

1962

  • Festival Filem Asia ke-9 Tokyo
Pencalonan bagi "Filem Komedi Terbaik" - Seniman Bujang Lapok
"Ahli Mangku Negara" - P. Ramlee A.M.N.

1963

  • Festival Filem Asia ke-10 Tokyo
"Fotografi Hitam dan Putih Terbaik" - Abu Bakar Ali bagi Ibu Mertuaku
"Bakat Paling Pelbagai" - P.Ramlee

1964

  • Festival Filem Asia ke-11 Taipei
"Filem Komedi Terbaik" - Madu Tiga

1965

  • Festival Filem Dunia Paris
"Anugerah Khas" - Ibu Mertuaku

Senarai lagu[sunting | sunting sumber]

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Filemografi P. Ramlee

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. Beliau memenangi tempat ketiga dalam Peraduan Menyanyi Radio Malaya Pulau Pinang pada tahun ini.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 1.2 1.3 Ralat Lua pada baris 250 di Modul:Citation/CS1: Dipanggil dengan keadaan ralat tidak ditetapkan.
  2. 2.0 2.1 2.2 2.3 2.4 2.5 2.6 2.7 Ralat Lua pada baris 250 di Modul:Citation/CS1: Dipanggil dengan keadaan ralat tidak ditetapkan.
  • Pogadaev V. A. Malaysian Cinema and P. Ramlee. Aziya i Afrika segodnya (Asia and Africa Today). N 10, 2001, p. 65.
  • Pogadaev V. A., Pogadaeva P. V. P. Ramlee dan Leonid Utesov: Parallels of Creativity. P. Ramlee di Cakera Nusantara. Editor Awang Azman Awang Pawi, Khor Chooi Lian. Universiti Malaysia Sarawak, Kota Samarahan, 2005, p.239-249
  • Pogadaev V. A., Pogadaeva P. V. P. Ramlee & Leonid Utesov: Kesejajaran Kreativiti Dua Seniman Dunia. In: “Pentas”, Jil. 3, Bil. 1, 26-29, 70.
  • Pogadaev V. A., Pogadaeva P. V. The Great Actor of Malaysia. Aziya i Afrika segodnya (Asia and Africa Today). 2009, N 4, p. 71-74.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]