Malaya British

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
British Malaya diantara 1909 dan 1946.
Sejarah Malaysia
Kemerdekaan Malaya dan proklamasi penggabungan Borneo Utara dan Sarawak bagi membentuk Malaysia.
Rencana ini adalah sebahagian dari Sejarah Malaysia
Prasejarah Malaysia
Kerajaan awal
Gangga Negara (Kurun-2 hingga kurun-11)
Langkasuka (Kurun-2 hingga kurun-14)
Pan Pan (Kurun-3 hingga kurun-5)
Srivijaya (Kurun-7 hingga kurun-14)
Kedah Tua
Kemunculan Kesultanan Islam
Kesultanan Brunei (Kurun-15–sekarang)
Kesultanan Kedah (1136–sekarang)
Kesultanan Melaka (1402–1511)
Kesultanan Sulu (1450–1899)
Kesultanan Johor (1528–sekarang)
Era Penjajahan Barat
Perjanjian Inggeris-Belanda 1824
Perjanjian Burney (1826)
Penempatan Selat (1826-1946)
Perang Kelang (1867-1874)
Perjanjian Pangkor 1874
Negeri-negeri Melayu Bersekutu (1895-1946)
Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (abad ke-19 -1946)
Perjanjian Inggeris-Siam 1909
Pertempuran Pulau Pinang (1914)
Perang Dunia Kedua
Perang Tanah Melayu (1941-1942)
Pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong (1942)
Perang Singapura (1942)
Syburi (1942-1945)
Kawat Kematian Sandakan (1945)
Penjajahan Jepun di Tanah Melayu
Peralihan Malaysia
Malayan Union (1946-1948)
Persekutuan Tanah Melayu (1948-1963)
Darurat Tanah Melayu (1948-1960)
Peristiwa Bukit Kepong (1950)
Rundingan Baling (1955)
Malaysia selepas Merdeka
Konfrontasi Indonesia-Malaysia (1962-1966)
Pemberontakan Brunei (1962-1966)
Rusuhan Kaum 1964 (1964)
Pemisahan Singapura (1965)
Peristiwa 13 Mei (1969)
Dasar Ekonomi Baru (1971-1990)
Serangan hendap Lahad Datu 1985 (1985)
Peristiwa Memali 1985 (1985)
Operasi Lalang (1987)
Krisis Perlembagaan Malaysia 1988 (1987-88)
Krisis Kewangan Asia (1997-98)
Al-Ma'unah (2000)
Perhimpunan Bersih (2007)
Perhimpunan Bersih (2011)
Perhimpunan Bersih (2012)
Pencerobohan Lahad Datu (2013)

Flag of Malaysia.svg Portal Malaysia

Malaya British secara kurang tepat diperihalkan sebagai sekumpulan negeri di Semenanjang Tanah Melayu yang dijajah oleh British dari abad ke-18 dan ke-19 sehingga abad ke-20. Sebelum pembentukan Malayan Union pada tahun 1946, tanah-tanah jajahan ini tidak diletakkan di bawah sebuah pentadbiran tunggal yang disatukan. Sebaliknya, Malaya British terdiri daripada Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu, dan Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu. Malaya juga merupakan salah satu negeri naungan British yang paling menguntungkan disebabkan ia merupakan pengeluar timah dan kemudiannya getah yang paling besar di dunia.

Malayan Union dibubarkan dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pada 16 September 1963, sebuah persekutuan yang lebih besar yang dikenali sebagai Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Sabah, Sarawak dan Singapura.

Penglibatan permulaan British dalam politik Melayu[sunting | sunting sumber]

Pihak British mula-mulanya terlibat dalam politik Melayu ketika ia mencuba mengasaskan pos-pos perdagangan di Pulau Pinang, ketika itu sebahagian Kedah, pada tahun 1771, Melaka pada 1790 dan Singapura pada tahun 1819.

Kedah dan Pulau Pinang[sunting | sunting sumber]

Pada pertengahan abad ke-18, syarikat-syarikat British boleh didapati berdagang di Semenanjung Tanah Melayu. Pada April 1771, Jourdain, Sulivan dan de Souza, sebuah syarikat British yang berpusat di Madras, India menghantar Sir Francis Light untuk berjumpa dengan Muhammad Jiwa Shah, sultan Kedah, bagi membuka pasaran perdagangan di negeri itu. Light juga merupakan kapten dalam Syarikat Hindia Timur Inggeris.

Georgetown, ibu kota Pulau Pinang. Di seberang selat ialah Seberang Perai (Province Wellesley) di tanah besar.

Pada waktu yang sama, Sultan Kedah menghadapi banyak ancaman luaran yang mencabar kuasa baginda di Kedah. Siam yang berperang dengan Burma melihatkan Kedah sebagai sebuah negeri lindungan, dan sering menuntut Kedah menghantar tentera bantuan. Bagaimanapun, Kedah berkeberatan bersekutu dengan Siam.

Melalui perundingan antara Sultan Kedah dan Light, Sultan Kedah bersetuju membenarkan syarikat Light membina sebuah pos perdagangan dan beroperasi di Kedah jika pihak British bersetuju memperlindungi Kedah daripada tekanan luaran. Light menghantar perutusan ini kepada orang atasannya di India. Bagaimanapun, pihak British memutuskan untuk menolak cadangan tersebut.

Dua tahun kemudian, Sultan Muhammad Jiwa mangkat dan diwarisi oleh Sultan Abdullah Mahrum Shah. Sultan baru itu terdesak dan menawarkan Light (yang merupakan wakil British) Pulau Pinang sebagai balasan untuk bantuan ketenteraan kepada Kedah. Light memberitahu Syarikat Hindia Timur Inggeris tentang tawaran sultan. Bagaimanapun, syarikat itu memerintah Light mengambil alih Pulau Pinang tanpa memberi sebarang jaminan bantuan ketenteraan yang dimintai oleh sultan. Light kemudian mengambil alih Pulau Pinang dan menjamin Sultan Kedah tentang bantuan ketenteraan walaupun ini bertentangan dengan kedudukan syarikatnya. Kemudian, syarikat itu membuat keputusan dan memberitahu Light bahawa mereka tidak akan memberi sebarang bantuan ketenteraan kepada Kedah. Pada Jun 1788, Light memberitahu Sultan Kedah tentang keputusan syarikatnya. Berasa ditipu, Sultan Kedah memerintah Light keluar dari Pulau Pinang tetapi Light menolak.

Penolakan Light menyebabkan Sultan Kedah mengukuhkan tenteranya dan mengubui Perai. Perai ialah pantai yang terletak di seberang sana Pulau Pinang. Menyedari bahaya itu, pihak British membakar kubu di Perai. Dengan kemenangan mereka, pihak British memaksa Sultan Kedah memeterai sebuah perjanjian yang membenarkan mereka menduduki Pulau Pinang. Sebagai balasan, Sultan Kedah akan menerima sewa tahunan sebanyak 6,000 peso Sepanyol. Pada 1 Mei 1771, Union Jack dinaikkan secara rasmi buat pertama kali di Pulau Pinang. Pada tahun 1800, Kedah menyerahkan Perai kepada pihak British dan Sultan Kedah menerima 4,000 peso lagi sebagai sewa tahunan. Pulau Pinang dinamakan "Prince of Wales Island", manakala Perai dinamakan semula sebagai "Province Wellesley".

Pada tahun 1821, Siam menyerang Kedah serta menjarah ibu kota Alor Star dan menduduki negeri itu sehingga tahun 1842.

Melaka[sunting | sunting sumber]

British merobohkan Kota A Famosa yang didirikan oleh Portugis atas alasan strategik.

Dari abad ke-16 hingga awal ke-19, Melaka ialah tanah jajahan Belanda. Semasa perang-perang Napoleon antara tahun 1811 dan 1815, Melaka, serupa dengan pegangan-pegangan Belanda yang lain di Asia Tenggara, berada di bawah jagaan British. Ini dilakukan untuk menghalang Perancis daripada menuntut hak milik Belanda di sana. Apabila perang berakhir pada tahun 1815, Melaka dipulangkan kepada Belanda. Pada tahun 1824, pihak British dan Belanda menandatangani perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Perjanjian ini, antara yang lain, memindahkan Melaka ke pentadbiran British secara sah di sisi undang-undang. Perjanjian itu juga merupakan perjanjian tunggal yang membahagikan kepulauan Melayu menjadi dua buah entiti yang berasingan dan menjadi asas kepada sempadan Indonesia-Malaysia kini.

Johor dan Singapura[sunting | sunting sumber]

1888 Peta Singapura Jerman.

Singapura Moden ditubuhkan oleh Sir Stamford Raffles dengan banyak bantuan daripada Mejar Farquhar. Sebelum menubuhkan Singapura, Raffles adalah Leftenan Gabenor Jawa dari 1811 hingga 1815. Pada tahun 1818, beliau dilantik sebagai Gabenor Benkulin. Menyedari bagaimana Belanda memonopoli perdagangan di Kepulauan Melayu, Raffles yakin bahawa pihak British memerlukan sebuah tanah jajahan perdagangan yang baru untuk menentang kuasa perdagangan Belanda. Penyelidikan berbulan-bulan membawanya ke Singapura, sebuah pulau di hujung Semenanjung Melayu. Pulau ini diperintah oleh seorang temenggung.

Singapura ketika itu di bawah penguasaan Tengku Abdul Rahman, Sultan Lingga-Riau, yang pula dikuasai oleh Belanda dan orang Bugis. Oleh itu, baginda tidak mungkin akan bersetuju dengan penubuhan sebuah pangkalan British di Singapura. Walau bagaimanapun, Tengku Abdul Rahman menjadi sultan hanya kerana kekandanya, Tengku Hussein atau Tengku Long, telah lama meninggalkan tempat asalnya untuk berkahwin di Pulau Pinang apabila Sultan Lingga-Riau, bapa mereka, mangkat pada tahun 1812. Menurut adat resam Melayu, seseorang putera harus berada di sisi sultan semasa sultan mangkat untuk melayakkan diri menjadi pewaris raja. Tengku Abdul Rahman berada di sisi bapa mereka ketika bapa mereka mangkat. Kekandanya tidak berpuas hati dengan perkembangan itu sementara temenggung Singapura lebih suka akan Tengku Hussein daripada adiknya.

Pihak British mengakui Tengku Abdul Rahman buat pertama kali sebaik sahaja mereka berada di Melaka. Bagaimanapun, keadaan itu kemudian berubah. Pada tahun 1818, Farquhar melawat Tengku Hussein di Penyengat, sebuah pulau kecil yang terletak berhampiran dengan Bintan, ibu kota Kepulauan Riau. Di sana, rancangan-rancangan baru disediakan dan pada tahun 1819, Raffles membuat perjanjian dengan Tengku Hussein yang menyatakan bahawa pihak British akan mengakui Tengku Hussein sebagai pemerintah Singapura yang sah jika baginda membenarkan mereka mengasaskan sebuah pos perdagangan di sana. Perjanjian itu yang diratifikasi pada 6 Februari 1819 juga menyatakan bahawa Tengku Hussein dan temenggung akan menerima gaji tahunan daripada pihak British. Dengan pertolongan Temenggung, Raffles berjaya bertolak dari Penyengat ketika berpura-pura 'memancing ikan'. Selepas ketibaannya di Singapura, baginda dilantik dengan segera sebagai Sultan Singapura yang rasmi.

Belanda amat marah terhadap tindakan Raffles. Walau bagaimanapun, dengan pemeteraian Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Belanda menarik balik sebarang tentangannya terhadap kehadiran British di Singapura. Dengan perjanjian tersebut, Kesultanan Johor dibahagikan kepada Johor moden dan Kesultanan Riau baru.

Negeri-negeri Selat[sunting | sunting sumber]

Setem pos Negeri-negeri Selat dari tahun 1883.
Rencana utama: Negeri-negeri Selat

Selepas pihak British menguasai Singapura daripada pihak Belanda melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, British bertujuan untuk memusatkan pentadbiran Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Oleh itu, pada tahun 1826, sebuah rangka yang dikenali sebagai "Negeri-negeri Selat" ditubuhkan dengan Pulau Pinang menjadi ibu kotanya. Kemudian pada tahun 1832, ibu kotanya dipindahkan ke Singapura. Sementara tiga pegangan menjadi tulang belakang Negeri-Negeri Selat, Pulau Christmas, Kepulauan Cocos, Labuan dan Dinding di Perak kemudian diletakkan di bawah kuasa Negeri-negeri Selat.

Sehingga tahun 1867, Negeri-negeri Selat bertanggungjawab kepada pentadbir Syarikat Hindia Timur Inggeris di Kolkata. Bagaimanapun, para pentadbir Negeri-negeri Selat tidak berpuas hati dengan cara Kolkata menangani hal ehwal mereka dan mereka merungut kepada London. Syarikat itu juga mencuba membatalkan taraf Singapura sebagai pelabuhan bebas pada tahun 1856.

Bagaimanapun, Syarikat Hindia Timur Inggeris dibubarkan pada tahun 1858 dan India dijadikan sebuah tanah jajahan. Disebabkan oleh kuasa Kolkata yang semakin merosot serta lobi para pentadbir Negeri-negeri Selat, tanah jajahan tersebut dikuasai secara langsung oleh Pejabat Kolonial di London dan diisytiharkan sebagai Tanah Jajahan Diraja. Pengisytiharan itu memberikan Negeri-negeri Selat banyak kebebasan dan kuasa di dalam Empayar British.

Pada tahun 1946 selepas Perang Dunia Kedua, tanah jajahan dibubarkan dan diserap ke dalam Malayan Union sedangkan Singapura dipisahkan daripada Union tersebut dan dibentuk sebagai sebuah tanah jajahan baru. Malayan Union kemudian digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, dan pada tahun 1963, Malaysia ditubuhkan sebagai sebuah persekutuan yang lebih besar, dengan pemasukan Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura.

Negeri-negeri Melayu Utara dan Siam[sunting | sunting sumber]

Tekanan British dan Perancis memaksa Siam untuk melepaskan tuntutannya terhadap wilayah Indochina dan Semenanjung Melayu.
Rencana utama: Perjanjian Burney

Sebelum akhir abad ke-19, Syarikat Hindia Timur Inggeris hanya memberikan perhatian kepada perdagangan dan mencuba menjauhkan diri daripada politik Melayu dengan seberapa yang dapat. Bagaimanapun, pengaruh Siam di negeri-negeri Melayu utara, khususnya Kedah, Terengganu, Kelantan dan Patani menghalangnya daripada berdagang dengan aman. Oleh itu, pada tahun 1826, pihak British melalui Syarikat tersebut memeterai sebuah perjanjian dengan raja Siam yang dikenali sebagai Perjanjian Burney. Keempat-empat negeri Melayu tidak hadir semasa pemeteraian perjanjian itu. Dalam perjanjian itu, pihak British mengakui kedaulatan Siam terhadap keempat-empat negeri tersebut. Sebagai balasan, Siam menerima pemilikan British terhadap Pulau Pinang serta Seberang Perai (Province Wellesley) dan membenarkan Syarikat berdagang di Terengganu dan Kelantan tanpa halangan.

Hampir seratus tahun kemudian, sebuah perjanjian baru yang kini dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Siam 1909 atau Perjanjian Bangkok 1909 dimeterai antara kedua-dua kuasa. Dalam perjanjian baru ini, Siam bersetuju untuk melepaskan tuntutan mereka terhadap Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan, manakala Patani dikekalkan sebagai sebuah wilayah Siam. Perlis yang pada suatu masa merupakan sebahagian Kedah dipisahkan daripada Kedah semasa pemerintahan Siam. Bagaimanapun, daerah Satun di Kedah diilhakkan oleh Siam melalui perjanjian tersebut. Patani sebaliknya dipecahkan menjadi Patani, Yala dan Narathiwat selepas pemeteraian perjanjian itu.

Walaupun Raja Chulalongkorn dari Siam berkeberatan memeterai perjanjian itu, tekanan Perancis yang semakin meningkat di sempadan timur Siam memaksanya bekerjasama dengan pihak British. Serupa dengan Rama IV, Chulalongkorn berharap bahawa pihak British akan meninggalkan Siam sendirian jika baginda menyetujui tuntutan-tuntutan British. Lebih awal pada tahun 1893, Siam telah hilang kawasan Shan di Myanmar timur laut kepada pihak British. Garisan tanda sempadan ini sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian masih dikekalkan pada hari ini sebagai Sempadan Malaysia-Thailand.

Sultan-sultan Melayu tidak mengakui perjanjian tersebut. Bagaimanapun, baginda-baginda itu terlalu lemah untuk menentang pengaruh British. Selepas Perjanjian Bangkok, George Maxwell dihantar oleh pihak British ke Kedah sebagai penasihat sultan. Pihak British mengambil alih perancangan dan pelaksanaan ekonomi secara berkesan. Landasan kereta api dibina untuk mengaitkan Kedah dengan Siam pada tahun 1912, sedangkan reformasi tanah diperkenalkan pada tahun 1914. Hanya pada tahun 1923 bahawa sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Syah, menerima seorang penasihat British.

Perlis mengalami keadaan yang serupa. Rajanya tidak mengakui perjanjian 1909 tetapi pihak British merupakan pentadbir de facto negeri itu. Hanya pada tahun 1930 bahawa rajanya, Raja Syed Alwi, mengakui kehadiran British di Perlis dengan penerimaan Meadows Frost sebagai Penasihat British pertama di Perlis.

Perjanjian Pangkor and Perak[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Perjanjian Pangkor

Perak ialah sebuah negeri di pantai barat Semenanjung Melayu dan pada abad ke-18 dan ke-19, negeri itu dijumpai kaya dengan timah. Sebenarnya, Perak mempunyai mendapan aluvium timah yang terkaya di dunia. Pada waktu yang sama, Eropah sedang mengalami sebuah revolusi perindustrian dan ini menyebabkan permintaan timah yang besar. Pihak British serta juga Belanda sedang aktif di negeri-negeri itu, dengan setiap mereka mencuba memonopoli pengeluaran timah serta komoditi-komoditi lain yang kurang penting. Bagaimanapun, suasana politik di Perak sentiasa bergolak hebat dan ini mengakibatkan kenaikan kos pelombongan timah. Umpamanya pada tahun 1818, Siam memerintah Kedah untuk menyerang Perak. Kekurangan keselamatan di Perak memaksa pihak British untuk melindungi Perak pada tahun 1826.

Semasa Perak meningkatkan operasi pelombongan secara berterusan, negeri itu mengalami kekurangan buruh. Untuk mengatasi masalah ini, Long Jaafar, seorang pentadbir Melayu, menjemput orang-orang Cina dari Pulau Pinang untuk bekerja di Perak, khususnya di Larut. Menjelang dekad 1840-an, jumlah penduduk Cina di Perak meledak. Pendatang-pendatang baru sering merupakan ahli kongsi gelap Cina. Dua kongsi gelap terbesar ialah Ghee Hin dan Hai San. Kedua-dua kumpulan ini selalu mencuba menambah pengaruh mereka di Perak dan ini sering mengakibatkan pertempuran kecil. Pertempuran-pertempuran kecil itu mencapai tahap yang tidak dapat dikawali, dengan Menteri Besar Ngah Ibrahim juga tidak dapat menguatkuasakan kedaulatan undang-undang dengan berkesan.

Raja Abdullah, kemudiannya Sultan Perak.

Pada masa yang sama, terdapat perebutan kuasa di istana Perak. Sultan Ali mangkat pada tahun 1871. Pewarisnya ialah raja mudanya, Raja Abdullah. Walaupun demikian, beliau tidak menghadiri pengebumian ayahnya. Amat serupa dengan kes Tengku Hussein dari Johor, Raja Abdullah tidak dilantik sebagai sultan yang baru oleh menteri-menteri Perak. Sebaliknya, pewaris yang kedua selepas Raja Muda, iaitu Raja Bendahara Raja Ismail, menjadi sultan Perak.

Raja Abdullah amat marah dan enggan menerima hakikat ini. Beliau mencuba mendapatkan sokongan politik daripada berbagai-bagai sumber, termasuk ketua-ketua tempatan Perak serta banyak kakitangan British yang pernah berurus niaga dengannya sebelum itu. Kongsi-kongsi gelap dipergunakan untuk menjadi proksinya dalam perebutan kuasa tersebut. Antara individu-individu British tersebut ialah W.H.M. Read, seorang pedagang British. Tambahan pula, Raja Abdullah berjanji akan menerima seorang penasihat British jika pihak British mengakuinya sebagai sultan Perak yang sah.

Malangnya Raja Abdullah, gabenor Negeri-negeri Selat ketika itu, adalah Sir Harry Ord, seorang kawan Ngah Ibrahim. Ngah Ibrahim mempunyai beberapa masalah yang belum diselasaikan dengan Raja Abdullah. Dengan pertolongan Ord, Ngah Ibrahim menghantar askar-askar supai dari India untuk menghalang Raja Abdullah daripada menuntut takhta dan pada setakat tertentu, mengawal kongsi-kongsi gelap Cina.

Menjelang 1873, Pejabat Kolonial di London menganggap Ord sebagai seorang gabenor yang tidak cekap. Tidak lama kemudian, beliau digantikan dengan Sir Andrew Clarke yang diperintah memberi gambaran keseluruhan tentang apa yang terjadi di negeri-negeri Melayu serta mencadangkan bagaimana memperkemas pentadbiran British di Tanah Melayu. Alasan keputusan ini adalah kerana London semakin sedar bahawa Negeri-negeri Selat semakin bergantung kepada ekonomi negeri-negeri Melayu, termasuk Perak. Sebaik sahaja Clarke tiba di Singapura, banyak pedagang British, termasuk Read, berapatan dengan gabenor baru ini. Melalui Read, Clarke mendapat tahu tentang masalah Raja Abdullah dan kesanggupannya untuk menerima seorang wakil British di dalam istananya jika pihak British membantu bekas pewaris raja itu.

Clarke terus merebut peluang untuk mengembangkan pengaruh British. Pada mula-mulanya, beliau memanggil semua kongsi gelap dan mendesak supaya mereka mencapai kedamaian yang tetap. Kemudian, melalui pemeteraian Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, Clarke mengisytiharkan Raja Abdullah sebagai sultan Perak yang sah. Dengan segera, J.W.W. Birch dilantik sebagai Residen Perak. Raja Ismail, walaupun tidak merupakan salah satu pihak perjanjian tersebut, dipaksa turun takhta, akibat tekanan Clarke yang sungguh kuat.

Selangor[sunting | sunting sumber]

Bersama-sama dengan Perak, Selangor yang merupakan lagi sebuah negeri Melayu yang terletak di sebelah sempadan selatan Perak, juga mempunyai banyak mendapan timah di sekitar Hulu Selangor di utara, Hulu Klang di kawasan tengah, dan Lukut yang berdekatan dengan Negeri Sembilan di selatan. Pada sekitar tahun 1840, pelombongan timah menjadi sebuah industri yang besar di bawah pimpinan Raja Jumaat dari Riau. Usaha Raja Jumaat diganjar oleh Sultan Muhammad dari Selangor yang melantik beliau sebagai pentadbir Lukut pada tahun 1846. Menjelang dekad 1850-an, kawasan ini muncul sebagai salah satu petempatan yang paling moden di Semenanjung Melayu, jika Negeri-negeri Selat tidak diambil kira. Pada suatu ketika, terdapat tidak kurang daripada 20,000 orang buruh yang kebanyakannya merupakan orang Cina yang diimport dari China. Raja Jumaat meninggal dunia pada tahun 1864, dan kematiannya mengakibatkan kekosongan pimpinan. Perlahan-lahan, Lukut merosot dan dilupakan.

Kuala Lumpur ialah bandar raya terbesar serta ibu negara Malaysia.

Sementara itu, Hulu Klang mencapai pertumbuhan yang tidak pernah berlaku dahulu, disebabkan oleh pelombongan timah. Antara tahun 1849 dan 1850, Raja Abdullah bin Raja Jaafar, sepupu Raja Jumaat, dilantik sebagai pentadbir Klang oleh Sultan Selangor. Semasa kepentingan ekonomi Lukut perlahan-lahan merosot, ekonomi Hulu Klang sedang memuncak. Ini menarik banyak buruh, khususnya pendatang-pendatang Cina yang pernah bekerja di Lukut, untuk berpindah ke sini. Seorang yang bertanggungjawab untuk memujuk orang-orang Cina untuk berpindah dari Lukut ke Hulu Klang ialah Sutan Puasa dari Ampang. Beliau membekalkan lombong-lombong jajahan di Hulu Klang dengan berbagai-bagai barang, termasuk beras dan candu. Ketika Hulu Klang menjadi makmur, banyak petempatan lain mula ditubuhkan. Salah dua daripada petempatan-petempatan yang baru ini ialah Kuala Lumpur dan Klang menjelang akhir dekad 1860-an. Seorang kapitan Cina yang bernama Yap Ah Loy memainkan peranan yang penting dalam perkembangan Kuala Lumpur.

Seperti yang terjadi di Perak, perkembangan yang pesat ini banyak menarik minat pihak British di Negeri-negeri Selat. Ekonomi Selangor menjadi terlalu penting kepada kemakmuran Negeri-negeri Selat sehingga sebarang kekacauan di negeri itu akan menjejaskannya. Oleh itu, pihak British berasa bahawa ia memerlukan hak bersuara dalam politik Selangor. Kekacauan utama tunggal yang merupakan sebuah perang saudara ialah Perang Klang yang bermula pada tahun 1867.

Pada November 1873, sebuah kapal dari Pulau Pinang diserang oleh lanun berhampiran dengan Kuala Langat, Selangor. Sebuah perbicaraan diadakan dekat Jugra dan lanon-lanon yang disyaki dihukum mati. Sultan Selangor melahirkan rasa bimbang dan meminta bantuan daripada Sir Andrew Clarke. Mula-mulanya pada tahun 1874, Frank Swettenham telah diarahkan untuk bertindak sebagai penasihat Sultan Selangor. Lebih kurang setahun kemudian, seorang peguam dari Singapura yang bernama J.G. Davidson dilantik sebagai Residen British di Selangor. Walaupun Frank Swettenham juga dicalonkan untuk jawatan Residen itu, beliau dianggap terlalu muda.

Perang Saudara tamat pada tahun 1874.

Sungai Ujong, Negeri Sembilan[sunting | sunting sumber]

Bendera Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan merupakan lagi satu pengeluar timah yang utama di Tanah Melayu. Pada tahun 1869, perebutan kuasa antara Tengku Antah dan Tengku Ahmad Tunggal berlaku ketika kedua-dua putera itu berhasrat untuk menjadi Yamtuan Besar (pemerintah Negeri Sembilan) yang berikut. Pertikaian antara kedua-dua putera ini membahagikan gabungan dan mengancam kebolehpercayaan pembekalan timah dari Negeri Sembilan.

Sungai Ujong, sebuah negeri dalam gabungan, khususnya merupakan tapak bagi banyak lombong tempatan yang penting dan yang dikuasai oleh Dato' Kelana Sendeng. Bagaimanapun, Dato' Bandar Kulop Tunggal, ketua suku kaum tempatan, lebih berpengaruh berbanding dengan Dato' Kelana, dan menerima banyak sokongan daripada orang-orang tempatan serta juga daripada pendatang-pendatang Cina yang bekerja di lombong-lombong Sungai Ujong. Kepopularan Dato' Kelana yang terhad memaksanya bergantung kepada lagi seorang ketua suku kaum yang bernama Sayid Abdul Rahman untuk sokongan. Sayid Abdul Rahman adalah Laksamana Raja Laut bagi gabungan tersebut. Hubungan yang tegang antara Dato' Bandar dan Dato' Kelana mengakibatkan banyak kekacauan di Sungai Ujong.

Bagaimanapun, tahun-tahun sebelum 1873 merupakan tahun-tahun yang agak tenteram ketika Dato' Kelana terpaksa memberi lebih banyak perhatian kepada Sungai Linggi kerana Rembau, lagi sebuah negeri di dalam gabungan, mencuba merampas Sungai Linggi daripada kuasa Sungai Ujong. Negeri Sembilan ketika itu dikaitkan dengan Melaka melalui Sungai Linggi, dengan jumlah perdagangan yang besar melalui Sungai Linggi setiap hari. Sesiapa yang menguasai Sungai Linggi akan memperoleh banyak kekayaan hanya melalui cukai.

Pada tahun 1873, Dato' Kelana Sendeng meninggal dunia, dan Sayid Abdul Rahman menjadi Dato' Kelana baru. Bagaimanapun, kematian Dato' Kelana Sendeng tidak menyebabkan perbaikan hubungan antara Dato' Kelana dan Dato' Bandar. Sebaliknya, keadaan merosot. Dato' Kelana yang baru berasa amat risau terhadap pengaruh Dato' Bandar yang tidak terkawal dan mencari cara-cara untuk membalas kuasa musuhnya.

Apabila pihak British bertukar kepada dasar tidak campur tangan pada tahun 1873 dengan menggantikan Sir Harry Ord dengan Sir Andrew Clarke sebagai gabenor baru Negeri-negeri Selat, Dato' Kelana dengan segera menyedari bagaimana pihak British dapat mengukuhkan kedudukannya di Sungai Ujong. Dato' Kelana tidak membazir masa dan dengan cepatnya berhubung serta melobi pihak British di Melaka untuk menyokongnya. Pada April 1874, Sir Clarke merebut permintaan Dato' Kelana sebagai cara untuk membina kehadiran British di Sungai Ujong khususnya dan Negeri Sembilan umumnya. Sir Clarke mengakui Dato' Kelana sebagai ketua Sungai Ujong yang sah. Pihak British dan Dato' Kelana memeterai sebuah perjanjian yang mendesak Dato' Kelana supaya memerintah Sungai Ujong dengan adil, melindungi pedagang-pedagang, serta menghalang sebarang tindakan yang menentang pihak British di sana. Dato' Bandar tidak dijemput untuk memeterai perjanjian ini dan oleh itu, beliau berkata bahawa beliau tidak terikat kepada perjanjian tersebut. Tambahan pula, Dato' Bandar dan orang-orang tempatan tidak bersetuju dengan kehadiran pihak British di Sungai Ujong, dan ini mengakibatkan Dato' Kelana menjadi lagi tidak popular di sana.

Tidak lama kemudian, sebuah kumpulan yang diketuai oleh William A. Pickering — dari Kawasan Naungan Cina di Negeri-negeri Selat — dihantar ke Sungai Ujong untuk menaksir keadaan bagi pihak Negeri-negeri Selat. Beliau mendapat tahu tentang kesusahan Dato' Kelana dan melaporkan hal ini kepada Negeri-negeri Selat. Ini memaksa pihak British menghantar 160 orang askar ke Sungai Ujong untuk membantu Pickering menewaskan Dato' Bandar. Pada akhir tahun 1874, Dato' Bandar melarikan diri ke Kepayang. Walaupun ditewaskan, pihak British masih membayarnya pencen serta memberi perlindungan kepadanya di Singapura.

Dengan lalunya masa, pengaruh British semakin meningkat sehingga seorang penolong residen dijawat untuk menasihati dan membantu Dato' Kelana dalam pemerintahan Sungai Ujong.

Tentangan[sunting | sunting sumber]

Perang Dunia II[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]