Jenayah kebencian

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Dalam ilmu jenayah dan undang-undang, jenayah kebencian berlaku apabila pelaku jenayah menyasar mangsanya kerana dipercayai menganggotai kelompok sosial yang tertentu, iaitu ras, agama, orientasi seks, kecacatan, darjat, keetnikan, kewarganegaraan, usia, jantina, identiti jantina, status sosial, hubungan politik atau sebagainya.[1]

Jenayah kebencian merupakan satu kategori undang-undang yang digunakan untuk memerikan keganasan dorongan prasangka: "penyerangan, pencederaan, dan pembunuhan atas dasar sifat-sifat peribadi yang tertentu: rupa berbeza, warna berbeza, bangsa berbeza, bahasa berbeza, agama berbeza."[2]

"Jenayah kebencian" umumnya memaksudkan tindakan-tindakan jenayah yang kelihatan didorong oleh prasangka terhadap mana-mana jenis tersebut atau yang sebagainya. Kejadian sebegini boleh melibatkan serangan fizikal, kerosakan harta, buli, penggangguan, cercaan atau penghinaan, ataupun contengan atau surat yang menyinggung perasaan (surat benci).[3]

Justeru itu, undang-undang jenayah kebencian digubal dengan tujuan mencegah keganasan yang didorong oleh prasangka. Undang-undang jenayah kebencian berbeza daripada undang-undang ucapan kebencian, yang mana undang-undang jenayah kebencian menguatkan hukuman yang dikaitkan dengan perilaku yang dianggap sebagai jenayah mengikut undang-undang lain, manakala undang-undang ucapan kebencian menjenayahkan ucapan itu sendirian.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Antara contoh-contoh utama jenayah kebencian dalam sejarah termasuk penindasan terhadap Kristian oleh Empayar Rom, genosid terhadap kaum Armenia dan Assyria oleh Empayar Uthmaniyyah, dan kegiatan-kegiaan pogrom Nazi yang bermula dalam bentuk kegiatan anti-Yahudi yang dibenarkan secara setempat pada zaman awal penguasaan Nazi sehingga memuncak dalam Holokus buat kaum Yahudi.

Terkini, konflik sesama etnik di Bosnia dan Herzegovina serta genosid di Rwanda disifatkan sebagai jenayah kebencian beramai-ramai, tetapi istilah "jenayah kebencian" hanya mulai digunakan selepas akhir Perang Dunia Kedua dan berakhirnya kebanyakan rancangan pembersihan kaum besar-besaran yang dikaitkan dengan kerajaan fasis.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada kejadian jenayah kebencian sama ada sebelum atau selepas merdeka. Antara peristiwa-peristiwa tempatan yang boleh digolongkan sebagai jenayah kebencian atau keganasan yang didorong oleh prasangka, ialah tragedi 13 Mei 1969 yang menyaksikan rusuhan antara kaum Melayu dan Cina, bantahan "kepala lembu" yang diarakkan oleh segelintir orang Melayu yang membantah pemindahan sebuah kuil Hindu di Shah Alam pada tahun 2009, dan tindakan segelintir Muslim menyerang dan membakar gereja ekoran keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam al-Kitab Kristian pada awal tahun 2010.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Stotzer, R.: "of Hate Crime Rates Across Protected and Unprotected Groups", Williams Institute, 2007–06. Retrieved on 2007-08-09. "A hate crime or bias motivated crime occurs when the perpetrator of the crime intentionally selects the victim because of his or her membership in a certain group."
  2. Streissguth, Tom (2003). Hate Crimes(Library in a Book), p.3. ISBN 0-8160-4879-7.
  3. Hate crime,Home Office

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Templat:Internet censorship