Jikey

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Jikey ialah salah satu daripada teater tradisional masyarakat Melayu yang sangat popular di negeri Kedah dan Perlis, Malaysia sekitar 60-an. Ia juga popular di selatan Thailand dan dikenali sebagai Likey dan popular di Satun dan Phuket.

Persembahan Jikey turut dipengaruhi oleh elemen kesenian yang terdapat dalam persembahan Mak Yong, Hadrah, Bangsawan dan Mek Mulung.

Tarian Jikey mempunyai bentuk tarian pementasan dan mempunyai dialog lucu, muzik dan tarian. Muzik jikey terdiri dari muzik dan muzik mengiringi nyanyian. Watak tertentu dalam drama jikey dikenali dengan unsur tertentu dalam muzik.

Alatan muzik Jikey biasanya terdiri daripada violin, 3 rebana, dan 2 cerik (ketuk buluh).

Sejarah Jikey[sunting | sunting sumber]

Meskipun sejarah permulaan Jikey tidak diketahui secara tepat, namun ada beberapa pendapat atau teori yang telah dikemukakan. Secara umumnya, terdapat tiga keterangan mengenai sejarah permulaan Jikey iaitu:-

  • Jikey dimulakan oleh sekumpulan orang miskin yang memerlukan wang untuk kembali ke negeri asal mereka. Justeru itu, mereka terpaksa mengadakan satu permainan atau persembahan di mana mereka boleh mengumpulkan wang untuk keperluan perjalanan pulang.
  • Terdapat sekumpulan peniaga yang belayar dengan menggunakan sebuah tongkang. Mereka tiba di sebuah kuala dan terus masuk ke pelabuhan di mana terdapat pemeriksaan kastam. Oleh kerana tidak mempunyai surat kebenaran berniaga, mereka telah ditangkap dan dibawa mengadap raja negeri tersebut. Mereka mengaku salah dan kerana tidak mempunyai wang, mereka telah memohon simpati raja negeri tersebut untuk bebas dari hukuman. Raja tersebut memberikan nobat, gendang serta alat-alat lain dan menyuruh mereka berlatih di kawasan penjara. Persembahan yang diberi nama 'Jikey' itu telah memikat hati raja tersebut lalu mereka pun dibebaskan.
  • Jikey dikatakan berasal dari India. Keterangan ini adalah berdasarkan watak seorang India yang terdapat di dalam setiap persembahan Jikey. Sumber ini mengatakan bahawa terdapat seorang India yang berniaga di Tanah Melayu mahu pulang bersama isteri yang baru dikahwininya di sini serta barang-barang perniagaannya. Oleh sebab tidak membayar cukai, kapalnya telah dirampas oleh pihak berkuasa manakala mereka suami isteri pula dipenjarakan. Untuk mendapatkan wang, raja negeri tersebut memerintahkan pasangan tersebut mencari dan membuat satu lakonan.

Ketiga-tiga keterangan atau teori di atas mempunyai satu motif yang sama iaitu bagaimana sekumpulan manusia terpaksa berlakon untuk mendapatkan wang.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Mohd Ghazali Abdullah (1995). Teater Tradisional Melayu Buku Satu. Muka surat 29-42. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia.