Kren dermaga

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Kren dermaga (juga dikenali kren gantri pengendali kontena, kren kontena) ialah kren gantri besar di terminal kontena yang digunakan untuk memuat dan memunggah kontena dari kapal kontena.

Kren dermaga dilengkapi dengan landasan untuknya bergerak sepanjang dermaga, pelantar atau troli yang bergerak melalui bum atau galang kren dan alat spreader. Spreader boleh direndahkan ke atas kontena dan mengunci empat titik kunci atau (“gegelung penjuru”) menggunakan mekanisme “kunci pulas”. Kren dermaga biasa mampu mengangkat sebuah kontena pada satu masa. Bagaimanapun, terdapat kren generasi baru yang mampu mengangkat sehingga empat kontena 20 kaki pada satu masa. Kren dermaga yang pertama digunakan dibina oleh Paceco Corp. untuk Matson (sebuah terminal marin} di Almeda, California pada awal tahun 1960-an dan dipanggil Portainer.

Versi yang boleh dikemudi dan tidak menggunakan landasan dikenali sebagai kren gantri tayar getah. Biasanya, kren lapangan yang digunakan di laman kontena adalah dari kren jenis ini.

Jenis[sunting | sunting sumber]

Terdapat dua jenis biasa kren dermaga: jenis profil tinggi yang batang galangnya boleh diturun dan dinaikkan ke udara; dan jenis profil rendah yang batang galangnya boleh menggelongsor dari darat ke kapal dan sebaliknya. Jenis profil rendah selalu digunakan di pelabuhan yang terletak berhampiran lapangan terbang atau di laluan kapal terbang, contohnya pelabuhan Hong Kong.

Pereka dan pengeluar[sunting | sunting sumber]

Kapal tangki yang diubahsuai sedang membawa kren yang sudah siap dipasang.

Shanghai Zhenhua Port Machinery Company (ZPMC) ialah pengeluar kren dermaga terbesar di dunia. Kren dermaga sering dihantar sesudah siap dipasang menggunakan kapal tangki yang diubahsuai. Setiap satu kren ialah setinggi 103 meter dan seberat 1,250 tan.[1]

Antara pereka dan pengeluar utama kren dermage ialah, Liebherr Container Cranes[2], Kalmar Industries[3], (ZPMC)[4], TCM Corporation[5], Konecranes, IMPSA[6], Paceco[7], Mitsubishi Heavy Industries, Mitsui Hyundai dan Samsung.

Sebuah kren dermaga boleh mencapai kos sehingga $10 juta dolar AS dan memakan masa dua tahun untuk dihantar.[1]

Saiz[sunting | sunting sumber]

Sebuah kren Super-Pasca Panamax di Pelabuhan Rotterdam yang spreadernya boleh menggapai sehingga 22 baris kontena di atas kapal (50 m).

Kren dermaga biasanya diklasifikasikan mengikut kapasiti mengangkatnya dan saiz kapal kontena yang boleh dikendalikannya.

Panamax
Sebuah kren "Panamax" mampu memuat dan memunggah sepenuhnya kontena dari kapal kontena yang muat melalui terusan Panama (dengan kelebaran 12-13 baris kontena).
Pasca Panamax
Sebuah kren "Pasca-Panamax" mampu memuat dan memunggah kontena dari kapal kontena yang melebihi saiz maksimum untuk terusan Panama (dengan kelebaran 18 baris kontena)
Super-Pasca Panamax
Kren dermaga moden yang terbesar diklasifikasikan sebagai "Super-Pasca Panamax" (dengan kelebaran 22 baris kontena atau lebih). Sebuah kren dermaga moden yang mampu mengangkat dua buah kontena 20 kaki pada satu masa (menggunakan spreader pengangkat berkembar) mempunyai kapasiti mengangkat sebanyak 65 tan. Terdapat kren dermaga generasi baru yang mempunyai kapasiti mengangkat sehingga 120 tan, dan mampu mengangkat empat kontena 20 kaki, atau dua kontena 40 kaki pada satu masa. Kren yang mampu mengangkat sehingga enam buah kontena 20 kaki juga telah direka bentuk. Kren Pasca-Panamax mempunyai berat antara 800–900 tan sementara kren generasi baru Super-PascaPanamax mempunyai berat antara 1600–2000 tan.

Operasi[sunting | sunting sumber]

Kapal kontena Rita sedang dimuatkan oleh sebuah kren dermaga di pelabuhan Copenhagen
Kren dermaga jenis MAN AG milik Patrick Corporation di pelabuhan Botany, New South Wales, Australia.

Kren dermaga dikendalikan oleh pengendali yang duduk di dalam sebuah kabin pada troli kren. Troli bergerak di sepanjang landasan yang terletak pada bum atau galang kren. Pengendali akan menggerakkan troli tersebut ke arah kapal untuk mengangkat kontena. Apabila pengunci spreader mengunci kontena di atas kapal dengan mekanisme kunci pulas pada spreader tersebut, kontena akan diangkat dan dipindahkan ke atas casis trak yang menanti di bawah kren, yang membawa kontena tersebut ke laman kontena. Kren dermaga juga boleh mengangkat kontena dari atas casis trak, lalu dimuatkan ke atas kapal.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 "New cranes a Christmas present for Auckland". Ports of Auckland (POAL). 2006-12-13. http://www.poal.co.nz/newsroom/New%20Cranes%20061213.htm. Capaian 2008-11-25. "The new container cranes are 103 metres high [..] Ports of Auckland invested $27 million [..] Each crane weighs 1,250-tonnes." 
  2. Liebherr Container Cranes
  3. Kalmar Industries
  4. Zhenhua Port Machinery Company
  5. TCM Corporation
  6. IMPSA
  7. Paceco

Pautan luar[sunting | sunting sumber]