Kontena

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sebuah kontena 40 kaki (12.9 m). Terdapat gegelung penjuru di setiap sudutnya untuk membolehkannya ditindan, dikunci dan dikendalikan kren.
Terdapat lebih dari 17 juta kontena di seluruh dunia
Kontena diletakkan dengan pintunya terbuka.

Kontena atau peti pengangkutan ialah unit simpanan boleh guna semula yang digunakan untuk mengangkut barangan dan bahan mentah antara kawasan atau negara. Kontena yang dibuat mengikut spesifikasi ISO dirujuk sebagai "kontena ISO" manakala "kontena kiub tinggi" merujuk kepada kontena yang lebih tinggi dari saiz normal. Terdapat lebih kurang 17 juta kontena di dunia dan sebahagian besar perdagangan antarabangsa adalah melalui pengangkutan jarak jauh yang menggunakan kontena.

Sistem pengkontenaan dibangunkan dari reka bentuk satu kiub 8 kaki (2.44 m×2.44 m×2.44 m) yang digunakan oleh tentera Amerika Syarikat yang kemudiannya dipiawaikan kepada panjang 10 kaki (3.05 m), 20 kaki (6.10 m), dan 40 kaki (12.19 m). Terdapat juga reka bentuk yang lebih panjang, tinggi dan lebar yang banyak digunakan di seluruh dunia.

Pelbagai variasi kontena wujud untuk jenis kargo yang berbeza. Kaedah pengangkutan yang tidak menggunakan kontena termasuklah kargo pukal, kargo pukal cerai, dan tangki yang digunakan untuk cecair. Untuk penghantaran udara, ULD (Unit Load Device) yang lebih ringan yang ditetapkan oleh IATA akan digunakan.

Perihal[sunting | sunting sumber]

Tindanan kontena yang setiap satu memiliki tanda piawai (kod pemilikan) ISO 6346

Sebuah kontena biasa mempunyai pintu di belakangnya dan dibuat dari keluli luluhawa yang dibentuk menjadi permukaan yang berombak,[1]. Saiz piawai asalnya ialah 8 kaki (2,438 mm) lebar, 8 kaki (2,438 mm) tinggi dan 20 kaki (6,096 mm) atau 40 kaki (12,192 mm) panjang dan boleh ditindan sehingga tujuh unit dalam satu tindanan.

Unit yang lebih tinggi telah diperkenalkan termasuk unit "kiub tinggi" yang tingginya 9 kaki 6 inci.[2]

Amerika Syarikat sering menggunakan unit yang lebih panjang seperti 48 kaki (14.63) dan 53 kaki (16.15 m). Beberapa negara Eropah kadang-kadang menggunakan unit yang 2 inci lebih lebar pada 8 kaki 2.4 inci (2.5 m) untuk disesuaikan dengan palet piawai Eropah.[3] Kontena buatan Australia iaitu RACE juga lebih lebar untuk disesuaikan dengan palet piawai Australia.

Unit jenis tukar badan (Swap body) yang lebih ringan memiliki lubang kunci seperti kontena biasa, tetapi terdapat kaki boleh lipat di bawahnya untuk memudahkannya dialihkan antara trak tanpa menggunakan kren.

Setiap kontena ditandakan dengan tanda piawai ISO 6346 (kod pemilikan) 4 susunan huruf yang diakhiri dengan huruf U, diikuti dengan 6 nombor dan satu digit semak.

Kapasiti kontena sering dinyatakan dalam "unit bersamaan dua puluh kaki" ("TEU" atau teu), yang bersamaan dengan saiz piawai sebuah kontena 20 kaki (panjang) × 8 kaki (lebar). Sebagai satu unit anggaran, ketinggian kontena tidak diambil kira, contohnya sebuah kontena 20 kaki kiub tinggi yang tingginya 9 kaki 6 inci (2.90 m) dan kontena separuh tinggi yang tingginya 4 kaki 3 inci (1.30 m) juga dikira sebagai satu TEU. Begitu juga dengan kontena 45 kaki panjang yang dikira sebagai 2 TEU walaupun saiznya lebih besar dari 2 TEU. Dua TEU bersamaan dengan "unit bersamaan empat puluh kaki" (FEU)

Kontena juga digunakan untuk membina bangunan dan untuk menyimpan pusat data komputer yang besar.

Jenis[sunting | sunting sumber]

Satu gerabak keretapi dengan sebuah kontena tangki 20 kaki dan kontena konvensional 20 kaki.

Terdapat beberapa variasi kontena untuk jenis kargo yang berlainan seperti kontena pendingin untuk kargo mudah rosak, tangki untuk cecair, unit buka atas untuk muatan tinggi, dan kontena boleh lipat. Terdapat juga kontena pembawa arang batu, dan "gerabak sampah" (bin-liners) (kontena yang direka untuk mengangkut sampah melalui jalan/landasan keretapi dari bandar ke pusat kitar semula atau tapak buangan dengan efisyen) yang digunakan di Eropah.

Jenis kontena:[4]

  • ISO boleh lipat (Collapsible ISO)
  • Kontena rak rata boleh lipat (flushfolding flat-rack containers) untuk barangan berat, barangan pukal separa siap, dan kargo luar saiz (out of gauge) (lebih besar, lebih lebar, lebih panjang).
  • Kontena tangki gas
  • Kontena penjana
  • Kontena van kering (dry van) kegunaan umum untuk kotak, karton, bekas, guni, bandela, palet dan tong.
  • Kontena palet lebar kiub tinggi (high cube palletwide) untuk palet EURO.
  • Kontena penebat
  • Kontena pendingin untuk barangan mudah rosak
  • Kontena pukal (bulktainers) buka atas untuk mineral pukal dan mesin berat.
  • Kontena buka tepi untuk palet luar saiz.
  • Pelantar atau bantalan untuk tong, dram kabel, kargo luar saiz, mesin, dan balak
  • Kontena lantai beroleng (rolling floor) untuk kargo yang sukar dikendalikan seperti telur, barangan kaca.
  • Kontena tukar badan (swapbody)
  • Kontena tangki untuk cecair pukal dan barangan berbahaya
  • Kontena berudara untuk produk organik yang memerlukan pengudaraan.

Spesifikasi[sunting | sunting sumber]

Jadual di bawah menunjukkan berat dan dimensi empat jenis kontena yang paling banyak digunakan di dunia. Berikut adalah purata berat dan dimensi, terdapat siri pembuatan yang berbeza untuk setiap jenis kontena yang mungkin berbeza dengan saiz dan berat yang sebenar.

Kontena 20′ Kontena 40′ Kontena 40′ kiub tinggi Kontena 45′ kiub tinggi
imperial metrik imperial metrik imperial metrik imperial metrik
dimensi
luaran
panjang 20′ 0″ 6.096 m 40′ 0″ 12.192 m 40′ 0″ 12.190 m 45′ 0″ 13.716 m
lebar 8′ 0″ 2.438 m 8′ 0″ 2.438 m 8′ 0″ 2.438 m 8′ 0″ 2.438 m
tinggi 8′ 6″ 2.591 m 8′ 6″ 2.591 m 9′ 6″ 2.896 m 9′ 6″ 2.896 m
dimensi
dalaman
panjang 18′ 10 ​516 5.758 m 39′ 5 ​4564 12.032 m 39′ 4″ 12.000 m 44′ 4″ 13.556 m
lebar 7′ 8 ​1932 2.352 m 7′ 8 ​1932 2.352 m 7′ 7″ 2.440 m 7′ 8 ​1932 2.352 m
tinggi 7′ 9 ​5764 2.385 m 7′ 9 ​5764 2.385 m 8′ 9″ 2.650 m 8′ 9 ​1516 2.698 m
bukaan pintu lebar 7′ 8 ⅛″ 2.343 m 7′ 8 ⅛″ 2.343 m 7′ 6" 2.280 m 7′ 8 ⅛″ 2.343 m
tinggi 7′ 5 ¾″ 2.280 m 7′ 5 ¾″ 2.280 m 8′ 5″ 2.560 m 8′ 5 ​4964 2.585 m
isi padu 1,169 ka³ 33.1 m³ 2,385 ka³ 67.5 m³ 2,660 ka³ 75.3 m³ 3,040 ka³ 86.1 m³
berat kasar
maksimum
66,139 lb 30,400 kg 66,139 lb 30,400 kg 68,008 lb 30,848 kg 66,139 lb 30,400 kg
berat kosong 4,850 lb 2,200 kg 8,380 lb 3,800 kg 8,598 lb 3,900 kg 10,580 lb 4,800 kg
muatan bersih 61,289 lb 28,200 kg 57,759 lb 26,600 kg 58,598 lb 26,580 kg 55,559 lb 25,600 kg

Pengendalian[sunting | sunting sumber]

Kontena boleh diangkut menggunakan kapal kontena, trak dan keretapi dalam satu perjalanan tanpa pemunggahan semula. Ia dipindahkan antara mod-mod pengangkutan tersebut dengan menggunakan kren di terminal kontena. Unit dikunci semasa dikendalikan kren atau dibawa oleh mod pengangkutan, dengan menggunakan "kunci pulas" dan gegelung penjuru yang terdapat di 4 bucu kontena. Setiap kontena mempunyai kod unik ISO 6346 yang dicatkan di luar kontena untuk tujuan pengenalan dan pengesanan, dan ia mampu membawa muatan dari 20 ke 25 tan. Kos pengangkutan dikira berdasarkan jumlah TEU.

Keretapi[sunting | sunting sumber]

Kontena selalunya diangkut di atas gerabak keretapi dengan satu unit untuk setiap gerabak. Terdapat juga gerabak yang mampu membawa sehingga 2 tindanan kontena, yang kebanyakannya digunakan di Amerika Utara. Di beberapa negara seperti United Kingdom, kontena kiub tinggi (9.6 kaki) tidak boleh diangkut langsung di atas gerabak biasa, tetapi boleh diangkut dengan gerabak untuk dua tindanan di beberapa laluan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1950 an, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mengeluarkan spesifikasi kontena piawai untuk kegunaan tentera dengan ukuran keratan rentas 8 kaki (2.44 m) × 8 kaki (2.44 m) dan panjang 10 kaki (3.05 m). Antara tahun 1968 dan 1970, Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) menentukan piawai kontena berdasarkan piawai yang digunakan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat bagi memastikan kesalingbolehtukaran antara mod pengangkutan yang berbeza di seluruh dunia. Kontena juga dikenali sebagai "Kontena ISO" atas sebab ini.

Sistem global untuk pengangkutan antara mod telah dibangunkan berdasarkan piawai kontena ini dan saiz baru kontena juga direka untuk kegunaan berbeza. Sejak bulan November 2007, kontena 48 kaki (14.63 m) dan 53 kaki (16.15 m) juga digunakan dalam industri pengangkutan antarabangsa. Sehingga April 2008, cuma syarikat perkapalan APL yang mengeluarkan kontena saiz ini.[5] Bagaimanapun, kontena APL mempunyai saiz dan berat yang sedikit berbeza dari piawai biasa kontena 48 kaki (14.63 m) dan 53 kaki (16.15 m) (yang digunakan perkhidmatan keretapi dan trak di Amerika Syarikat).

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Shipping Container Homes Globally". Dicapai pada 2009-05-24.
  2. ^ "Container Dimensions". J S Container Services. Dicapai pada 2009-05-30.
  3. ^ "Standard Shipping Containers". Container container. Dicapai pada 2009-05-18.
  4. ^ "Selecting a Container" (PDF). CMA CGM Group. 2006. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2006-10-24. Dicapai pada 2008-02-14.
  5. ^ APL: Equipment Specifications - Standard Containers
Piawai Antarabangsa
  • ASTM D5728-00 Standard Practices for Securement of Cargo in Intermodal and Unimodal Surface Transport
  • ISO 9897:1997 Freight containers – Container equipment data exchange (CEDEX) – General communication codes
  • ISO 14829:2002 Freight containers – Straddle carriers for freight container handling – Calculation of stability
  • ISO 17363:2007 Supply chain applications of RFID – Freight containers
  • ISO/PAS 17712:2006 Freight containers – Mechanical seals
  • ISO 18185-2:2007 Freight containers – Electronic seals
  • ISO/TS 10891:2009 Freight containers – Radio frequency identification (RFID) – Licence plate tag

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]