Kuku

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kuku normal manusia

Kuku adalah struktur yang separa keras dan sedikit runcing yang terletak di hujung jari haiwan atau manusia. Bahan asas yang membentuk kuku ialah keratin, sejenis protein yang keras yang juga boleh dijumpai di dalam rambut dan kulit. Dalam bidang perubatan, kuku juga boleh mempamerkan tahap kesihatan seseorang.

Struktur kuku[sunting | sunting sumber]

Ketebalan kuku normal manusia ialah kira kira 0.017 inci atau 0.43 milimeter.

Kuku terdiri daripada beberapa bahagian iaitu:-

  • eponikium (bahasa Inggeris: eponychium) atau kutikel, ialah lapisan kulit lutcahaya yang berada di pangkal kuku.
  • paronikium (bahasa Inggeris: paronychium) ialah lapisan kulit di sisi kuku.
  • hiponikium (bahasa Inggeris: hyponychium) ialah kawasan pelekatan antara hujung kuku dengan hujung jari
  • bahagian atas kuku atau mudahnya kuku itu sendiri ialah lapisan yang keras dan lutcahaya, dibina daripada keratin.
  • isi kuku ialah tisu yang menyambungkan dan melekatkan kuku dengan kulit.
  • akar kuku ialah bahagian yang terbenam di bawah kulit di belakang kuku.
  • lunula ialah stuktur berwarna putih kemerahan berbentuk bulan sabit di pangkal kuku.

Setiap bahagian kuku ini mempunyai fungsinya tersendiri, dan boleh menyebabkan kecacatan pada kuku jika dirosakkan.

Fakta mengenai kuku[sunting | sunting sumber]

Fungsi kuku[sunting | sunting sumber]

Kuku mempunyai 2 fungsi utama. Fungsi pertama yang diketahui secara umum ialah sebagai pelindung kepada hujung jari. Fungsi keduanya yang juga penting ialah memberikan lebih sensitiviti terhadap deria sentuh. Hujung jari diliputi dengan reseptor yang banyak yang membenarkan kita menerima maklumat dengan lebih efektif apabila kita menyentuh sesuatu objek. Kuku bertindak sebagai penentang daya yang menambahkan lagi sensitiviti kulit, walaupun pada kuku itu sendiri tidak mempunyai saraf dan reseptor.

Pertumbuhan kuku[sunting | sunting sumber]

Kuku bertumbuh atau memanjang pada setiap masa, tetapi kadar pemanjangannya bergantung kepada faktor usia, jantina, musim, tahap latihan, suhu badan, diet, dan keturunan. Kuku jari tangan tumbuh dengan lebih cepat pada kadar 3mm sebulan berbanding kuku kaki yang memanjang pada kadar 1mm sebulan. Ini bermakna, kuku tangan mengambil masa kira-kira 3-6 bulan untuk tumbuh sepenuhnya menggantikan kuku yang lama, manakala kuku kaki memerlukan masa antara 12-18 bulan. Berbeza dengan kepercayaan umum, kuku (dan rambut) sebenarnya tumbuh selepas seseorang itu mati,iaitu apabila kulit menjadi kering dan mengecut. Rekod pertumbuhan ini boleh menunjukkan sejarah kesihatan dan ketidakseimbangan fisiologi seseorang, dan telah digunakan sebagai bahan diagnostik sejak zaman purba lagi.

Penyakit yang berkaitan dengan kuku[sunting | sunting sumber]

Perubahan pada kuku seperti perubahan warna, pengecutan, penebalan, kerapuhan, rekahan, keadaan seakan-akan tergores, titik putih kecil, lunula yang merosot, bentuk yang melengkung(cekung), rata dan menggelembung boleh membuktikan tahap kesihatan seseorang termasuk sakit di bahagian badan yang lain, kekurangan nutrisi, kesan dadah atau racun, atau mungkin juga kecederaan pada kuku itu sendiri. Kuku juga boleh menebal (onikogriposis/onychogryposis), menjadi longgar (onikolisis/onycholysis), dijangkiti fungus (onikomikosis/onychomycosis) atau menjadi lebih buruk (onikodistrofi/onychodystrophy).

Berikut merupakan beberapa perubahan pada kuku yang dapat membantu doktor mengesan sesuatu penyakit:

  • Warna kebiruan pada pangkal kuku menandakan kitaran darah yang tidak lengkap dan merupakan gejala penyakit jantung.
  • Apabila separuh bahagian di hujung kuku berwarna merah muda atau coklat sementara kutikel berwarna putih, itu merupakan gejala penyakit kerosakan ginjal yang kronik.
  • Apabila timbul kerutan melintang dan kuku kelihatan kusam, itu menandakan kekurangan nutrisi atau gejala sesuatu penyakit seperti demam campak, cacar air, masalah jantung serta keadaan seperti sindrom Reynaud (kejang pada urat jari tangan dan kaki akibat sangat sejuk).
  • Lapisan merah membujur pada kuku, menandakan pendarahan pada salur kapilari. Garisan-garisan berganda merupakan gejala penyakit darah tinggi.
  • Apabila pertumbuhan kuku kelihatan lambat, tebal dan mengeras serta kekuning-kuningan, ia menandakan masalah sistem pencernaan yang kronik.
  • Timbulnya bintik-bintik pada kuku, menandakan adanya penyakit psoriasis (penyakit kulit kronik).
  • Apabila terdapat lengkungan berlebihan pada pangkal kuku dan sekitar hujung kuku, itu menandakan gejala penyakit emfisema (gangguan pada paru-paru), penyakit kardiovaskular atau hati.

Walau bagaimanapun, peningkatan usia juga menyebabkan strutur kuku berubah dan hal ini biasanya tidak mempunyai kaitan dengan masalah kesihatan. Dalam masa yang sama, perubahan yang tidak ketara pada kuku juga tidak perlu dirisaukan, kerana diagnosis melalui kuku belum diisytiharkan sah sepenuhnya oleh semua doktor di seluruh dunia. Jika seseorang mengalami masalah kesihatan, digalakkan supaya berjumpa dengan pakar kesihatan berbanding menganalisis sendiri perubahan pada kukunya.

Penjagaan kuku[sunting | sunting sumber]

kuku sebagai fesyen

Produk-produk penjagaan kuku sahaja tidak mencukupi untuk memelihara kesihatan kuku. Berikut adalah beberapa panduan mudah dalam penjagaan kuku:-

  1. Jangan salah gunakan kuku. Untuk mencegah kerosakan, jangan gunakan kuku sebagai alat untuk mencungkil, menebuk, atau mengumpil sesuatu.
  2. Jangan gigit kuku anda atau mengorek kutikel. Perbuatan ini boleh merosakkan isi kuku. Bahkan torehan yang kecil di hujung kuku akan membenarkan bakteria atau kulat masuk dan mengakibatkan jangkitan. Oleh sebab pertumbuhan kuku yang perlahan, kuku yang cedera meninggalkan kesan yang lama sehingga beberapa bulan.
  3. Lindungi kuku anda. Pakai sarung tangan yang selamat apabila menggunakan air sabun serta bahan kimia dalam jangka masa yang lama.
  4. Lakukan penyelenggaraan. Rapikan kuku dan bersihkan bahagian di bawah kuku selalu. Gunakan pengetip kuku yang tajam dan kertas emeri yang sesuai untuk melicinkan kuku. Jangan sesekali menarik kuku yang separa terpotong kerana melakukannya selalu boleh menyebabkan kulit terkoyak.
  5. Lembapkan kuku selalu kerana kuku juga perlu dilembapkan seperti kulit.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]