Jantung

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Jantung
Humhrt2.jpg
Jantung manusia
Heart-and-lungs.jpg
Kedudukan jantung dan paru-paru
Latin Cor
Sistem Kardiovaskular
Arteri Aorta, arteri pulmonari, arteri koronari
Vena Vena kava superior, vena kava inferior, vena pulmonari, vena koronari, venae cordis minimae
Saraf Simpatetik, vagus

Jantung atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai heart (Latin, cor) merupakan organ berongga yang berfungsi mengepam darah melalui saluran darah dengan denyutan yang sekata yang berulang-ulang. Istilah kardium bermaksud berkaitan dengan jantung, berasal dari perkataan Greek kardia untuk "jantung".

Struktur[sunting | sunting sumber]

Dalam tubuh manusia, jantung terletak sebelah kiri sedikit dari tengah dada, dan di belakang tulang dada (sternum). Ia diselaputi oleh kantung yang dikenali sebagai perikardium dan dikelilingi oleh peparu. Secara purata, jantung orang dewasa mempunyai berat sekitar 300-350 g. Ia terdiri dari empat ruang, dua atrium di atas dan dua ventrikel di bawah.

Dinding otot yang tebal (septum) membahagikan atrium dan ventrikel kanan dari atrium dan ventrikel kiri. Ia memisahkan darah beroksigen dan terdeoksigen dari bercampur. Injap antara atrium dan ventrikel hanya membenarkan aliran darah secara satu hala dari atrium ke ventrikel.

Ventrikel adalah bahagian jantung yang mengepam darah ke seluruh tubuh termasuk paru-paru. Dinding ventrikel adalah lebih tebal berbanding atrium, dan pengecutan dinding ventrikel adalah lebih penting bagi memastikan darah mengalir.

Darah terdeoksigen dari tubuh memasuki atrium kanan melalui 2 salur, vena kava superior (superior vena cava) dan vena kava inferior (inferior vena cava). Darah kemudian mengalir ke ventrikel kanan. Ventrikel kanan mengepam darah terdeoksigen ini ke peparu melalui arteri pulmonari. Selepas darah kehilangan karbon dioksida dan menyerap oksigen dari peparu, ia mengalir melalui vena pulmonari ke atrium kiri. Dari atrium kiri, darah beroksigen dipam ke ventrikel kiri. Ventrikel kiri merupakan pam utama yang membekalkan darah melalui aorta ke seluruh tubuh kecuali peparu.

Ventrikel kiri adalah lebih tebal berbanding kanan. Ini disebabkan oleh keperluan untuk mengenakan tekanan yang tinggi bagi mengatasi rintangan yang dikenakan oleh tubuh. Ventrikel kanan hanya perlu mengepam darah ke peparu, jadi ia tidak memerlukan otot dinding yang kuat. Ini juga diperlukan kerana dua sebab lain: 1) kapilari peparu adalah lemah; tekanan tinggi akan merosakkan kapilari tersebut dan 2) aliran darah yang perlahan adalah diperlukan bagi memberi masa untuk pertukaran gas antara darah dan peparu.

Dinding jantung terdiri daripada tiga lapisan. Lapisan terluar dikenali sebagai perikardium (pericardium), lapisan tengah dipanggil myokardium (myocardium), dan lapisan terdalam dipanggil endokardium (endocardium). Perikardium boleh dibahagikan lagi kepada dua lapisan iaitu fibrous pericardium (luar) dan serous pericardium (dalam). Myokardium adalah lapisan yang paling tebal dan terdiri daripada otot jantung. Ia membentuk majoriti keseluruhan dinding jantung. Endokardium merupakan lapisan terdalam yang terdiri daripada sel epitelium leper dan tisu penyambung.

Bekalan darah yang banyak diperlukan untuk membekalkan nutrien, terutama oksigen, kepada jantung. Darah ini dibekalkan oleh arteri koronari kiri dan kanan, yang bercabang keluar dari aorta. Bekalan darah kepada jantung dipanggil kitaran darah koronari

Kitar kardiak[sunting | sunting sumber]

Pandangan anterior keratan rentas jantung. Anak panah putih menunjukkan arah darah bergerak

Setiap degupan jantung melibatkan turutan yang dikenali sebagai "kitar kardiak". Ia terbahagi kepada tiga bahagian: "sistol atrium" (atrial systole), "sistol ventrikel" (ventricular systole) dan "diastol kardiak sepenuhnya" (complete cardiac diastole). Sistol atrium adalah pengecutan kedua-dua atrium, sistol ventrikel adalah pengecutan kedua-dua ventrikel, manakala diastol kardiak pula merupakan pengenduran keseluruhan otot-otot jantung.

Apabila sistol atrium berlaku, injap atrioventrikular (atrioventricular valves) akan terbuka. Darah dipam masuk ke dalam ventrikel. Apabila sistol atrium berakhir, sistol ventrikel pula bermula. Tekanan tinggi dalam ventrikel menyebabkan injap atrioventrikular tertutup, dan injap sabit (semilunar valves) terbuka. Ini menyebabkan darah hanya dipam ke dalam aorta dan arteri pulmonari tetapi tidak ke dalam atrium.

Diastol kardiak berlaku setelah darah dipam keluar dari jantung. Pada masa ini, darah di dalam aorta akan mengalir balik ke dalam jantung, tetapi ini tidak berlaku kerana penutupan injap sabit.

Bunyi jantung yang kita dengari adalah disebabkan oleh penutupan injap atrioventrikular (bunyi pertama) dan penutupan injap sabit (bunyi kedua).

Aturan kitar kardiak[sunting | sunting sumber]

Otot kardiak adalah myogenik. Ini bererti bahawa berbeza dengan otot rangka yang memerlukan rangsangan (sama ada sedar atau reflex), rangsangan otot jantung adalah secara automatik. Pengecutan berirama berlaku sendiri, walaupun frekuensi boleh berubah disebabkan keresahan, kesan hormon, senaman atau berasa terancam.

Irama pengecutan diselaraskan oleh node sinoatrial dan node atrioventrikular. Node sinoatrial, sering dikenali sebagai perentak jantung, terletak di bahagian atas dinding atrium kanan dan bertanggungjawab menghasilkan impuls eletrik yang memulakan pengecutan atrium. Apabila impuls ini tiba di node atrioventrikular yang terletak di dinding antara ruang ventrikel, ia akan dilambatkan sedikit. Ini bertujuan memastikan atrium telah mengecut sepenuhnya. Selepas itu, impuls ini dialirkan melalui berkas His (bundle of His) di dalam septum dan dialirkan ke dalam dinding-dinding ventrikel. Impuls ini menyebabkan pengecutan ventrikel berlaku.

Jantung mampu terus berdegup walaupun setelah dikeluarkan dari tubuh manusia yang hidup. Perkara ini terus menakjubkan manusia sepanjang zaman. Malah kaum Aztek yang tinggal di Amerika Selatan telah begitu kagum dengan keupayaan jantung berdegup di luar tubuh ini, sehinggakan mereka mengamalkan pengorbanan manusia dengan meragut keluar jantung dari mangsa pengorbanan hidup-hidup sebagai bahan persembahan kepada dewa matahari.

Penyakit dan rawatan[sunting | sunting sumber]

Bidang kajian mengenai jantung dikenali sebagai kardiologi. Penyakit penting bagi jantung termasuk:

  • Penyakit jantung koronari merupakan kekurangan bekalan oksigen kepada otot jantung Ia menyebabkan sakit dada teruk dan ketidak selesaan yang dikenali sebagai angina.
  • Myocardial infarction atau umumnya dikenali sebagai sakit jantung berlaku disebabkan kematian sel jantung akibat kitaran darah kepada jantung terganggu. Penyakit jantung koronari yang berterusan akan menyebabkan sakit jantung.
  • Congestive heart failure atau kegagalan jantung adalah kehilangan daya pam jantung.
  • Endokarditis, myokarditis dan perikarditis adalah keradangan jantung.
  • Arrhythmia kardiak (cardiac arrhythmia) adalah ketidaktentuan degupan jantung.

Sekiranya arteri koronari tersumbat, tempat masalah boleh dipintas dengan pembedahan pintas arteri koronari (coronary artery bypass surgery) atau ia boleh diluaskan melalui kaedah angioplasty.

Beta blocker adalah dadah yang merendahkan kadar degupan jantung dan tekanan darah dan mengurangkan keperluan jantung untuk oksigen. Nitroglycerin dan bahan lain yang membekalkan nitrik oksida (NO) digunakan untuk merawat sakit jantung kerana ia menyebabkan pengembangan arteri koronari.

Perentak jantung buatan (artificial pacemaker) diimplan ke dalam jantung pesakit yang mengidap arrhythmia.

Pemindahan jantung dilakukan terhadap pesakit yang mengidap penyakit jantung koronari atau kegagalan jantung tahap akhir.

Lihat juga: Prosedur dan ujian diagnostik kardiologi

Pertolongan cemas[sunting | sunting sumber]

Sekiranya seseorang mengalami jantung terhenti (cardiac arrest) (tiada degupan jantung), pemulihan kardio-pulmonari perlu dimulakan.

Penyakit yang berkaitan dengan jantung[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]