Marwan bin Muhammad

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Marwan bin Muhammad atau Marwan II (688-750) ialah khalifah terakhir Kerajaan Bani Ummaiyyah yang memerintah dari tahun 744 sehingga tahun 750 sebelum beliau terbunuh. Beliau ialah khalifah Ummaiyyah yang terakhir memerintah di Damsyik, Syria.

Marwan mula memerintah selepas sepupunya, Khalifah Ibrahim meninggalkan tugas khalifah dan pergi menyembunyikan diri. Sebelum menjadi khalifah, Marwan ialah Gabenor Azerbaijan.

Marwan mewarisi sebuah empayar yang sedang dalam zaman kejatuhannya. Walaupun mendapat beberapa kemenangan awal, beliau dikalahkan oleh Abu al-Abbas al-Saffah di Sungai Zab. Dalam pertempuran ini sahaja, lebih kurang 300 ahli keluarga Bani Ummaiyyah terbunuh. Selepas tewas dalam peperangan ini, Marwan mula tergesa-gesa mencari perlindungan. Beliau berharap dapat mencari perlindungan di kawasan barat dengan mengembara ke Mesir, tetapi beliau ditangkap sewaktu menyeberangi Sungai Nil. Hal ini menyebabkan beliau terbunuh. Kematiannya menandakan berakhirnya pemerintahan Kerajaan Bani Ummaiyyah. Kaum keluarga Bani Ummaiyyah yang lain juga habis dibunuh oleh tentera Abbasiyyah.

Cuma seorang sahaja yang terselamat iaitu Abd ar-Rahman Ad-Dakhil yang kemudiannya menyeludup ke Sepanyol dan menubuhkan Kerajaan Bani Ummaiyyah Sepanyol.