Pemikiran terkepung

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Dalam sosiologi, pemikiran terkepung (daripada bahasa Inggeris: siege mentality, juga dikenali sebagai mentaliti terkepung) ialah perasaan menjadi mangsa dan kebeladirian yang dikongsi dalam sesebuah kelompok. Berasal daripada kisah benar angkatan tentera menghadapi pengepungan, istilah ini merujuk kepada sebuah keadaan mental kolektif di mana sesebuah kumpulan percaya bahawa mereka sentiasa diserang, ditindas atau dipulaukan akibat ancaman oleh niat jahat seantero dunia. Walaupun istilah ini merupakan fenomena berkumpulan, ia juga boleh digunakan untuk menggambarkan emosi dan pemikiran seseorang individu. [1]

Pemikiran terkepung boleh menyebabkan individu atau kumpulan berada dalam keadaan yang terlalu takut kepada orang sekeliling dan mempunyai sikap mempertahankan diri yang sukar dibendung. [2]

Istilah lain yang berkaitan ialah pemikiran bunker yang digunakan dalam konteks sesebuah perniagaan atau kumpulan agama yang menghadapi persaingan atau pengecilan saiz.

Ciri-ciri[sunting | sunting sumber]

Antara kesan buruk pemikiran terkepung ialah berpemikiran hitam dan putih, keakuran sosial, dan kurangnya kepercayaan. Sebaliknya, ia juga boleh membawa kesan positif seperti kesediaan untuk perkara buruk dan perasaan perpaduan sosial yang kuat. [3]

Contoh[sunting | sunting sumber]

Pemikiran terkepung telah wujud pada peringkat kebangsaan di Kesatuan Soviet, Republik Sosialis Rakyat Komunis Albania, Rhodesia, Apartheid Afrika Selatan dan Ireland Utara semasa konflik The Troubles yang berpunca oleh pemencilan ideologi atau politik. Kewujudan pemikiran terkepung juga telah diperhatikan di negara-negara seperti Republik Turki Cyprus Utara, Republik China, Korea Selatan, Korea Utara, Cuba [4], Tebing Barat, Israel, [5] Venezuela dan Poland, di mana pemikiran ini digalakkan oleh kerajaan—untuk mewajarkan kesinambungan kekuasaan mereka—dan pembangkang—untuk mewajarkan tindakan menggulingkan kerajaan melalui keganasan. [6]

Dalam sosiologi, istilah ini boleh merujuk kepada perasaan dianiaya yang dirasai oleh seseorang dalam sebuah kelompok yang menganggap dirinya sebagai minoriti yang terancam, seperti yang digunakan oleh ahli psikoanalisis terdahulu. [7] Sebagai contoh, dalam bidang sukan, jurulatih atau pengurus kebiasaannya menanam pemikiran terkepung dalam diri pemain mereka dengan cara mewujudkan persengketaan dengan pasukan luar (tidak kira sama ada permusuhan itu benar berlaku atau hanya dibesar-besarkan).

Pemikiran terkepung adalah perkara biasa dalam perniagaan, juga merupakan hasil daripada persaingan atau pengecilan saiz, walaupun dalam keadaan ini istilah alternatif "pemikiran bunker" lebih sesuai digunakan (ibarat askar yang berlindung di bunker). [8] Fenomena ini boleh diperhatikan dalam sesetengah kumpulan agama, terutamanya jika mereka bukan kumpulan arus perdana tradisional. [9]

Analogi sastera[sunting | sunting sumber]

Seamus Heaney menggunakan frasa "dikepung dalam pengepungan" (bahasa Inggeris: besieged within the siege) [10] untuk menggambarkan perasaan terkepung minoriti Katolik di Ireland Utara dalam keadaan di mana komuniti Protestan itu juga berada dalam pemikiran terkepung. [11]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Antara tingkah laku psikologi yang berkaitan:

  • Mekanisme pertahanan: boleh timbul apabila seseorang merasakan keperluan untuk mempertahankan diri semasa berada di dalam kepungan.
  • Kompleks penganiayaan: boleh wujud apabila seseorang rasa dirinya menjadi mangsa atau rasa keperluan untuk mempertahankan diri daripada kelompok luar.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ D. J. Christie, The Encyclopedia of peace Psychology v1 (2011) p. 997
  2. ^ "What the Siege Mentality Is". www.beyondintractability.org. Dicapai pada 2008-03-05.
  3. ^ Christie, p. 998
  4. ^ "The Siege Mentality Problem". The New York Times. Dicapai pada 8 July 2019.
  5. ^ "Israel's siege mentality". The Economist. The Economist Newspaper Limited. Dicapai pada 8 October 2015.
  6. ^ Soong-hoom Kil, Chung-in Moon (2001). Understanding Korean Politics: An Introduction. SUNY Press. m/s. 295. ISBN 0-7914-4890-8.
  7. ^ A. Samuels, The Father (1985) p. 8
  8. ^ C. Sargeant, From Buddy to Boss (2006) p. 366
  9. ^ J. R. Lewis, Oxford Handbook of New Religious Movements (2004) p. 151
  10. ^ Seamus Heaney, Opened Ground (1998) p. 123, 'Whatever you say, say nothing'
  11. ^ M. Parker, Seamus Heaney (1993) p. 145