Pengguna:Surat Layang/Kotak pasir

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sebuah rangka manusia prasejarah yang dijumpai oleh G.de G. Sieveking di Gua Cha pada 1954

Lembah Nenggiri ialah sebuah kawasan arkeologi di Ulu Kelantan yang mempunyai banyak tinggalan tapak-tapak arkeologi dari zaman prasejarah dan protosejarah. Tapak-tapaknya yang penting dalam perkembangan sejarah di Kelantan termasuklah Gua Cha dan Gua Chawas.[1]

Tinjauan dan penggalian arkeologi di Gua Cha memberikan bukti penting tinggalan Hoabinh dan Neolitik di kawasan ini.[2] Antara penemuan penting di tapak arkeologi ini termasuklah sejumlah rangka manusia prasejarah pada 1954 di Gua Cha dan rangka seorang wanita purba yang ditemukan pada 2018 di Gua Chawan. Pada 31 Mei 2023 pula, sebuah rangka manusia wanita yang berusia 14,000 tahun telah ditemukan di Gua Keledung Kecil.

Sejarah dan penyelidikan[sunting | sunting sumber]

Keterangan tentang zaman Paleolitik tidak ditemukan di Kelantan sebaliknya langsung bermula dengan zaman Hoabinh dan diikuti dengan zaman Neolitik. Masyarakat dari zaman tersebut kemungkinan besar mendiami kawasan terbuka di Pentas Sunda yang mana tenggelam ketika zaman Holosen.

Sejarah masyarakat Hoabinh di Kelantan berkembang antara 10,000 hingga 3000 SM. Masyarakat Hoabinh ini dipercayai hidup memburu, menangkap ikan dan memungut hasil hutan dan mampu menggunakan alat batu punat yang ditarah, selain ditemukan serpihan pengikis daripada kayu dan buluh. Pada akhir zaman Hoabinh, mereka telah pun mampu membuat tembikar sungguhpun teknologi dan hiasannya tidaklah begitu maju. Penggunaan perahu masih belum diketahui di zaman ini, jadi jika ada kegiatan perdagangan, ia hanya dilakukan secara pertukaran antara masyarakat di pedalaman. Di zaman ini, masyarakatnya melakukan pengkebumian secara melutut tanpa disertakan dengan barang bekal kubur.

Perkembangan masyarakat Neolitik pula bermula lebih kurang 3000 SM. Masyarakat Neolitik menggunakan alat-alat tembikar, kapak batu empat segi bujur yang dilicinkan, dan bermacam jenis perkakas batu lain termasuk gelang.

Tapak arkeologi[sunting | sunting sumber]

Gua Cha[sunting | sunting sumber]

Gua Cha terletak kira-kira 16 km dari petempatan Orang Asli suku Temiar, di Kuala Betis. Ia berada lebih kurang 300 kaki tinggi dari paras Sungai Nenggiri dengan keluasan lebih kurang 21,600 kaki persegi.[3] Penggalian oleh Noone pada 1935 di sebuah batu lindungan di Gua Cha berjaya menemukan beberapa tembikar tanah dan beberapa bilah kapak, selain tulang manusia. Penyelidikan kemudian diikuti oleh ramai penyelidik lain termasuk P.D.R. William Hunt pada 1951.

Penyelidikan seterusnya dilakukan oleh G.de G. Sieveking pada 1954 selama lebih kurang sebulan. Beliau merumuskan tentang kehadiran masyarakat Hoabinh dan juga Neolitik di gua tersebut. Kebudayaan Hoabinh dikesan pada lapisan bawah galian sedangkan tinggalan Neolitik pula terkesan di lapisan atas. Masyarakat Hoabinh ini mengamalkan pengebumian melentur tanpa apa-apa bekal kubur, membuat alat batu bersaiz pebel dan menggunakan pewarna hematit sedangkan masyarakat Neolitik pula dicirikan dengan alat batu bercanai seperti beliung, kapak, pahat, gelang dan pemukul kulit kayu. Masyarakat pada zaman neolitik juga ditanam melurus bersama-sama dengan alat batu, periuk tembikar tanah dan perhiasan diri.

Penyelidikan oleh Adi Taha pada 1979 pula menemukan yang gua ini hanya dijadikan tempat kediaman bermusim dan lokasi pengebumian masyarakat Hoabinh dan Neolitik. Kajian beliau sekali gus membuktikan kenyataan Sieveking tentang keberadaan dua kebudayaan dalam dua lapisan stratigrafi yang berlainan, begitu juga cara pengebumian.

Gua Peraling[sunting | sunting sumber]

Gua peraling terletak berhadapan Sungai Perias di kedudukan berhampiran dengan Kampung Tohoi iaitu sebuah perkampungan suku Temiar.[3] Pada 1936, tapak ini pun pernah diselidik oleh Noone semasa menjalankan bancian penduduk Orang Asli. Potensinya pula dikenal pasti oleh William Hunt semasa membuat tinjauan keselamatan di kawasan itu pada 1951. Pada tahun 1994 pula, tapak ini telah dikaji oleh Adi Taha dan mempunyai tinggalan artifak pada lapisan bawah hingga ke atas. Selain beberapa rangka yang tidak lengkap, serpihan tulang haiwan, kulit siput Brotia costuila dan Amphidramus perakensis turut ditemukan. Alat batu yang digunakan tidak jauh bezanya dengan yang ada di Gua Cha, selain perkakas tembikar Neolitiknya yang bertarikh 3,500 SM dengan corak hiasan anyaman tali.

Gua Chawas[sunting | sunting sumber]

Gua Chawas terletak tidak jauh dari Kuala Betis, Gua Musang.[3] Adi Taha telah melakukan penyelidikan dan ekskavasi di tapak gua ini dalam tahun 1994. Hasil ekskavasi yang dilakukan telah menemui tinggalan artifak yang mewakili beberapa era atau kebudayaan bermula dengan zaman Hoabinh, Neolitik dan Protosejarah. Masyarakat Orang Asli telah menjadikan gua ini sebagai lokasi persinggahan dan di tapak ini juga ditemui lukisan gua yang dilukis dengan menggunakan arang. Gua Chawas menghasilkan bukti yang menarik di lapisan atas bertarikh lebih kurang 1000 tahun Masihi.

Penemuan lain yang agak menarik ialah votive tablet Hindu-Buddha Malayanist dengan imej Buddhisatva dan Avaloketisvara zaman Srivijaya yang berjumlah melebihi 1000 keping. 20 Artifak ini dikaitkan dengan kewujudan kerajaan purba Chih Tu iaitu sebuah kerajaan Melayu pra-Islam yang dikatakan pernah wujud di Ulu Kelantan.

Gua-gua lain[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Zuliskandar Ramli (2019). "Penemuan terkini tapak prasejarah di Lembangan Sungai Nenggiri". Jurnal Arkeologi Malaysia. 32 (1): 1-20. ISSN 0128-0732.
  2. ^ Adi Haji Taha (2000). Archaeological investigations in Ulu Kelantan, Peninsular Malaysia (Tesis).
  3. ^ a b c Adnan Jusoh; Yunus Sauman; Zuliskandar Ramli (2015). Warisan Kelantan XXXVI. Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.