Radio Internet

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Radio Internet merupakan perkhidmatan siaran isyarat audio yang dipancarkan melalui Internet. Muzik aliran melalui Internet lazimnya dirujuk sebagai "siaran web" memandangkan tiada isyarat gelombang radio tanpa wayar digunakan.

Radio Internet melibatkan media aliran bagi menyiarkan aliran audio berterusan yang tidak boleh dihentikan sementara atau dimain balik sebagaimana media penyiaran tradisional. Kebanyakan perkhidmatan radio Internet ada kaitan dengan rangkaian stesen radio tradisional. Stesen radio Internet sahaja pula terkecuali daripada kaitan tersebut.

Perkhidmatan radio Internet boleh dicapai di mana-mana sahaja di dunia - contohnya, melalui teknologi radio Internet, pendengar dari Jepun boleh mendengar siaran Melaka FM yang secara tradisionalnya hanya dapat diterima di kawasan negeri Melaka, utara Johor dan selatan Negeri Sembilan jika menggunakan isyarat gelombang radio biasa. Perkhidmatan radio Internet menawarkan rancangan berita, sukan, wawancara serta permintaan lagu sebagaimana stesen radio tradisional.

Teknologi radio Internet[sunting | sunting sumber]

Aliran[sunting | sunting sumber]

Kaedah paling lazim yang digunakan dalam siaran radio Internet ialah melalui teknologi media aliran menggunakan kodek audio seperti format MP3, Ogg Vorbis, Windows Media Audio, RealAudio dan HE-AAC (ada kalanya dikenali sebagai aacPlus). Bit-bit berkenaan "dialirkan" (diangkut) ke rangkaian Internet melalui paket TCP atau UDP packets, kemudian dihimpunkan semula dan dimainkan beberapa saat kemudian.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Konsert Rolling Stones pada November 1994 merupakan "konsert siaran utama siber pertama". Mick Jagger membuka konsert tersebut dengan berkata, "Saya ingin menyampaikan ucapan selamat datang khusus buat setiap orang yang, uh, melayari Internet malam ini dan, uh, sudah memasuki M-bone. Dan saya harap segalanya berjalan lancar tanpa masalah."[1]

Pada 7 November 1994, WXYC (89.3 FM Chapel Hill, NC AS) menjadi stesen radio tradisional pertama yang mengumumkan siaran melalui Internet. WXYC menggunakan radio FM yang disambungkan ke sebuah sistem di SunSite, kemudian dikenali sebagai Ibiblio, dengan menjalankan perisian Cornell CU-SeeMe. WXYC memulakan siaran ujian serta ujian lebar gelombang seawal Ogos 1994.[2] WREK (91.1 FM, Atlanta, GA AS) memulakan siaran aliran pada hari yang sama dengan menggunaan perisian buatan sendiri yang dipanggil CyberRadio1. Walau bagaimanapun, tidak seperti WXYC, ia merupakan pelancaran beta WREK dan siaran aliran tidak diiklankan sehingga pada satu tarikh yang telah ditetapkan.[3]

Pada tahun 1995, Progressive Networks melancarkan RealAudio sebagai muat turun. Majalah Time mengatakan bahawa RealAudio mengambil "kesempatan terhadap perkembangan mampatan digital" serta menghasilkan "keluaran bunyi berkualiti radio AM dalam keadaan yang dikatakan sebagai masa nyata."[4] Tidak lama kemudian, syarikat seperti Nullsoft dan Microsoft menawarkan pemain audio aliran sebagai muat turun percuma.[5] Setelah perisian pemain audio semakin mudah didapati, "banyak stesen radio berasaskan Web tumbuh bagai cendawan."[5]

Paca Mac 1996, Virgin Radio - London, menjadi stesen radio Eropah pertama yang menyiarkan rancangannya secara langsung melalui Internet[6]. Ia menyiarkan isyarat FMnya, secara langsung dari stesen radio, secara berterusan di Internet 24 jam sehari[7].

Radio Internet menarik perhatian sebilangan media dan pelabur pada lewat 1990an. Pada tahun 1998, saham awam yang ditawarkan untuk Broadcast.com mencatatkan rekod kenaikan harga terbesar dalam tawaran saham di Amerika Syarikat. Harga tawaran ialah AS$18 dan saham syarikat dibuka pada AS$68 pada hari pertama dagangan.[8] Syarikat tersebut sedang rugi pada masa tersebut dan ia ditunjukkan dalam sebuah prospektus yang difailkan bersama Suruhanjaya Tukaran Sekuriti bahawa mereka menjangkan kerugian tersebut akan berterusan.[8] Yahoo! membeli Broadcast.com pada 20 Julai 1999[9] dengan harga AS$5.7 bilion.[10]

Populariti[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2003, pendapatan daripada perkhidmatan radio muzik aliran berjumlah AS$49 juta. Menjelang tahun 2006, angka tersebut meningkat ke AS$500 juta.[11]

"Kajian bagi 3,000 warga Amerika oleh konsultansi Bridge Ratings & Research" bertarikh 21 Februari 2007 mendapati "sebanyak 19% daripada pengguna AS berusia 12 tahun ke atas mendengar stesen radio berasaskan Web." Dengan kata lain, terdapat "sejumlah 57 juta pendengan rancangan radio Internet setiap minggu. Lebih ramai orang mendengar radio Internet daripada gabungan radio satelit, radio definisi tinggi [sic], podcast, atau radio berasaskan telefon bimbit."[11][12]

Satu kajian oleh Arbiton bertarikh April 2008 [13] menunjukkan bahawa di AS, lebih daripada seorang bagi setiap tujuh orang berusia lingkungan 25–54 tahun mendengar radio Internet setiap minggu. Pada tahun 2008, 13 peratus populasi Amerika mendengar radio Internet berbanding 11 peratus pada tahun 2007.

Radio Internet di Malaysia[sunting | sunting sumber]

Perkhidmatan radio Internet juga boleh didapati di stesen-stesen radio Malaysia. Radio Televisyen Malaysia (RTM) menawarkan perkhidmatan tersebut pada stesen-stesen radio RTM setempat yang selama ini hanya boleh didengari di kawasan-kawasan tertentu sahaja, sebagaimana contoh Melaka FM yang telah dinyatakan di atas. Ia membolehkan stesen-stesen radio tempatan boleh didengari bukan sahaja di negeri-negeri lain, malah di mana-mana sahaja di dunia. Selain itu, stesen-stesen radio swasta seperti hitz.fm dan Hot FM turut menyediakan perkhidmatan radio Internet.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Peter H. Lewis (February 8, 1995). "Peering Out a 'Real Time' Window". New York Times. Diperoleh pada 2009-02-09. 
  2. WXYC's groundbreaking internet simulcast is now 10 years old November 12, 2004. WXYC Chapel Hill, NC, 89.3 FM.
  3. We got here first. Sort of. WREK Atlanta, 91.1 FM.
  4. Josh Quittner (1995-05-01). "Radio Free Cyberspace". Time. Diperoleh pada 2009-03-05. 
  5. 5.0 5.1 Richard D. Rose (2002-05-08). "Connecting the Dots: Navigating the Laws and Licensing Requirements of the Internet Music Revolution". IDEA: The Intellectual Property Law Review. Diarkibkan daripada asal pada 2009-03-20. Diperoleh pada 2009-03-05. 
  6. Adam Bowie (September 26th, 2008). "A brief history of Virgin Radio". One Golden Square. Diperoleh pada 2009-03-30. 
  7. "An Introduction to Internet Radio". European Broadcasting Union (EBU). 26 October 2005. Diperoleh pada 2009-03-30. 
  8. 8.0 8.1 Saul Hansell (July 20, 1998). "Broadcast.com Faces Risks After Strong Initial Offering". New York Times. Diperoleh pada 2008-11-23. 
  9. "Yahoo! Completes Broadcast.com Acquisition". Yahoo! Media Relations. July 20, 1999. Diperoleh pada 2009-01-10. 
  10. Doc Searls, (July 17, 2002) "Why Are So Many Internet Radio Stations Still on the Air?" Linux Journal. Retrieved 2010-03-14.
  11. 11.0 11.1 Olga Kharif, The Last Days of Internet Radio?, March 7, 2007. Retrieved on March 7, 2007.
  12. "HD" dalam "radio HD" sebenarnya bermaksud hybrid digital (digital kacukan), bukan high-definition (definisi tinggi). Ia merupakan kacukan kerana isyarat analog dan digital dipancarkan bersama.
  13. Joe Lensky; Bill Rose (2008-06-24). "The Infinite Dial 2008: Radio’s Digital Platforms". Digital Radio Study 2008. Arbitron and Edison Research. Diarkibkan daripada asal pada 2009-07-14. 

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]