Robert Langdon

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Robert Langdon
Pelakon Tom Hanks sebagai Robert Langdon
Kemunculan pertama Angels & Demons
Dicipta oleh Dan Brown
Dilakonkan oleh Tom Hanks
Informasi
JantinaLelaki
PangkatProfesor ikonografi dan simbologi keagamaan
SaudaraHoward Langdon (moyang)

Robert Langdon (biasanya dalam bentuk formal Profesor Robert Langdon, nama panggilan Langdon) (dilahirkan pada 22 Jun, 1964 di Exeter, New Hampshire, Amerika Syarikat) merupakan seorang watak fiksyen dalam siri novel Dan Brown. Beliau ialah seorang ahli simbologis (pakar simbol agama) dari Universiti Harvard dan muncul dalam tiga novel nukilan Dan Brown, iaitu Angels & Demons (2000), The Da Vinci Code (2003) dan The Lost Symbol (2009).

Tom Hanks melakonkan watak Robert Langdon dalam adaptasi filem The Da Vinci Code pada tahun 2006 dan sekali lagi dalam adaptasi filem Angels & Demons pada tahun 2009.

Perkembangan watak[sunting | sunting sumber]

Watak ini dicipta oleh penulis Dan Brown sebagai "lelaki yang beliau ingin jadi". Brown sendiri lahir pada 22 Jun 1964 di Exeter, New Hampshire dan watak fiksyen Langdon dikatakan lahir pada 22 Jun di Exeter juga, serta belajar di sekolah yang Brown pernah belajar, iaitu Akademi Philip Exeter. Brown menamakan watak Robert Langdon sempena John Langdon, seorang profesor taipografi (pakar tentang seni perkataan) di Universiti Drexel yang terkenal dengan kemahirannya untuk mencipta ambigram, iaitu sejenis seni perkataan yang boleh dibaca dengan cara yang berbeza; misalnya, sebuah perkataan yang boleh dibaca dan difahami dalam bentuk biasa dan jika diterbalikkan. Sebuah contoh ambigram ciptaannya muncul di kulit buku edisi pertama novel Brown Angels & Demons, dan ambigram lain yang juga diselitkan dalam novel tersebut yang juga dicipta oleh John Langdon. Dalam muka surat penghargaan novel tersebut, Brown menyifatkan Langdon sebagai "salah seorang artis yang paling bijak dan berbakat pernah wujud ... yang berani bangkit menyahut cabaran saya yang mustahil serta menghasilkan seni ambigram untuk novel ini". John Langdon juga mencipta logo untuk bank fiksyen, iaitu Bank Deposit Zurich yang turut muncul dalam filem The Da Vinci Code.

Jalan cerita[sunting | sunting sumber]

Robert Langdon disifatkan "nampak seiras seperti Harrison Ford dalam pakaian Harris tweed", dengan pakaian formal yang kerap dipakainya iaitu baju turtleneck, jaket Harris tweed, seluar khaki dan kasut kulit fabrik Cordova. Aksesori hiasannya yang paling kerap diceritakan ialah jam tangan Mickey Mousenya, hadiah yang diberi oleh ibu bapanya semasa hari lahirnya yang ke-9.

Langdon merupakan seorang penyelam di Akademi Philip Exeter dan bermain polo air di Universiti Princeton bila mana dia memasuki kolej. Beliau mempunyai klaustrofobia, ketakutan berada dalam ruang tertutup (seperti lif atau keranda batu) semenjak dia jatuh ke dalam sebuah perigi semasa berumur 7 tahun. Bapanya meninggal dunia ketika dia berumur 16 tahun. Mentor barunya yang berperanan sebagai 'bapa angkat' ialah Peter Solomon, Setiausaha Intitusi Smithsonian.

Terkenal dengan kemahiran menyelesaikan misteri dan kebijaksanaannya, dia dikatakan mempunyai ingatan memori eidetik dan pemahamannya dalam bidang semiotik (berkaitan evolusi simbol dan tanda). Sebagai seorang profesor di Universiti Harvard, dia mengajar Ilmu Ikonologi Agama dan (bidang rekaan/fiksyen) Kaji Ilmu Simbol (Simbologi). Dia juga dikatakan dibesarkan sebagai seorang penganut Katolik, akan tetapi dia tidak akan memahami fitrah Tuhan dan akidah merupakan sesuatu yang dia belum sedia menerima.

Angels and Demons[sunting | sunting sumber]

Robert Langdon dipanggil untuk datang ke Ibu Pejabat CERN di Switzerland untuk menyiasat implikasi simbologi agama tentang kematian saintis terkenal dan terhormat di CERN, Leonardo Vetra. Apabila dia menyiasat kes tersebut, minatnya tentang sejarah mula dimanfaatkan apabila pertubuhan rahsia Illuminati menonjol sebagai dalangnya. Dia menyertai penyiasatan Vittoria Vetra (anak Leonardo) dan mereka merantau ke Vatican untuk membongkar misteri di sebalik Illuminati, sebuah pertubuhan rahsia anti-Katolik, menurut jalan cerita, telah menceroboh kebanyakan intitusi global, ekonomi, politik dan agama. Langdon dan Vittoria menyelesaikan misteri Illuminati ini dengan melalui Laluan Pencahayaan (Path of Illumination) dan pada masa yang sama menerangkan misteri kehilangan empat Kardinal semasa perhimpunan pelantikan Paus, pembunuhan Leonardo Vetra dan kecurian anti-jisim (sejenis bahan yang boleh digunakan untuk pemusnahan dalam skala besar-besaran). Pada pengakhiran novel, Langdon dan Vittoria akhirnya bercinta. Dalam beberapa ayat terakhir dalam Angels & Demons, Vittoria Vetra bertanya kepadanya samada dia pernah mengalami pengalaman yang suci. Apabila dia membalas tidak, Vittoria mengeluh, "Kamu tak pernah tidur bersama seorang pakar yoga, bukan?" Hubungan mereka, walau bagaimanapun, hanya disebut seimbas lalu dalam novel The Da Vinci Code, menyebut bahawa Langdon pernah berjumpa lagi dengan Vittoria setahun lalu.

The Da Vinci Code[sunting | sunting sumber]

Pada permulaan novel ini, Langdon sedang berada di Paris memberikan syarahan tentang kerjanya. Langdon juga telah membuat temu janji bersama kurator muzium Louvre, Jacques Saunière tetapi kemudian terkejut apabila mendapati pihak polis berada di pintu bilik hotelnya. Mereka memberitahunya bahawa Saunière telah mati dan mereka perlukan bantuan segera Langdon di Louvre untuk membantu menyelesaikan kes ini. Tanpa diketahui Langdon, dia merupakan suspek utama yang disyaki membunuh Saunière dan dia dibawa ke tempat kejadian supaya pihak polis dapat memperoleh maklumat daripadanya dan mengakui kesalahannya. Semasa dia di Louvre, dia bertemu dengan Sophie Neveu, seorang ahli kriptologi dari DCPJ. Apabila dia berpeluang berbual bersamanya secara bersendirian, dia mengetahui bahawa Saunière ialah datuk Sophie. Saunière mengarahkan Sophie untuk "cari Robert Langdon", menurut mesej halimunan yang ditinggalkannya di lantai Louvre, dengan itu, Sophie percaya dia tidak bersalah atas pembunuhan datuknya. Dia menghabiskan masa bersama Sophie mengelak dari pihak polis dan cubi menyelesaikan misteri pertubuhan rahsia purba yang pernah dipimpin oleh Leonardo da Vinci sendiri, Priory of Sion. Pada pengakhiran novel, Langdon membongkar misteri di sebalik lukisan-lukisan da Vinci, Mary Magdalene dan Holy Grail yang juga digelar sebagai Sangreal (sang real bermaksud darah diraja, san greal bermaksud cawan suci). Dia juga mendapati bahawa Sophie merupakan waris keturunan Holy Grail terakhir yang masih hidup dan semakin menjalin hubungan antara mereka.

The Lost Symbol[sunting | sunting sumber]

Dalam novel ini, Langdon telah dipelawa oleh mentornya, Peter Solomon untuk mendengar syarahannya di Washington D.C.. Malangnya, setelah tiba di sana, Langdon hanya menemui anggota tangan kanan Solomon yang terputus dan diletakkan di tengah-tengah rotunda bangunan Capitol. Terkejut dengan penemuan tersebut, beliau ditemui seorang anggota polis bernama Inoue Sato dan bersama-samanya, menyelesaikan kes ini. Namun, dalam proses menyelidik kes ini, Inoue telah mendapati bahawa Langdon mungkin bersalah dalam pemutusan anggota itu dan bertindak menahan Langdon. Langdon yang kemudiannya diculik bersama Inoue oleh penculik Solomon, Mal'akh dan diseksa; Inoue dikelar dan dibiarkan parah sehingga mati, manakala Langdon dilemaskan ke dalam sebuah tangki berisi cecair yang kemudiannya didapatinya sebagai sejenis cecair yang mempunyai ketumpatan tinggi oksigen. Dia kemudiannya disertai CIA ke House of Temple dan menemui Mal'akh sedang cuba membunuh diri sendiri dengan bantuan Solomon. Akhirnya, Mal'akh mati akibat serpihan kaca lelangit yang jatuh menimpanya dan dibongkarkan bahawa Mal'akh merupakan anak kepada Peter Solomon, iaitu Zachary Solomon. Kemudiannya, setelah keadaan kembali reda, Solomon telah mengajar Langdon bahawa simbol yang hilang itu (lost symbol) ialah perkataan Laus Deo bermaksud segala puji bagi Tuhan (seperti perkataan Alhamdulillah dalam Islam). Perkataan ini dikatakan simbol yang hilang kerana ia terdapat di semua ajaran di dunia serta kitab-kitab suci seperti Qur'an, Bible, Kitab Veda & lain-lain.