Shinigami (Bleach)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Shinigami (死神, Dewa Maut) ialah kaum fiksyen dalam manga dan siri anime Bleach. Mereka merupakan penguatkuasa bagi kesemua makhluk yang mempunyai kuasa semangat.

Shinigami ialah roh manusia yang telah meninggalkan tubuhnya dan mempunyai kuasa semangat. Maka, badan mereka terdiri daripada ektoplasma dan hanya boleh dilihat oleh mereka yang turut memiliki kuasa semangat. Dalam siri ini, shinigami, seperti roh-roh lain, mampu mempengaruhi alam sekeliling. Sebagai tambahan, mereka boleh cedera dan mati seperti manusia biasa tetapi daya ketahanan mereka jauh lebih tinggi daripada manusia.

Kuasa paranormal ternyata yang dimiliki oleh seorang shinigami ialah zanpakutō, sejenis pedang semangat yang dijana daripada roh shinigami. Mereka juga boleh membebaskan tenaga semangat dan berbeza dari segi kuantiti mengikut kekuatan tiap-tiap shinigami. Zanpakutō ialah manifestasi kuasa semangat yang ditukarkan kepada bentuk fizikal berupa sebilah pedang.

Operasi shinigami berpusat di Soul Society iaitu alam barzakh dalam Bleach. Perjalanan di antara dunia manusia dengan Soul Society dikawal dan diawasi sentiasa. Tetapi, terdapat juga kes shinigami diarahkan bertugas di dunia manusia. Maka, mereka terpaksa berulang-alik dari kedua-dua dunia tersebut. Sebagai tambahan, adalah menjadi satu kesalahan bagi seorang shinigami untuk tinggal di dunia manusia lebih lama daripada had masa yang ditetapkan. Tugas shinigami termasuklah memimpin Plus (hantu) ke Soul Society dengan melakukan "pengebumian roh" (konsō) dan menyucikan jiwa hollow (roh jahat). Dengan mengikuti perkembangan siri ini, tugas-tugas shinigami akan dijelaskan dengan lebih lanjut dan didedahkan juga bahawa mereka bertanggungjawab sebagai mengawasi aliran roh keluar masuk dari dunia manusia ke Soul Society.

Templat:Spoiler

Latihan[sunting | sunting sumber]

Sebahagian besar daripada latihan yang dijalani oleh individu yang ingin menjadi shinigami berlangsung di Akademi Shinigami. Tempoh bagi pembelajaran di sana ialah enam tahun. Dalam jangka masa itu, para pelajar akan mempelajari cara-cara bertarung dengan hollow (lihat kombat dan menjalankan pengebumian roh. terdapat kemungkinan bahawa akademi ini diasaskan oleh Yamamoto-Genryūsai Shigekuni 2000 tahun sebelum kisah utama Bleach bermula.

Kombat[sunting | sunting sumber]

Shinigami mempunyai empat kaedah kombat: kidō, pertarungan fizikal, pergerakan kaki dan seni bermain pedang.

Kidō[sunting | sunting sumber]

Artikel utama: Kidō Seni syaitan (鬼道, kidō) merupakan sejenis sihir yang digunakan oleh shinigami. Teknik ini digunakan untuk beberapa tujuan seperti merawat, menyerang dan mengikat. Kemahiran merawat ialah bidang yang lebih am manakala teknik menyerang dan mengikat (mengunci pergerakan) memerlukan bacaan jampi. Seni syaitan dibahagikan kepada dua kumpulan utama: jampi letupan (破道, hadō) yang digunakan untuk serangan langsung, dan jampi mengikat (縛道, bakudō) yang digunakan untuk mengunci pergerakan seseorang. Seni syaitan sebegini digunakan dengan membaca jampi yang rumit dan panjang diikuti dengan nama serangan atau teknik pengikat. Versi yang lebih remeh pula hanya memerlukan bacaan nama teknik yang ingin digunakan. Tetapi, kesan jampi berkenaan adalah lebih lemah.

Pertarungan fizikal[sunting | sunting sumber]

Pukulan putih (白打, hakuda) dalam Bleach tidak berapa ditekankan. Bahagian khas tertentu, terutamanya mereka yang berada di peringkat atasan seperti Soifon, telah dilatih untuk menguasai teknik pertarungan fizikal.

Pergerakan kaki[sunting | sunting sumber]

Seni pergerakan kaki (歩法, hohō), seperti pertarungan fizikal, tidak diberi penekanan dalam Bleach. Langkah kilat (shunpo), sejenis teknik pergerakan fizikal yang membolehkan tindak-tanduk penggunanya tidak dapat diikuti oleh mata kasar dikatakan tergolong dalam teknik pergerakan kaki.

Seni bermain pedang[sunting | sunting sumber]

Artikel utama: Zanpakutō

"Teknik memotong" (斬術, zanjutsu) merupakan teknik kombat yang paling biasa digunakan oleh shinigami kerana zanpakutō mereka dapat menewaskan pihak lawan dengan berkesan. Teknik ini menggunakan zanpakutō dan keupayaan tersendiri zanpakutō untuk menyerang pihak lawan. Selain daripada bentuk asalnya, zanpakutō mempunyai dua bentuk yang istimewa: pembebasan tahap pertama (shikai) dan pembebasan tahap terakhir (bankai) yang akan menukarkan bentuk pedang bagi membebaskan potensi sebenar zanpakutō serta penggunanya.

Operasi dan Bantuan Misi[sunting | sunting sumber]

Shinigami dipertanggungjawabkan dengan pelbagai misi seperti pengebumian roh, berlawan dengan hollow dan macam-macam lagi. Kebanyakan daripada misi ini berlaku di dunia manusia. Semua shinigami kelas kapten dan leftenan akan dihadkan kuasa semangat mereka sebanyak 80 peratus ketika memasuki alam nyata (dilambangkan oleh azimat berbentuk simbol bahagian masing-masing) supaya tidak mempengaruhi keadaan persekitaran di sana. Dalam kes-kes tertentu yang memerlukan kuasa penuh mereka diaktifkan, peraturan ini boleh dihentikan buat sementara waktu.

Gigai[sunting | sunting sumber]

Oleh sebab sesetengah operasi memakan masa yang panjang, shinigami perlu mencari jalan untuk tinggal di alam nyata sehinggalah misi dapat diselesaikan. Hal ini kerana shinigami dalam bentuk roh tidak boleh berada di dunia manusia terlalu lama; mereka tidak dapat berinteraksi dengan manusia atau memulihkan kuasa semangat jika perlu. Maka, gigai dicipta bagi memenuhi keperluan shinigami.

Gigai (義骸) ialah badan tiruan yang membenarkan shinigami tinggal di dunia manusia dengan lebih lama. Walaupun gigai merupakan objek buatan, objek itu masih beroperasi seperti tubuh manusia yang sebenar. Tidak seperti tubuh shinigami, manusia biasa boleh melihat gigai.

Roh tiruan[sunting | sunting sumber]

Soul Candy

Roh tiruan (義魂丸, gikongan) ialah roh yang dicipta oleh saintis shinigami yang berfungsi untuk mengasingkan roh shinigami daripada gigainya (jika mereka sedang menggunakan gigai). Apabila ditelan, roh tiruan akan memaksa roh pengguna keluar dari badan dan beroperasi mengikut program yang ditentukan sehinggalah shinigami itu pulang ke tubuhnya. Biasanya, gikongan dipanggil sebagai "Soul Candy" kerana Organisasi Shinigami Wanita mengadu bahawa nama gikongan tidak comel dan perlu ditukar. Untuk disesuaikan dengan namanya, Soul Candy dibungkus di dalam bekas bergambar karektor-karektor kartun. Roh-roh tiruan nampaknya berkelakuan seperti watak-watak kartun; misalnya, versi kegemaran Rukia, Si Arnab Chappy, mempunyai personaliti yang hiiperaktif dan cuba memeluk Ichigo apabila mengawal gigai Rukia.

Roh modifikasi[sunting | sunting sumber]

Oleh sebab bilangan hollow jauh melebihi bilangan shinigami, projek roh modifikasi digerakkan untuk merapatkan jurang perbezaan tersebut. Roh modifikasi (改造魂魄, kaizō konpaku) ialah roh manusia yang telah dipertingkat sistem fisiologi manusia biasa untuk membolehkan mereka bertarung dengan hollow. Sebagai contoh, satu roh modifikasi boleh berlari beberapa kali lebih laju daripada manusia normal sementara roh modifikasi lain mempunyai kekuatan melampaui had manusia. Kon, satu roh modifikasi mempunyai kekuatan kaki. Roh modifikasi dimampatkan kepada pil sfera yang kecil dan diletakkan di dalam mayat untuk membolehkannya berfungsi sebagai tentera bagi berlawan dengan hollow. Tetapi, roh modifikasi terpaksa dihapuskan setelah eksperimen tersebut dibuktikan gagal (atas sebab-sebab etika moral). Dalam proses penghapusan tersebut, pil Kon telah bercampur-aduk dengan pil roh tiruan biasa dan dijual di Kedai Urahara. Rukia membeli dan membebaskannya dengan tidak sengaja. Walaupun berhadapan dengan arahan untuk menghapuskan semua roh modifikasi, Rukia dan Ichigo menyimpan Kon dan memberinya sebuah jasad patung mainan singa. Mereka berdua menggunakan Kon untuk mengawal tubuh Ichigo setelah rohnya dipaksa keluar daripada badannya untuk berlawan sebagai shinigami.

Pengubahsuaian memori[sunting | sunting sumber]

Dalam sesetengah situasi, seorang manusia menyaksikan shinigami menyucikan hollow atau mempengaruhi alam sekelilingnya melalui pelbagai cara. Untuk merahsiakan insiden tersebut, shinigami akan melakukan pengubahsuaian memori dengan satu item bernama kikanshinki yang menghasilkan kepulan asap dan kepala burung. Tetapi, memori baru yang diperoleh manusia tersebut adalah rawak dan sering kali berdasarkan sesuatu kejadian yang dipercayai olehnya. Sebagai contoh, keluarga Ichigo percaya bahawa sebuah lori merempuh masuk ke dalam rumah mereka setelah diubah ingatan. Inoue Orihime pula yang pandai berimaginasi percaya bahawa rumahnya diserang oleh seorang sumo yang mahir menggunakan senapang (seorang Penembak Yakuza dalam manga).

Telefon bimbit[sunting | sunting sumber]

Merupakan alat yang amat penting kepada shinigami yang bertugas di dunia manusia. Telefon bimbit ini berfungsi sebagai telefon biasa dan media komunikasi dengan Soul Society. Alat ini menerima informasi tentang masa dan lokasi sebenar hollow melalui pesanan teks ringkas. Hollow yang dibunuh oleh shinigami juga akan direkodkan dalam telefon bimbitnya dan digunakan sebagai mata wang (mengikut ganjaran yang ditawarkan ke atas setiap hollow).

Kerajaan dan undang-undang[sunting | sunting sumber]

Pihak berkuasa bagi shinigami ialah "Bilik Utama 46" (中央四十六室, chūō yonjūroku shitsu) yang berkhidmat untuk kaum diraja shinigami (kelas yang memerintah Soul Society). Bilik Utama 46 terdiri daripada 40 bijak pandai dan 6 hakim. Mereka dikurung di dalam sebuah ruang di Seireitei yang dipanggil seijōtōkyorin (清浄塔居林). Semua orang dilarang untuk memasuki kawasan ini tanpa mengira status ketenteraan atau awam. Keputusan Bilik Utama 46 adalah muktamad.

Hanya pengawal diraja (王属特務, ōzokutokumu) yang dikatakan mempunyai kuasa dan pengetahuan taktik yang tinggi serta Akademi Shinigami tidak tertakluk kepada kuasa Bilik Utama 46.

Shinigami juga menerima gaji seperti pekerja di dunia sebenar.

Judisiari[sunting | sunting sumber]

Bilik Utama 46 bertindak sebagai panel hakim yang mengadili kes-kes jenayah berat shinigami seperti pembunuhan atau pengkhianatan. Hukuman untuk kesalahan-kesalahan remeh boleh ditentukan oleh shinigami berpangkat yang lebih rendah seperti kapten bahagian. Biasanya, Bilik Utama 46 mengadili shinigami yang mungkin akan dijatuhkan hukuman bunuh. Setelah ahli-ahli Bilik Utama 46 dibunuh oleh Aizen dalam babak Soul Society, Jeneral Yamamoto mengambil alih tugas mereka. Terdpat beberapa cara hukuman bunuh dapat diadakan tetapi hanya dua kaedah yang diketahui:

  • Lubang mengurung roh: Merupakan kaedah pembunuhan yang kuno. Shinigami penjenayah dilontarkan ke dalam lubang yang berdindingkan batu maut - sejenis batu yang menyerap kuasa semangat untuk menghalang sesiapa di sekitar daripada menghentikan hukuman bunuh. Hollow akan dicampakkan ke dalam lubang ini untuk membunuh shinigami tersebut. Kaedah ini dianggap terlalu kejam dan dimansuhkan.
  • Sōkyoku (双殛): Merupakan kaedah pembunuhan untuk menamatkan riwayat shinigami yang mempunyai kuasa semangat yang amat kuat iaitu shinigami kelas kapten. Sōkyoku adalah sejenis kapak senjata yang mampu memusnahkan roh apabila bersentuhan dengannya. Selepas dibebaskan, Sōkyoku mengambil bentuk "phoenix" iaitu bentuk sebenarnya dan dipanggil Kikōō. Kikōō mempunyai kuasa pemusnahan yang sama dengan sejuta zanpakutō dan meningkat sebanyak 10 kali ganda apabila ia menembusi mangsanya.

Tentera[sunting | sunting sumber]

Tentera shinigami terdiri daripada tiga elemen yang unik: Gotei 13 (13 Bahagian), Pasukan Kidō dan pasukan khas.

Pasukan Seni Syaitan[sunting | sunting sumber]

Tidak banyak yang diketahui tentang Pasukan Kidō (鬼道衆, kidōshū) kecuali bahagian ini ini mengambil pelajar dari Akademi Shinigami yang mahir menggunakan kidō sebagai ahli dan kesemua operasinya ialah maklumat sulit.

Pasukan Kidō bertanggungjawab membuka "Pintu Menembusi Dunia" (穿界門, senkaimon) di antara dunia manusia dengan Soul Society.

Pasukan khas[sunting | sunting sumber]

Juga dikenali sebagai Unit Gerakan Rahsia (隠密機動, onmitsukidō). Pangkat tertinggi ialah Eksekutif Militia (刑軍, keigun), pangkat kedua tertinggi ialah Pasukan Rondaan (警邏隊, keiratai) dan bahagian kelima ialah Kuasa Pembetulan (裏挺隊, riteitai). Nama dan fungsi dua bahagian lain tidak diketahui. Tidak banyak informasi yang diberikan berkenaan dengan operasi pasukan khas.

Pasukan khas kini diketuai oleh Kapten Soifon dari Bahagian ke-2 Gotei 13. Dia mengambil alih kedudukan Shihouin Yoruichi yang meninggalkan Soul Society 100 tahun dahulu.

Pangkat[sunting | sunting sumber]

Ketua bagi pasukan khas dipanggil komander bertugas (総司令官, sōshireikan). Ketua bagi setiap bahagian (terdapat lima orang kesemuanya) digelar sebagai komander pasukan (軍団長, gundanchō). Walaupun cara pangkat lain berfungsi dalam pasukan khas belum diketahui, seperti Gotei 13, ketua bagi pasukan ini biasanya turut memimpin bahagian atasan iaitu Eksekutif Militia tetapi komander pasukan khas mempunyai beberapa orang pengawal peribadi, berbeza pula dengan Gotei 13.

Pakaian seragam[sunting | sunting sumber]

Walaupun jeneral bagi pasukan khas mengenakan pakaian seragam seperti seragam shinigami piawai, pakaian Eksekutif Militia berbeza sedikit daripada mereka dalam Gotei 13. Secara keseluruhan, pakaian mereka seakan-akan seragam ninja. Pakaian mereka tidak mempunyai anak baju berwarna putih dan selendang yang diikat pada pinggang berwarna hitam, bukannya putih. Sehelai kain digunakan untuk menutup sebahagian daripada muka dan dalam anime, menutupi rambut juga (tetapi tidak menutupi mata). Mereka memakai stokin sahaja (tidak memakai cepu). Bahagian lengan dan hujung seluar diikat ketat dengan kain supaya pakaian tidak bergerak terlalu banyak (mungkin untuk mengurangkan bunyi semasa bergerak dan mempertingkat ketangkasan).

Ketua militia memakai seragam yang sama tetapi dengan bahagian belakang dan bahu terdedah. Hal ini disebabkan oleh teknik "Tangisan Kilat" (瞬閧, shunkō). Teknik ini menggabungkan pertarungan fizikal dengan seni syaitan untuk menghasilkan tekanan semangat tinggi yang tertumpu di bahagian belakang dan bahu sehingga mencarik-carikkan fabrik.

Pakaian seragam Kuasa Pembetulan adalah sangat berbeza. Tenteranya memakai seragam putih, sehelai aksesori kepala yang panjang dan beg sandang.

Gotei 13[sunting | sunting sumber]

Gotei 13 (護廷十三隊, goteijūsantai) ialah organisasi yang dianggotai oleh kebanyakan shinigami. Organisasi ini berpecah kepada tiga belas bahagian (sejajar dengan namanya) dan setiap bahagian mempunyai kepakaran khusus dalam bidang tertentu. Bahagian ke-4 berfungsi untuk membantu dalam perubatan dan pembekalan, Bahagian ke-11 khusus dalam pertarungan (mahir bermain pedang) manakala Bahagian ke-12 bertugas ke atas penyelidikan dan kajian saintifik. Fungsi khas bahagian lain tidak dijelaskan dan hanya tiga bahagian yang dinyatakan tadi diberikan penekanan.

Pangkat[sunting | sunting sumber]

Seperti pasukan tentera biasa, Gotei 13 juga mempunyai pangkat. Terdapat 21 pangkat untuk pegawai dan tiada pangkat bagi mereka yang bukan bertaraf pegawai. Pengelasan pangkat-pangkat adalah seperti di bawah, dari yang tertinggi hingga terendah.

Jeneral-Komander[sunting | sunting sumber]

Sōtaichō (総隊長) ialah pemimpin Gotei 13 dan kapten bagi Bahagian Pertama. Shinigami yang menduduki jawatan ini ialah Kyōraku Shunsui.

Komander Unit[sunting | sunting sumber]

Komader unit sering kali dipanggil kapten (隊長, Taichō) dan merupakan ketua bagi bahagian masing-masing. Gelaran "Kapten" bukan merupakan terjemahan terbaik kepada pangkat sebenar mereka tetapi sesuai digunakan jika berdasarkan saiz unit yang diketuai oleh mereka. Sebuah unit dalam Gotei 13 biasanya terdiri daripada 200 orang ahli.

Kapten merupakan antara shinigami yang paling dihormati di Soul Society selain daripada Bilik Utama 46, Pasukan Seni Syaitan dan ketua bagi pasukan khas. Kecuali Zaraki Kenpachi, kesemua kapten dapat membebaskan zanpakutō pada tahap terakhir dan biasanya jauh lebih kuat daripada leftenan mereka. Shinigami yang boleh menggunakan tahap terakhir mempunyai kekuatan lima hingga sepuluh kali ganda lebih tinggi daripada mereka yang tidak tahu menggunakannya. Untuk mencapai tahap ini, mereka harus menerima latihan intensif dan berlatih untuk menguasai kuasa tersebut agar dapat digunakan secara berkesan dalam pertarungan sebenar. Kebanyakan kapten juga mahir menggunakan langkah kilat, seni syaitan dan mempunyai pengetahuan yang meluas tentang sejarah shinigami serta taktik pertempuran. Kesemua faktor ini menghasilkan jurang besar berkenaan kekuatan antara kapten dengan shinigami berkelas bawahan.

Terdapat tiga cara berlainan untuk menjadi seorang kapten dalam Gotei 13:

  1. Menduduki ujian kelayakan kapten (隊首, taishu) yang menguji keupayaan calon menggunakan tahap terakhir zanpakutō. Kemungkinan besar kebanyakan shinigami menjadi kapten dengan kaedah ini. Sekurang-kurangnya tiga orang kapten termasuklah Jeneral-Komander harus hadir untuk menjadi saksi kepada ujian tersebut.
  2. Dicalonkan oleh sekurang-kurangnya enam orang kapten dan kebenaran daripada tiga orang daripada baki tujuh kapten Gotei 13.
  3. Menewaskan seorang kapten di hadapan 200 orang saksi dari bahagian kapten lawan. Diketahui hanya Zaraki Kenpachi yang menjadi kapten melalui cara ini.
Timbalan Komander Unit[sunting | sunting sumber]

Fukutaichō (副隊長) sering kali dipanggil sebagai leftenan dan merupakan pegawai tempat kedua dalam setiap bahagian.

Leftenan berperanan sebagai pegawai eksekutif bagi bahagian mereka dan menyelia serta mengawasi operasi harian. Mereka (bersama-sama kapten) tidak dipertanggungjawabkan ke atas unit pasukan yang khusus. Mereka biasanya tahu membebaskan zanpakutō sendiri pada tahap pertama dan merupakan pegawai kedua terkuat dalam bahagian masing-masing. Dalam situasi tertentu seperti kematian, peninggalan atau apa-apa perkara yang berlaku kepada kapten menyebabkan dia tidak boleh bertugas seperti biasa, leftenan akan mengambil alih tempatnya buat sementara waktu sehinggalah kapten yang lain dapat menggantikannya.

Pegawai berkedudukan[sunting | sunting sumber]

Mereka ialah pegawai lain dalam sesebuah bahagian yang menduduki tempat ketiga dan ke bawah. Tempat pertama diduduki oleh kapten manakala tempat kedua oleh leftenannya. Terdapat 18 tempat duduk lagi iaitu ketiga hingga ke-20. Dalam Gotei 13, hanya seorang yang boleh menduduki tempat pegawai senior (seperti tempat ke-3 atau ke-5) manakala beberapa pegawai boleh berkongsi jawatan yang junior (seperti tempat ke-20). Tetapi, hal ini boleh berubah mengikut bahagian (terdapat dua orang pegawai menduduki tempat ketiga dalam Bahagian ke-13). Dalam bahasa Jepun, pangkat biasanya dieja dengan nombor tertentu diikuti dengan perkataan "tempat" seperti 三席, sanzeki (三 ialah tiga manakala 席 ialah tempat). Sudah tentu, prinsip yang bertentangan digunakan dalam bahasa Melayu (misalnya, tempat ketiga).

Pakaian seragam[sunting | sunting sumber]

Pakaian seragam seorang kapten. Pakaian dalam gambar ini dipakai khususnya oleh bekas kapten Bahagian ke-3, Ichimaru Gin

Kebanyakan kakitangan Gotei 13 memakai pakaian seragam shinigami piawai yang bernama shihakushō (死覇装) - sehelai anak baju, kimono hitam dan hakama serta tali pinggang kain berwarna putih. Leftenan juga kadang kala memakai kain lilit di tangan yang mempunyai simbol serta nombor bahagian masing-masing. Biasanya, mereka dikehendaki untuk berbuat demikian semasa dipanggil ke mesyuarat.

Kapten memakai haori putih (mempunyai nombor bahagian masing-masing di bahagian belakang) di atas pakaian shinigami mereka.

Pegawai Gotei 13, selalunya kapten dan leftenan sering menambahkan aksesori pada pakaian seragam atau tubuh mereka. Beberapa modifikasi yang dipaparkan dalam Bleach adalah seperti berikut:

  • Mantan Kapten Unohana Retsu dari Bahagian ke-4 memakai obi dan bukannya tali pinggang kain seperti shinigami biasa.
  • Kapten Kuchiki Byakuya dari Bahagian ke-6 memakai sehelai selendang yang amat mahal bernama Ginpaku Kazahana no Uzuginu yang dililitkan pada lehernya.
  • Kapten Kyōraku Shunsui dari Bahagian Pertama merupakan kapten yang mengenakan pakaian paling berwarna-warni. Dia selalu memakai topi jerami dan haori yang berwarna terang di atas pakaian shinigaminya.
  • Kapten Hitsugaya Tōshirō dari Bahagian ke-10 mempunyai pemegang pedang yang diikat di belakangnya. Aksesori ini diperbuat daripada kain hijau pucat yang panjang dan disambungkan dengan klip emas berukirkan corak bintang pada permukaannya.
  • Kapten Zaraki Kenpachi dari Bahagian ke-11 memakai haori yang bergerigi di bahagian hujung kain yang mungkin diambil daripada bekas kapten bahagian ini.
  • Kapten Soifon dari Bahagian ke-2 memakai pakaian seragam shinigami yang tidak berlengan dan berkain di bahagian belakang. Hal ini kerana Komander bagi Pasukan Khas boleh menggunakan shunkō yang menyebabkan fabrik di bahagian lengan dan belakang tercarik. Maka, tiada gunanya untuk menambahkan kain di bahagian tersebut.
  • Mantan Leftenan Chōjirō Sasakibe dari Bahagian Pertama memakai jinbaori di atas shihakushō (seragam shinigami).
  • Leftenan Matsumoto Rangiku dari Bahagian ke-10 memakai selendang merah jambu, tali pinggang kain dan lencana leftenannya yang dililitkan pada pinggang dan diikat reben.
  • Mantan Leftenan Kurotsuchi Nemu dari Bahagian ke-12 mengenakan pakaian seragam yang ringkas; dia tidak mempunyai hakama dan memakai kimono versi skirt mini.

Jata[sunting | sunting sumber]

Jata bagi 13 Bahagian dalam Gotei 13

Setiap bahagian dalam Gotei 13 mempunyai simbol tersendiri yang melambangkan peranan utama masing-masing dan mengandungi makna yang tersirat. Misalnya, simbol bagi Bahagian ke-11 ialah satu rombus dengan tujuh bintang yang bermaksud "lawan" manakala bungan kamelia yang menjadi lambang Bahagian ke-6 membawa maksud "justifikasi bijak". Maksud bagi kesemua simbol belum dijelaskan tetapi kesemuanya bertemakan corak bunga.

Senarai Kapten dan Leftenan[sunting | sunting sumber]

Berikut merupakan nama semua kapten (tempat pertama) dan leftenan (tempat ke-2) dalam Gotei 13.

Bahagian Pertama Kapten Kyōraku Shunsui dahulunya Yamamoto-Genryūsai Shigekuni
Leftenan Ise Nanao dahulunya Sasakibe Chōjirō
Bahagian Lapan Kapten Yadomaru Lisa dahulunya Kyōraku Shunsui
Leftenan Yayahara Yuyu dahulunya Ise Nanao
Bahagian ke-2 Kapten Soifon dahulunya Shihouin Yoruichi
Leftenan Ōmaeda Marechiyo dahulunya Omaeda Marenoshin
Bahagian ke-9 Kapten Mugurama Kensei Dahulunya Tōsen Kaname
Leftenan Hisagi Shūhei dahulunya Mashiro Kuna
Bahagian ke-3 Kapten Roujuurou Ootoribashi Dahulunya Ichimaru Gin
Leftenan Kira Izuru dahulunya Iba Chikane
Bahagian ke-10 Kapten Hitsugaya Tōshirō
Leftenan Matsumoto Rangiku
Bahagian ke-4 Kapten Kotetsu Isane dahulunya Unohana Retsu
Leftenan Kotetsu Isane dahulunya Yamada Seinosuke
Bahagian ke-11 Kapten Zaraki Kenpachi dahulunya Kiganjo Kenpachi
Leftenan Madarame Ikkaku dahulunya Kusajishi Yachiru
Bahagian ke-5 Kapten Hirako Shinji Dahulunya Aizen Sōsuke
Leftenan Hinamori Momo dahulunya Ichimaru Gin
Bahagian ke-12 Kapten Kurotsuchi Mayuri dahulunya Urahara Kisuke
Leftenan Akon dahulunya Kurotsuchi Nemu
Bahagian ke-6 Kapten Kuchiki Byakuya dahulunya Kuchiki Ginrei
Leftenan Abarai Renji dahulunya Kuchiki Sojun
Bahagian ke-13 Kapten Kuchiki Rukia dahulunya Ukitake Jūshirō
Leftenan Sentarō Kotsubaki dahulunya Kuchiki Rukia
Bahagian ke-7 Kapten Iba Tetsuzaemon dahulunya Komamura Sajin
Leftenan Atau dahulunya Iba Tetsuzaemon