Australian Broadcasting Corporation

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Lambang ABC

Australian Broadcasting Corporation, seringnya dirujuk secara mudah sebagai ABC, ialah penyiar awam nasional Australia. Dengan peruntukan belanja sebanyak AUD$1.13 bilion setiap tahun,[1] perbadanan ini membekalkan perkhidmatan televisyen dan radio, serta juga perkhidmatan dalam talian dan perkhidmatan bimbit di seluruh Australia metropolitan dan wilayah. Ia juga melayani wilayah luar negara menerusi Australia Network dan Radio Australia.

Diasaskan pada 1929 sebagai Australian Broadcasting Company, syarikat ini kemudian dimiliknegarakan dan dijadikan sebuah perbadanan milikan negara pada 1 Julai 1932, dengan nama Australian Broadcasting Commission. Australian Broadcasting Corporation Act 1983 [2] menukarkan nama pertubuhan ini menjadi Australian Broadcasting Corporation pada 1 Julai 1983.[2]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

1920-an hingga 1940-an[sunting | sunting sumber]

Pejabat induk ABC di Perth pada 1937.

Stesen radio awam yang pertama di Australia diasaskan di Sydney pada 13 November 1923 dengan pengenal 2SB, diikuti oleh stesen-stesen yang lain di Melbourne, Brisbane, Adelaide, Perth, dan Hobart.[3] Sebuah skim yang ditadbirkan oleh Jabatan Ketua Pos Negara diasaskan kemudian dan membenarkan kerajaan memberi dana kepada sesetengah stesen, tertakluk kepada sekatan kandungan pengiklanan yang tertentu.[4]

Menyusuli penyelidikan Suruhanjaya Diraja tentang pelesenan radio, kerajaan Australia mengasaskan National Broadcasting Service yang kemudian mengambil alih sebilangan stesen pembiayaan yang lebih besar. Ia juga memiliknegarakan Australian Broadcasting Company yang diasaskan oleh pihak kepentingan hiburan untuk membekalkan rancangan kepada pelbagai stesen radio.[4]

Pada 1 Julai 1932, Australian Broadcasting Commission diasaskan dan mengambil alih operasi National Broadcasting Service lalu mengasaskan pejabat-pejabat di setiap ibu negeri Australia.[4] Stesen-stesen itu dijadikan sebuah pertubuhan penyiaran yang padu pada sepanjang empat tahun yang berikut menerusi penyiaran rancangan yang tetap, diselaraskan oleh sebuah birokrasi terpusat.[5] Spektrum radio siaran Australia terdiri daripada ABC dan sektor swasta.[5]

Pada 1942, The Australian Broadcasting Act diluluskan dan memberi kuasa kepada ABC untuk memutuskan waktu dan keadaan yang ucapan politik boleh disiarkan.[6] Arahan daripada Menteri tentang penyiaran sesuatu perkara kini perlu dibuat secara menulis, dan sebarang penggunaan kuasa tersebut harus dicatat di dalam Laporan Tahunan Suruhanjaya.[6] Bagaimanapun, kuasa itu hanya digunakan sekali sahaja pada 1963.[6] Pada tahun yang sama, "Kindergarten of the Air" ("Tadika Udara") mulai disiarkan oleh Radio ABC di Perth dan kemudian di seluruh negara.

1950-an hingga 1970-an[sunting | sunting sumber]

James Dibble membaca buletin berita pertama ABC News pada 1956.
Logo "panjang gelombang" yang digunakan dari 1 Januari 1975 hingga 31 Disember 2000

Australian Broadcasting Commission mulai membuat siaran televisyen di Sydney dan Melbourne pada 1956. ABN-2 Sydney dilancarkan oleh Perdana Menteri Australia, Robert Menzies, pada 5 November, diikuti oleh ABV-2 Melbourne dua minggu kemudian. Kedua-dua stesen itu kemudian disusuli oleh perkhidmatan tambahan di Brisbane (ABQ-2), Adelaide (ABS-2), Perth (ABW-2), Hobart (ABT-2), dan Darwin (ABD-6). James Dibble membaca buletin berita yang pertama untuk ABC.[7]

Walaupun rancangan radio dapat disiarkan ke seluruh negara menerusi talian daratan, kemudahan penyiaran televisyen tidak disediakan sehingga awal 1960-an.[8] Ini bermakna bahawa buletin berita perlu dihantar ke setiap ibu negeri menerusi telepencetak untuk disediakan dan disampaikan secara berasingan di setiap ibu negeri, diikuti oleh bahan-bahan filem yang disalin secara insani dihantar kemudian.[8] Rancangan televisyen ketika itu termasuk Six O'Clock Rock (yang diacarakan oleh Johnny O'Keefe), dan Mr Squiggle, serta juga sebilangan opera dan drama.[8]

Pada tahun-tahun awal televisyen, ABC menggunakan keluk Lissajous sebagai pengisi antara rancangan. Sebuah pertandingan kakitangan kemudian diadakan pada 1963 untuk mencipta logo yang baharu untuk kegunaan televisyen, alat tulis, terbitan, lencana mikrofon, dan kenderaan.[9] Pada 1965, selepas satu cadangan oleh jurutera ruang angkasa, Doug Rickard,[10] pereka bentuk grafik kanan ABC, Bill Kennard, menyerahkan reka bentuk yang merupakan sebahagian bentuk gelombang osiloskop.[9] Huruf A-B-C ditambah pada reka bentuk panjang gelombang itu dan diterimagunakan sebagai logo rasmi ABC.[9] Kennard dibayar 25 untuk reka bentuknya.[9]

Pada 1975, televisyen warna diperkenalkan di Australia dan dalam tempoh satu dekad yang kemudian, ABC beralih kepada penyiaran satelit dan dengan itu, meningkatkan keupayaan menyebarkan kandungan di seluruh negara dengan ketara. Pada tahun yang sama, ABC memperkenalkan 2JJ (Double Jay), stesen AM rock 24 jam sehari di Sydney, lalu memperluasnya kemudian menjadi rangkaian FM Triple J nasional.[11] Pada tahun 1976, sebuah rangkaian muzik klasik nasional diasaskan pada jalur FM dan disiarkan dari Adelaide. Ia pada asalnya dikenali sebagai ABC-FM untuk merujuk kepada kedua-dua rancangan 'muzik halus' dan frekuensi radio.[11]

Pada 1978, Persatuan Kakitangan New South Wales ABC mengadakan mogok untuk menentang pengurangan peruntukan belanja dan campur tangan politik, dengan siaran Sydney ABC tergendala selama empat hari.[12] Untuk menyokong perjuangan mogok itu, sebuah konsert yang diacarakan oleh Bob Hudson dan menonjolkan Fred Dagg dan Robyn Archer dianjurkan di Regent Theatre.[13]

Peruntukan belanja ABC mulai merosot pada 1976 dan tidak dipulihkan sehingga 1985. Tom Molomby menulis:

"Kesan pengurangan peruntukan belanja ditangani dengan sangat buruk sehingga pertubuhan itu dilumpuhkan dengan amat teruk selama bertahun-tahun".[14]

1980-an hingga 1990-an[sunting | sunting sumber]

Australian Broadcasting Corporation Act 1983 [2] (Akta Perbadanan Penyiaran Australia 1983) menukarkan nama pertubuhan daripada "Australian Broadcasting Commission" (Suruhanjaya) menjadi "Australian Broadcasting Corporation" (Perbadanan), mulai daripada 1 Julai 1983.[2] Pada waktu yang sama, Perbadanan yang baru dibentuk ini menjalani pembentukan semula yang ketara — pengeluaran rancangan hal-ehwal orang asli, komedi, dan hal-ehwal semasanya diperluas dengan nyata sekali, di samping meningkatkan output Perbadanan.[15] Pengeluaran tempatan naik tiga kali ganda antara 1986-91 melalui strategi pengeluaran bersama, pembiayaan bersama, serta pengurusan pra-jualan.[15]

Perubahan-perubahan itu juga menyebabkan operasi televisyen dan operasi radio dipecah menjadi dua bahagian yang berasingan, dengan pengurusan, kewangan, kejuruteraan, dan harta perbadanan dibaik pulih.[15] Selepas Geoffrey Whitehead, Pengarah Urusan yang pertama, meletakkan jawatanya pada 1986, David Hill yang ketika itu merupakan Pengerusi Lembaga ABC, mengambil alih jawatannya.

Sebuah bahagian Muzik Konsert yang baharu dibentuk pada 1985 untuk menyelaraskan enam buah orkestra simfoninya yang diberikan pula lebih banyak autonomi supaya dapat bertindak balas kepada keperluan tempatan dengan lebih berkesan.[15] Konsert di luar, dan lawatan persembahan, serta juga kegiatan pendidikan, dan usaha sama dengan kumpulan muzik yang lain diadakan ketika itu untuk memperluas jangkauan khalayak penonton orkestranya.[15]

ABC Radio dibentuk semula dengan ketara pada 1985, dengan Radio One menjadi rangkaian Metropolitan, dan Radio 2 menjadi apa yang dikenali sebagai Radio Nasional (bagaimanapun, pengenal tidak distandardkan sehingga 1990). Rancangan-rancangan baharu seperti The World Today, Australia All Over, dan The Coodabeen Champions diperkenalkan, dengan ABC-FM mengasaskan Unit Muzik Australia pada 1989.[15] Radio Australia mulai menumpukan wilayah Asia-Pasifik dengan liputan yang menyasarkan wilayah Pasifik tengah, Asia Tenggara dan Asia Utara. Ia juga menyiarkan lebih banyak liputan berita, dengan siaran-siaran khas semasa perampasan kuasa Fiji pada 1987, pembunuhan beramai-ramai Dataran Tiananmen, dan Perang Teluk Pertama.[15]

Pejabat induk Sydney ABC di Ultimo.

Pada 1991, operasi radio dan orkestra Perbadanan di Sydney dipindah ke sebuah bangunan baharu yang dibina oleh Leighton Holdings [16] pada sebuah tapak tunggal di subbandar yang terletak di kawasan bandar raya dalam Ultimo, New South Wales.[17] Di Melbourne, ABC Southbank Centre disiapkan pada 1994 dan kini menampung bahagian radio Victoria serta juga Orkestra Simfoni Melbourne.[17]

Unit Multimedia ABC diasaskan pada Julai 1995 untuk mengurus laman sesawang ABC yang baharu (dilancarkan pada bulan Ogos). Dana diperuntukkan kemudian pada tahun itu khusus untuk kandungan dalam talian, bertentangan dengan kaedah pembiayaan untuk kandungan televisyen dan kandungan radio. Liputan pilihan raya dalam talian yang pertama diterbitkan pada 1996, dan merangkumi berita, peta kawasan pilihan raya, maklumat calon, dan keputusan langsung.[17]

Menjelang awal 1990, semua saluran keluar penyiaran ABC yang utama telah pun menyediakan siaran 24 jam sehari, dengan liputan radio wilayah di Australia diperluas melalui pemasangan 80 buah pemancar siaran yang baharu.[17] ABC NewsRadio, sebuah rangkaian berita berterusan yang disiarkan pada Parliamentary and News Network (Rangkaian Parlimen dan Berita) ketika parlimen tidak bersidang, dilancarkan pada 5 Oktober 1994.[17]

Australia Television International, sebuah perkhidmatan televisyen antarabangsa, diasaskan pada 1993, semasa Radio Australia memperluas jangkauan antarabangsanya.[17] Pengurangan pendanaan Radio Australia pada 1997 kemudian mengakibatkan pengurangan kakitangan dan rancangan yang disiarkannya.[17]

Pada 1998, Australia Television dijual kepada Seven Network. Bagaimanapun, perkhidmatannya masih menyiarkan rancangan berita dan hal-ehwal semasa ABC sehingga penutupan syarikat itu pada 2001.[18] Operasi televisyen ABC kemudian menyertai bahagian radio dan bahagian dalam talian di pejabat induk perbadanan di Ultimo pada 2000.[19]

2000-an[sunting | sunting sumber]

Pada 2001, televisyen digital bermula selepas empat tahun persediaannya [19] untuk mendigitkan sepenuhnya kesemua kemudahan pengeluaran, pasca-pengeluaran dan penghantaran — diumumkan ketika itu sebagai 'kemajuan yang terbesar dalam teknologi televisyen sejak pengenalan warna'.[19] Rancangan-rancangan yang dikeluarkan pada layar lebar termasuk siri drama Something in the Air, Grass Roots, dan In the Mind of the Architect.

Pada waktu yang sama, Bahagian Multimedia ABC dinamai semula sebagai 'ABC New Media' dan menjadi bahagian output ABC yang setanding dengan Bahagian Televisyen dan Bahagian Radio.[19] Dimungkinkan oleh undang-undang yang membenarkan ABC untuk membekalkan 'saluran berbilang', perkhidmatan tambahan televisyen digital-sahaja dilancarkan oleh bahagian New Media. Fly TV dan ABC Kids Channel kemudian dilancarkan dan membekalkan secampuran rancangan yang menyasarkan remaja serta kanak-kanak.

Pada 2002, ABC melancarkan ABC Asia Pacific untuk menggantikan saluran Australia Television yang dahulunya dikendalikan oleh Seven Network tetapi setakat itu, tidak wujud lagi. Sebagaimana dengan pendahulunya serta gu rangkaian Radio Australia, perkhidmatan yang baharu membekalkan secampuran rancangan yang disasarkan pada penonton di seluruh wilayah Asia-Pasifik. Bagaimanapun, pengurangan pendanaan pada 2003 kemudian mengakibatkan penutupan Fly dan ABC Kid's Channel.

ABC2 dilancarkan pada 7 Mac 2005

ABC2, percubaan saluran televisyen digital-sahaja yang kedua, dilancarkan pada 7 March 2005. Berbeza dengan pendahulunya, perkhidmatan baharu itu tidak bergantung kepada pendanaan kerajaan tetapi sebaliknya dikendalikan berdasarkan peruntukan belanja sendiri sebanyak AUD$3 juta setahun.[20] Menteri Komunikasi, Helen Coonan, melancarkan saluran itu di Parlimen Australia tiga hari kemudian.[21] Sekatan genre yang membatasi jenis rancangan yang boleh disiarkan dimansuhkan pada bulan Oktober 2006 dan justera, ABC2 kini boleh melancarkan rancangan yang dikelaskan sebagai komedi, drama, berita negara, serta sukan dan hiburan.[22]

Kejadian kanser payudara yang tinggi dalam kalangan kakitangan wanita yang bertugas di pejabat-pejabat ABC di Brisbane mengakibatkan penutupan tapaknya di Toowong pada 21 Disember 2006. 16 orang wanita didiagnosis menghidap penyakit itu antara 1994 hingga 2007.[23] Laporan kemajuan yang diterbitkan pada bulan Mac 2007 oleh sebuah panel bebas yang dibentuk semata-mata untuk menyiasat kejadian tersebut mendapati bahawa kadar kejadian kanser payudara di pejabat-pejabat Brisbane adalah 11 kali lebih tinggi berbanding dengan pejabat-pejabat yang lain.[24] Sejak penutupan tapak itu, operasi televisyen dan radio Brisbane ABC dipindah ke lokasi-lokasi alternatif di sekitar bandar raya, termasuk ke studio-studio Ten Brisbane di Mt Coot-tha. Mark Scott, Pengarah Urusan ABC, mengumumkan pada Ogos 2007 bahawa studio-studio baharu di Brisbane akan dibina di tapak South Bank yang bersebelahan dengan Conservatorium dan QPAC [25] selepas laporan Panel Kajian Semula dan Siasatan Saintifik diterbitkan.[26]

Pada 8 Februari 2008, ABC TV dijenamai semula sebagai ABC1 dan melengkapi saluran digital-sahaja ABC2 yang telah dilancarkan lebih kurang tiga tahun dahulu pada 7 Mac 2005. ABC juga menambah saluran yang baharu untuk kanak-kanak yang diumumkan pada sepanjang pemerintahan John Howard tetapi tidak diberikan sebarang peruntukan belanja sehingga dibiayai oleh pemerintahan Kevin Rudd sewaktu mengumumkan peruntukan belanja untuk ABC3 pada Jun 2009.[27][28] ABC iView, sebuah perkhidmatan video atas permintaan dalam talian yang baharu dilancarkan pada Julai tahun itu.[29]

Pengurusan atasan[sunting | sunting sumber]

Pengurus umum[sunting | sunting sumber]

  1. Sir Charles Moses (1935 - 1965)
  2. Sir Talbot Duckmanton (1965 - 1982)
  3. Geoffrey Whitehead (1983 - 1986)
  4. David Hill (1986 - 1994)
  5. Brian Johns (1994 - 1999 )
  6. Jonathan Shier (1999 - 2002)
  7. Russell Balding (2002 - 2006)
  8. Mark Scott (2006 -)

Ketua[sunting | sunting sumber]

  1. Ken Myer
  2. David Hill (? - 1986)
  3. Bob Somervaille
  4. Mark Armstrong
  5. Donald McDonald (1996 - sekarang)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Budget Paper No. 4 2009-2010, Retrieved 12 May 2009 "http://www.budget.gov.au/2009-10/content/bp4/html/bp4_agency_resourcing_04_bcde.htm"
  2. 2.0 2.1 2.2 2.3 "Australian Broadcasting Corporation Act 1983". Attorney-General's Department. http://scaleplus.law.gov.au/html/pasteact/0/43/top.htm. Capaian 2007-10-01. 
  3. "Celebrating 100 Years of Radio - History of ABC Radio". Australian Broadcasting Corporation. http://abc.net.au/radio/celebrate100/history.htm. Capaian 2007-10-03. 
  4. 4.0 4.1 4.2 "The History of Radio in Australia". Australian Centre for the Moving Image. http://www.acmi.net.au/AIC/RADIO_HIST_AUS.html. Capaian 2007-10-03. 
  5. 5.0 5.1 "Australian Broadcast History". Barry Mishkid. http://www.oldradio.com/archives/international/austral.html. Capaian 2007-10-03. 
  6. 6.0 6.1 6.2 "About the ABC - The 40s - The War Years". Australian Broadcasting Corporation. http://abc.net.au/corp/history/hist3.htm. Capaian 2007-10-01. 
  7. Australian Broadcasting Corporation, "About the ABC: History of the ABC: James Dibble". Accessed 3 September 2008.
  8. 8.0 8.1 8.2 "About the ABC - The 50s - The Postwar Years". Australian Broadcasting Corporation. http://abc.net.au/corp/history/hist4.htm. Capaian 2007-10-01. 
  9. 9.0 9.1 9.2 9.3 Brooklyn Ross-Hulands. "AusTVHistory: Australian Broadcasting Corporation 1950s-1960s". AusTVHistory. http://www.austvhistory.com/abc/index.htm. Capaian 2007-10-04. 
  10. "Memoirs of a Space Engineer - about Doug Rickard". Australian Broadcasting Corporation. 19 October 2000. http://www.abc.net.au/science/slab/memoirs/about.htm. Capaian 2008-01-30. 
  11. 11.0 11.1 "About the ABC - The 60s and 70s". Australian Broadcasting Corporation. http://abc.net.au/corp/history/hist5.htm. 
  12. Molomby, Tom, Is there a moderate on the roof? ABC Years, William Heinemann Australia, Port Melbourne, 1991, p.110
  13. Molomby, Tom, Is there a moderate on the roof? ABC Years, William Heinemann Australia, Port Melbourne, 1991, p.114
  14. Molomby, Tom, Is there a moderate on the roof? ABC Years, William Heinemann Australia, Port Melbourne, 1991, p.160
  15. 15.0 15.1 15.2 15.3 15.4 15.5 15.6 "About the ABC - The 80s". Australian Broadcasting Corporation. http://abc.net.au/corp/history/hist6.htm. Capaian 2007-10-01. 
  16. "Leighton Holdings History". Leighton Holdings. http://www.leighton.com.au/about_us/history/history.html. Capaian 2008-02-02. 
  17. 17.0 17.1 17.2 17.3 17.4 17.5 17.6 "About the ABC - The 90s". Australian Broadcasting Corporation. http://abc.net.au/corp/history/hist7.htm. Capaian 2007-10-01. 
  18. "2UE; Australian Television International.". Australian Broadcasting Corporation. March 2001. http://www.abc.net.au/rn/mediareport/stories/2001/265031.htm. Capaian 2007-09-25. 
  19. 19.0 19.1 19.2 19.3 "About the ABC - 2000s - A New Century". Australian Broadcasting Corporation. http://abc.net.au/corp/history/hist8.htm. Capaian 2007-10-01. 
  20. Inglis, Kenneth Stanley (2006). Whose ABC? The Australian Broadcasting Corporation 1983-2006. Melbourne, Victoria: Black Inc.. ISBN 1-86395-189-X. 
  21. "ABC2 launched at Parliament House". ABC New Media & Digital Services. dba.org.au. 2005-03-11. http://www.dba.org.au/index.asp?sectionID=74&newsID=641&display=news. Capaian 2007-03-31. 
  22. "Australia opens up media investment". MediaGuardian.co.uk. guardian.co.uk. 2006-10-18. http://www.guardian.co.uk/australia/story/0,,1925263,00.html. Capaian 2007-03-31. 
  23. Robinson, Georgina. "Cancer case no 16 for ABC", SMH, 2007-12-19. Dicapai pada 2007-12-19. 
  24. Bodey, Michael. "ABC cancer cluster still a mystery", The Australian, 2007-03-20. Dicapai pada 2007-10-09. 
  25. http://www.abc.net.au/corp/pubs/media/s2442316.htm
  26. Australian Broadcasting Corporation (2007-08-17). New Studies to be completed on ABC Toowong site. Kenyataan akhbar. Dicapai pada 2007-10-09.
  27. "ABC promises more content choice", The Australian, 2008-02-06. Dicapai pada 2008-02-06. 
  28. Welch, Dylan. "ABC squiggle to stay", Brisbane Times, 30 January 2008. Dicapai pada 2008-01-30. 
  29. Australian Broadcasting Corporation (2008-07-24). The Television Revolution Has Begun!. Kenyataan akhbar. Dicapai pada 2008-09-21.
  • The Alan McGillivray Solution

Lihat pula[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]