Pergi ke kandungan

Ayam pedaging

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ayam pedaging
TaburanSeluruh dunia
Kegunaandaging
Ciri-ciri
Warna kulitKuning
Klasifikasi
Nota
Jenis-jenis kacukan, bukan baka
Ayam
Gallus gallus domesticus

Ayam pedaging atau ayam daging (broiler) merupakan istilah bagi ayam yang diternak khusus untuk pengeluaran daging.[1] Ayam pedaging biasanya mempunyai bulu putih dan kulit kekuningan. Kebanyakan ayam pedaging komersial mencapai berat boleh sembelih dalam umur lima hingga tujuh minggu, namun baka-baka yang tumbuh lambat mencapai berat boleh sembelih pada umur 14 minggu. Oleh kerana ayam pedaging begini muda ketika disembelih, maka kelakuan dan fisiologinya seakan-akan burung yang belum dewasa. Disebabkan pemilihan artifisial untuk pertumbuhan awal cepat serta kaedah penternakan yang digunakan untuk tujuan itu, ayam pedaging terdedah kepada isu-isu kebajikan, terutamanya kebantutan dan kecacatan rangka, luka di kulit dan mata, serta keadaan sesak jantung. Ayam pedaging juga dipelihara hingga matang dan tua tetapi tetap menghadapi isu kebajikan yang berkenaan dengan kesusahan hati disebabkan dorongan makan yang tinggi serta perapian paruh. Ayam pedaging biasanya diternak dalam kawanan campur jantina dalam reban besar dalam keadaan intensif, tetapi ada juga yang diternak lepas (ayam kampung). Ayam adalah salah satu haiwan ternakan yang paling umum.[2]

Asal-usul dan penjinakan

[sunting | sunting sumber]
Ayam hutan merah (Gallus gallus) – leluhur kepada ayam pedaging moden.

Ayam bela jinak diturunkan daripada ayam hutan merah (Gallus gallus) dan digolongkan sebagai subspesies (Gallus gallus domesticus) bagi spesies tersebut. Oleh itu ia memang boleh dan bebas membiak bersama ayam hutan merah.[3]

Pandangan penternakan ayam tradisional ternyata dalam Encyclopædia Britannica (2007): "Manusia mula-mula membela jinak ayam yang berasal dari India untuk tujuan menyabung di Asia, Afrika, dan Europe. Kurang sekali perhatian rasmi terhadap pengeluaran telur atau daging... ".[4]

Kajian genetik menjurus kepada pelbagai asal-usul saka dengan kladnya yang ditemui di benua-benua Amerika Utara dan Selatan, Eropah, Timur Tengah dan Afrika berasal dari kawasan India di mana terdapat banyak haplotip unik.[5][6] Diusulkan bahawa ayam hutan ini merupakan burung kuang yang tersesuai untuk memanfaatkan bekalan banyak buah-buahan yang dihasilkan pada akhir kitaran pembenihan buluh 50 tahun untuk mendorong pembiakan sendiri.[7] Malah dipercayai bahawa dengan membela jinak ayam, manusia memanfaatkan pembiakan besar-besaran ayam hutan apabila terdedah kepada bekalan makanan yang banyak.[8] Begitu juga diandaikan bahawa fleksibiliti dan kebolehan menyesuai yang diwairis daripada ayam hutan merah ini membolehkan ayam untuk mengharungi "keadaan intensif dan tidak semula jadi" daripada pengeluaran moden.

Analisis genetik terbaru mendapati bahawa sekurang-kurangnya gen kulit kuning diterapkan dalam ayam jinak melalui pengacukan dengan ayam hutan kelabu (G. sonneratii).[9]

Pembiakbakaan moden

[sunting | sunting sumber]

Sebelum perkembangan baka komersial moden, rata-rata ayam pedaging adalah ayam jantan muda yang ditakai dari kawanan ladang. Pembiakbakaan pedigri bermula sekitar tahun 1916.[10] Malah pada masa itu ada majalah untuk industri penternakan ayam itik.[11] Terciptanya sejenis ayam kacukan daripada strain ayam Cornish jantan yang berdada dua sejadi dan strain Plymouth Rocks betina yang tinggi lagi bertulang besar. Cubaan pertama baka pedaging kacukan ini diperkenalkan pada 1930-an lalu menjadi dominan pada 1960-an. Kacukan asal menghadapi masalah kesuburan rendah, pertumbuhan perlahan dan kerentanan kepada penyakit.

Ayam pedaging moden sudah pun banyak berbeza dengan kacukan Cornish/Rock. Misalnya, Donald Shaver (yang asalnya penternak ayam penelur) mula mengumpulkan ayam ternakan untuk program pedaging pada tahun 1950. Selain daripada baka-baka yang digemari umum, Cornish Game, Plymouth Rock, New Hampshire, Langshans, Jersey Black Giant dan Brahmas disertakan pula. Keturunan saka berbulu putih dibeli daripada Cobb. Program pembiakbakaan berskala penuh dimulakan pada 1958 dengan penghantaran komersial di Kanada dan AS pada 1959 disusuli Eropah pada 1963.[12]

Contoh yang kedua, pengeseksan warna (colour sexing) ayam pedaging diusulkan oleh Shaver pada 1973. Genetiknya berdasarkan pelan pembiakbakaan syarikat untuk penelur yang dimajukan pada pertengahan 1960-an. Kesulitan yang dihadapi oleh penternak ayam pedaging seks warna ialah bahawa ayamnya mesti berbulu putih menjelang umur sembelih. Selepas 12 tahun, tercapainya pengeseksan warna yang jitu tanpa menjejaskan ciri-ciri ekonomi.

Permanian beradas

[sunting | sunting sumber]

Permanian beradas (artificial insemination) merupakan mekanisme yang mana spermatozoa dimasukkan ke dalam salur pembiakan betina.[13] Permanian beradas ada kebaikan yang berkenaan pembiakan dalam industri penternakan ayam. Baka-baka pedaging dipilih khusus untuk pertumbuhan, menyebabkan ia tumbuh otot pektoral (dada) besar yang mengganggu dan mengurangkan pengawanan semula jadi.[14] Kerana iliah jumlah sperma yang dihasilkan dan disimpan dalam salur pembiakan ayam betina mungkin terhad. Lagipun dorongan seks ayam jantan keseluruhannya mungkin banyak merosot disebabkan pemilihan untuk pertumbuhan.[15] Permanian beradas telah membolehkan penternak untuk mengambil masuk gen-gen yang berharga ke dalam ternakan untuk meningkatkan mutu genetik.[16]

Mengurut abdomen adalah kaedah paling umum untuk mengumpulkan air mani. Ketika proses ini, ayam jantan ditahan dan bahagian punggungnya diusap dengan cepat tetapi gemalai. Dalam tempoh yang singkat sahaja falus (zakar) ayam jantan harus menegak. Sebaik sahaja itu, kloaka diperah dan air mani diambil dari papila luar vas deferens.[17]

Ketika permanian beradas, air mani selalunya disuntik ke dalam alat kelamin ayam betina dengan picagari plastik. Untuk menyimpan air mani, lubang faraj dibokong melalui kloaka hanya dengan mengenakan tekanan kepada abdomen ayam betina. Radas bermani dimasukkan 2–4 cm ke dalam lubang faraj. Sambil air mani dimasukkan, tekanan yang dikenakan pada abdomen ayam dilepaskan serentak. Prosedur ini dilakukan oleh individu lazimnya dengan sebelah tangan mengusap bulu ekor dan sebelah tangan lagi memasukkan radas dan air mani ke dalam faraj.

Biologi am

[sunting | sunting sumber]
Anak ayam sehari.

Ayam pedaging komersial moden, misalnya baka kacukan Cornish dan Cornish-Rocks[perlu rujukan], dipilih dan dibiakbakaan untuk pengeluaran daging cekap secara besar-besaran. Biarpun sama spesies, ia tumbuh lebih cepat daripada ayam penelur atau baka dwikegunaan tradisional. Ayam pedaging tumbuh dengan deras sekali, mencatat nisbah penukaran pakan yang tinggi, serta tahap aktiviti yang kurang cergas. Ayam pedaging komersial moden diternak untuk mencapai berat sembelih sekitar 2 kg dalam hanya 35 hingga 49 hari.[18][19] Ayam kampung dan organik yang tumbuh lambat pula diternak untuk mencapai berat sembelih pada umur 12 hingga 16 minggu. Kesannya, kelakuan dan fisiologi ayam pedaging lebih menyerupai ayam dara/teruna daripada dewasa.

Ayam pedaging biasa berbulu putih dan berkulit kekuningan. Analisis genetik baru-baru ini mendapati bahawa gen kulit kuning diterapkan ke dalam ayam bela jinak menerusi pengacukan dengan ayam hutan kelabu (G. sonneratii).[20] Kacukan moden juga digemari untuk pengeluaran daging kerana tiada bulu sisa yang ada pada kebanyakan baka yang perlu disiut selepas cabut bulu. Kedua-dua jantina diternak untuk daging.

Oleh kerana sama spesies dengan ayam penelur, mula-mula ayam pedaging sama perilakunya, namun kelakuan ayam pedaging diubah suai oleh persekitaran dan berubah sejajar dengan peningkatan umur dan beratnya. Contohnya, ayam pedaging yang dibela di lapangan mula-mula lebih cergas daripada yang dibela tertutup, tetapi mulai umur 6 minggu merosot hingga setara untuk semua kumpulan.[21] Kajian yang sama mendapati ayam lapangan kurang menggunakan ruang dan kemudahan tambahan seperti hingappan, maka diusulkan bahawa sebab utamanya adalah kelemahan kaki kerana 80% ayam didapati ada keabnormalan gaya jalan pada umur 7 minggu.

"Ayam daging biak baka" yang diternak untuk menyuburkan dan mengeluarkan telur untuk anak yang diternak untuk dimakan, melakukan kelakuan mengawan yang serupa dengan jenis-jenis lain. Adanya jantan berkasar dengan jantan, jantan berkasar dengan betina, betina berkasar dengan betina, jantan menari, betina mendekam, jantan menunggang betina, dan persetubuhan. Kelakuan-kelakuan ini jarang kelihatan berbanding jenis ayam yang lain.[22] Kajian kekerapan semua kelakuan seksual menunjukkan ayam makin tua makin kurang cergas, menandakan kemerosotan libido. Penyusutan libido ini tidak cukup untuk menjelaskan kurangnya kesuburan ayam jantan yang berat badan pada umur 58 minggu dan barangkali adalah kesan daripada ayam jantan tua-tua begini yang entah bagaimana mengganggu pemindahan air mani sewaktu persetubuhan yang silap-silap kelihatan normal sahaja.[23]

Fisiologi

[sunting | sunting sumber]

Nosiseptor yang bertindak balas terhadap rangsangan berbisa telah dikenal pasti dan disifatkan dari segi fisiologi dalam pelbagai anggota ayam, termasuklah paruh, mulut, hidung, kapsul sendi dan kulit. Rangsangan pada nosiseptor ini menyebabkan perubahan kardiovaskular (jantung) dan perilaku yang sejajar dengan yang terdapat pada mamalia dan menandakan keterasaan nyeri. Eksperimen fisiologi dan kelakuan telah mengenal pasti masalah kesakitan teramat selepas merapikan paruh anak ayam, merantai kaki, mencabut bulu dan pencemaran alam sekitar.[24]

Isu kebajikan

[sunting | sunting sumber]

Ayam pedaging

[sunting | sunting sumber]
Anak-anak ayam sehari tiba untuk dibuka dan direbankan.

Pemilihan artifisial (buatan) telah menjadikan ayam pedaging semakin cepat tumbuh hingga umur sembelih. Masa yang diperlukan untuk mencapai berat hidup 1.5 kg susut dari 120 hari ke 30 hari dari tahun 1925 hingga 2005. Pemilihan untuk kadar pertumbuhan awal cepat serta tatacara penyuapan dan pengurusan untuk menyokong pertumbuhan sebegini telah menimbulkan pelbagai masalah kebajikan pada ayam pedaging moden.[25] Kebajikan ayam pedaging cukup diambil berat kerana betapa banyaknya ayam yang dihasilkan; contohnya, negara AS pada tahun 2011 menghasilkan kira-kira 9 bilion ayam pedaging.[26]

Masalah jantung

[sunting | sunting sumber]

Pemilihan dan penternakan untuk pertumbuhan deras bermaksud terdapat ketakserasian teraruh genetik antara organ pembekal tenaga dan organ pengguna tenaga dalam ayam. Pertumbuhan deras boleh menyebabkan gangguan metabolisme seperti sindrom kematian tiba-tiba (sudden death syndrome, SDS) dan asites.

SDS merupakan penyakit kegagalan jantung akut yang rata-rata menjejaskan ayam pedaging jantan tumbuh cepat yang kelihatan dalam keadaan baik. Ayam yang terjejas tiba-tiba mengepak-ngepak, hilang imbangan, kadang-kadang berteriak lalu rebah dan mati, semuanya dalam satu minit lazimnya. Pada tahun 1993, pengeluar ayam pedaging UK melaporkan kadar kejadian 0.8%. Pada 2000, SDS mencatat kadar kematian 0.1% hingga 3% di Eropah.

Asites bercirikan hipertrofi (pembesaran) dan dilatasi (pengembangan) jantung, fungsi hati berubah, kelemahan pulmonari, hipoksemia (kekurangan oksigen) dan gumpalan bendalir dalam rongga abdomen. Asites berkembang perlahan dan ayam menderita lama-lama sebelum mati. Di UK, sebanyak 19 juta ayam pedaging mati dalam reban disebabkan kerosakan jantung setiap tahun.[27]

Kecacatan rangka

[sunting | sunting sumber]

Pembiakbakaan untuk lebih otot dada bermaksud pusat graviti ayam pedaging telah beralih ke hadapan dan dadanya lebih lebar berbanding ayam-ayam dahulu kala, maka terjejasnya cara berjalan serta lebih tekanan pada pinggul dan paha. Masalah rangka kerap terjadi pada ayam pedaging, terutamanya dalam sistem lokomotor system, termasuk kecacatan varus dan valgus, osteodistrofi (gangguan tulang belakang), diskondroplasia (terhentinya pertumbuhan tulang panjang) dan nekrosis kepala femur. Keabnormalan paha ini mencacatkan kebolehan lokomotor ayam, maka ayam yang pincang banyak menghabiskan masa berbaring dan tidur.[28] Keaktifan ayam pedaging susut mendadak mulai umur 14 hari.[29] Kurangnya gerak alih ini juga mengurangkan osifikasi tulang dan menyebabkan kecacatan rangka; tetapi terbendung apabila ayam dilatih dalam keadaan eksperimen.

Kebanyakan ayam pedaging sakit apabila berjalan, seperti yang dinyatakan oleh kajian-kajian yang menggunakan ubat analgesik dan antiradang. Dalam satu eksperimen, ayam sihat mengambil 11 saat untuk menghabiskan balapan berhalang, sedangkan burung pincang mengambil 34 saat. Setelah burung-burung dirawat dengan carprofen, ayam sihat tiada kesan, tetapi ayam pincang mengambil 18 saat untuk menghabiskan balapan, ternyata bahawa ubat melegakan sakit badan.[30] Dalam eksperimen swapilih, ayam pincang lebih memilih pakan berubat daripada ayam sihat,[31] maka diandaikan bahawa ayam pedaging sakit paha.

Beberapa penyelidik telah mencipta "gait scores" (GS) untuk menentukan secara objektif keupayaan berjalan ayam pedaging. Dalam satu contoh skala ini, GS=0 menandakan keupayaan berjalan normal, GS=3 menandakan keabnormalan lenggok jalan yang ternyawa menjejaskan perjalanan kaki ayam, dan GS=5 menandakan ayam tidak boleh berjalan kaki langsung. Ayam GS=5 cuba menggunakan kepak untuk cuba berjalan kaki atau merangkak dengan paha. Dalam satu kajian, hampir 26% ayam yang diselidik mendapat markah GS=3 ke atas dan oleh itu boleh dianggap menderita akibat kepincangan sengal.

Ayam induk

[sunting | sunting sumber]

Ayam pedaging lazimnya disembelih pada umur kira-kira 35 hingga 49 hari, tidak lama sebelum mencapai umur membiak iaitu 5 hingga 6 bulan. Akan tetapi ayam induk iaitu "ayam daging pembiak baka" mesti hidup sehingga matang dan tua-tua supaya dapat digunakan untuk membiak baka. Oleh itu bertambah lagi isu kebajikan.

Ayam pedaging terpilih secara artifisial untuk dorongan makan yang amat tinggi, tetapi biasaya tidak terhad bekalan makan kerana dikhuatiri akan membantutkan pertumbuhan. Ayam daging pembiak baka haruslah sama tinggi dorongan makan, tetapi mesti dihadkan bekalan makan supaya tidak terlebih berat badan sampai membahayakan nyawa. Satu eksperimen terhadap pengambilan makan ayam pedaging mendapati bahawa 20% ayam yang dibenarkan makan sepuas hati mati atau terpaksa dimatikan kerana sakit tenat dalam umur 11 hingga 20 minggu kerana menjadi pincang hingga tidak mampu berdiri atau mengalami masalah jantung.

Ayam daging biak baka yang mengambil catuan komersial hanya makan sesuku hingga setengah banyak yang mana jika diberi kebebasan makan sepenuhnya. Ia selalu mempunyai selera makan, dan oleh itu mengalami kekecewaan kronik apabila kurang makan.[32]

Oleh kerana hidup hingga dewasa, ayam daging biak baka ini dikhuatiri mematuk hingga mencederakan diri atau ayam lain. Sebagai pencegahan, ia mungkin dirias paruh tetapi ini boleh menyebabkan kesakitan teramat atau kronik.

Pengeluaran dan penggunaan sedunia

[sunting | sunting sumber]
Penggunaan daging ayam mencecah daging lembu di negara berindustri. Permintaan di Asia naik mendadak.[33]

Sebuah laporan tahun 2005 menyatakan bahawa sekitar 5.9 bilion ekor ayam pedaging dihasilkan di Kesatuan Eropah setiap tahun. Pengeluaran massa daging ayam adalah industri global, dan pada ketika itu hanya dua atau tiga syarikat pembiakbakaan membekalkan kira-kira 90% ayam daging biak baka sedunia. Jumlah ayam daging yang dihasilkan di seluruh dunia hampir 47 bilion pada 2004; kira-kira 19% daripadanya dihasilkan di AS, 15% di China, 13% di negara EU25 dan 11% di Brazil.

86.6 juta tan metrik daging ayam dihasilkan di seluruh dunia pada 2014.[34]

  1. ^ Empty citation (bantuan)
  2. ^ "The Economist, July 27, 2011". July 27, 2011. Dicapai pada August 10, 2012.
  3. ^ Empty citation (bantuan)
  4. ^ Empty citation (bantuan)
  5. ^ Multiple maternal origins of chickens: Out of the Asian jungles, 2006
  6. ^ Empty citation (bantuan)
  7. ^ Rat Attack
  8. ^ Empty citation (bantuan)
  9. ^ Eriksson J, Larson G, Gunnarsson U, Bed'hom B, Tixier-Boichard M, et al. (2008) Identification of the Yellow Skin Gene Reveals a Hybrid Origin of the Domestic Chicken.
  10. ^ Empty citation (bantuan)
  11. ^ Empty citation (bantuan)
  12. ^ Empty citation (bantuan)
  13. ^ Empty citation (bantuan)
  14. ^ Donoghue, A; Wishart, G (2000). "Storage of Poultry Semen". Animal Reproduction Science. 62: 213–232. doi:10.1016/s0378-4320(00)00160-3.
  15. ^ Empty citation (bantuan)
  16. ^ Empty citation (bantuan)
  17. ^ Blanco, J; Wildt, D; Höfle, U; Voelker, W; Donoghue, A (2009). "Implementing artificial insemination as an effective tool for ex situ conservation of endangered avian species". Theriogenology. 71: 200–213. doi:10.1016/j.theriogenology.2008.09.019 – melalui Elsevier Science Direct.
  18. ^ Damerow, G. 1995.
  19. ^ "Poultry Industry Frequently Asked Questions Provided by the U.S. Poultry & Egg Association" (PDF). U.S. Poultry & Egg Association. Dicapai pada June 21, 2012.
  20. ^ Eriksson, J., Larson G., Gunnarsson, U., Bed'hom, B., Tixier-Boichard, M., et al. (2008) Identification of the Yellow Skin Gene Reveals a Hybrid Origin of the Domestic Chicken.
  21. ^ Weeks, C.A.; Nicol, C.J.; Sherwin, C.M.; Kestin, S.C. (1994). "Comparison of the behaviour of broiler chickens in indoor and free-range environments". Animal Welfare. 3: 179–192.
  22. ^ Moyle, J.R.; Yoho, D.E.; Harper, R.S.; Bramwell, R.K. (2010). "Mating behavior in commercial broiler breeders: Female effects". Journal of Applied Poultry Research. 19: 24–29. doi:10.3382/japr.2009-00061.
  23. ^ Duncan, I.J.H.; Hocking, P.M.; Seawright, E. (1990). "Sexual behaviour and fertility in broiler breeder domestic fowl". Applied Animal Behaviour Science. 26: 201–213. doi:10.1016/0168-1591(90)90137-3.
  24. ^ Gentle, M.J. (2011). "Pain issues in poultry". Applied Animal Behaviour Science. 135: 252–258. doi:10.1016/j.applanim.2011.10.023.
  25. ^ Empty citation (bantuan)
  26. ^ Empty citation (bantuan)
  27. ^ Empty citation (bantuan)
  28. ^ Empty citation (bantuan)
  29. ^ Empty citation (bantuan)
  30. ^ Empty citation (bantuan)
  31. ^ Empty citation (bantuan)
  32. ^ Empty citation (bantuan)
  33. ^ Meat Atlas 2014 – Facts and figures about the animals we eat, p. 41, pdf
  34. ^ "salinan arkib" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2012-10-03. Dicapai pada 2017-01-20.