Belanjawan Malaysia 2016

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Bajet Malaysia 2016)

Belanjawan 2016 ialah anggaran pendapatan dan perbelanjaan untuk 2016 bagi kerajaan Malaysia. Bajet ini dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober 2015 di Dewan Rakyat. Bajet 2016 memperuntukkan RM267.2 bilion berbanding peruntukan RM260.7 bilion yang dipinda bagi 2015. Berdasarkan jumlah ini, RM215 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, dan RM52 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. Bajet ini bertemakan "Mensejahtera Kehidupan Rakyat." Bajet ini merupakan bajet pertama yang dibentangkan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas.

Intipati[sunting | sunting sumber]

Terdapat lima strategi utama Bajet 2016 iaitu (i) memperteguh ketahanan ekonomi Malaysia; (ii) meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau; (iii) mempersiaga modal insan; (iv) memperkasa agenda bumiputera; dan (v) meringankan kos sara hidup rakyat.

Antara langkah ini termasuk seperti berikut:

GST[sunting | sunting sumber]

  • Kadar GST sifar ke atas semua jenis ubat terkawal di bawah senarai Racun kumpulan A, B, C & D serta 95 jenama ubat yang meliputi 30 penyakit seperti kanser, kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung
  • Kadar GST sifar ke atas barangan makanan seperti susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik
  • Syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyelenggaraan dan baik pulih dalam industri aeroangkasa diberikan pelepasan GST

Gaji dan bonus[sunting | sunting sumber]

  • Pemberian khas sebanyak RM500 kepada 1.6 juta kakitangan kerajaan dan RM250 kepada pesara
  • Gaji permulaan dalam perkhidmatan awam ditetapkan pada RM1,200 sebulan
  • Minimum elaun pencen RM950 sebulan
  • Pelaksanaan gaji minimum daripada RM900 kepada RM1,000 sebulan di Semenanjung dan RM920 di Sabah dan Sarawak kecuali untuk pembantu rumah

Peningkatan taraf hidup B40[sunting | sunting sumber]

  • Tekun akan menyediakan RM500 juta untuk usahawan bumiputera dan RM100 juta untuk usahawan India
  • RM90 juta disediakan untuk peniaga kecil Cina sebagai pinjaman mikrokredit, termasuk RM50 juta untuk Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi)
  • RM300 juta untuk pelaksanaan perkampungan bersepatu, wang saku dan projek pembangunan orang Asli

Pembangunan Sabah dan Sarawak[sunting | sunting sumber]

  • RM70 juta disediakan melalui Bank Simpanan Nasional dengan kerjasama kerajaan negeri bagi pinjaman tanpa faedah untuk membina rumah panjang
  • RM260 juta untuk Program 1Harga 1Sarawak dan 1Harga 1Sabah bagi memastikan keseragaman harga barangan terpilih
  • Lebuh raya Pan Borneo Sarawak yang meliputi jajaran sepanjang 1,090 km dijangka siap pada 2021 dan bebas tol

Cukai[sunting | sunting sumber]

  • Pendapatan bercukai bagi kadar cukai tertinggi ditingkatkan daripada 25 peratus pada 26 peratus bagi mereka yang berpendapatan antara RM600,000 hingga RM1 juta setahun
  • Anak yang menyara ibu bapa diberi pelepasan cukai RM1,500 dengan syarat ibu bapa masing-masing tidak berpendapatan lebih RM2,000 sebulan dan berumur 60 tahun

Pemerkasaan Bumiputera[sunting | sunting sumber]

  • Majlis Amanah Rakyat diperuntukkan RM3.7 bilion, termasuk menaja pengajian 72,000 pelajar Bumiputera di peringkat pendidikan tinggi
  • RM150 juta untuk Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) untuk melaksanakan program seperti Skim Usahawan Permulaan Bumiputera dan Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi
  • RM150 juta untuk Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera melaksanakan program mereka

BR1M[sunting | sunting sumber]

  • Perbelanjaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan pada RM1,000
  • BR1M bagi isi rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 dinaikkan pada RM800
  • Individu bujang 21 tahun ke atas dengan pendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan mendapat RM400

Pertahanan[sunting | sunting sumber]

  • RM17.3 bilion untuk pemerolehan enam kapal kombat pantai, sistem persenjataan udara, kereta berperisan dan pesawat Airbus A-400M
  • RM523 juta untuk pembangunan kem tentera darat Esscom di Lahad Datu, Sabah
  • RM13.1 bilion untuk mempertingkatkan keselamatan dan ketenteraman awam, penambahan 500 rondaan bermotosikal PDRM

Rujukan[sunting | sunting sumber]