Banjaran Gunung Andes

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Banjaran Andes di Argentina.

Banjaran Andes membentuk jajaran pergunungan terbuka yang terpanjang di dunia.[1] Pergunungan ini terbentang sebagai satu rangkaian tanah tinggi yang berterusan sepanjang pantai barat Amerika Selatan. Ia berukuran melebihi 7,000 km panjang, 500 km lebar di beberapa tempat (paling lebar di latitud 18º hingga ke 20º S) dan purata 4,000 m tinggi.

Banjaran ini terdiri daripada dua rangkaian pergunungan utama iaitu kordilera timur dan barat. Kedua-duanya dipisahkan oleh satu lekukan pertengahan yang dalam yang membentuk beberapa rangkaian kecil lain. Salah satu daripadanya ialah kordilera pinggir laut Chile. Kordilera ini bermula dari peghujung benua Amerika Selatan dan melunjur ke arah utara sejajar dengan pinggir laut. Rangkaian pergunungan ini dipecahkan menjadi pulau-pulau kecil di permulaannya. Selepas itu, ia membentuk sempadan bahagian barat lembah besar Chile. Ke utara, jajaran pinggir laut ini bersambung membentuk beberapa permatang kecil atau bukit-bukau yang terpencil sepanjang Lautan Pasifik sehingga sejauh Venezuela. Pergunungan ini melalui sejumlah tujuh buah negara iaitu Argentina, Bolivia, Chile, Colombia, Ecuador, Peru dan Venezuela. Sebahagian daripada negara-negara ini turut digelar sebagai negara-negara Andes.

Banjaran ini diukur sebagai rangkaian pergunungan tertinggi di luar benua Asia. Puncak paling tinggi, iaitu Aconcagua berdiri setinggi 6,962 m di atas paras laut. Sementara itu, puncak Gunung Chimborazo di Ecuador pula ialah kedudukan di muka bumi yang paling jauh dari pusatnya yang terbentuk akibat bonjol khatulistiwa.

Nama[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa teori yang cuba menjelaskan asal-usul nama banjaran ini. Pendapat majoriti menyatakan bahawa nama Andes diambil daripada perkataan Quecha iaitu anti yang membawa maksud puncak. Sesetengah orang pula percaya bahawa nama itu datang diambil daripada satu wilayah empayar Inca bernama Anti Suyu. Ada pendapat lain pula menjelaskan bahawa nama itu datang daripada perkataan Sepanyol andén yang bermaksud teres dalam pertanian. Mereka merujuk penggunaan meluas sistem teres dalam kegiatan bercucuk-tanam yang diamalkan oleh orang-orang Inca dan masyarakat setempat yang lain. Pendapat lain pula merujuk nama Andes kepada kependekan bagi perkataan dalam bahasa Sepanyol Lama iaitu Andenes atau Andenerías.

Ciri-ciri fizikal[sunting | sunting sumber]

Cono de Arita, Salta (Argentina).

Banjaran Andes boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu Andes Selatan di Argentina dan Chile, Andes Tengah meliputi kordilera di Chile, Peru serta sebahagian daripada Bolivia dan Andes Utara di Venezuela, Colombia dan utara Ecuador termasuk Kordilera Timur dan Kordilera Barat. Di Colombia, banjaran ini berpecah kepada tiga rangkaian selari iaitu di bahagian barat, tengah dan timur. Sistem di bahagian timur merupakan satu-satunya yang melunjur ke Venezuela. Kelebarannya diukur sekitar 200-300 km sepanjang banjaran ini, kecuali fleksur Bolivia yang mencatatkan ukuran sepanjang 640 km. Pulau-pulau seperti Aruba, Bonaire dan Curaçao yang terletak di Laut Caribbean di pinggir laut Venezuela, merupakan puncak-puncak pergunungan Andes yang ditenggelami air.

Geologi[sunting | sunting sumber]

Banjaran Andes secara asasnya terhasil oleh proses plat tektonik, yang dibentuk oleh pembenaman plat Nazca di bawah plat Amerika Selatan. Sempadan dua plat ini menghasilkan jurang Peru-Chile.

Pembentukan Andes dikatakan bermula sejak zaman Jura lagi. Tetapi bentuk yang ada sekarang boleh dikesan sejak zaman Batu Kapur. Ia terhasil daripada kenaikan, geseran (atau sesaran) dan lipatan batuan enapan dan metmorf pada kraton purba di bahagian timur. Daya-daya tektonik sepanjang zon benam di seluruh pantai barat Amerika Selatan, di kawasan pertemuan plat Nazca dan sebahagian plat Antartika yang menggelongsor di bawah plat Amerika Selatan, terus-menerus menghasilkan gerakan orogeni yang menyebabkan kejadian gempa bumi kecil dan besar serta letusan gunung berapi sehingga ke hari ini. Betul-betul di bahagian paling selatan wujud satu sesar jelmaan yang memisahkan Tierra del Fuego dengan plat Scotia yang kecil. Merentasi laluan Drake yang berkelebaran sehingga 1000 km, terbentang pergunungan Semenanjung Antartika, di selatan plat Scotia yang wujud sebagai kesinambungan daripada rangkaian pergunungan Andes.

Banjaran ini memiliki banyak gunung berapi termasuk Cotopaxi, salah satu daripada gunung berapi aktif tertinggi di dunia.

Iklim[sunting | sunting sumber]

Iklim di Banjaran Andes adalah berbeza-beza bergantung kepada kedudukan, ketinggian dan jarak dengan laut. Bahagian selatan adalah sejuk dan kerap hujan manakala bahagian tengah agak kering. Utara Andes juga kerap hujan tetapi panas dengan purata suhu mencecah 18 °C di Colombia misalnya. Cuaca pula sering berubah dengan mendadak. Hutan hujan boleh didapati tidak berapa jauh daripada puncak gunung Cotopaxi yang dilitupi salji. Gunung-ganang turut mempunyai kesan terhadap suhu di kawasan persekitarannya.

Puncak gunung[sunting | sunting sumber]

Bahagian Selatan banjaran Andes dekat kota Santiago, ibukota Chile.
Gunung Berapi Lanín di Argentina.

Puncak tertinggi banjaran Andes ialah Aconcagua. Puncak ini memiliki ketinggian 6,962 m. Ia terletak di Argentina, berdekatan sempadannya dengan Chile.

Puncak penting yang lain[sunting | sunting sumber]

Gunung berapi[sunting | sunting sumber]

Banjaran ini dan beberapa kordilera di Amerika Tengah yang tergolong di dalam sistem pergunungan Pasifik turut menyaksikan aktiviti-aktiviti gunung berapi dan seismos. Puncak-puncak gunung berapi tertinggi di dunia juga terletak di banjaran ini, seperti Monte Pissis, Argentina dengan ketinggian 6,795 m dan Ojos del Salado, Argenitna-Chile dengan ketinggian 6,864 m. Ciri-ciri unik kawasan gunung berapi seperti fumarol, solfatara dan geiser boleh ditemui dengan kerap di sini.

Gunung berapi aktif[sunting | sunting sumber]

Lain-lain[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. Jajaran pergunungan terpanjang di dunia ialah Permatang Samudera, yang mempunyai panjang sekitar 80,000 km.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • John Biggar, The Andes: A Guide For Climbers, 3rd. edition, 2005, ISBN 0-9536087-2-7
  • Tui de Roy, The Andes: As the Condor Flies. 2005, ISBN 1-55407-070-8
  • Fjeldså, J., & N. Krabbe (1990). The Birds of the High Andes. Zoological Museum, University of Copenhagen, Copenhagen. ISBN 87-88757-16-1
  • Fjeldså, J. & M. Kessler. 1996. Conserving the biological diversity of Polylepis woodlands of the highlands on Peru and Bolivia, a contribution to sustainable natural resource management in the Andes. NORDECO, Copenhagen.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]