Dondang sayang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Semakan 2573184 pada 07:20, 31 Disember 2012 oleh Algazel (bincang | sumb.) (Tambah rencana lisan)

Dondang sayang ialah sejenis balada cinta Melayu tradisional. Dalam lagu dondang sayang, penyanyi-penyanyi saling bertukar pantun tanpa persediaan dalam gaya yang riang dan kadang-kadang lucu. Nyanyian-nyanyian biasanya diiringi empat orang ahli muzik yang terdiri daripada:

  • seorang pemain biola;
  • dua orang pemain rebana (gendang yang di sebelah sahaja dipasang kulit) Melayu; dan
  • seorang pemain tawak (gong kecil).

Pemain biola biasa merupakan ketua kumpulan ahli muzik. Beliau memainkan peranan utama dalam dondang sayang, dan membekalkan melodi kaunter kepada melodi vokal atau suara. Pemain-pemain muzik boleh saling bertukar alat-alat muzik mereka antara persembahan, tetapi pemain biola jarang berbuat demikian, walaupun dibenarkan. Sehingga lima buah reban boleh digunakan, jika terdapat pemain muzik yang berlebihan. Kadang-kadang, rebana boleh digantikan dengan gendang ataupun kompang. Barisan alat muzik boleh juga ditambahkan dengan akordion.

Muzik dondang sayang adalah perlahan, dan sebuah lagu biasanya terdiri daripada 32 bar, bermula dengan pengenalan biola, diikuti rebana dan kemudiannya gong, dan akhirnya oleh nyanyian pada bar kelima. Gayanya tidak formal dan liriknya biasa terdiri daripada puisi cinta.

Dondang Sayang dipercayai berasal dari Melaka, Malaysia pada zaman Kesultanan Melaka pada abad ke-15.

Pantun Dondang Sayang

Terdapat banyak lirik pantun Dondang Sayang yang dimainkan, namun rata-rata tema pantun yang dibawa adalah tentang cinta dan kemesraan yang digarapkan dalam suasana spontan yang riang dan kadang kala lucu. Pantun Baba[1] merupakan contoh nyanyian irama Dondang Sayang.

(Pantun Baba)

Naday bugis tolak blayar,
   Tengah laot patah kemudi-nya;
Hutang budi dapat di bayer,
   Hutang hati apa ganti-nya.


Tengah laot patah kemudi,
   Layar koyak di pukol angin;
Hutang hati membawak mati,
   Sebagi bola di pukol angin.


Pisang mas bawak blayer,
   Jerok mari dalam kendi;
Hutang budi balas di dunia,
   Hutang hati mengikat diri.


Pisang mas bawak blayer,
   Masak sa-bijik di-atas peti;
Hutang mas boleh di bayer,
   Hutang budi menanggong hati.

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ Pantun Baba, Dondang Sayang 1931 di petik daripada akhbar The Malay Limited, Johor Bahru,Johor keluaran tahun 1959.

Pautan luar