Ekonomi Australia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Super Pit di Kalgoorlie, lombong dedah emas yang terbesar di Australia.

Australia mempunyai ekonomi campuran gaya barat yang kaya, dengan KDNK per kapita yang lebih tinggi sedikit daripada United Kingdom, Jerman dan Perancis dari segi pariti kuasa beli. Negara ini ditempatkan ketiga dalam Indeks Pembangunan Manusia 2005 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan keenam dalam indeks kualiti hidup sedunia 2005 oleh The Economist. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, ekonomi Australia telah mudah pulih ketika menghadapi kemerosotan ekonomi sejagat. Kenaikan keluaran di dalam ekonomi dalam negara berupaya mengimbangi kemerosotan sejagat, dan keyakinan perniagaan dan pengguna masih tegap. Isu-isu terkini yang membimbangkan sesetengah ahli ekonomi adalah defisit akaun semasa yang tinggi serta tahap-tahap hutang asing bersih yang dipinjam oleh sektor swasta.

Pada dekad 1980-an, pentadbiran Hawke memulakan proses pembaharuan ekonomi melalui pengapungan dolar Australia pada tahun 1983, serta pembatalan kawal selia sistem kewangan.[1] Sejak tahun 1996, kerajaan Howard telah meneruskan proses pembaharuan mikroekonomi, termasuk pembatalan kawal selia separa pasaran buruh dan penswastaan perniagaan-perniagaan milik kerajaan, khususnya industri telekomunikasi.[2] Pembaharuan sistem cukai tak langsung yang cukup besar dilaksanakan pada Julai 2000, dengan pengenalan 10% Cukai Barangan and Perkhidmatan yang dapat mengurangkan sedikit pergantungan kepada cukai pendapatan perseorangan dan cukai pendapatan syarikat yang masih mencirikan sistem cukai Australia.

Ekonomi Australia tidak pernah mengalami kemelesetan sejak awal dekad 1990-an. Pada Julai 2006, kadar pengangguran adalah 4.8%, dengan 10,223,300 orang bekerja.[3] Sektor perkhidmatan dalam ekonomi, termasuk pelancongan, pendidikan, dan perkhidmatan kewangan, terdiri daripada 69% KDNK.[4] Pertanian dan sumber alam terdiri daripada 3% dan 5% KDNK tetapi merupakan antara sebab prestasi eksport Australia yang kukuh. Pasaran-pasaran eksport Australia yang terbesar termasuk Jepun, China, Amerika Syarikat, Korea Selatan, dan New Zealand.[5]

Secara tradisi, ketiadaan industri pengeluaran berorientasi eksport telah dianggap sebagai suatu kelemahan utama ekonomi Australia. Baru-baru ini, kenaikan harga-harga komoditi eksport Australia dan pertumbuhan pelancongan telah mengurangkan kritikan itu pada setakat tertentu. Walau bagaimanapun, Australia telah mencapai defisit akaun semasa yang ketiga terbesar di dunia secara mutlak (melebihi 7% KDNK secara perbandingan). Ini telah dianggap menyusahkan oleh sesetengah ahli ekonomi, terutamanya kerana perkembangan ini berbetulan dengan harga tinggi untuk barang-barang eksport Australia serta kadar faedah yang rendah yang mengekalkan kos bayar balik hutang asing pada tahap yang begitu rendah.[6]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Macfarlane, I. J. (1998). Dasar Kewangan Australia pada Suku Tahun Terakhir Abad Ke-20. Buletin Bank Rizak Australia, Oktober
  2. Parham, D. (2002). Reformasi mikroekonomi dan pemulihan pertumbuhan daya pengeluaran dan taraf hidup. Persidangan Ahli-ahli Ekonomi, Adelaide, 1 Oktober
  3. Biro Statistik Australia. Tenaga Buruh Australia. Cat#6202
  4. Jabatan Luar Negeri dan Perdagangan (2003). Memajukan Kepentingan Negara, Lampiran 1
  5. Biro Statistik Australia. Buku Tahunan Australia 2005
  6. Colebach, T. Kami dalam peluncuran panjang dan licin ke bencana, 2 Mac 2005, The Age