Kereta api terjunam di Tenom

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Gerabak kereta api terjunam ke dalam Sungai Padas, Tenom, Sabah, Malaysia pada 9 April 2008. Kemalangan itu terjadi kira-kira 20 km dari Kampung Tenom Lama, Tenom. Kereta api itu sepanjang 80 meter mempunyai 3 gerabak sahaja. Pemandu kereta api itu ialah Jividol Tadius, 49. Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Supritendan Mazlan Lazim berkata seramai 49 penumpang membeli tiket tetapi jumlah sebenar melebihi angka tersebut.

Dua penumpang (seorang wanita, Taminah Sikin, 50, dan Sukiman Misman, 56) terbunuh manakala 24 lagi cedera termasuk tiga parah. Mereka dihantar ke Hospital Daerah Tenom. 13 anggota bomba dari Tenom, Keningau, Sipitang dan Kuala Penyu mencari mangsa yang dikhuatiri masih berada di dalam gerabak kereta api atau dihanyutkan air Sungai Padas. [1] Kemungkinan ada penumpang yang tidak membeli tiket tetapi turut sama dalam perjalanan itu. Empangan Pangi diarahkan membuka pintu empangannya agar air sungai surut dengan cepat dan memudahkan usaha mencari mangsa yang tersepit.

Kerajaan negeri Sabah memberi sumbangan sebanyak RM3,000 kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan RM500 kepada yang tercedera sebagai bantuan awal.

Punca kejadian belum dapat dipastikan oleh Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS). Landasan itu telah diperiksa 20 minit sebelum insiden berlaku dan didapati selamat. Landasan itu hanya beberapa meter sahaja dari tebing sungai dan tebingnya runtuh akibat hujan lebat pada hari sebelum kejadian. Tebing sungai runtuh berhadapan Stesen Janakuasa Hidro Pangi sebelum kereta api tersebut menyeberang Sungai Padas.

Tiga gerabak yang tenggelam ke dalam Sungai Padas telah dikeluarkan dan dibawa ke Kota Kinabalu. Sebagai alternatif, kereta api rel sementara telah digunakan dari Kampung Rayoh ke Beaufort sejauh 20 km bagi memastikan murid-murid dan guru meneruskan persekolahan.[2] Penduduk dari bandar Tenom ke Beaufort amat bergantung kepada perkhidmatan kereta api itu untuk berulang-alik ke tempat kerja. Inilah satu-satu kaedah pengangkutan yang ada terutama di Kampung Saliuton, Kampung Pangi, Batu 75 dan Rayoh. Petani di situ terpaksa menggunakan troli di sepanjang landasan kerana tidak ada alternatif lain.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengarahkan perkhidmatan kereta api itu dihentikan sementara. Sebuah landasan kereta api baru dari Tenom ke Beaufort dalam pembinaan dan akan siap tidak lama lagi. Landasan baru ini lebih kukuh dan jauh dari tebing sungai.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berharap tragedi ini tidak menjejaskan industri perlancongan di Sabah. Perkhidmatan kereta api diesel yang digunakan sejak tahun 1960-an antara Kota Kinabalu ke Beaufort dan Tenom telah lama dihentikan kerana kekurangan penumpang.[3]

Kementerian Pengangkutan patut membina jalan raya di sepanjang Sungai Motolop iaitu dari Kampung Pangi ke Kampung Bamban sejauh 10 km. Jalan raya itu kelak dapat memudahkan mereka pergi ke pekan Tenom.

Kawasan ini berbukit-bukau didiami oleh majoriti suku kaum Murut dan mereka bergantung hidup kepada sumber pertanian seperti padi bukit, getah, kopi dan sayur-sayuran selain memburu binatang dan menangkap ikan sungai.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]