Pergi ke kandungan

Keriat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Keriat
Daun keriat muda
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Plantae
Klad: Trakeofit
Klad: Eudikot
Klad: Rosid
Keluarga: Meliaceae
Genus: Aglaia
Spesies:
A. korthalsii
Nama binomial
Aglaia korthalsii
Miq.[2]
Sinonim[2]
  • Aglaia aquatica (Pierre) Harms
  • Aglaia cauliflora Koord.
  • Aglaia celebica Koord.
  • Aglaia confertiflora Merr.
  • Aglaia dysoxylifolia Koord.
  • Aglaia dysoxylonoides Koord.
  • Aglaia longipetiolulata Baker f.
  • Hearnia aquatica Pierre
  • Hearnia sarawakana C.DC.

Keriat atau kiat, dengan nama saintifik Aglaia korthalsii,[3][4] ialah spesies tumbuhan dalam keluarga Meliaceae. Ia ditemukan di Bhutan, Brunei, India, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand.

Ia turut disebut keriah, kiah, sekeriah dan piah dalam bahasa Melayu. Di Borneo, ia dipanggil  segera dalam bahasa Iban, langsat muncit dalam bahasa Sungai, dan  lantupak burung dalam bahasa Dusun.[3]

Penerangan

[sunting | sunting sumber]

Aglaia korthalsii ialah pokok yang lebih 26 m (85 ka) tinggi. Daunnya majmuk dan mengandungi anak daun sepanjang 8–27 cm (3.1–10.6 in) dan selebar 3–8 cm (1.2–3.1 in), dengan pangkal daun tidak sama. Tangkainya 7–12 cm (2.8–4.7 in) panjang dan dilitupi sisik perang kemerahan yang berkilat. Sisik tersebut turut dijumpai pada ketiak dan ranting. Aglaia korthalsii menyamai A. speciosa, namun berlainan pada lima anak daunnya yang lebih besar, rerambutnya yang dikit dan tampilan buahnya. A. korthalsii dan A. elliptica pun berkongsi banyak persamaan, namun berlainan lantaran A. korthalsii ada sisik pepayung, sedangkan A. elliptica pula sisiknya bebintang.[5] 

Perbungaannya ditemukan di ketiak dan dahan tua. Perbunyaan jantan lebih panjang dan lebat berbanding yang betina. Bunganya yang sekitar 1.5–2 mm (0.059–0.079 in) panjang dan 1.6–2.5 mm (0.063–0.098 in) lebar mengandungi lima ranggi; salut bercuping limanya turut terlitup sisik menyamai rantingnya. Perbuahannya yang lebih 17 cm (6.7 in) panjang dan 14 cm (5.5 in) lebar pula mengandungi 15 biji buah. Setiap Buahnya hampir bulat, 2–4 cm (0.79–1.57 in) panjang dan 1–3.5 cm (0.39–1.38 in) lebar, dan dilitupi sisik perang jingga yang ada birai berpinggir. Buah matang akan bekah di sepanjang pinggir kulit buah ini apabila tekanan dalaman dikenakan.[5]

Buahnya ada satu hingga dua benih bujur, 1.5–2 cm (0.59–0.79 in) panjang dan 1–1.5 cm (0.39–0.59 in) lebar, dan dilitupi nabu jingga kekuningan yang tebal.[5] Nabu yang berjus atau lembik macam agar-agarnya terasa manis pahit, dan boleh dimakan.[6] Orang utan dan ungka tangan putih gemar memakan buah spesies ini.[7]

Taburan dan habitat

[sunting | sunting sumber]

Ia tempatan di kawasan dari Bhutan ke Malesia, iaitu di Kepulauan Andaman dan Nicobar, Assam, Himalaya Timur, Borneo, Kepulauan Sunda Kecil, Tanah Melayu, Myanmar, Filipina, Sulawesi, Sumatera, Thailand, dan Vietnam.[2]

Di Semenanjung, Aglaia korthalsii boleh ditemukan di kesemua negeri kecuali Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka. Ia tumbuh di hutan dipterokarpa pamah lebih 340 m di atas paras laut.[3] Habitat spesies ini termasuklah  di sungai, paya gambut, tanah liat, tanah gembur, batu kapur dan batu pasir. Ia turut ditanam sebagai pokok buah-buahan di kampung-kampung di Kelantan dan Terengganu.[7]

Buahnya yang masam manis boleh dimakan dan mempunyai manfaat perubatan.[6] Kayunya pula digunakan sebagai tiang rumah.[7]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Pannell, C.M. (1998). "Aglaia korthalsii". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 1998: e.T34759A9887989. doi:10.2305/IUCN.UK.1998.RLTS.T34759A9887989.en. Dicapai pada 17 November 2021.
  2. ^ a b c "Aglaia korthalsii Miq". World Checklist of Selected Plant Families. Taman Botani Diraja, Kew. Dicapai pada 2023-07-20.
  3. ^ a b c Aglaia korthalsii. Sistem Maklumat Biokepelbagaian Malaysia (MyBIS). Dicapai melalui https://www.mybis.gov.my/sp/28358. [Didapat kembali 11 Ogos 2023].
  4. ^ "KSU KeTSA tanam pokok di FRIM". Kempen Penanaman 100 Juta Pokok. Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC). 2 Jun 2022.
  5. ^ a b c "Aglaia korthalsii Miq". Flora Fauna Web. Lembaga Taman Negara Singapura. 2019. Dicapai pada 5 November 2021.
  6. ^ a b Tropical Plants Database, Ken Fern. tropical.theferns.info. 2023-08-12. <tropical.theferns.info/viewtropical.php?id=Aglaia+korthalsii>
  7. ^ a b c Norsham Y. (19 Oktober 2012). "Aglaia korthalsii: Harum bunga si langsat ungka". Laman Web Rasmi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.