Kes penderaan Bella

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pada Julai 2021, satu kes penderaan terbongkar di sebuah rumah penjagaan kanak-kanak bernama Rumah Bonda di rumah pangsa Irama Wangsa,[1] Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Malaysia, yang melibatkan seorang mangsa, dikenali secara umum sebagai Bella, berumur 15 tahun,[a] dan turut menghidapi sindrom Down. Penderaan ini dipercayai dilakukan oleh pengasas rumah penjagaan itu, Siti Bainun Ahd Razali. Kes ini mendapat perhatian negara, dengan pelbagai bentuk solidariti diajukan terhadap Bella.[3]

Huraian kes[sunting | sunting sumber]

Pada 6 Julai, satu lawatan ke pusat itu diadakan oleh pihak perubatan berikutan satu aduan berkenaan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja rumah penjagaan itu. Lawatan pemeriksaan ini membawa kepada penemuan Bella dengan kelecuran teruk pada dada, tangan dan leher, serta kesan luka di paha, sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi rawatan.[4] Pemeriksaan lanjutan mendapati bahawa pusat penjagaan itu sedang dalam proses pendaftaran sebagai pusat penjagaan sah,[5] dan disita sejurus selepas kes terbongkar.[6] Kes mendapat perhatian negara setelah seorang aktivis sosial, Mona Din menyebarkan penemuan itu di media sosial lalu tular; Mona kemudiannya menubuhkan sebuah pakatan, "Gerakan Menuntut Keadilan" untuk membela nasib mangsa.[7]

Pada 20 Ogos, Siti Bainun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pengabaian dan penganiayaan Bella berdasarkan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dalam sesi pendakwaan.[7] Siti Bainun juga mengancam untuk mengambil tindakan perundangan berkenaan pihak-pihak luar yang dikatakan memutarbelitlan maklumat kes itu dengan pengunaan istilah yang kurang tepat.[8] Siti Bainun sekali lagi didakwa pada November, dan dibenar diikat jamin sebanyak RM5,000.[9]

Perbicaraan[sunting | sunting sumber]

Perbicaraan kes mula dilakukan sejak 30 Mac 2022, dengan 34 saksi pendakwaan memberi keterangan di mahkamah-mahkamah Kuala Lumpur.[10] Ahli-ahli perbicaraan terlibat juga diberi peluang melawat dan menyiasat lokasi kejadian penderaan.[1] Perbicaraan kes pada 8 April memberi maklumat-maklumat lanjutan berkenaan kes; penghuni Rumah Bonda mendedahkan bahawa dirinya mendera atas arahan Siti dengan mencampakkan air panas terhadap Bella.[11] Perbicaraan susulan mendedahkan pelbagai jenis penderaan oleh Siti Bainun seperti dipaksa makan 20 biji cili sehari,[12] dan layanan "seperti hamba abdi" terhadap penghuni Rumah Bonda.[13] Selain itu, saksi juga menyatakan bahawa penderaan terhadap Bella dilakukan setiap hari, yakni pada setiap malam sejak Mac hingga Jun 2021.[14]

Pada 24 November 2022, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan jenayah yang dihadapinya, iaitu mengabai dan menganiayai Bella. Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Siti Bainun di akhir kes pendakwaan.[15][16]

Pada 16 Januari 2023, prosiding bela diri Siti Bainun di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, ditangguhkan kepada 17 Januari berikutan tiga peguam mewakili Siti Bainun, menarik diri. Peguam terbabit ialah Mohammad Farhan Maaruf dan Nur Ellena Mohamed Razif memfailkan permohonan menarik diri secara bertulis kepada mahkamah pada 13 Januari, manakala Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor pula membuat permohonan secara terbuka di mahkamah, 3 hari kemudian.[17][18][19]

Pada 3 Mei, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun didapati bersalah terhadap dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella dan dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun.[20][21][22] Pada 18 Mei, Mahkamah Tinggi menetapkan 23 Mei untuk keputusan permohonan Siti Bainun bagi penggantungan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan mengabai dan menganiaya Bella.[23]

Isu[sunting | sunting sumber]

Satu isu yang timbul dalam perbicaraan Siti Bainun ialah kebimbangan konflik kepentingan politik; Siti Bainun pernah menjadi naib ketua Puteri UMNO bagi kawasan Ampang, meskipun tidak lagi menjawat jawatan itu setakat waktu kes.[24] Dalam hal itu, pihak Puteri UMNO menafikan sebarang bentuk kompromi terhadap Siti Bainun selaku figura pertubuhan itu.[25] Pengasas bersama Rumah Bonda, Syed Azmi Alhabshi turut menjadi subjek kebimbangan konflik kepentingan oleh kerana jawatannya sebagai penasihat Mahkamah Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta ahli pemegang amanah Yayasan Kebajikan Negara.[26] Selain itu, persoalan juga timbul tatkala satu lagi kes kematian terbongkar dalam sejarah penubuhan Rumah Bonda, yang melibatkan seorang kanak-kanak lelaki pada Mei 2020, yakni persoalan ketiadaan tindakan pihak berkuasa untuk menghentikan Rumah Bonda meskipun dengan kes terdahulu itu.[27]

Satu lagi isu timbul ketika sesi perbicaraan, dengan seorang peguam bela Siti Bainun mendedahkan pemeriksaan balas (soal balas terhadap saksi) di media sosial, seterusnya menerbitkan kebimbangan penggadaian etika perundangan demi kepentingan awam atau peribadi. Walau bagaimanapun, peguam bela mempertahankan perlakuannya, dengan hujah bahawa perbicaraan itu dibuat secara terbuka, tetapi didedahkan secara tak lengkap sehingga menjadi tak neutral lalu memburukkan Siti Bainun.[28]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Pada permulaan kes (2020), Bella disangka berusia 13 tahun. Walau bagaimanapun, pembentangan pemeriksaan radiologi pada Julai 2022 mengesahkan bahawa dia berusia 15 tahun pada masa itu.[2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "Kes Bella: Hakim lawat lokasi kejadian [METROTV]". 13 April 2022. Dicapai pada 16 April 2022.
  2. ^ "Saksi sahkan Bella berusia 15 tahun pada 2020". Astro Awani. 21 Julai 2022. Dicapai pada 22 Julai 2022.
  3. ^ Yusup, Nor Eryani (12 Julai 2021). "Suara solidariti selebriti untuk #JusticeForBella". Kosmo!. Dicapai pada 9 April 2022.
  4. ^ Malik, Hilmi (6 Julai 2021). "Anak istimewa sindrom Down melecur teruk pada badan disyaki didera di pusat asuhan". Astro Awani.
  5. ^ "Dera remaja OKU: Rumah kebajikan milik NGO dalam proses pendaftaran dengan JKM". Astro Awani. 8 Julai 2021.
  6. ^ "Kes Adik Bella: JKM sita rumah kebajikan tidak berdaftar". Astro Awani. 12 Julai 2021.
  7. ^ a b Hibrahim, Muhammad Amnan (15 September 2021). "Kes Bella: GMK serah memorandum kepada Agong". Sinar Harian. Dicapai pada 9 April 2022.
  8. ^ Aminin, Noor Azlida (21 Ogos 2021). "Pengasas Rumah Bonda ambil tindakan undang-undang". Sinar Harian. Dicapai pada 9 April 2022.
  9. ^ "Rumah Bonda founder charged again, this time for mistreatment". Free Malaysia Today. 25 November 2021. Dicapai pada 9 April 2022.
  10. ^ "SUHAKAM dibenar jadi pemerhati kes Siti Bainun". Berita Harian. 6 Januari 2022. Dicapai pada 9 April 2022.
  11. ^ "'Siti Bainun arah saya gigit perut Bella' - Saksi". Berita Harian. 8 April 2022. Dicapai pada 9 April 2022.
  12. ^ Fuad, Faris (14 April 2022). "Bella diberi makan 20 cili padi seminggu". Berita Harian. Dicapai pada 16 April 2022.
  13. ^ Fuad, Faris (15 April 2022). "Klip video tunjuk Yasmin hamba abdi Siti Bainun". Berita Harian. Dicapai pada 16 April 2022.
  14. ^ Jeevendran, Kasthuri (14 April 2022). "Siti Bainun menangis teresak-esak ketika saksi baca diari". Malaysia Gazette. Dicapai pada 16 April 2022.
  15. ^ "Siti Bainun diarah bela diri kes abai, aniaya Bella". Berita Harian. 24 November 2022. Dicapai pada 3 Mei 2023.
  16. ^ "Siti Bainun diarah bela diri atas tuduhan abai dan aniaya Bella". Free Malaysia Today. 24 November 2022. Dicapai pada 3 Mei 2023.
  17. ^ Mahaizura Abd Malik (16 Januari 2023). "3 peguam Siti Bainun tarik diri". Berita Harian. Dicapai pada 3 Mei 2023.
  18. ^ "Tiga peguam tarik diri, prosiding bela diri Siti Bainun ditangguh lagi". Astro Awani. 16 Januari 2023. Dicapai pada 3 Mei 2023.
  19. ^ "3 peguam tarik diri, prosiding bela diri Siti Bainun ditangguh". Free Malaysia Today. 16 Januari 2023. Dicapai pada 3 Mei 2023.
  20. ^ Juani Munir Abu Bakar (3 Mei 2023). "Siti Bainun didapati bersalah dera Bella". Utusan Malaysia. Dicapai pada 3 Mei 2023.
  21. ^ Faris Fuad (3 Mei 2023). "Siti Bainun kena penjara 12 tahun". Berita Harian. Dicapai pada 22 Mei 2023.
  22. ^ Umavathi Ramayah (3 Mei 2023). "Kes Bella: Siti Bainun ke Penjara Kajang jalani hukuman penjara 12 tahun". Astro Awani. Dicapai pada 22 Mei 2023.
  23. ^ "Keputusan permohonan Siti Bainun tangguh hukuman penjara diketahui 23 Mei". Astro Awani. 18 Mei 2023. Dicapai pada 22 Mei 2023.
  24. ^ Azfar, Khai (14 Julai 2021). "5 Fakta Mengenai Siti Bainun, Tertuduh Dalam Kes #JusticeForBella". Murai. Dicapai pada 10 April 2022.
  25. ^ Rozlan, Nur Iftitah (13 Julai 2021). "Tiada kompromi kes dera kanak-kanak: Puteri UMNO". Sinar Harian. Dicapai pada 10 April 2022.
  26. ^ Nyambar, Nickyson (9 April 2022). "Kes Bella: Ada unsur 'konflik kepentingan', peranan Syed Azmi perlu ditamatkan - Aktivis, peguam". Astro Awani. Dicapai pada 10 April 2022.
  27. ^ Zulkifli, Ahmad Mustakim (16 Julai 2021). "Selepas kes Bella, persoalan timbul mengenai NGO tak berdaftar". Malaysia Now. Dicapai pada 10 April 2022.
  28. ^ Nazri, Nazwin (15 April 2022). "Peguam pertahan foto 'mini love' dengan Siti Bainun, tak langgar etika guaman... Buat 'thread' Twitter pun tak salah!". MStar. Dicapai pada 16 April 2022.