Madrasah Idrisiah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Madrasah Idrisiah terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Ditubuhkan pada 1917 dan mula beroperasi pada tahun 1922 (1340 H.). Ia dinamakan sempena pengasasnya iaitu Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah ibni al-Marhum Raja Bendahara Alang Iskandar. Sultan Idris memerintah negeri Perak dari 26 Jul 1887 hingga 14 Jan 1916. Sekolah ini merupakan Sekolah Menengah Agama Diraja pertama di negeri Perak.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Madrasah Idrisiah ditubuhkan pada tahun 1917 dan beroperasi pada April 1922 bersamaan 1342 Hijrah. Ia adalah sebuah sekolah Agama pertama ditubuhkan di negeri Perak Darul Ridzuan dan merupakan satu-satunya sekolah yang melaksanakan sistem pendidikan sekolah moden serta mempunyai sistem sekolah berasrama pada waktu itu. Penubuhannya diasaskan atas titah DYMM Sultan Idris I Mursyidul Adzam Shah (1887-1916 M), Sultan Perak yang ke-28 dan kedudukan sekolah ini terletak di Bukit Chandan Kuala Kangsar serta berhadapan dengan Masjid Ubudiah yang merupakan masjid terawal dibina dan menjadi simbol keagungan serta peradaban Islam di Perak. Nama Idrisiah diambil sempena nama Sultan Idris yang menjadi pengasas kepada penubuhan sekolah ini dan yang pentingnya ia menggambarkan peranan istana dalam pembinaan sebuah sekolah agama yang bersistem pada waktu itu.

Penubuhan Idrisiah sangat berkait rapat dengan peranan ulama’ seperti Tuan Guru Sheikh Haji Nawawi bin Haji Tahir (Pak Wi) untuk mengemudi sebuah institusi harapan sultan ketika itu. Sebelum madrasah ini mendapat nama ia lebih dikenali sebagai Madrasah Mariah iaitu sebuah institusi yang memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak perempuan yatim sahaja di Perak. Madrasah ini menjadi pendorong kepada tertubuhnya sebuah sekolah yang lebih berprestij dan akhirnya kedua-dua institusi ini iaitu Madrasah Mariah dan Madrasah Idrisiah diletakkan di bawah pentadbiran yang berasingan. Ia didirikan di atas tanah wakaf yang telah dihadiahkan oleh permaisuri baginda Sultan Idris, Permaisuri Utih Mariah. Namun, permintaan yang tinggi daripada rakyat setempat agar dibuka sekolah untuk kanakkanak lelaki turut meningkat, maka baginda telah bercadang untuk membuka Madrasah Idrisiah sebagai pusat pembelajaran kepada mereka.

Sebagai langkah awal, baginda dengan penuh rasa tanggungjawab telah mewakafkan 3 ekar tanahnya untuk pembinaan madrasah dan didirikan lima buah bangunan iaitu 3 buah rumah guru, sebuah pejabat (Rumah Bulat) dan bangunan induk (asrama dan kelas) Baginda juga turut mewakafkan 23 buah kedai di pekan Kuala Kangsar sebagai sumber ekonomi sekolah untuk menampung perbelanjaan dan memastikan agar pentadbiran madrasah Idrisiah berjalan dengan baik. Harta yang diwakafkan itu turut dibahagikan kepada Masjid Ridzwaniah dan makam diraja al-Ghufran di Bukit Chandan. Walau bagaimanapun, amat mendukacitakan apabilabaginda sultan tidak sempat melihat tertegaknya Idrisiah dan perkembangan pendidikan agama yang berlangsung ke atas anak Melayu Perak pada waktu itu kerana baginda telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1918.Baginda sewaktu hayatnya seorang yang sangat mencintai ilmu agama dan memuliakan ulama. Antara ulama besar yang hidup sezaman dengan baginda ialah Tuan Haji Nawawi atau Pak Wi, Tuan Yunus Malim Nawar dan Tuan Haji Wan Muhammad yang merupakan mufti Perak pertama secara tidak rasmi. Tuan ini hidup hingga ke zaman pemerintahan anakanda baginda iaitu Al-Marhum Sultan Alang Iskandar 1918-1938.

Selepas kemangkatan almarhum Sultan Idris, segala tugas dan peranan untuk memastikan pembinaan sekolah ini diteruskan maka ia telah diambil alih oleh anakandanya iaitu Sultan Iskandar Qaddasallah Shah. Baginda telah bertanggungjawab dalam memantau pergerakan dan pembinaan madrasah sehingga Ogos 1921. Akhirnya pada Ogos 1922 madrasah Idrisiah telah siap dibina dan memulakan pengajiannya dengan mengambil seramai 23 orang lelaki yatim sebagai penuntut sulungnya.

Falsafah Pendidikan dan Visi Madrasah Idrisiah[sunting | sunting sumber]

Falsah Pendidikan[sunting | sunting sumber]

“Pendidikan Madrasah Idrisiah adalah usaha berterusan untuk menyampaikan pengetahuan, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan Sunnah, di landasan faham Ahlus Sunnah Wal Jama’ah, bagi membentuk sikap, kemahiran dan pandangan hidup sebagai seorang Dai’ilallah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, alam dan manusia ke arah mencapai Mardzatillah Dunia dan Akhirat”

Visi[sunting | sunting sumber]

Melaksanakan sistem pendidikan yang terbaik untuk melahirkan generasi ulama’ dan umara’ yang gemilang dalam bidang akademik, ko-kurikulum, akhlak dan fizikal yang sihat berpaksikan sistem tadbir urus yang terbaik dan cemerlang.

Kepemimpinan[sunting | sunting sumber]

Senarai Mudir:

  1. Tuan Haji Muhammad b. Haji Salleh (1922-1924)
  2. Tuan Sheikh Abdullah Maghribi (1924-1932)
  3. Sheikh Abdullah Fahim b. Haji Ibrahim (1932-1948)
  4. Tuan Haji Sheikh Az-Zubir (1948-1976)
  5. Dato' Haji Abu Al-Hasan @ Abu Hassan Ashari bin Abdul Majid (1976 - 1983)
  6. Tuan Haji Nawawi b. Hassan
  7. Ustaz Musa b. Zainudin A.M.P, P.J.K (1985-1999)
  8. Tuan Haji Kamaruddin b. Ahmad A.M.P, P.P.T (1999-2011)
  9. Ustaz Khairul Anuar El-Syazali b. Musa (2011-kini)

Tokoh[sunting | sunting sumber]

Tokoh-tokoh lepasan Madrasah Idrisiah termasuk Yang Dipertua Persatuan Bekas Pelajar Idrisiah Dato' Seri Dr Haji Harussani Haji Zakaria dan Penasihat Agama Perdana Menteri Dato' Paduka Hamid Othman.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]