Naubat Diraja Brunei

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Naubat Diraja Brunei merupakan ensembel muzik diraja yang terkandung di dalam Alat-Alat Kebesaran Diraja bagi Negara Brunei Darussalam.[1] Seperti kesultanan-kesultanan yang memiliki kumpulan nobat diraja mereka yang tersendiri, Naubat Diraja Brunei ini telah menjadi lambang kekuasaan dan kedaulatan Sultan-Sultan Brunei yang memerintah di atas takhta Kerajaan Negara Brunei Darussalam sejak zaman dahulukala.[2] Menurut Salasilah Raja-Raja Brunei, Naubat Diraja Brunei merupakan warisan Sultan-Sultan Brunei dari negeri "Johor Kamal-ul-Maqam" dan negeri Minangkabau.[3]

Ahli-ahli Pasukan Naubat Diraja Brunei lazimnya akan mewarisi pekerjaan datuk-nenek mereka dahulu sebagai pegandang. Oleh kerana Kampong Ayer pernah menjadi kawasan persemayaman Sultan-Sultan Brunei, 'pegandang-pegandang' dipilih dari beberapa buah perkampungan di Kampong Ayer, iaitu: Sultan Lama (tidak lagi wujud), Pemancha Lama (tidak lagi wujud) dan Sungai Kedayan. Walau bagaimanapun, kini sesiapa saja boleh menjadi 'pegandang', asalkan mempunyai bakat serta adab dan ketertiban (termasuk pengetahuan Bahasa Dalam atau Bahasa Istana) yang diperlukan.[4]

Alat-Alat Naubat Diraja Brunei [5][sunting | sunting sumber]

  • Nakara

    Gendang Nakara ini akan dititir atau dimainkan oleh Ketua Jurulaki, iaitu Ketua Pegandang bagi Pasukan Naubat Diraja Brunei. Disebabkan taraf Nakara sebagai alat yang terpenting dan paling tinggi tarafnya dari alat Naubat yang lain, ia akan dibawa dengan cara mengusungnya di atas kepala, dan akan disimpan di atas kaban (peti) Mahkota Diraja jika tidak digunakan. Gendang Nakara ini diperbuat daripada perak[6], manakala sahapnya dikatakan diperbuat daripada kulit tuma (sejenis serangga halus seperti kutu).[7]

  • Gendang Labik

    2 buah gendang berukuran sederhana, di mana satu permukaan akan dipalu dengan menggunakan kayu rotan, manakala satu permukaan lagi akan dipalu dengan tangan. Para pemain akan memalu gendang labik secara serentak, mengikut rentak Nakara.

  • Serunai

    Mengikut tradisi, Naubat Diraja Brunei mempunyai 4 buah serunai: 2 bersampak emas dan 2 bersampak perak.[8] Lazimnya, hanya 1 atau 2 buah serunai akan ditiup di dalam sesuatu masa. Rampak-rampak (irama) serunai adalah seperti berikut: Liu-Liu, Kudidi, dan Sangga Bunuh.

Lagu-Lagu Naubat Diraja Brunei [9][10][sunting | sunting sumber]

  • Naubat Biasa

    Apabila seseorang Sultan itu telah menjalani Istiadat Perpuspaan dan diberi gelaran Yang Di-Pertuan, lagu Naubat Biasa atau juga dikenali sebagai Naubat Raja[11] ini akan dititir setiap hari sepanjang pemerintahan baginda. Mengikut Adat Istiadat Diraja Brunei, Istiadat Perpuspaan akan hanya diadakan sekurang-kurangnya setahun selepas baginda Sultan menaiki takhta kerajaan. Lagu Naubat Biasa akan dititir kira-kira 15 minit sebelum waktu sembahyang fardhu Subuh (2 kali titir untuk Raja Isteri), Maghrib (3 kali titir untuk Sultan) dan Isha' (4 kali titir untuk Sultan). Semasa Istiadat Membuka Naubat, lagu ini akan dititir sebanyak 7 kali di Lapau sebelum waktu Maghrib dan Isha'. Namun pada zaman sekarang, adat ini dibuat di dalam istana, manakala bacaan Tahlil akan diadakan di Lapau.

  • Naubat Iskandar

Istiadat Pengisytiharan Pengganti Sultan:

Lagu Naubat Iskandar ini akan dititir sebanyak 7 kali, di mana setiap titir akan diiringi dengan seruan oleh Pehin Orang Kaya Di-Gadong (Seri Diraja / Seri Lela) kepada semua yang hadir di majlis itu untuk mengangkat sembah kepada Sultan Brunei yang baharu samada di hadapan jenazah Al-Marhum Sultan, ataupun jikalau Sultan sebelumnya turun dari takhta kerajaan.

Pada zaman dahulu, para hadirin (termasuk pengganti Al-Marhum Sultan) akan mengangkat sembah sebanyak 7 kali kepada jenazah Al-Marhum Sultan untuk kali terakhir, sebagai tanda bahawa taat setia mereka selaku rakyat di bawah naungan Al-Marhum itu telah sampai ke penghujungnya. Surah Al-Fatihah akan dibaca sebelum upacara ini bermula untuk memohon agar jenazah Al-Marhum Sultan itu akan dicucuri rahmat. [12][13]


Istiadat Perpuspaan:

Lagu Naubat Iskandar ini juga akan dititir sebanyak 7 kali. Tiap-tiap titir akan didahului oleh Puja Puspa yang akan dibaca oleh Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara. Setiap titir juga akan diiringi dengan seruan oleh Pehin Orang Kaya Di-Gadong (Seri Diraja / Seri Lela) kepada sekalian yang hadir untuk mengangkat sembah kepada Baginda Sultan.


Istiadat Memuja Raja Isteri:

Lagu Naubat Iskandar ini juga akan dititir sebanyak 7 kali. Tiap-tiap titir akan didahului oleh Puja Puspa yang akan dibaca oleh isteri kepada Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara. Setiap titir juga akan diiringi dengan seruan oleh isteri kepada Pehin Orang Kaya Di-Gadong (Seri Diraja / Seri Lela) kepada sekalian yang hadir untuk mengangkat sembah kepada Baginda Raja Isteri.

  • Naubat Ibrahim

    Lagu Naubat Ibrahim ini akan dititir sebanyak 7 kali semasa Istiadat Pemakaman Sultan ataupun Raja Isteri, apabila jenazah baginda hendak dimasukkan ke dalam liang lahad. Mengikut Adat Istiadat Diraja Brunei dahulu, tiap-tiap titir itu akan disertai dengan azan yang akan dilaungkan oleh 4 orang Mudim supaya bunyi Naubat Ibrahim itu tidak kedengaran. Walau bagaimanapun, lagu Naubat Ibrahim ini tidak lagi akan dititir di Kubah Makam Diraja pada mana-mana Istiadat Pemakaman Sultan atau Raja Isteri di masa akan datang.[14]

Penutupan Naubat[15][16][sunting | sunting sumber]

Naubat Diraja Brunei akan ditutup (tidak dimainkan) sekiranya Sultan atau Raja Isteri lindung, ataupun jikalau berlakunya kemangkatan di kalangan Keluarga Diraja termasuk Wazir. Naubat juga tidak akan dimainkan sekiranya ada di kalangan Pengiran-Pengiran Cheteria atau Pengiran Peranakan meninggal dunia. Tempoh penutupan itu akan bergantung kepada taraf yang lindung / mangkat / meninggal dunia itu. Secara umumnya, Naubat akan ditutup lebih lama untuk seseorang yang lebih tinggi tarafnya. Selepas tempoh penutupan berlalu, Naubat akan dibuka semula dengan Istiadat Membuka Naubat yang diadakan di Lapau pada waktu Maghrib.

Kerabat yang lindung / mangkat / meninggal dunia Tempoh penutupan Naubat
Sultan Sehingga pengganti baginda berpuspa
Raja Isteri / Pengiran Isteri / isteri-isteri Sultan yang lain 40 hari
Begawan Sultan & Suri Seri Begawan Raja
Pengiran Muda Mahkota dan isteri
Wazir dan isteri
Putera-Puteri Sultan yang gahara
Putera-Puteri Sultan yang tidak gahara 20 hari
Pengiran-Pengiran Cheteria
Cucu kepada Sultan Anak kepada Wazir 14 hari
Piut kepada Sultan Cucu kepada Wazir Anak kepada Cheteria 7 hari
Antah kepada Sultan Piut kepada Wazir Cucu kepada Cheteria 5 hari

Gendang Jaga-Jaga[sunting | sunting sumber]

Di samping Naubat, Gendang Jaga-Jaga juga merupakan ensembel muzik diraja yang digunakan semasa musim Istiadat berlangsung, contohnya Istiadat Perpuspaan, Istiadat Pemashyuran Pengiran Muda Mahkota, Istiadat Perkahwinan Diraja, Istiadat Mengurniakan Gelaran, Istiadat Meluaran Diraja dan seumpamanya. Apabila Gendang Jaga-Jaga dibuka di dalam Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga, ini akan menandakan bahawa musim Istiadat itu telah bermula.

Gendang Jaga-Jaga ini akan dititir pada 4 waktu:

  1. Sebelah pagi selepas matahari naik sepenggalah (selepas masuk waktu Sembahyang Sunat Dhuha)
  2. Selepas waktu bagi Sembahyang Fardhu Zuhur masuk
  3. Selepas waktu bagi Sembahyang Fardhu Asar masuk
  4. Selepas waktu bagi Sembahyang Fardhu Isha sehingga (hampir tengah malam / Majlis Berjaga-jaga berakhir)

Peralatan Gendang Jaga-Jaga adalah sama seperti peralatan Naubat, tetapi ditambah dengan 2 biji Gong dan 3 biji Chanang. Terdapat 5 buah titir ataupun irama dalam Gendang Jaga-Jaga, iaitu:

  • Gendang Perang

Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga

Titir ini akan dimainkan sebagai permulaan diiringi dengan tembakan meriam. Gendang Perang ini akan dimainkan sehingga tembakan meriam mencapai bilangan yang ditentukan, mengikut taraf pihak yang ampunya pekerjaan itu (Gendang Jaga-Jaga). Misalnya, jika Gendang Jaga-Jaga itu dibuka untuk Sultan, maka Gendang Perang itu akan dititir sebanyak 21 kali, diiringi dengan 21 das tembakan meriam.

Titir Gendang Perang ini akan dimainkan semula selepas Gendang Alih-Alihan Hujung, sebagai irama penghabisan untuk meraikan kedatangan para hadirin yang bergelar (Wazir, Cheteria, dan Manteri Berchiri): Nakara akan turut dititir sebanyak 10 kali, dan 10 kali yang selebihnya tanpa Nakara.


Musim Istiadat

Gendang Perang akan dititir apabila putera-puteri Sultan, Wazir, Cheteria dan Pengiran Peranakan, termasuk Manteri Berchiri berangkat atau melalui kawasan yang dikhaskan untuk pasukan Gendang Jaga-Jaga menjalankan tugas. Jika yang melintas itu Manteri Berchiri, maka Nakara tidak akan dititir.

  • Gendang Alih-Alihan Tengah

Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga

Titir ini dimainkan selepas Gendang Perang, sebagai tanda bahawa Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga itu sudah sampai pertengahan masanya.


Musim Istiadat

Gendang Alih-Alihan Tengah ini dititir sebagai tanda bahawa titir Gendang Jaga-Jaga itu sudah sampai pertengahan masa yang diperuntukkan. Semasa Malam Berjaga-jaga, jika titir ini dimainkan, ia membawa maksud bahawa tidak ada lagi orang yang akan hadir ke Majlis Berjaga-jaga itu.

  • Gendang Alih-Alihan Hujung

Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga

Titir ini dimainkan selepas Gendang Alih-Alihan Tengah, sebagai tanda bahawa Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga itu akan tamat. Titir ini akan diikuti dengan Gendang Perang.


Musim Istiadat

Gendang Alih-Alihan Hujung ini dititir sebagai tanda bahawa titir Gendang Jaga-Jaga itu akan tamat dalam masa yang dikhususkan untuknya. Semasa Malam Berjaga-jaga, jika titir ini dimainkan, ia membawa maksud bahawa Majlis Berjaga-jaga itu akan ditutup.

  • Gendang Arak-Arakan

Istiadat Perarakan

Irama ini akan dititir, misalnya jika ada perarakan Sultan selepas Istiadat Perpuspaan ataupun Pengantin Diraja diarak selepas Istiadat Bersanding Diraja.


Istiadat Mengiringi Jenazah ke Makam Diraja

Gendang Arak-Arakan ini akan dititir semasa jenazah Keluarga Diraja yang berkelayakan termasuk Wazir diusung ke Makam Diraja untuk Istiadat Pemakaman.

  • Gendang Raja Lalu

Apa sahaja irama yang dimainkan akan diganti dengan Gendang Raja Lalu apabila Sultan atau isteri-isteri Baginda, Begawan Sultan atau Suri Seri Begawan Raja berangkat melalui kawasan yang dikhaskan untuk Pasukan Gendang Jaga-Jaga menjalankan tugas. Pemain Gendang Labik akan berdiri ketika memainkan irama ini.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Adat Istiadat Diraja Brunei. (2003). Brunei: Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Perdana Menteri.
  2. ^ https://www.adat-istiadat.gov.bn/Shared%20Documents/KursusBengkel/Adat%20Istiadat%20Brunei%20dan%20Naubat%20Kebesaran%20Diraja.pdf
  3. ^ https://www.jstor.org/stable/41491947
  4. ^ https://www.adat-istiadat.gov.bn/Shared%20Documents/KursusBengkel/Adat%20Istiadat%20Brunei%20dan%20Naubat%20Kebesaran%20Diraja.pdf
  5. ^ https://www.adat-istiadat.gov.bn/Shared%20Documents/KursusBengkel/Adat%20Istiadat%20Brunei%20dan%20Naubat%20Kebesaran%20Diraja.pdf
  6. ^ Halid, R. I. B. R. (2022). The Malay Nobat: A History of Power, Acculturation, and Sovereignty. United States: Lexington Books.
  7. ^ Kamus Bahasa Melayu Brunei. (2007). Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
  8. ^ https://www.jstor.org/stable/41491947
  9. ^ Adat Istiadat Diraja Brunei. (2003). Brunei: Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Perdana Menteri.
  10. ^ https://www.adat-istiadat.gov.bn/Shared%20Documents/KursusBengkel/Adat%20Istiadat%20Brunei%20dan%20Naubat%20Kebesaran%20Diraja.pdf
  11. ^ https://fliphtml5.com/arvls/ujxk/basic
  12. ^ Dunia Melayu. (1991). Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.
  13. ^ An Observation of Ceremonial Procedures of Sultan Abdul Momin’s Funeral (1885) and Sultan Hashim’s Accession to the Throne (1885) and Coronation (1895): Continuity and Change, Jurnal Darussalam, Bilangan 19, (2019)
  14. ^ Dunia Melayu. (1991). Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.
  15. ^ Adat Istiadat Diraja Brunei. (2003). Brunei: Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Perdana Menteri.
  16. ^ https://www.adat-istiadat.gov.bn/Shared%20Documents/KursusBengkel/Adat%20Istiadat%20Brunei%20dan%20Naubat%20Kebesaran%20Diraja.pdf