Pokok Balau Kumus

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pokok Balau Kumus
Pengelasan saintifik

Pokok Balau Kumus ialah sejenis tumbuhan yang terdapat di hutan Malaysia. Nama "kumus" berasal dari Negeri Sembilan tetapi kini terkenal di kawasan-kawasan yang lain. Nama-nama pokok ini yang lain termasuk Pokok Kumus Merah (untuk membezakannya dengan Pokok Kumus Hitam (Shorea maxwelliana) yang tumbuh di Daerah Kuala Pilah), Pokok Balau dan Pokok Selimbar di Pahang, Pokok Serai di Rompin, dan Pokok Damar Laut Kuning di Perak. Nama saintifiknya *Shorea laevis Ridl.

Pokok Balau Kumus merupakan salah satu sumber kayu balak balau yang lebih umum di banyak kawasan di Semenanjung Malaysia. Damarnya pernah dianalisis oleh Buckley, tetapi didapati tidak mempunyai sebarang nilai komersil. [1]


Taburan[sunting | sunting sumber]

Pokok Balau Kumus berasal dari kawasan-kawasan semenanjung Myanmar, Thailand, dan Semenanjung Malaysia, serta juga Sumatera Utara, dan Borneo.

Di Semenanjung Malaysia, pokok ini tumbuh dari Kedah Selatan dan Pahang ke selatan, khususnya di kawasan-kawasan rabung dalaman Negeri Sembilan, Selangor Selatan, dan Pahang. Pokok ini merupakan salah satu pokok yang paling mencirikan hutan-hutan dipterokarpa bukit. Ia tumbuh di kawasan-kawasan yang ketinggian optimumnya sebanyak 300 - 500 meter, dengan hadnya setinggi 500 - 1,000 meter. Pokok ini sering bertumbuh bersama-sama dengan Pokok Seraya (S. curtisii).

Morfologi[sunting | sunting sumber]

Ciri-ciri bahagian Pokok Balau Kumus adalah seperti yang berikut:

  • Batang pokok: Lilitnya sering melebihi 4 meter (litit tercatat yang terbesar ialah 8 meter). Oleh itu, Pokok Balau Kumus mungkin merupakan pokok yang terbesar dalam kumpulan balau. Akar banir untuk pokok-pokok besar kukuh dan berbonggol. Warna kulit pokok ini kuning kemerah-merahan atau kuning keperang-perangan, dan kelihatan lebih kurang bersisik. Kulitnya luruh bak sisik yang tidak tetap bentuknya. Lapisan lelehan damar berwarna kuning muda. Bahagian kulit pokok sebelah luar berwarna coklat, manakala sebelah dalamnya berwarna perang-kuning, dengan satu garis yang berwarna kuning terang pada kambiumnya.
  • Ranting: Rantingnya amat halus, licin, dan berwarna hitam ketika kering.
  • Daun: Daunnya berbentuk telur tetapi tajam pada satu hujung, dengan saiznya kira-kira 8.5 x 3.5 sentimeter. Warnanya hijau-kuning muda ketika muda. Ia nipis sahaja bak kertas, dan kelihatan beribun ketika kering. Daun ini mempunyai 12 vena (saraf) yang amat halus pada kedua-dua permukaannya, dengan tulang daunnya berwarna kuning terang ketika segar tetapi menjadi hitam ketika kering. Petiolnya (tangkai daun) halus, sekitar 12 milimeter panjang, dan menjadi hitam apabila kering. Stipulnya yang lurus dan yang sehingga 8 milimeter panjangnya luruh amat awal.
  • Bunga: Kelopaknya berbentuk bujur. Kudupnya tidak begitu bulat, dengan diameternya sebanyak kira-kira 2 milimeter. Setiap bunga mempunyai hampir 50 batang stamen yang berwarna putih.
  • Buah: Kekerasnya yang sehingga 15 x 9 milimeter besarnya ditutup oleh sepal-sepal pada pangkalnya. Sepalnya nipis bak kertas, dengan tiga sepal yang terletak di luar mempunyai saiz sebanyak 6.5 x 1 sentimeter, dan dua sepal yang terletak di dalam berukuran 4 sentimeter panjangnya. Tangkainya pendek dan halus.
  • Anak pokok: Ranting anak pokok amat halus dan licin, dengan kudup-kudupnya mempunyai tangkai yang panjang dan halus sebelum terbuka. Stipulnya juga panjang dan halus. Bagaimanapun, daunnya adalah sedikit lebih besar berbanding dengan daun-daun pokok induk, dan berwarna hijau muda, kilat, serta mempunyai tulang daun yang berwarna kuning terang.

Silvikultur[sunting | sunting sumber]

Pemulihan semula jadi Pokok Balau Kumus biasanya amat umum, dengan banyak pokok muda dilahirkan melalui penebangan-penebangan perbaikan pemulihan. Ia kini dicerap di plot sampel fenologi di Hutan Simpanan Bongsu di Kedah, serta di banyak plot sampel yang lain di Negeri Sembilan dan Pahang.

Pengukuran pokok-pokok besar di semua plot sampel tersebut menunjukkan penambahan lilit tahunan sebanyak 26 milimeter pada puratanya dan oleh itu, lilit batang pokok sebanyak 210 sentimeter dianggarkan dapat dicapai dalam tempoh 85 tahun. Bagaimanapun, pengukuran pokok-pokok tanaman pilihan di bawah keadaan-keadaan yang terbaik menghasilkan angka-angka sebanyak 32 milimeter pada puratanya dan oleh itu, pokok-pokok tanaman tersebut dapat mencapai lilit 210 sentimeter dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu 76 tahun.

Pokok Balau Kumus telah ditanam dengan amat berjaya di ladang-ladang Kepong, Wilayah Persekutuan Malaysia. Pokok-pokok setahun yang dipindahkan ke belukar-belukar menunjukkan kadar daya hidup sebanyak 85% selepas setahun dan selepas lima tahun, mencapai kira-kira tiga meter tingginya, dengan sebilangannya juga mencapai sehingga enam meter.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]