Pergi ke kandungan

Triakontaskhoinos

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Peta lembah Hilir Nil; Triakontaskhoinos adalah kawasan antara riam pertama (1) dan kedua (2)

Triakontaskhoinos (Jawi: ترياكونتسخوءينوس; Yunani: Τριακοντάσχοινος, "Tanah Tiga Puluh Skhoinoi"), dilatinkan menjadi Triakontaskhoenus, ialah istilah geografi dan pentadbiran yang digunakan di alam Yunani-Rom untuk bahagian Nubia Hilir yang berada di antara Riam Pertama dan Kedua Sungai Nil, yang menjadi zon penampan antara Mesir dan kemudiannya Rom dengan Meruwi. Bahagian utara kawasan ini, dari Riam Pertama ke arah selatan ke Maharraqa, dikenali sebagai Dodekaskhoinos atau Dodekaskhoenus (Δωδεκάσχοινος, "Tanah Dua Belas Skhoinoi"). Pada zaman Ptolemaik dan Rom, Dodekaskhoinos sering diilhakkan ke dalam Mesir atau dikawalnya, begitu juga Triakontaskhoinos yang selebihnya kadangkala.

Pada 275 atau 274 SM, Ptolemy II (berkuasa 283–246 SM) menghantar tentera ke Nubia dan mengalahkan Kerajaan Kush. Kempen itu mempunyai beberapa objektif: satu, untuk mengekang kuasa Kush, yang telah berkembang secara berterusan sejak abad yang lalu; kedua, membantu mengamankan pemerintahan Ptolemy terhadap orang Mesir asli dari Mesir Hulu, yang mungkin tergoda untuk mendapatkan bantuan Kush untuk memberontak. Di samping itu, ekspedisi itu ingin memberikan kerabat Ptolemy kawalan ke atas laluan bekalan untuk gajah Afrika, yang digunakan sebagai gajah perang dalam konflik bersama saingan mereka, Empayar Seleukia, yang telah memonopoli akses kepada gajah India yang lebih besar.[1] Hasil daripada kempen ini, kawasan antara Riam Pertama dan Kedua Sungai Nil, yang juga termasuk lombong emas di Gurun Timur, telah diilhakkan ke dalam Mesir dan kemudian dikenali sebagai Triakontaskhoinos.[1]

Sudah di bawah Ptolemy II, bahagian utara wilayah baru itu, antara Riam Pertama dan Maharraqa moden (bahasa Yunani: Hiera Sykaminos ), telah dinamakan Dodekaskhoinos, dan semua pendapatannya didedikasikan kepada kuil dewi Isis di Filae. Pemberian ini juga diulangi oleh Ptolemy IV (berkuasa 221–204 SM) dan Ptolemy VI (berkuasa 180–145 SM).[1] Ptolemy IV juga membina kuil-kuil untuk Thoth di Pselkis (Dakka) dan dewa Nubia tempatan, Mandulis, di Talmis (Kalabsha), serta mengembangkan kuil khusus untuk Arensnuphis di Filae. Semua Pembinaan ini menunjukkan kuasa diraja dan juga membantu mengasimilasikan dewa-dewa Nubia ke dalam kepercayaan Mesir, untuk menguatkan pemerintahan Ptolemy. Sebagai sebahagian daripada dasar ini, kerabat Ptolemy juga memberikan keistimewaan dan pengecualian khas kepada orang Mesir Filae dan Elefantin.[1]

Kerabat Ptolemy berhenti mengawal Nubia Hilir s. 205 SM, akibat pemberontakan Horwennefer (Yunani: Ὑργοναφορ 'Hyrgonaphor'), menyebabkan Mesir Hulu berpisah daripada kerajaan. Nubia Hilir telah diambil alih oleh Kush, yang Horwennefer meminta bantuan. Walaupun dengan bantuan Kush, tentera Ptolemy mengalahkan waris Horwennefer, Ankhwennefer (Yunani: Χαοννόφρης 'Khaonnophris'), dan sekutu-sekutu Kushnya pada Ogos 186 SM. Ini menyebabkan pemerintahan Ptolemaik pulih di Mesir Hulu dan Nubia Hilir.[1] Seperti kerabat Ptolemy, dalam zaman ini, raja Kush Arqamani dan Adikhalamani menyelesaikan projek-projek pembinaan yang dimulakan oleh Ptolemy IV, dan meraikan pemulihan pemerintahan Kush mereka dengan membuat batu bersurat, membina asas Kuil Debod, dan memakai gelaran kebesaran yang megah. Dalam zaman yang sama, kepercayaan dewata Nubia menjadi lebih seperti dewata Mesir di bawah pengaruh pendeta-pendeta Filae, dan juga memperkenalkan motif artistik Yunani—seperti arca-arca bogel—serta sistem pengukuran Yunani-Mesir di samping sistem ukuran Nubia tradisional.[1]

Ptolemy V pergi ke Philae pada 185 SM dengan Ratu Cleopatra I dari Syra dan bayi mereka, Ptolemy VI, untuk memastikan penduduk tempatan gembira dan mencegah sebarang pemberontakan dengan menaungi kultus tempatan. Pada 157 SM, Ptolemy VI juga memberikan wang kepada Kuil Isis di Dodekaskhoinos.[1] Dalam pentadbiran, Nubia Hilir Ptolemaik adalah sebahagian daripada wilayah jeneral Thebaid, yang wakil tempatannya yang paling penting ialah phrourarkhos (komander kubu) di Siene sehingga s. 143 SM (atau mungkin 135 SM), apabila ia menjadi sebahagian daripada daerah (nomos) Peri Elefantinen. Gabenor awam pertamanya ialah bekas phrourarkhos Herodes anak lelaki Demophon dan kekal hingga zaman Rom. Di samping jawatan awam, pegawai Yunani ini juga seorang pendeta kepada Amun, dan penjaga persalinan suci di Elefantine, Bigeh, dan Filae.[1] Berdasarkan stele di kuil Mandulis di Filae, nampaknya penduduk asli, bukan Mesir ("Aethiopia", iaitu orang Nubia) dikuasai oleh seorang gabenor peribumi, dan wajib membekalkan kuil tersebut (dan mungkin semua kuil di kawasan itu) dengan peruntukan.[1]

Kekurangan inskripsi Ptolemaik atau bukti-bukti lain tentang kawalan Ptolemaik telah menyebabkan sarjana-sarjana moden menyimpulkan bahawa menjelang pemerintahan Ptolemy IX Lathyros (berkuasa 116–109 dan 88–81 SM), jika tidak sekitar pertengahan abad ke-2 SM, kebanyakan Triakontaskhoinos, selatan dari Debod, bukan lagi dikawal oleh kerabat Ptolemy.[1]

Di bawah pemerintahan Rom, maharaja Augustus menyusun semula Dodekaskhoinos tetapi mengekalkan penyumbangan pendapatannya kepada kuil Isis di Filae seperti dalam zaman Ptolemaik.[1] Pada abad ketiga, Dodekaskhoinos Rom dikuasai oleh dinasti-dinasti pendeta Nubia tempatan seperti Wayekiye, yang ingin menguatkan pengaruh Kush di kawasan itu.[2] Apabila lombong emas merosot, Rom meninggalkan Dodekaskhoinos pada 298 TM di bawah Diocletianus.[3] Raja Kush Yesebokheamani mengambil alih wilayah itu dan pertahanannya untuk melawan orang Blemmies, malah melawat kuil di Filae sebagai peziarah.[1]

Menjelang abad kelima Masihi, sejajar dengan kejatuhan kerajaan Meruwi dan Nobatia yang akan datang, perkataan Triakontaskhoinos dan Dodekaskhoinos tidak lagi digunakan.[1]

  1. ^ a b c d e f g h i j k l m Török 2009. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "FOOTNOTETörök2009" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  2. ^ Török 1997.
  3. ^ Raoul McLaughlin; The Roman Empire and the Indian Ocean. The Ancient World Economy & the Kingdoms of Africa, Arabia & India; 2014; ISBN 978-1-78346-381-7; m/s 67.

Bibliografi

[sunting | sunting sumber]
  • Bevan, Edwyn Robert (1927). A History of Egypt Under the Ptolemaic Dynasty. Methuen. OCLC 876137911.
  • Török, László (1997). The Kingdom of Kush: Handbook of the Napatan-Meroitic Civilization. Leiden, New York, Köln: Brill. ISBN 90-04-10448-8.
  • Török, László (2009). Between Two Worlds: The Frontier Region Between Ancient Nubia and Egypt, 3700 BC-AD 500. Leiden, New York, Köln: Brill. ISBN 978-90-04-17197-8.{{#switch:||Kategori=