Tuan Guru Ustaz Abdul Halim Abas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tuan Guru Ustaz Abdul Halim Abas

Tuan Guru Ustaz Haji Abdul Halim Abas lahir pada 13 september 1951 bersamaan 11 Zulhijjah 1370H di Merbok, Kedah dan wafat pada 15 Ogos 2023 merupakan seorang Daie, pendakwah dan mantan Timbalan Syeikhul Arqam pada zaman kegemilangan Darul Arqam[1]. Beliau merupakan seorang pendakwah dan ulama yang sangat berjasa di bumi Sabah.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Abdul Halim Abas di lahirkan di kg. Merbok, Kedah. Ayahnya, Tuan Guru Lebai Abas bin Lebai Kamat atau terkenal dengan panggilan Lebai Abas Khalifah dilahirkan pada tahun 1913 di Mandailing, Sumatera, Indonesia. Ayahnya kemudiannya berhijrah ke Kedah pada tahun 1926 dengan menaiki kapal Seri Kedah. Tokoh ini lebih dikenali dengan panggilan Lebai Abbas Khalifah. Beliau merupakan murid kepada Pak Chu Him Gajah Mati.

Ibunya pula bernama Hajah Rodhiah Binti Haji Umar. Datuk sebelah ibunya itu adalah Tuan Guru Haji Umar, ulama besar di kawasan Merbok suatu ketika dahulu.

Tuan Guru Haji Abdul Halim mempunyai 6 orang adik beradik, iaitu :

1. Abdullah - meninggal di Sumatera

2. Aishah

3. Hajah Fauziah - isteri Tuan Guru Haji Mansor Merbok

4. Tuan Guru Haji Abdul Halim

5. Sofiah

6. Hajah Zainab - isteri Tuan Guru Haji Majid Merbok

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Pendidikan awal Tuan Guru diperolehi daripada ayahnya, Tuan Guru Lebai Abbas di Madrasah Manzilatul Masakin, Merbok yang diasaskan oleh ayahandanya sendiri. Boleh dikatakan beliau belajar sepenuhnya dengan ayahandanya sehingga mahir pelbagai cabang ilmu.[1]

Sejak awal usia lagi beliau dibiasakan bertalaqqi kitab kepada ayahandanya dan mendapat pendidikan sekolah rendah hingga darjah 6. Setelah tamat sekolah rendah beliau sepenuhnya mengaji kepada ayahanda. Ikut khidmat ke mana saja ayahanda pergi, sambil membonceng basikal di belakang ayahandanya, beliau membaca kitab dan ditegur langsung jika ada kesalahan, juga diberi penerangan.

Selepas ayahandanya Lebai Abbas Khalifah meninggal ketika beliau baru mencecah sekitar 15 tahun, emaknya tidak mengizinkan beliau memondok jauh melainkan yang di sekitar Merbok sahaja. Ketika itulah beliau banyak berguru kepada Tuan Guru Haji Ghazali Bin Haji Din di Madrasah Zubaidiyah, Merbok.

Tuan Guru Haji Abdul Halim selalu bertanyakan kepada emaknya, Hajah Rodhiah, tentang merasa kurang dengan ilmu yang ada, dan ketika itu jawapan ibunya Hajah Rodhiah adalah, "Mak doakan kau mendapat ilmu laduni."

Setelah itu beliau memasuki Pondok Penanti, Bukit Mertajam selama sembilan bulan dan akhirnya melanjutkan pengajian ke Mekah al-Mukaramah selama 3 bulan. Selama 3 bulan itu memang beliau sepenuhnya mengaji pada tuan-tuan guru yang ada di sana. Selepas pulang, beliau belajar pula dengan Profesor Mokhtar Lintang di Kuala Lumpur.

Senarai guru-gurunya ialah :

1. Tuan Guru Lebai Abbas Khalifah - ayahnya

2. Tuan Guru Haji Mansor Bin Ibrahim, Merbok

3. Tuan Guru Haji Ghazali Bin Din, Merbok

4. Tuan Guru Haji Hussin, Penanti

5. Syeikh Muhammad Yassin al-Fadani[2]

6. Syeikh Salleh Tok Kenali

7. Profesor Mokhtar Lintang

Darul Al-Arqam[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1974 Abdul Halim Abbas berjumpa dengan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan di tahun yang sama beliau berjumpa dengan Abuya Ashaari Muhammad di rumah Datuk Salleh Bakar. Dalam pertemuan itu Abdul Halim Abbas mengikuti latihan Dakwah Islam daripada Abuya Ashaari Muhammad dengan tema Bagaimana Mengobati Penyakit Masyarakat dengan Pedoman Rasulullah. Latihan Dakwah yang sangat berkesan ini telah menyebabkan Abdul Halim Abbas tertarik untuk bergabung dengan jemaah Dakwah Ustaz Ashaari Muhammad.

Dengan organisasi yayasan Jemaah Ashaari muhammad ini Abdul Halim Abbas mula menunjukkan kecerdikan beliau dan melakukan lompatan-lompatan besar dengan formula dakwah yang unik.

Peranan Abdul Halim ialah menjadi pembantu kepada Abuya Ashaari Muhammad. Suatu ketika beliau dilantik menjadi Timbalan Syaikul Al Arqam, orang nombor dua dalam jemaah itu. Kedua-duanya mempunyai jiwa perjuang Islam yang kental tetapi mempunyai perwatakan dan personaliti berbeza. Kalau Ashaari lemah lembut dan bersifat tawaduk tetapi Abdul Halim kelihatan agak keras dan tegas, terutamanya dalam mendidik anak-anak jemaah Darul Arqam. [2] 

Peranan keduanya juga berbeza dan berbelah bagi. Ustaz Ashaari lebih banyak berada di markas menyampaikan kuliyyah mingguan, mengadakan usrah, sebaliknya Abdul Halim Abbas banyak bergerak dari satu tempat ke satu tempat, dari satu markas ke satu markas di seluruh negara. Hidupnya seperti sang pengembara berpusing ke seluruh Malaysia sampai Sabah, Serawak, Singapura dan Indonesia tanpa kenal penat dan lelah.

Tujuan dan tugasnya adalah untuk mengembangkan jemaah berkenaan. Dari Sungai Penchala markas besar Darul Arqam hingga ke kampung halamannya di Merbuk, Kedah. Beliau akan menggelilingi Malaysia untuk meninjau dan singgah di markas mengatur dan perkemaskan jemaah. Di Merbuk atas inisiatifnya terbina pusat latihan dakwah Arqam. Di situlah perkedaran Arqam dijalankan.[1]

Idea perwujudan pusat latihan itu datang daripadanya. Beliau juga pernah dihantar ke Sabah untuk mengembangkan Darul Arqam di sana. Kesulitan dan kecekalan dengan jemaah terbukti di Sabah. Kewujudan Darul Arqam di Sabah bolehlah dikatakan atas usaha gigihnya. Beliau bertanggungjawab membawa masuk arqam ke sabah.

Selain itu, juga sebagai pencetus idea membentuk studio produksi rekaman Islami yang diberi nama OVA (Oudio Video Arqam) berkonten ceramah Islam ustaz Ashaari Muhammad, Shalawat & Nasyid yang melahirkan artis-artis nasyid OVA, Nada Murni & The Zikr. Abdul Halim Abbas menjadi Murabbi pembimbing kepada 2 kumpulan di atas. Seiring berjalannya waktu The Zikr menjadi group Raihan, Nada Murni menjadi group Rabbani & group Hijjaz.

Gerakan atau elemen dakwah yang dibawa oleh beliau agak keras dan dominan daripada Abuya Ashaari yang lebih banyak mendidik dan membentuk jiwa. Cara Abdul Halim membentuk Arqam ke arah menjadi sebuah gerakan Islam yang radikal dan agresif bukan terbatas kepada dakwah lisan semata-mata seperti kumpulan Tabligh yang berdakwah mengajak orang ke masjid tanpa struktur organisasi yang sempurna.

Beliau bukan sahaja berperanan mengajar melengkapkan anggota dengan ilmu fardu ain, tetapi ikut sama menyematkan semangat juang dan kaedah-keadah untuk bergerak, mempengaruhi orang umum, melengkapkan ilmu berkomunikasi, berbahas dan sebagainya.  Abdul Halim lebih bergerak secara berstrategi disebabkan itu dari sudut tertentu beliau berbeza pendapat dengan Abuya Ashaari sehingga dilihat kontroversi dalam jemaah. Beliau banyak mencipta strategi untuk jemaah Arqam dan menjadi pencatur.  

Sebagai orang berpengaruh dalam jemaah, ada sudut-sudut tertentu beliau mempengaruhi perjalanan dakwah Ustaz Ashaari dan perkembangan Arqam. Pemergian Ashaari ke luar negara suatu ketika dikira atas nasihat Abdul Halim. Boleh dikatakan kecemerlangan Darul Arqam dua tiga tahun sebelum diharam sehingga menjadi sebuah badan gerakan dakwah, sosial dan ekonomi disegani oleh pertubuhan lain termasuk organ-organ politik, banyak diperankan oleh beliau.

Salah satu peranan besar dan berkesan yang dimainkan oleh Abdul Halim menjadikan Darul Arqam dihormati dan dikenali ialah memperkenalkan jemaah Darul Arqam kepada pemimpin-pemimpin politik. Beliau mengadakan konteks dengan tokoh-tokoh politik bagi menyampai method atau uslub perjuangan Darul Arqam yang berbeza dengan organisasi siasah. Menyampaikan uslub dan fahaman politik unik cara Arqam.

Arqam berpolitik bukan hendak merampas kerusi (pilihan raya) tetapi merampas hati masyarakat. Pendekatan yang dimainkan ialah menakluki hati semua orang tanpa mengira fahaman politik, anutan agama dan warna kulit. Di sinilah universalnya jemaah Darul Arqam. Darul Arqam dalam "tafsiran" Abdul Halim sebagai "rumah" mempersatukan ummah tanpa mengira fraksi.  

Hampir semua tokoh-tokoh atau pemimpin politik didekati oleh beliau yang datang dari berbagai parti, baik UMNO, PAS, USNO, Berjaya dan sebagainya. Antara tokoh-tokoh besar yang didatangi Abdul Halim untuk mengadakan dialog dan perbincangan secara lisan dengan mengunjungi ke rumah mereka atau sebaliknya mereka datang ke markaz Al Arqam, ialah perdana menteri ke-10 Anwar Ibrahim, Ghafar Baba, Tengku Razaleigh Hamzah, Sanusi Junid, Tun Datu Mustapha Harun, Harris Salleh, Abdul Hadi Awang, Tok guru Nik Abdul Aziz. Malahan pemimpin Pemuda dan Wanita UMNO, Najib Razak, Zahid Hamidi, Nazri Aziz, Rafidah Aziz dan lain-lain juga didekati dan sering ditemui.

Selain bertindak menjadi Duta Darul Arqam membina hubungan diplomasi dengan berbagai badan politik dan Ngo, Abdul Halim juga bertanggungjawab memastikan penubuhan Darul Arqam di luar negara. Beliau kerap berulang alik ke luar negara untuk membina kekuatan jemaah di luar negara, khasnya negara Asean.  Di sinilah Arqam mula mengorbit menjadi jemaah antarabangsa. Dan tidak melampau kalau katakan kewujudan Arqam di luar negara seperti Thailand, Indonesia, Filifina adalah atas daya usaha beliau bersama yang lain.  

Namun Abdul Halim Abas digugurkan daripada jemaah Darul Arqam sebelum pengharaman Darul Arqam di Malaysia pada Ogos 1994.

Legasi[sunting | sunting sumber]

Beliau mengasaskan pusat pengajian Tarbiyatun Nisa dan Tarbiayatul Banin di Sabah.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Beliau meninggal dunia pada 15 ogos 2023 pukul 3;40 pagi di kompleks Pendidikan Tarbiyatun Nisa, kg. Kiwatu, Tuaran, Sabah selepas mengalami serangan angin ahmar.[3]

  1. ^ "Darul Arqam". Encyclopaedia of Islam, THREE. Dicapai pada 2024-03-21.
  2. ^ Zizikri, Huriaini; Rahmi, Yulia (2023-06-28). "The Manhaj of Book Al-'Ujalah fi Al-Ahadith Al-Musalsalah by Muhammad Yasin Al-Fadani". Takwil: Journal of Quran and Hadith Studies. 2 (1): 75–93. doi:10.32939/twl.v2i1.2475. ISSN 2830-1900.