Pergi ke kandungan

Universiti Bahasa Asing Tokyo

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Universiti Bahasa Asing Tokyo
東京外国語大学 (Tokyo Gaikokugo Daigaku)
Bangunan Kajian dan Kuliah
Bangunan Kajian dan Kuliah
Nama lain
Gaigodai (外語大), Gaidai (外大), Tokyo Gaidai (東京外大), Togaidai (東外大), TUFS
JenisAwam
Ditubuhkan pada1949
PresidenProf. Dr. Kayoko Hayashi
Staf akademik
246 (tahun 2022)[1]
Staf pentadbiran
135 (tahun 2022)[1]
Siswazah3,606 (tahun 2022)[1]
Ijazah/Sarjana538 (tahun 2022)[1]
Alamat
3-11-1 Asahi-cho, Fuchu, Tokyo, Jepun
,
KampusKampus Fuchu
Satelit Hongo
BahasaBahasa Jepun
Warna Warna bunga botan
Laman sesawanghttp://www.tufs.ac.jp/

Universiti Bahasa Asing Tokyo(東京外国語大学 Tokyo Gaikokugo Daigaku; Bahasa Inggeris: Tokyo University of Foreign Studies) ialah sebuah universiti kerajaan yang terletak di bandar Fuchu, Tokyo, Jepun. Universiti tersebut ditubuhkan pada tahun 1949. Terdapat beberapa nama singkatan seperti "Gaigodai" (外語大), "Gaidai" (外大), "Tokyo Gaidai" (東京外大) dan "Togaidai" (東外大). Singkatan TUFS yang berdasarkan nama bahasa Inggeris juga selalu digunakan. TUFS terkenal dengan penyelidikan dan pengajaran pelbagai bahasa di dunia dan kajian wilayah di mana bahasa-bahasa itu digunakan. Ia adalah satu-satunya universiti di Jepun yang mempunyai program khas untuk bahasa Melayu dan kajian Malaysia. TUFS tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Universiti Tokyo (東京大学 Tokyo Daigaku), malah kedua-dua universiti tersebut langsung berbeza.

Asal usul universiti

Universiti Bahasa Asing Tokyo mempunyai sejarah yang panjang, iaitu selama 150 tahun. Universiti ini berasal dari Institut Kajian Dokumen-Dokumen Asing (蕃書調所 Bansho Shirabesho) yang dibina oleh Kesyogunan Edo pada 1857.[2] Institut tersebut telah dibina dengan matlamat sebagai institut pengajian dan pendidikan yang membuat terjemahan buku-buku asing, pengajian Barat dan pendidikan pengajian Barat. Walaupun nama universiti sering berubah, namun semenjak dahulu lagi sehingga kini, TUFS kekal menjadi universiti yang mengkhususkan dalam pendidikan dan pengajian mengenai bahasa asing dan hal kawasan asing.

Susun semula fakulti

[sunting | sunting sumber]

Pada awal pertubuhan Universiti Bahasa Asing Tokyo (Tokyo University of Foreign Studies; TUFS), ia terdiri daripada 12 jabatan. Secara beransur-ansur TUFS menambahkan bilangan bahasa asing. Pada 2012 TUFS ada dua fakulti iaitu Fakulti Bahasa dan Budaya serta Fakulti Masyarakat Antarabangsa. Kedua-dua fakulti beri perhatian kepada mengajar bahasa asing. Fakulti Bahasa dan Budaya memupuk kajian kemanusiaan manakala Fakulti Masyarakat Antarabangsa pula memfokuskan kajian sains sosial. Pada April 2019, berlakunya susun semula fakulti di mana Fakulti Pengajian Jepun ditubuhkan dan menjadikan TUFS mempunyai tiga fakulti termasuk Fakulti Bahasa dan Budaya serta Fakulti Masyarakat Antarabangsa.

Institut Pengajian Bahasa dan Budaya Asia dan Afrika

[sunting | sunting sumber]

Institut Pengajian Bahasa dan Budaya Asia dan Afrika (アジア・アフリカ言語文化研究所 Ajia Afurika Gengo Bunka Kenkyujo) ditubuhkan di Universiti Bahasa Asing Tokyo pada tahun 1964. Tujuannya bukan sahaja untuk pengajian sintetik budaya dan bahasa Asia dan Afrika tetapi ia juga menyunting kamus bahasa dan mengadakan latihan pendidikan mengenai kawasan tersebut. Sebagai pusat luar negeri, Pejabat Perhubungan Kota Kinabalu (Kota Kinabalu Liaison Office, ILCAA-TUFS KKLO) ditubuhkan pada tahun 2008.

Bahasa Melayu

Bahasa Melayu mula diperkenalkan ke universiti ini pada tahun 1911. Pada tahun 1946, nama Jabatan Melayu (マライ科 Marai-ka) ditukar kepada Jabatan Indonesia (インドネシヤ科 Indoneshiya-ka) dan kemudian ditukar namanya lagi kepada Jabatan Bahasa Indonesia (インドネシア語科 Indoneshiago-ka) pada tahun 1956. Pada tahun 1984, kelas sastera bahasa Melayu diperkenalkan ke jabatan ini dan menukar namanya ke Jabatan Bahasa Indonesia-Malaysia (インドネシア・マレーシア語科 Indoneshia-Marēshiago-ka)[3]. Selepas tiga tahun, Jabatan Bahasa Indonesia-Malaysia disusun semula dan menjadi Jabatan Bahasa Asia Tenggara dengan bahasa Filipina, bahasa Laos dan bahasa Kemboja ditambahkan. Pada tahun 2012, Fakulti Bahasa Asing melakukan susun semula di mana satu fakulti berpecah menjadi dua fakulti, iaitu Fakulti Bahasa dan Budaya serta Fakulti Masyarakat Antarabangsa. Bagi pelajar yang berada di bawah Fakulti Bahasa dan Budaya, semua pelajar harus mempelajari bahasa Melayu selama empat tahun manakala pelajar di bawah Fakulti Masyarakat Antarabangsa sekurang-kurangnya harus mempelajari bahasa Melayu selama dua tahun.

Acara Tahunan

[sunting | sunting sumber]

Pesta universiti

[sunting | sunting sumber]

Pesta universiti diadakan selama lima hari pada akhir November setiap tahun. Pesta ini dipanggil sebagai "Gaigosai". Pelajar tahun satu menjual makanan berkaitan jurusan mereka di tengah-tengah kampus, manakala pelajar tahun dua dan ke atas mempersembahkan drama di dalam bahasa jurusannya. Drama itu dipilih sebagai program sokongan pendidikan universiti unik oleh Kementerian Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi, Jepun pada tahun 2004.

Hubungan antarabangsa

[sunting | sunting sumber]

Universiti Bahasa Asing Tokyo mempunyai perjanjian pertukaran pelajar dengan 176 institut yang ada di 65 negara pada tahun 2022. Universiti Bahasa Asing Tokyo menerima pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pertukaran pelajar dan turut menghantar pelajarnya ke universiti tersebut.

Senarai Fakulti, Institut dan Pusat

[sunting | sunting sumber]
  • Fakulti Bahasa dan Budaya (言語文化学部 Gengobunka Gakubu)
  • Fakulti Masyarakat Antarabangsa (国際社会学部 Kokusai Shakai Gakubu)
  • Fakulti Pengajian Jepun (国際日本学部 Kokusai Nihon Gakubu)
  • Institut Pengajian Bahasa (語学研究所 Gogaku Kenkyūjo)
  • Institut Pengajian Kebudayaan (総合文化研究所 Sōgobunka Kenkyūjo)
  • Institut Pengajian Hal-Ehwal Luar Negeri (海外事情研究所 Kaigaijijō Kenkyūjo)
  • Institut Pengajian Hubungan Antarabangsa (国際関係研究所 Kokusaikankei Kenkyūjo)
  • Institut Pengajian Bahasa dan Budaya Asia dan Afrika (アジア・アフリカ言語文化研究所 Ajia Afurika Gengo Bunka Kenkyūjo)
  • Pusat Pengajaran Bahasa Jepun untuk Pelajar Antarabangsa (留学生日本語教育センター Ryūgakusei Nihongo Kyōiku Sentā)
  • Pusat Pengajian Asia Selatan (南アジア研究センター Minami Ajia Kenkyū Sentā)
  • Pusat Pengajian Afrika (アフリカ研究センター Afurika Kenkyū Sentā)
  • Pusat Keharmonian Berbilang Bahasa dan Budaya (多言語多文化共生センター Tagengo Tabunka Kyōsei Sentā)
  • Pusat Pengajaran Bahasa dan Masyarakat Dunia (世界言語社会教育センター Sekai Gengo Shakai Kyōiku Sentā)

Senarai Program Bahasa

[sunting | sunting sumber]
  1. Bahasa Jepun
  2. Bahasa Cina (Bahasa Mandarin)
  3. Bahasa Korea
  4. Bahasa Mongolia
  5. Bahasa Indonesia
  6. Bahasa Malaysia (Bahasa Melayu)
  7. Bahasa Filipino (Bahasa Tagalog)
  8. Bahasa Thai
  9. Bahasa Lao
  10. Bahasa Vietnam
  11. Bahasa Kemboja (Bahasa Khmer)
  12. Bahasa Burma
  13. Bahasa Hindi
  14. Bahasa Urdu
  15. Bahasa Bangla
  16. Bahasa Arab
  17. Bahasa Parsi
  18. Bahasa Turki
  19. Bahasa Inggeris
  20. Bahasa Jerman
  21. Bahasa Perancis
  22. Bahasa Sepanyol
  23. Bahasa Portugis
  24. Bahasa Itali
  25. Bahasa Rusia
  26. Bahasa Uzbek
  27. Bahasa Poland
  28. Bahasa Czech

Pautan luaran

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ a b c d Data Universiti Bahasa Asing Tokyo
  2. ^ http://www.tufs.ac.jp/abouttufs/pr/history.html
  3. ^ Sasaki Shigetsugu. 1999. ‘東南アジア課程の成立’ (Tounan Ajia katei no seiritsu). ‘東京外国語大学史-独立百周年(建学百二十六年)記念’ (Tokyogaikokugodaigaku dokuritsu 100 syuunen (kengaku 126nen) kinen)). 1034-1045. Penerbit Universiti Bahasa Asing Tokyo. http://www.tufs.ac.jp/common/archives/TUFShistory-southeast-asia-2.pdf