Falsafah Vedanta

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Vedanta)
Lompat ke: pandu arah, cari
Swami Vivekananda (1863-1902 Masihi)

Pengenalan[sunting | sunting sumber]

Manusia sering digambarkan sebagai binatang yang berfikir. Apabila nafsu binatangnya dipuaskan, dia berpeluang untuk maju ke tahap evolusi yang lebih tinggi. Falsafah, termasuk metafizik, adalah satu aspek tertinggi evolusi ini.[1]

Perkembangan sistem falsafah India adalah dipengaruhi oleh dua faktor utama, iaitu proses intelektual dan pengalaman mistik. Oleh itu, falsafah India juga dikenali sebagai ‘Darśana’ (secara literal bermaksud ‘dilihat’).

Matlamat Utama Falsafah India[sunting | sunting sumber]

Semua Darśana menemui bahawa meskipun manusia berusaha dengan bersungguh-sungguh, kehidupannya penuh dengan penderitaan. Oleh itu, matlamat utama Darśana-Darśana ini adalah untuk melepaskan diri daripada penderitaan, bukan sahaja untuk sekarang, tetapi untuk selama-lamanya. Ahli-ahli falsafah Hindu telah menenggelami diri mereka sendiri untuk mencari matlamat hidup.[2]

Kaedah utama falsafah Hindu ialah Tapas (disiplin rohani), Sravana (mendengar kebenaran daripada guru-guru), dan Manana (penghayatan ilmu). Ahli-ahli falsafah Hindu juga menyedari bahawa akal manusia mempunyai hadnya iaitu ia bukan sumber ilmu yang bebas dan tulen. Oleh itu, mereka bergantung kepada Śruti atau Veda untuk mendapatkan ilmu. Dengan bantuan akal fikiran, mereka cuba memahami maksud Veda. Usaha mereka berhasil apabila dengan mengikuti ajaran Veda, mereka berjaya mengatasi penderitaan dan kesengsaraan hidup dan mencapai kebebasan.[3]

Namun, interpretasi berlainan Veda melahirkan mazhab-mazhab yang berbeza. Kini, semua mazhab ini telah disatukan di bawah enam mazhab yang dikenali sebagai Saddarśanas.

Evolusi Darśana[sunting | sunting sumber]

Enam sistem atau Saddarśana ini, iaitu - Nyāya, Vaiśesika, Sankhya, Yoga, Mimamsa, dan Vedanta telah dimulakan oleh golongan Rishi zaman purba. Nama-nama mereka muncul bukan sahaja dalam Veda, tetapi juga dalam Purana dan epik purba. Ajaran mereka berada dalam bentuk Sutra yang pendek lagi mudah diingati. Sutra-Sutra ini telah diturunkan daripada generasi ke generasi secara lisan. Apabila penghasilan karya bertulis makin berleluasa, pendeta-pendeta menghasilkan Bhasyas, Tikas, Vrttis, dan Varttikas (pelbagai bentuk ulasan dan eksposisi dalam bentuk prosa dan puisi) bagi menjelaskan idea-idea mazhab mereka dengan lebih mendalam. Sering kali, wujud serangan pendapat dalam kalangan mazhab-mazhab ini. Bagi mempertahankan ajaran masing-masing, mereka terpaksa menghasilkan karya-karya yang logikal dan rasional dan juga menyerang balas ajaran yang bertentangan. Dalam proses ini, pelbagai sastera falsafah yang hebat telah lahir di India.

Faktor Umum[sunting | sunting sumber]

Meskipun, wujud perbezaan doktrin yang amat berbeza antara enam sistem ini, namun dari segi amalan, wujud keharmonian dan persefahaman yang ketara.

Semua sistem ini bermula dari titik yang sama iaitu kewujudan penderitaan dalam kehidupan. Matlamat akhir ialah untuk mendapatkan kebebasan sepenuhnya daripada penderitaan. Keadaan ini hanya boleh diperolehi dengan ilmu yang betul. Ilmu yang betul bukan sahaja ilmu intelektual tetapi pengalaman terus. Pengalaman sendiri tentang sifat sebenar diri sebagai jiwa yang mengatasi gabungan badan-minda diperlukan.

Bagi mencapai ini, disiplin-disiplin seperti amalan hidup bermoral, mengelakkan daripada Arisaḍvargas atau enam musuh seperti nafsu berahi, ketamakan, dan kebencian, mesti diamalkan, Di samping itu, seseorang juga mesti memikirkan, menghayati dan melakukan meditasi berterusan ke atas kebenaran yang didengarnya, sehingga dia menyedari kebenaran itu.

Semua Saddarsana juga mempercayai hukum karma. Dunia ini ialah sebuah pentas bagi melakonkan watak kita dengan baik sehingga menambah tahap rohani kita secara beransur-ansur.

Akhirnya, semua sistem ini menunjukkan satu perkembangan dari tahap rendah ke tahap yang tertinggi. Sistem-sistem ini membantu manusia maju dari kebenaran yang rendah ke Kebenaran Tertinggi dalam Vedanta. Sistem Vedanta bukan sahaja dianggap sebagai kemuncak tertinggi falsafah Hindu, tetapi ia juga boleh mengangkat dada sebagai falsafah yang terhebat dalam kalangan semua falsafah di dunia.

Empat Soalan Utama[sunting | sunting sumber]

Empat soal utama yang dibincangkan dalam falsafah ialah[4]:

  • Alam dan ciptaan atau evolusi
  • Kewujudan dan sifat Tuhan atau Yang Maha Mutlak
  • Sifat semula jadi manusia
  • Matlamat hidup manusia

Perbezaan pandangan dalam perbincangan mengenai soal-soal ini telah membawa kepada beberapa mazhab berlainan. Mazhab-mazhab ini dibahagikan secara kasar kepada dua iaitu Astika dan Nastika.

Nastika Darsana[sunting | sunting sumber]

Kapila Muni

Mazhab Nastika tidak menerima Veda. Terdapat 3 mazhab di bawah kumpulan ini:

  • Carvaka Darsana – Mazhab ini menafikan kewujudan roh. Oleh itu, ia mengajar kehidupan materialistik sepenuhnya dan tidak ada sebarang konsep tentang kehidupan selepas kematian. Semua penulisan mazhab ini telah hilang.
  • Jaina Darsana – Ini ialah asas agama Jain
  • Bauddha Darsana – Ini ialah asas agama Buddha

Astika Darsana[sunting | sunting sumber]

Mazhab Astika menerima dan mengakui kewibawaan Veda.Terdapat 6 mazhab Astika atau Saddarsana iaitu:

  • Nyaya Darsana oleh Gautama
  • Vaisesika Darsana oleh Kanada
  • Sankhya Darsana oleh Kapila
  • Yoga Darsana oleh Patanjali
  • Mimamsa Darsana oleh Jaimini
  • Vedanta Darsana oleh Badarayana

Vedānta Darśana[sunting | sunting sumber]

Pendahuluan - Sutra[sunting | sunting sumber]

Dalam sistem pendidikan di India purba, pelajar dikehendaki untuk tinggal bersama-sama gurunya di sekolah rimba. Pengajaran biasanya berada dalam bentuk Sutra atau ayat-ayat suci, diikuti dengan penjelasan dan perbincangan. Kaedah ini amat berkesan kerana ini membantu penghafalan.

Kesusasteraan Sutra mempunyai ciri-cirinya tersendiri. Menurut syarat-syarat sebuah Sutra, ia mesti 'alpaksara' (mengandungi jumlah abjad yang minimum), 'asandigdha' (tanpa keraguan mengenai maksudnya), 'saravat' (mesti mengandungi inti subjeknya), dan juga, 'visvatomukha' (mengandungi semua aspek subjeknya). Namun, demi mengurangkan perkataan, pencipta-pencipta Sutra telah melakukannya dengan amat keterlaluan. Akibatnya, penulis-penulis seterusnya terpaksa menulis Bhasya atau ulasan penjelasan ke atas Sutra-Sutra.

Srauta, Grhya dan Dharma Sutra merupakan kumpulan kesusasteraan Sutra yang awal. Darsana atau sistem falsafah yang muncul kemudiannya, juga mengikuti gaya Sutra.

Prasthana-traya[sunting | sunting sumber]

Antara Saddarsana, atau enam sistem falsafah yang menerima otoriti Veda, Mimamsa dan Vedanta adalah berkaitan terus dengan Veda. Sistem Mimamsa berusaha untuk mencapai persepakatan antara teks-teks Veda yang kelihatan memberi arahan-arahan yang berlainan mengenai sistem pemujaan yang sama. Vedanta pula berusaha untuk memberikan satu falsafah Brahman (Tuhan Maha Mutlak) yang logikal daripada ayat-ayat Upanishad yang kelihatan bercanggah antara satu sama lain.

Vedānta Darśana merupakan mazhab yang paling popular dan berpengaruh. “Vedānta" bermaksud ‘penghujung atau kesimpulan Veda’, (anta=penghujung) dan ia juga bermaksud intipati Veda (anta=intipati).

Sumber Vedanta ialah Upanishad (dikenali sebagai Sruti Prasthana), Brahmasutra (dikenali sebagai Nyaya-prasthana), dan Bhagavadgita (dikenali sebagai Smrti-prasthana). Secara kolektif, ketiga-tiganya dikenali sebagai ‘Prasthanatraya’). 'Prasthana' bermaksud mazhab falsafah atau agama. Terdapat tiga pandangan yang berbeza mengenai Prasthanatraya yang telah melahirkan tiga mazhab utama Vedanta iaitu Advaita, Visistadvaita dan Dvaita.[5]

Upanishad[sunting | sunting sumber]

Walaupun terdapat banyak karya-karya dengan nama 'Upanishad', secara tradisional, hanya dua belas hingga empat belas Upanishad sahaja yang diterima sebagai purba dan sah. Seluruh struktur falsafah Vedanta bergantung kepada beberapa Upanishad ini sahaja.

Ajaran Upanishad, secara umumnya boleh dibahagikan begini: Brahman sebagai sumber alam ini, sifat Brahman, evolusi dunia dan sifat-sifat benda-benda hidup sebagai jiwa individu dan perhubungan mereka dengan Brahman, kehidupan jiwa dan kelahiran semulanya, matlamat akhir kehidupan, dan jalan untuk mencapai matlamat akhir itu, dan keadaan selepas mencapai matlamat akhir itu.

Upanishad tidak memberikan satu gambar yang seragam mengenai pelbagai subjek yang dibincangkannya, Menurut tradisi, seluruh kumpulan Upanishad dianggap sebagai satu karya sastera iaitu Sruti. Oleh itu, adalah penting untuk menyusun semula ajaran Upanishad untuk memberikan gambaran yang lebih seragam. Inilah yang dilakukan oleh Badarayana yang menghasilkan Brahmasutras.

Menurut Swami Vivekananda, "Sebarang sistem di India yang tidak mematuhi Upanishad tidak boleh dipanggil sebagai orthodoks. Malah, sistem orang Jain dan orang Buddha telah dihalau dari bumi India hanya kerana mereka enggan menerima Upanishad."

Brahmasutra[sunting | sunting sumber]

Karya ini mendapat namanya kerana ia berkaitan dengan Brahman (Tuhan Maha Mutlak) seperti digambarkan dalam Upanishad. Brahmasutras juga dikenali dengan beberapa nama lain iaitu:

Vedanta-sutras - kerana subjek utamanya ialah Vedanta atau Upanishad.

Sāriraka-sutras - kerana ianya mengenai Ātman yang berada dalam badan (sarira)

Uttara Mimamsa-sutras - kerana ia melakukan siasatan (mimamsa) ke atas bahagian akhir (uttara) Veda.

Bhiksu -sutras - kerana ia disarankan khususnya untuk golongan bhiksu atau samnyasin.

Badarayana, Penulis Brahmasutras[sunting | sunting sumber]

Tidak ada sebarang maklumat tentang Badarayana, penulis Brahmasutras. Golongan tradisional menyamakannya dengan Vyasa, penulis Mahabharata dan Purana. Karya ini kemungkinan ditulis sekitar 500 S.M hingga 200 S.M. oleh beberapa orang ilmiawan India dan Barat. Namun, terdapat beberapa pendapat bahawa kemungkinan ia ditulis pada 200 Masihi dan bahawa Badarayana bukan Vyasa.

Sinopsis Ringkas Brahmasutras[sunting | sunting sumber]

Bab pertama karya ini bermula dengan Sutra yang terkenal 'Athato Brahma Jijnasa' (Sekarang, oleh itu, keinginan untuk mengenali Brahman'). Ilmu atau pengalaman mengenai Brahman membawa kepada moksha atau kebebasan daripada kelahiran semula. Oleh itu, adalah penting untuk memahami Brahman dengan betul. Maka, karya ini mengkaji pelbagai ayat-ayat Upanishad mengenai Brahman. Dunia ini wujud disebabkan Brahman. Dunia bermula dengan Brahman, berterusan dengan Brahman dan akhirnya ia kembali ke dalam Brahman. Satu-satunya sumber ilmu mengenai Brahman ialah Sruti atau Upanishad.

Brahman adalah anandamaya, penuh nikmat. Ia adakah transcendental dan juga memenuhi alam dan jiwa. Brahman adalah cahaya dalam matahari dan dalam mata kita sendiri. Brahman juga dikenali sebagai Akasa, Prana, Bhuma, Atman, dan Akshara. Apa yang dinamakan sebagai 'Angusthamatra-Purusha' (orang bersaiz ibu jari) ialah sebenarnya Brahman dan bukannya jiwa.

Brahman merupakan sumber kewujudan alam ini dan bukannya Prakriti atau Pradhana. Menurut falsafah Sankhya, alam wujud disebabkan Prakriti. Sebaliknya, Badarayana mengatakan bahawa Prakriti adalah sesuatu yang bukan hidup. Oleh itu, benda bukan hidup tidak boleh berfikir atau mencipta alam semesta yang direka dengan sempurna.

Badarayana menegaskan bahawa Brahman adalah upadanakarana (sumber material) dan nimittakarana (hasil) alam ini. Oleh itu, dunia ini ialah Brahman.

Vedanta tidak bercanggah dengan Smrti (iaitu sumber sekunder seperti Bhagavadgita dan Apastamba-dharmasutras) dan tarka (logik dan penaakulan). Ayat-ayat Upanishad tidak mengutarakan sebarang teori ciptaan yang berlainan.

Brahmasutras juga mengkaji persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh beberapa mazhab lain ketika itu seperti Sankhya, Vaisesikas, ajaran Buddha, Jainas, Pasupatas (salah satu cabang Saivisme) dan Bhagavatas.

Menurut Badarayana, bantahan bahawa dunia mengandungi benda-benda bukan hidup dan oleh itu, ia tidak boleh menjadi ciptaan Brahman tidak boleh diterima. Ini kerana, Sruti, iaitu otoriti yang tertinggi telah menyatakan bahawa dunia ialah Brahman dan manusia, dengan akalnya yang kerdil tidak boleh menafikan Sruti.

Brahman tidak mempunyai sebarang kepentingan diri sendiri dalam mencipta dunia ini. Brahman juga tidak bertindak kejam atau berat sebelah dalam mencipta dunia ini. Jiwa-jiwa lahir menurut karma masing-masing. Tujuan ciptaan dunia ini adalah untuk membantu jiwa-jiwa mencapai Ananda (Nikmat) dengan menyedari Brahman.

Apakah yang berlaku selepas kematian? Jiwa-jiwa yang menjalani kehidupan rohani seperti Tapas, Sraddha, Brahmacharya dan meditasi ke atas Brahman akan pergi ke Brahmaloka melalui 'arciradimarga' atau 'devayana', iaitu jalan cahaya atau dewa-dewi. Jiwa yang sampai ke Brahmaloka tidak akan kembali ke dunia ini lagi. Seseorang yang berminat untuk mencapai Moksha, mesti mengamalkan 'sravana' (mendengar kitab suci mengenai Atman/Brahman) dan disiplin-disiplin berkaitan sehingga mendapat kesedaran rohani. Selepas mencapai Brahmajnana (Ilmu Brahman), semua sanchita karma (karma terkumpul daripada beberapa kelahiran) dihapuskan. Agami-karma iaitu karma yang dilakukan selepas mendapat Brahmajnana, tidak akan membawa hasil. Prarabdha-karma iaitu karma yang telah mula bertindak dalam sesuatu badan dan mula memberi hasil akan berterusan sehingga ia hasilnya dihabiskan.

Brahmasutras juga membincangkan tentang ciri-ciri seorang Muktapurusha (jiwa yang bebas), kelahiran semula, kejadian mimpi, teori karma, dan pelbagai ilmu berkaitan meditasi.

Bhagavad Gita[sunting | sunting sumber]

[Artikel Utama: Bhagavad Gita]

Bhagavad Gita bukan suatu karya falsafah yang sistematik. Namun, semua subjek-subjek utama dalam falsafah India boleh dikaji dalam mahakarya ini. Biasanya, falsafah India atau Darsana, membincangakn empat subjek ini iaitu:

  • Alam dan ciptaan atau evolusi
  • Kewujudan dan sifat Tuhan atau Yang Maha Mutlak
  • Sifat semula jadi manusia
  • Matlamat hidup manusia

Pada penghujung setiap bab, Bhagavad Gita menyebut bahawa kandungannya ialah Upanishad, Brahmavidya dan Yogasastra. Sesungguhnya Bhagavad Gita ialah sebuah 'Upanishad' atau ilmu esoterik yang diberikan oleh seorang guru bagi menjawab soalan-soalan pelajarnya. Bhagavad Gita ialah Brahmavidya kerana ia membincangkan tentang Brahman. Bhagavad Gita ialah suatu 'Yogasastra' kerana ia menghuraikan yoga atau disiplin-disiplin praktikal yang membantu seseorang mencapai ilmu rohaniah atau matlamat kehidupan.

Sri Krishna dipuja dan disembah sebagai Tuhan yang telah menjelma dalam rupa manusia demi melindungi manusia dan mempertahankan Dharma. Sri Krishna sering menyamakan diri-Nya dengan Tuhan dan bercakap dengan penuh otoriti dalam Bhagavad Gita, Mahabharata dan Bhagavatam. Ketika menelaah falsafah Bhagavad Gita, perkara ini perlu diingati.

Advaita Vedanta[sunting | sunting sumber]

Falsafah India yang paling popular ialah Advaita Vedanta. Sankara (juga dikenali sebagai Adi Sankara dan Sankaracharya) merupakan ahli falsafah dan mistik yang memperkembangkan falsafah ini. Menurut Sankara, Kebenaran (Realiti) hanya satu dan ia dipanggil sebagai Brahman. Brahman ialah Sat-Cit-Ananda (‘Kewujudan-Ilmu-Kebahagiaan Abadi’). Brahman tiada rupa (Nirakara) dan tiada sifat (Nirguna).[6]

Dunia yang nyata ini sebenarnya tidak wujud atau tidak benar. Kewujudan dunia ini hanya satu ilusi yang disebabkan oleh kejahilan. Ini dijelaskan dengan kiasan tali yang nampak seperti ular. Katakan kamu terlihat sesuatu yang kelihatan seperti ular. Pada mulanya, kamu percaya ia seekor ular. Apabila kamu sedar bahawa ia bukan ular tetapi hanya seutas tali, kamu tidak akan melihat ular lagi. Begitu juga, menurut Sankara, manusia melihat dunia ini sebagai realiti. Selagi dia melihat dunia, dia tidak sedar bahawa sebenarnya ia ialah Brahman. Selagi dunia wujud, kewujudan proses ciptaan, pemeliharaan dan pemusnahan dunia juga perlu diakui. Semua fungsi ini dikatakan dilakukan oleh Isvara atau Tuhan dengan kuasa maya-Nya.[7]

Sri Sankaracharya

Sankara menyatakan bahawa jiwa individu serupa dengan Brahman. Disebabkan kejahilan akan dirinya sendiri, jiwa melihat perbezaan antara dirinya dan Brahman. Kejahilan ini wujud selama-lamanya selagi jiwa mendapat ilmu (jnana) mengenai Atman (Jiwa yang serupa Brahman).

Oleh kerana kejahilan (ajnana) telah menyebabkan jiwa dibelenggu, Sankara berpendapat bahawa hanya ilmu (jnana) yang dapat memberikan kebebasan mutlak. Namun, beliau mengakui bahawa tindakan tanpa mementingkan diri (niskama karma) dan cinta kepada Tuhan (Bhakti) boleh membantu dalam persediaan awal. Kebebasan mutlak bermaksud jiwa bersatu dengan Brahman dan hilang keindividuannya.[8]

Tokoh-Tokoh Utama[sunting | sunting sumber]

Kehebatan Vedanta[sunting | sunting sumber]

Sifat Terbuka[sunting | sunting sumber]

Vedanta bersifat terbuka. Vedanta tidak menyekat kebebasan sesiapa pun.Vedanta tidak meminta sesiapa pun untuk menukar kepercayaan atau agamanya. Ini menyebabkan falsafah ini diterima oleh pelbagai masyarakat berlainan di serata dunia. Akal (Buddhi) merupakan asas Vedanta. Oleh itu, semua manusia yang rasional, secara semula jadi tertarik dengan falsafah ini. Inilah rahsia kekuatan dan tarikan falsafah Vedanta.

Ilmu yang Praktikal[sunting | sunting sumber]

Satu lagi kehebatan Vedanta ialah ia cuba untuk mendapatkan hasil ilmu Kebenaran dalam kehidupan ini, dan bukannya di dunia akhirat atau selepas kematian.Apa yang penting ialah pengetahuan Vedanta membawa hasil dalam kehidupan manusia pada masa ini. Oleh itu, ajaran ini menekankan kehidupan berdisiplin dan bermoral. Malah, tanpa mengamalkan kehidupan yang bermoral, seseorang tidak boleh memahami falsafah Vedanta.

Swami Vivekananda berkata, “Saya berani mengatakan ini - Vedanta, falsafah daripada Upanishad merupakan pemikiran rohani yang pertama dan muktamad yang pernah dikurniakan kepada manusia.”

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Swami Ramakrishnananda. The Message of Eternal Wisdom. p.61

Swami Harshananda. A Concise Encyclopedia of Hinduism. p.512

Swami Harshananda, The Six Systems of Hindu Philosophy

  1. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
  2. ^ Swami Harshananda The Six Systems of Hindu Philosophy
  3. ^ Swami Harshananda The Six Systems of Hindu Philosophy
  4. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
  5. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
  6. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
  7. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
  8. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism